Analisa PRU 15: Bina alternatif sosialis kepada sistem kapitalis rakus

Malaysia sedang melalui krisis politik yang sudah berpanjangan selama hampir 3 tahun dan melihat perubahan kuasa Perdana Menteri beberapa kali. Parti pemerintah yang memegang kerajaan pada waktu ini tidak mempunyai mandat rakyat dan tidak menyandang kuasa melalui Pilihan Raya. Pada masa yang sama, PM Ismail Sabri juga tidak mempunyai sokongan yang kukuh dikalangan ahli Parlimen dan hanya menjadi calon sementara yang mengisi kekosongan sehingga ke PRU seterusnya. Persoalan yang bermain di fikiran orang ramai pada waktu ini adalah jika PRU yang akan datang boleh menyelesaikan krisis politik negara dan memulihkan ekonomi yang sedang merosot. 

Barisan Nasional

BN yang memegang kuasa kerajaan melalui PM Ismail Sabri sedang cuba untuk mendapatkan kembali mandat di PRU ke 15 selepas kalah dengan PH di PRU lepas. Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa reformasi dalam Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja yang melihat beberapa peningkatan hak bagi kelas pekerja. Tambahan pula gaji minimum pekerja juga ditingkatkan ke RM1500 pada bulan Mei lepas. 

Walaupun begitu, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam percubaan untuk memikat hati rakyat adalah sangat lemah dan tidak merujuk kepada keadaan rakyat yang sedang merana pada waktu ini. Peningkatan gaji minimum misalnya tidak membawa sebarang faedah kepada majoriti daripada pekerja yang bergaji lebih daripada RM1500 dan tidak melihat sebarang penyelarasan gaji yang sepadan dengan peningkatan harga barangan atau inflasi. Oleh itu, beberapa kesatuan sekerja sudahpun menganjurkan aksi-aksi piket untuk mendesak pihak majikan agar meningkatkan gaji pekerja bergaji rendah. 

Selain itu, reformasi akta-akta yang dilakukan juga amat terhad dan tidak membawa faedah yang besar kepada pekerja biasa. Tambahan pula, diatas desakan kelas majikan, pihak kerajaan juga telah menangguh penguat kuasaan perubahan-perubahan dalam akta tersebut ke tahun hadapan. Ini telah meraih kekecewaan daripada lebih 14 juta pekerja yang sedang mengharapkan peningkatan gaji dan kondisi pekerjaan yang lebih baik. 

Pada masa yang sama, BN juga sedang cuba untuk memperbaiki imej mereka yang sudah didedahkan sebagai parti yang dipenuhi dengan pemimpin yang korup dan tidak beramanah. Oleh itu, bekas PM Najib Razak telah dikorbankan ke penjara dalam usaha untuk membersihkan nama buruk parti dan untuk mewujudkan ilusi bahawa kepimpinan BN baru tidak akan campur tangan dalam urusan institusi kehakiman. Malangnya, ahli-ahli politik BN lain seperti Zahid Hamidi telah berjaya melepaskan diri dari pertuduhan korupsi dan ini kembali mewujudkan tanda tanya berkenaan ketelusan kepimpinan BN. 

BN sedang bergerak dengan momentum kemenangan di PRN Melaka dan Johor dimana mereka berjaya meraih undi majoriti dalam suasana pilihanraya yang melihat kejatuhan peratusan pengundi. Walaupun had umur pengundi dikurangkan ke 18 tahun, masih lagi ia tidak memberi galakkan kepada rakyat untuk keluar menyertai proses pemilihan ini. Keadaan yang sama juga boleh berlaku di PRU ke 15. Rakyat yang terasa kecewa dengan pemerintahan parti-parti politik yang wujud mungkin tidak akan teruja untuk keluar mengundi pada kali ini. Tambahan pula dengan keadaan monsun dimana 25% daripada negara dikatakan akan diancam dengan malapetaka banjir, adalah sukar untuk mengharapkan peratusan pengundi yang tinggi seperti di PRU sebelum ini. Situasi ini pastinya akan memberikan kelebihan kepada BN yang mempunyai jentera pilihanraya yang lebih banyak dan boleh di kerah untuk mendapatkan kelebihan. 

