Amerika Latin terus dilanda wabak pandemik Covid-19 dan tidak terlihat akan penghujungnya. Sejak ketibaan penjajah daripada Sepanyol dan juga Portugal di rantau Amerika Latin dan juga kepulauan Carribean, kematian seramai 1,300,000 ini kemungkinan besar adalah angka kematian yang terburuk di alami di keseluruhan rantau tersebut,. Jumlah kematian yang paling teruk adalah di Brazil iaitu seramai 524,000 disebabkan kegagalan kerajaan populis sayap kanan di bawah Jair Bolsonaro. Manakala di Peru pula, jumlah 193,000 adalah angka kematian yang tertinggi di dunia berbanding jumlah penduduk secara keseluruhan.

Krisis kesihatan ini memberi impak yang membinasakan terhadap ekonomi serantau dan telah menghumban berjuta-juta rakyat ke lembah kemelaratan dan kemiskinan. Tahun 2020 menyaksikan KDNK serantau jatuh menjunam sebanyak 7% dan menyebabkan berjuta rakyat menjadi lebih miskin – dengan anggaran sebanyak 250 juta. Malah di Brazil sahaja, dianggarkan seramai 18 juta menjadi miskin pada tahun lepas, manakala di Chile anggaran laporan jumlah rakyat yang jatuh miskin adalah seramai 2.5 juta. Tahun 2020 juga menyaksikan kebangkitan gelombang revolusioner ke seluruh benua – dengan berlangsungnya mobilisasi massa dan radikalisasi politik kiri di kebanyakan negara. Kendatipun begitu, terdapat juga elemen-elemen kontra-revolusi yang berlaku pada masa yang sama.

Pada bulan April, kita menyaksikan permulaan gerakan revolusioner di Colombia dan telah pun bertahan selama dua bulan. Gerakan yang melibatkan mogok umum dan protes massa ini telah menggerakkan berjuta-juta pekerja, orang asli, anak muda dan lain-lain bagi mengugut untuk menggulingkan kerajaan Ivan Marquez yang melalui kegagalannya, telah membunuh rakyat sendiri. Kerajaan Colombia terpaksa memberi konsesi berkenaan cukai yang telah dirancang tetapi turut membalas dengan serangan yang kejam – menembak lebih daripada 40 pemogok dan lebih 100 rakyat telah pun ‘hilang’ tanpa sebab.

Bulan yang sama juga, protes massa dan mogok umum turut berlaku di Chile yang menuntut agar pekerja dibenarkan untuk mengeluarkan wang sebanyak 10% daripada dana pencen mereka bagi kelangsungan hidup. Protes yang turut menewaskan kerajaan pimpinan Pinera juga kemudiannya menjurus kepada kekalahan bagi parti-parti tradisional dan sayap kanan melalui Konvensyen Perlembagaan pada bulan seterusnya. Di antara 155 ahli konvensyen yang dipilih, golongan sayap kanan Vamos Chile hanya mendapat 37 kerusi manakala golongan kanan pertengahan Concertacion pula hanya mendapat 25 kerusi. Pilihanraya yang mengakibatkan penulisan semula akan perlembagaan negara mereka merupakan hasil daripada gelombang revolusioner yang berlaku pada tahun sebelumnya. Secara keseluruhan, kita dapat lihat kemenangan pilihanraya ini berpihak kepada golongan kiri dan ini termasuklah sekelompok ‘independen’ yang telah memenangi beberapa kerusi seiring dengan Parti Komunis. Tidak lupa juga, jumlah golongan yang tidak mengundi juga adalah signifikan iaitu sebanyak 44%.

Kemudian pada bulan Jun, kelas kapitalis di Peru telah mengalami kekalahan yang besar apabila calon kiri, iaitu Pedro Castillo, menang tipis pada pilihanraya presiden dan mengalahkan Keiko Fujimori. Dia merupakan anak perempuan kepada bekas diktator Alberto Fujimori yang telah dipenjarakan berikutan kes korupsi dan turut bertanggungjawab dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di La Cantuta dan juga Barrios Altos. Tidak lupa juga, protes besar-besaran turut berlangsung di Argentina, Paraguay, Uruguay dan negara-negara lain termasuklah Haiti, di mana tercetusnya kebangkitan massa dan bermulanya perjuangan untuk menumpaskan kerajaan sedia ada.