Selain itu, BN juga akan mempergunakan sentimen perkauman bagi meracun pemikiran rakyat, terutamanya rakyat di kawasan luar bandar untuk menolak calon-calon pembangkang dari PH. Propaganda berbentuk perkauman ini sudahpun dimulakan oleh beberapa calon BN yang berharapan untuk memecahkan rakyat di bawah garis ras atau kaum untuk memenangi sokongan majoriti. 

Walaupun terdapat banyak faktor-faktor seperti yang dinyatakan boleh memberi kelebihan kepada BN di dalam PRU yang akan datang, tetapi, ia masih tidak mampu menjamin sebuah kemenangan yang selesa. Masyarakat umum masih melihat BN sebagai sebuah parti yang korup dan dipenuhi dengan para pemimpin yang tidak beramanah dan kaki rasuah. Ramai lagi rakyat yang menganggap bahawa kemenangan bagi BN akan membawa kepada kemenangan kepada figura-figura yang korup seperti Zahid Hamidi dan beberapa kepimpinan tertinggi UMNO. Ini akan menghambat cita-cita BN untuk kembali berkuasa. 

Tambahan pula, BN kini hanya mempunyai 41 kerusi dan memerlukan aliansi dengan beberapa parti lain jika ingin menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah iaitu 112 kerusi. Sebelum ini, PN, GPS dan GRS telah memberikan sokongan kepada PM Ismail Sabri dari UMNO untuk mentadbir kerajaan. Tetapi pada PRU yang akan datang, BN dari awal sudah menolak kerjasama dengan Parti Bersatu yang merupakan sebahagian daripada PN. PAS juga menolak pelawaan UMNO untuk membentuk koalisi PRU di bawah Muafakat Nasional dengan BN. Walaupun jika BN berjaya mendapat jumlah kerusi yang banyak di PRU ke-15, mereka masih terpaksa mencari aliansi dengan parti-parti lain untuk menawan Parlimen.

Pada masa yang sama, perpecahan dalaman yang wujud di dalam BN, terutamanya di dalam parti UMNO akan menjadi semakin ketara dalam persoalan pengagihan kerusi menjelang hari penamaan calon. Perkara ini juga akan mewujudkan ketegangan dan beberapa pemimpin dari BN/UMNO boleh berpisah daripada parti dan menyertai pihak pembangkang ataupun berdiri sebagai calon bebas untuk memecahkan undi. Semua faktor-faktor ini juga akan menyukarkan BN untuk merampas kembali kuasa kerajaan dengan mudah. 

Zahid Hamidi di Parlimen

Pakatan Harapan

Menilai daripada nada dan ucapan ahli-ahli politik mereka, PH tidak yakin untuk mengulangi prestasi yang sama dengan PRU ke-14 lepas. Ini adalah kerana kehilangan sekutu politik Bersatu yang telah berpecah daripada PH sejak langkah Sheraton yang melihat penggulingan kerajaan PH pada awal 2020. Malah Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden PKR sendiri berpendapat bahawa PH harus cuba mengekalkan kerusi Parlimen mereka yang sedia ada dan menjadi barisan pembangkang yang kuat buat masa ini. Mungkin pada PRU yang seterusnya, PH boleh berharap untuk menubuhkan kerajaan. Kem Rafizi juga telah berkempen untuk menolak cadangan ‘kemah besar’ daripada Anwar Ibrahim yang bersedia untuk menjalin hubungan dengan PN atau Gerakan Tanah Air di bawah kepimpinan bekas PM Mahathir untuk menghadapi PRU 15. 

Walaupun gabungan PH mempunyai 90 kerusi Parlimen pada waktu ini, mereka masih tidak mempunyai bilangan yang cukup untuk mendapat majoriti mudah. Jika PH sempat untuk melakukan kerjasama dengan semua parti serpihan dan kecil seperti MUDA, PSM dan beberapa parti-parti baru termasuk calon bebas, ada kemungkinan bahawa mereka boleh mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Tetapi ini masih bergantung dengan hala tuju parti-parti dari Sabah dan Sarawak yang masih kabur pada waktu ini. 