Kerajaan Bolsonaro berada di ambang krisis

Di kala gelombang kebangkitan ini sedang tersebar ke seluruh benua, Brazil yang tidak terkecuali juga terjerumus ke dalam kekacauan dan pergolakan politik, apabila Bolsonaro menghadapi krisis yang terbesar sejak berada di tampuk kekuasaan. Krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang berlangsung kini merupakan serangan yang hebat terhadap rejimnya. Beberapa ahli saintis berhujah bahawa di antara jumlah 500,000 rakyat yang mati disebabkan oleh Covid-19, hampir 400,000 rakyat sebenarnya dapat diselamatkan jika pihak kerajaan tidak menafikannya. Ada pula keputusan pihak kehakiman untuk membebaskan Luiz Inacio Lula da Silva daripada penjara iaitu bekas presiden kiri dari tahun 2003 ke 2010 yang dijatuhkan hukuman berikutan kes rasuah juga menjadi tamparan yang hebat kepada rejim Bolsonaro. Dalam tinjauan pendapat, didapati Lula dari Parti Pekerja (PT) mengalahkan Bolsonaro dalam jumlah majoriti yang besar bagi pilihanraya presiden yang akan datang pada tahun 2022. Protes besar-besaran telah berlangsung di keseluruhan negara Brazil untuk menentang Bolsonaro. Protes ini disemarakkan lagi dengan pendedahan pendakwaan korupsi terhadapnya. Perkembangan seperti ini dan juga dengan apa yang sedang berlaku di negara-negara lain, merupakan gelombang radikalisasi dan perjuangan revolusioner terbaru yang sedang berlaku di hampir kesemua rantau Amerika Latin. Penentangan terhadap rejim populis sayap kanan dan ekstrem kanan yang sedang berlaku kini merupakan proses yang signifikan.

Bagi beberapa negara di benua tersebut, kuasa kerajaan yang berada di bawah pemimpin sayap kanan tidak mewakili kecenderungan ideologi kanan yang kuat. Sokongan undi terhadap mereka merupakan reaksi kepada kegagalan kerajaan-kerajaan kiri sebelumnya, yang mana pernah menjadi sebahagian daripada ‘gelombang merah jambu’- sebuah gerakan protes massa yang meliputi keseluruhan benua pada sebelum ini, namun pimpinan mereka gagal untuk memisahkan kuasa daripada kapitalisme melalui pendekatan demokratik sosialisme yang benar-benar revolusioner. Kerajaan kiri sebelum ini seringkali terlibat diri di dalam skandal rasuah dan rakyat melihat kerajaan kiri sedia ada juga berpihak kepada kelas penguasa yang kian lama bertapak di bumi mereka. Melalui penggunaan retorik yang bersifat populis, golongan sayap kanan berjaya mendapatkan sokongan undi buat sementara waktu. Pada masa yang sama, terutamanya di Brazil, mereka seringkali melibatkan organisasi pelampau kanan dan fasis, dan ini termasuklah kumpulan paramilitari.

Rakyat kebanyakan di Brazil menjadi mangsa kemenangan Bolsonaro. Kelas penguasa Brazil telahpun hilang kawalan mereka terhadap institusi politik dan kerajaan. Krisis yang sedang berlaku di bawah sistem kapitalisme di Brazil menjadi lebih teruk di bawah pimpinan rejim sedia ada. Bolsonaro tidak pernah menjadi pilihan bagi majoriti kelas penguasa di sana. Namun begitu, Parti Pekerja dibawah pimpinan Dilma Rousseff, yang mengambil kepimpinan presiden selepas Lula pada tahun 2011 turut tercemar dengan pelbagai jenis skandal. Pada masa yang sama, sokongan terhadap parti-parti kapitalis tradisional juga semakin hilang sokongannya. Protes besar-besaran yang menggerakkan berjuta-juta rakyat ke jalanan pada tahun 2013 – yang tercetus berikutan kenaikan kadar tambang pengangkutan menunjukkan kemarahan yang telah pun wujud pada waktu itu. Kemarahan yang membara pada waktu itu tidak hanya ditujukan kepada satu parti politik saja, namun kepada semua parti-parti dan institusi politik sedia ada.

Dengan itu, kekosongan pimpinan sewaktu itu telah membenarkan Bolsonaro mengambil alih kepimpinan kerajaan dengan alasan untuk ‘menyelamatkan negara’ dan ‘memulihkan keadaan seperti sebelumnya’. Bolsonaro adalah sosok seakan Trump yang kuat mengambil steroid. Malah dia secara terbuka menyokong kediktatoran tentera yang menguasai Brazil pada tahun 1964 sehingga 1985 dan satu-satunya kritikan yang ditujukan adalah rejim tersebut ‘tidak membunuh rakyat secukupnya’ dan gagal untuk menghancurkan gerakan kiri! Dari awal lagi, kerajaan di bawah pimpinan Bolsonaro telah berpecah belah dan terpisah. Pada 2018, sejurus selepas dia memenangi kerusi mewakili Social Liberal Party yang bersifat konservatif, Bolsonaro membuat keputusan untuk keluar dari parti tersebut dan secara keseluruhan dia pernah menjadi ahli bagi lapan parti!

Dengan lebih teruk lagi, korupsi keseluruhan sistem politik dan ekonomi yang wujud telah didedahkan melalui operasi Lava Jato (Car Wash). Ianya menunjukkan bagaimana jaringan korupsi yang tersusun ini melibatkan syarikat minyak Petrobras, parti-parti politik dan jentera kerajaan – sekaligus menampakkan bagaimana berjalannya aturan kapitalisme di Brazil secara umum. Berbilion-bilion AS dolar terlibat di dalam kes ini. Hakim yang mengetuai kes ini, Sergio Moro menjadi terkenal apabila dia menangkap dan memenjarakan beberapa sosok ahli perniagaan yang ternama dan juga ahli-ahli politik. Moro mempamerkan dirinya sebagai sosok yang tidak politikal. Namun apabila siasatan diteruskan, Moro telah menggunakan kaedah yang tidak demokratik dan berpakat dengan pihak pendakwa sebelum berlangsungnya sesi pendengaran di mahkamah. Dia kemudiannya mengetuai dakwaan untuk menghukum Lula, yang kemudiannya dipenjarakan dan akibat daripada itu, Lula tidak dibenarkan untuk mencabar Bolsonaro pada pilihanraya presiden sebelum ini. Moro yang dilihat tidak politikal ini dipilih sebagai menteri undang-undang di bawah Bolsonaro dengan skop kuasa yang besar, sehingga kedua-duanya gagal dan Moro terpaksa diberhentikan.

Dari satu krisis ke satu krisis, rejim Bolsonaro tetap tekad untuk memegang tampuk kekuasaan yang ada. Walaupun tinjauan pendapat menunjukkan rejim tersebut mendapat sokongan yang rendah, namun tidak mustahil Bolsonaro akan cuba menggunakan pihak ketenteraan untuk melakukan kudeta jikalau dia akan hilang kuasa ataupun mulai rasa tercabar dengan prospek kekalahan di pilihanraya. Walaupun Panglima Besar Tentera telah meletakkan jawatannya sebagai protes terhadap pimpinan Bolsonaro, namun pimpinannya masih mempunyai sokongan di kalangan angkatan tentera. Ugutan Bolsonaro terhadap pihak pembangkang agar tidak melampaui batas dan supaya dia tidak tergerak untuk melakukan kudeta telah mendapat sambutan dan turut disuarakan oleh beberapa pihak di dalam angkatan tentera. Di kala ini, golongan pelampau kanan yang berada di belakang Bolsonaro juga sedang takut akan gerakan protes sosial yang sedang berkembang di sana. Jeneral Luiz De Mattos, ketua mahmakah tinggi tentera juga telah menuduh pihak pembangkang sebagai golongan pelampau dan penghalang kepada pimpinan Bolsonaro. Dia juga memberi amaran akan ‘titik pecah’ yang hampir tiba. Justeru, prospek akan cubaan kudeta tidak patut diambil mudah, walaupun sebahagian besar kelas penguasa di Brazil menentang pimpinan Bolsonaro dan inginkan dia untuk meletak jawatan. Kalaupun wujudnya cubaan kudeta tersebut, sudah pasti ia akan mencetuskan penentangan dan gelombang perjuangan yang lebih besar. Jangkaan akan hal ini juga bermakna bahawa sebahagian besar kelas penguasa akan cuba untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku. Namun begitu, situasi objektif telah pun membuktikan bahawa mereka tidak dapat mengawal rejim Bolsonaro.