Persoalannya di sini, adakah PH mampu untuk mengekalkan atau menambah jumlah kerusi yang mereka ada pada waktu ini di PRU depan? Menilai daripada beberapa PRN dan PRK yang berlangsung di sepanjang pandemik, calon-calon PH sedang semakin kehilangan sokongan rakyat. Misalnya di PRN Johor yang berlangsung pada Mac lalu, PH telah kehilangan sebanyak 200 ribu undi dan membawa kepada kemenangan BN. 

Pada PRU ke 14 lepas, peratusan pengundi yang tinggi telah memberikan kelebihan kepada pembangkang PH untuk menumpaskan BN. Rakyat telah berpusu-pusu ke pusat undi untuk memilih calon PH. Tetapi, selepas melihat pemerintahan PH selama 22 bulan yang angkuh dan tidak menitik beratkan nasib rakyat biasa, rakyat terbanyak mungkin tidak akan mempunyai motivasi yang sama untuk keluar mengundi untuk PH sekali lagi. 

Juga pada PRU lepas, PH telah berjaya memikat sokongan rakyat dan pengundi ‘atas pagar’ dengan janji-janji ekonomi dan politik yang menarik. Tetapi apabila PH mengambil alih kuasa kerajaan, mereka bukan sahaja gagal untuk menunaikan janji, malah pucuk pimpinan PH telah memperkecilkan manifesto PRU mereka sendiri. Rakyat yang sering tertipu dengan janji-janji kosong dari ahli politik tidak akan teruja untuk mengulangi kesilapan yang sama dan boleh memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam proses pemilihan kali ini. 

PH juga berada dalam krisis politik dalaman yang berpanjangan, sama seperti parti-parti lain seperti UMNO. PKR misalnya sudahpun mengalami perpecahan dan melihat sebahagian daripada ahli Parlimen mereka keluar dan sertai Bersatu, atau kekal bebas. Akibat pertengkaran untuk merebut kerusi, PH juga masih belum berjaya melakukan sebarang koalisi PRU dengan beberapa parti-parti kecil seperti PSM dan MUDA. 

PAS dan Bersatu

Di bawah kepimpinan Mahathir sebagai PM, Parti Bersatu telah mendapat kelebihan politik dan telah berjaya mencuri beberapa MP daripada UMNO untuk mengukuhkan posisi politik mereka selepas PRU ke 14 lepas. Tetapi, sejak daripada langkah Sheraton yang membawa masuk UMNO/BN ke dalam kerajaan, bekas PM Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu sedang menjadi semakin lemah. Pertama, mereka hilang pangkat PM apabila digulingkan oleh ahli-ahli Parlimen dan melihat BN mengambil alih kuasa kerajaan. Kemudian, walaupun Muhyiddin mempunyai pengaruh di negeri Johor, parti Bersatu masih gagal untuk meraih sokongan rakyat yang cukup untuk mencabar UMNO di PRN lepas. 

Tambahan pula, rakan koalisi mereka PAS juga sedang dipelawa oleh BN untuk hidupkan kembali koalisi Muafakat Nasional yang pernah membawa kemenangan untuk gabungan BN-PAS di beberapa PRK sebelum ini.

Pastinya beberapa kepimpinan PAS teragak-agak untuk menyertai BN yang masih diselubungi dengan imej korup. Tambahan pula dengan beberapa pemimpin UMNO yang baru-baru ini terlepas dari pertuduhan rasuah, rakyat masih sedang merasa ragu-ragu dengan UMNO. Oleh itu, PAS boleh mengambil keputusan untuk melihat dahulu keputusan PRU yang akan datang sebelum membentuk koalisi dengan BN dan cuba menyelinap masuk ke kerajaan. Walaupun menggunakan retorik agama, PAS juga merupakan parti oportunis yang akan menjalinkan hubungan dengan mana-mana pertubuhan demi merebut pangkat dan posisi politik. 

MUDA

MUDA yang telah meraih 1 kerusi Parlimen di PRN Johor sedang cuba melakukan koalisi PRU dengan PH. Tetapi akibat rebutan kerusi, MUDA dan PH belum lagi mencapai kesepakatan.