Perkembangan drastik yang bersifat seperti ini di Amerika Latin dan juga negara yang terbesar dan terkuat di rantau tersebut pastinya akan memberi impak yang besar terhadap benua Amerika Latin dan juga di seluruh dunia. Tambahan lagi, Amerika Latin sudah pun berada di dalam ekonomi krisis sebelum berlangsungnya pandemik Covid 19. Wabak pandemik yang sedang berlangsung ini telah mempercepatkan dan memburukkan lagi krisis yang sedang berlaku.

Krisis hutang di Argentina

Argentina sedang menuju ke situasi yang teruk disebabkan krisis yang sedang berlaku. Ekonomi negara ini telah pun mengecil sebanyak 10% pada tahun 2020 – yang merupakan tahun ketiga kemelesetan ekonomi di sana. Empat daripada sepuluh rakyat Argentina sedang hidup di dalam keadaan yang miskin. Berikutan keadaan stagflasi, kerajaan Peronist di bawah pimpinan Alberto Fernandez sedang berpecah belah dan berada di dalam keadaan huru-hara bagi memikirkan cara untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku. Hal ini termasuklah krisis hutang luar negara yang berjumlah besar – iaitu 45 bilion AS dolar hanya kepada IMF sahaja. Disebabkan itu, bekas kerajaan sayap kanan iaitu Macri yang berurusan dengan IMF telah melaksanakan langkah penjimatan yang menindas rakyat kebanyakkan dan ini secara langsung telah mencetuskan beberapa siri mogok umum dan membuka jalan bagi golongan Peronist untuk mengambil alih kuasa. Namun mereka juga sedang menghadapi krisis politik dan sosial yang mendalam.

Kerana takut akan mencetuskan lagi gerakan sosial yang besar dan kebarangkalian akan gagalnya proses pembayaran hutang dan impaknya yang besar ke seluruh dunia, pihak IMF dengan ‘Paris Club’ kini sedang mengambil pendekatan yang sederhana terhadap langkah pembayaran semula hutang tersebut. Hutang Argentina kepada IMF adalah yang terbesar di dunia setakat ini. Tuntutan untuk tidak membayar hutang luar negara yang memudaratkan ini, seiring dengan tuntutan untuk memiliknegarakan bank-bank di bawah pengurusan dan kawalan pekerja adalah salah satu tuntutan utama yang perlu dituntut oleh golongan sosialis revolusioner di Amerika Latin.

Keperluan untuk parti dan organisasi pekerja yang baru.

Persoalan yang penting bagi kelas pekerja dan anak muda pada hari ini adalah bagaimana perjuangan ini dapat menang ke arah sosialisme; bagaimana rejim yang korup ketika ini dan juga sistem kapitalisme yang mendukungnya dapat dikalahkan. Walaupun gelombang revolusioner kini sedang berlangsung ke seluruh benua, namun tidak dapat dinafikan terdapat kekosongan akan kewujudan parti pekerja yang berskala besar. Ketiadaan organisasi demokratik yang mampu melawan dan memimpin perjuangan yang sedia ada, berserta program dan strategi untuk membawa gerakan yang ada kehadapan telah mengakibatkan gerakan-gerakan ini menghilang ataupun semakin lemah.

Permasalahan seperti ini telah ditonjolkan melalui perjuangan rakyat di Chile. Pada tahun 2019, kerajaan Pinera berada dalam keadaan yang tergantung dan dapat saja ditumpaskan, namun disebabkan kurangnya organisasi yang wujud di dalam gerakan tersebut, berserta program untuk membawanya kedepan, kerajaan Pinera telah berjaya diselamatkan pada hujung tahun melalui persetujuan penulisan semula perlembagaan yang baru dan lebih damai sifatnya dan disokong oleh sebahagian besar blok politik di kongres. Namun begitu, gerakan sosial yang sedia ada masih belum dikalahkan sepenuhnya – ianya hanya dalam keadaan yang sedang merosot. Walaupun dalam bentuk yang tempang sifatnya, Pilihanraya Konvensyen Perlembagaan baru-baru ini merupakan hasil kepada perjuangan gerakan massa yang sedang berlangsung. Namun kekosongan masih wujud di dalam konvensyen tersebut. Kegagalan konvensyen untuk memuaskan tuntutan gerakan massa pastinya akan membangkitkan semula gerakan tersebut dan akan menjurus kepada persoalan yang lebih jelas akan keperluan untuk membina organisasi dan perwakilan suara kelas pekerja yang merangkumi polisi sosialis yang bersifat revolusioner.

Di Colombia, gerakan massa mulai mengambil bentuk yang lebih tersusun melalui jawatankuasa mogok nasional (NCP), merangkumi beberapa kesatuan sekerja dan juga mahasiswa. Malangnya, gerakan ini dihambat oleh pimpinan kesatuan sekerja sedia ada. Jawatankuasa mogok dan pembela yang telah dibentuk perlu bekerjasama di dalam perhimpunan kebangsaan yang lebih luas dan diwakili oleh delegasi terpilih untuk bersetuju akan rencana untuk menjatuhkan kerajaan dan menggantikannya dengan kerajaan yang diwakili oleh pekerja, petani, orang asli dan rakyat termiskin. Tetapi hal ini tidak berlaku disebabkan pimpinan NCP yang telah memberhentikan protes tersebut.

Keperluan organisasi yang mandiri dan program kelas pekerja adalah penting bagi menjayakan gelombang radikalisasi politik yang baru ini. Tekanan untuk mencapai persetujuan di kalangan golongan kelas kapitalis yang dikatakan progresif dan demokratik telah muncul kembali di dalam gerakan-gerakan ini, menyebabkan parti-parti dan pimpinan kiri berkompromi akan program yang bekerjasama dengan mereka. Kesatuan di kalangan rakyat massa yang terdiri daripada pekerja, anak muda dan kesemua yang ditindas di bawah kapitalisme adalah suatu keperluan. Namun ini sama sekali tidak sama dengan tindakan berkompromi bersama golongan liberal kapitalis yang akan menghalang gerakan tersebut.

Di Brazil, salah satu pemimpin PSOL (Socialism and Liberty Party) iaitu Marcelo Freixo, telah keluar daripada parti yang ditubuhkannya pada tahun 2005. Dia telah menyertai Brazilian Socialist Party – sebuah parti pro kapitalis dan menyatakan bahawa pilihanraya yang akan datang tidak lagi berteraskan persoalan “kiri menentang kanan, tetapi lebih kepada persoalan peradaban menentang barbarisme”. Dia berhujah bahawa dia perlu meninggalkan parti tersebut bagi menarik sosok sayap kanan yang menentang Bolsonaro, dan menambah bahawa PSOL pada akhirnya akan turut serta dalam aliansi sayap kanan bagi menentang Bolsonaro. Di dalam kempennya untuk posisi gabenor di Rio, Freixo mencalonkan Raul Jungman, bekas menteri pertahanan dan keselamatan awam di bawah pimpinan kerajaan sayap kanan Michel Temer sebagai penasihat perihal penguatkuasaan undang-undang.

CWI menyokong PSOL untuk bertanding di dalam pilihanraya presiden dan berjuang bagi posisi kelas yang mandiri, bagi bersiap sedia untuk membina kekuatan ke arah perubahan sosialis sebagai alternatif utama. Pada tahap kedua pilihanraya akan datang, yang kemungkinan besar di antara Lula dan Bolsonaro, sebuah undi menentang Bolsonaro merupakan suatu hal yang perlu.