MUDA yang merupakan pecahan daripada Parti Bersatu dan dipimpin oleh Syed Saddiq bukanlah sebuah parti yang mampu membawa perubahan kepada situasi ekonomi dan politik negara yang berada dalam krisis berpanjangan. Penubuhan parti ini bertujuan untuk merebut pengundi muda yang baru mendapat hak untuk mengundi dan sedang semakin muak dengan parti-parti politik yang sedia ada. MUDA cuba mengisi vakum politik yang ada dengan retorik-retorik kosong dan penggunaan media sosial sebagai platform kempen politik. 

Selain itu, pegangan parti ini tidak berbeza dengan parti-parti arus perdana lain dan akan pastinya mengecewakan rakyat kelak. Malah pemimpinnya sendiri mempunyai rekod buruk dalam mempertahankan ahli politik yang melompat parti, mempergunakan agenda perkauman untuk menyerang pesaing politik dan sedang berhadapan dengan tuduhan korupsi dari penglibatannya dalam kepimpinan parti Bersatu. 

Oleh kerana umur mengundi di kurangkan dan penggunaan media sosial menjadi lebih penting dalam kempen pilihan raya, parti MUDA mungkin akan berjaya meraih sokongan dan undi daripada beberapa lapisan anak muda, terutamanya dari Pantai Barat. Tetapi, sama seperti parti-parti lain, rakyat akan lambat laun mula mengenali wajah sebenar ahli-ahli politik parti MUDA yang juga mewakili kepentingan golongan kaya dan akan meminggirkan masyarakat miskin. Kepimpinan MUDA sendiri terdiri daripada golongan pemodal dan pemilik perniagaan yang kaya raya dan ini merupakan pertubuhan politik yang mewakili kepentingan orang kaya, bukan rakyat tertindas. 

Selain itu, parti-parti lain daripada BN, PH dan PN juga menyedari kepentingan undi anak muda yang menjadi antara faktor yang menjatuhkan BN dan membawa kejayaan kepada PH di PRU lepas. Masing-masing sedang membawa retorik-retorik untuk menarik sokongan golongan belia, meletakkan calon-calon yang lebih muda dan membuat pelaburan di media-media sosial. Oleh itu, parti MUDA juga boleh menjangkakan persaingan sengit untuk undi anak muda daripada parti-parti lain di PRU akan datang.

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram.

Gerakan Tanah Air

Bekas PM Mahathir Mohammad juga telah mengusahakan satu koalisi politik bernama Gerakan Tanah Air, kononnya untuk mempertahankan agenda masyarakat Melayu. Kepimpinan GTA berhujah bahawa rakyat Melayu tidak mempunyai perwakilan politik yang sah di bawah UMNO, Bersatu ataupun pembangkang PH dan GTA ditonjolkan sebagai pejuang bangsa yang tulen. 

Parti-parti komponen yang membentuk GTA adalah pertubuhan sayap kanan yang ingin mempergunakan patriotisme, nasionalisme dan retorik ketuanan Melayu untuk cuba mendapatkan undi di PRU. Selain itu, gabungan ini juga tidak membawa sebarang program yang merujuk kepada isu-isu yang dihadapi oleh rakyat dan gagal untuk mendapat perhatian rakyat di PRN Johor lalu. Tetapi, parti-parti politik sayap kanan seperti ini boleh mempergunakan retorik perkauman dan berkembang pesat jika krisis ekonomi dan politik negara menjadi semakin tajam, tanpa sebarang alternatif yang munasabah kepada kondisi rakyat yang merosot. 

Parti Sosialis Malaysia

PSM yang mempunyai profil nasional merupakan satu-satunya parti yang mempunyai beberapa program yang progresif untuk rakyat dan mempunyai rekod perjuangan yang baik. Namun, di dalam kekecohan politik dan kemerosotan ekonomi negara, PSM tidak mempunyai kepimpinan yang mempunyai kejelasan perspektif politik untuk berdiri diatas kaki mereka sendiri. Sejak kewujudan mereka sebagai parti politik, PSM telah cuba menjalinkan kerjasama dengan blok pembangkang untuk menentang BN dan kejelasan politik mereka terhenti disana. Juga di dalam PRU 15, PSM tidak mempunyai sebarang posisi yang bebas dan sedang mengharapkan agar pembangkang PH akan memberikan ruang kepada PSM untuk bertanding di beberapa kerusi. 

Kepimpinan PSM dari awal lagi menolak idea untuk membina sebuah alternatif politik bagi rakyat dan menyerah diri kepada PH yang mempunyai pendirian politik yang bertentangan dengan PSM. PH merupakan parti perwakilan neoliberal kapitalis yang mempertahankan penswastaan, melindungi keuntungan perniagaan besar dan menzalimi kelas pekerja dan rakyat biasa dengan polisi-polisi ekonomi yang berat sebelah. Pendirian ekonomi dan politik PH adalah mirip dengan BN, PN atau mana-mana pertubuhan elit lain. 

Realitinya, selepas melihat PH di tampuk kekuasaan untuk 22 bulan, rakyat tidak nampak sebarang perbezaan yang ketara diantara mereka dan kepimpinan PH dan BN sebelum itu. Walaupun rakyat biasa sudah mula menyedari perkara ini, kepimpinan PSM masih teragak-agak untuk mengambil posisi yang jelas dalam persoalan kerjasama dan sokongan mereka terhadap PH. 

Bagi parti-parti yang bergelar kiri atau sosialis, pilihan raya merupakan hanya salah satu arena di mana perjuangan menentang sistem dan perwakilan kapitalisme boleh di bina. Ia bukanlah sebuah arena yang akan membawa perubahan yang keseluruhan kepada rakyat biasa. Sememangnya tidak dinafikan bahawa PSM sangat aktif bergiat dalam menyusun dan memperjuangkan hak rakyat, tetapi malangnya, PSM gagal untuk menghubungkaitkan perjuangan mereka di luar Parlimen dengan intervensi politik mereka di pilihan raya. 

Kompromi dan kerjasama dengan parti-parti kapitalis akan hanya mengelirukan rakyat terhadap hala tuju parti-parti kiri atau sosialis dan akan memberi peluang kepada kelas kapitalis untuk menguatkan cengkaman politik mereka ke atas rakyat biasa. Tambahan pula, kelas pekerja dan rakyat biasa akan menjadi kurang yakin dalam proses-proses politik yang sedia ada dan tidak akan teruja untuk melanjutkan perjuangan mereka di arena ini. 

 

Perspektif Sosialis 

Melihat kepada analisa PRU 15 di atas, adalah jelas bahawa krisis politik yang sedang di alami di negara ini akan terus membelenggu masyarakat pada tahun-tahun yang akan datang. Tidak ada satu pun parti politik yang benar-benar membawa program ekonomi dan politik yang mampu menyelesaikan isu-isu rakyat yang menjadi tumpuan ramai. Apa sahaja yang berlaku di PRU 15 kelak, pastinya krisis politik negara akan berterusan dengan kemerosotan ekonomi yang teruk. Ini kerana tidak ada pertubuhan politik yang disenaraikan di atas mempunyai sebarang solusi yang munasabah untuk mengatasi krisis ekonomi yang akan dihadapi oleh rakyat di tahun-tahun yang akan datang. 

Inflasi global sedang memberi kesan yang besar kepada Malaysia dengan kenaikan harga barangan dan kos perkhidmatan. Kos kehidupan bagi majoriti daripada rakyat juga sudah meningkat mendadak dalam keadaan ekonomi yang tidak menawarkan peluang pekerjaan yang mencukupi. Gaji kelas pekerja tidak meningkat untuk bertahun-tahun lamanya dan hak mereka tidak berubah untuk bedekad-dekad. Malah hak untuk pekerja ‘gig’ sedang semakin merosot bagi membolehkan kelas kapitalis untuk membuat keuntungan lumayan. Dalam situasi ekonomi yang merudum, kelas majikan dan pemilik perniagaan kaya sedang meningkatkan penindasan mereka ke atas kelas pekerja untuk memeras segala sedikit keuntungan yang boleh dijana. 

Di bawah kepimpinan BN, PH dan PN, rakyat biasa masih akan merana dan menghadapi beban-beban ekonomi yang serupa. Tambahan pula, semua parti perwakilan politik elit ini juga telah memastikan bahawa keuntungan golongan kaya tidak terhakis walaupun majoriti daripada rakyat biasa sedang menjadi miskin. Oleh itu, walaupun pada waktu pandemik yang mengheret jutaan rakyat ke arah kemiskinan, Malaysia masih melihat peningkatan dalam bilangan bilionair dan kadar keuntungan bagi golongan kaya. Maka, kerajaan campuran yang terdiri daripada parti-parti yang sama juga masih akan membawa kepada situasi malap bagi majoriti penghuni negara.  

Ahli-ahli politik arus perdana yang wujud langsung tidak boleh membawa sebarang penambahbaikan kepada taraf kehidupan rakyat yang sedang merosot. Perkara ini juga sudah mula disedari oleh sebahagian daripada pengundi yang mungkin akan memilih untuk tidak keluar mengundi pada hari PRU. Seperti di PRU 14, juga boleh wujud kumpulan-kumpulan anak muda yang membawa idea untuk membuang undi rosak bagi menyatakan kekesalan dan kemarahan mereka ke atas semua pertubuhan dan koalisi politik yang wujud. 

Akan tetapi, langkah-langkah tersebut tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian yang dicari oleh rakyat. Penurunan peratusan pengundi akan hanya memberikan ruang kepada pertubuhan politik yang sedia ada untuk mendeklarasi kemenangan tanpa penyertaan daripada sebahagian daripada populasi. Ini sememangnya berlaku di setiap pilihanraya yang dianjurkan setakat ini. Bukan sekadar itu, pengurangan peratusan pengundi juga boleh memberikan kelebihan kepada parti-parti sayap kanan yang akan cuba untuk memecahkan perpaduan di kalangan rakyat bagi mencapai cita-cita politik masing-masing. Ini akan mewujudkan vakum politik yang boleh menjadi rebutan mana-mana pertubuhan yang rakus dan korup. 

Pada waktu ini, rakyat yang sedang kehilangan harapan memerlukan sebuah kepimpinan politik yang membawa alternatif kepada sistem ekonomi dan politik kapitalisme yang gagal untuk menyelesaikan segala krisis yang sedang dihadapi oleh rakyat setakat ini. Perwakilan politik yang ingin mempertahankan sistem kapitalisme tidak akan berupaya untuk membawa sebarang perubahan yang terjamin kerana sistem itu sendiri sedang merosot di skala dunia.

Oleh itu, anak muda, kelas pekerja dan rakyat yang tertindas harus berganding bahu dan membina sebuah pertubuhan politik yang bukan sahaja mampu memimpin perjuangan rakyat, malah dapat membawa satu alternatif ekonomi untuk menggantikan sistem kapitalisme yang rakus. Sistem sosialisme mengutamakan keperluan rakyat miskin dan bukannya kehendak kelas kapitalis yang kaya raya. Ia meletakkan kuasa pengeluaran ataupun kuasa ekonomi dan kuasa politik di tangan kelas pekerja dan rakyat biasa, jauh dari pengaruh para pemodal dan pemilik perniagaan besar. 

Walaupun ianya mungkin terlambat untuk menubuhkan sebuah kepimpinan politik yang membawa alternatif sosialisme untuk menceburi PRU ke-15 yang akan datang, ianya masih kekal relevan. Hakikatnya, anak muda dan kelas pekerja yang sedar haruslah melihat menjangkau PRU 15 dan memulakan kerja-kerja pembinaan alternatif politik pada waktu ini. Kempen-kempen yang akan berlangsung dari sekarang menuju ke tarikh PRU boleh memberikan platform kepada anak muda dan kelas pekerja untuk membawa idea mereka untuk menubuhkan kuasa politik alternatif kepada pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada.

Tahun-tahun yang akan datang akan menyaksikan pertembungan di antara perjuangan rakyat dan pertubuhan politik yang mempertahankan sistem ekonomi kapitalisme. Dalam situasi sekarang, semua pertubuhan politik arus perdana sedang menjadi lemah dengan perpecahan dalaman dan krisis ekonomi yang tidak boleh di kawal. Oleh itu, kelas pekerja dan rakyat biasa akan terus mendapat peluang untuk membina perwakilan politik yang membawa tuntutan rakyat dan idea sosialisme untuk mencabar pertubuhan kelas kapitalis. 

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top