Kejayaan Castillo di Peru dan perkembangan parti yang menyokongnya – Peru Libre, yang berteraskan “Marxisme dan Leninisme” telah menakutkan kelas penguasa. Namun persoalan yang penting kini adalah sejauh mana Castillo akan mengambil langkah yang perlu bagi menghancurkan kapitalisme. Walaupun pilihanraya ini mewakili sebuah langkah yang kehadapan, namun sewaktu kempen berlangsung. dia ‘menyederhanakan’ programnya. Sejak pilihanraya itu, penasihat ekonominya telah berhujah bahawa kerajaan di bawah pimpinan Castillo akan tetap menghormati pasaran bebas dan juga pembayaran semula hutang luar negara. Manakala di Chile pula, dengan harapan untuk menjadi calon presiden yang akan datang, segelintir pihak kepimpinan Parti Komunis di Chile telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menentang apa-apa bentuk pemiliknegaraan.

Kejayaan Castillo akan membuka lembah baru di dalam perjuangan massa di Peru dan prospek gerakan massa akan memaksanya untuk mengambil langkah yang lebih radikal dan terus menyerang kapitalisme. Namun, jika program untuk memisahkan diri daripada kapitalisme ini tidak dilakukan, ianya akan memberi masa dan peluang bagi golongan sayap kanan untuk mengumpul kekuatan yang ada dan menyerang semula. Di Bolivia contohnya, Morales gagal untuk melepaskan diri daripada kapitalisme dan dengan itu, telah disingkirkan melalui kudeta. Ini kemudiannya menyebabkan kerajaan di bawah pimpinannya terpaksa meletakkan jawatan mereka. Ini merupakan amaran yang jelas kepada Castillo. Walaupun pilihanraya tahun lepas, menyaksikan parti Morales MAS mendapat kembali kuasanya di Bolivia, namun ianya masih bergerak di bawah kapitalisme – kali ini tanpa adanya kelebihan ekonomi yang pernah wujud sebelum ini.

Adalah hal yang penting juga untuk gelombang kebangkitan yang sedang berlaku ini mempelajari dan mengambil iktibar daripada ‘gelombang merah jambu’ yang pernah berlangsung sebelum ini. Kebangkitan revolusioner sebelum ini mencapai tahap kemuncaknya di Venezuela, Bolivia dan juga Ecuador. Namun kegagalan untuk menghancurkan kapitalisme secara total dan begitu juga melalui keadah top-down, birokratik dan juga korup –  pimpinan kerajaan dalam negara-negara tersebut telah memainkan peranan selaku brek terhadap gerakan sosial tersebut dan ini kemudiannya mengakibatkan kemudaratan ekonomi dan sosial yang ketara, terutamanya di Venezuela dan juga Ecuador. Di Ecuador pula, situasi ini telah memberi peluang kepada golongan sayap kanan untuk mendapatkan kuasa buat seketika waktu. Venezuela, seperti negara-negara yang lain, termasuklah sebahagian daripada Mexico – sedang menghadapi perpecahan dan kehancuran sosial apabila berjuta-juta rakyat dipaksa berpindah keluar daripada negara mereka. Tidak dinafikan sekatan yang dilakukan oleh AS terhadap Venezuela dan juga Cuba di bawah pimpinan Joe Biden turut menerukkan lagi keadaan di sana. Walaupun begitu, kesemua ini dapat diatasi jika kapitalisme dapat dihancurkan dan sebuah sistem kawalan dan pengurusan kelas pekerja secara demokratik dapat dilaksanakan dan dapat digunakan untuk meyakinkan kesemua kelas pekerja di benua tersebut.

Keperluan untuk gerakan kelas pekerja yang sedar secara politik akan kawalan di bawah kelas pekerja secara demokratik adalah penting untuk membina parti pekerja massa yang membawa polisi sosialis bagi menghancurkan kapitalisme. Kaedah yang bersifat birokratik bukanlah cara yang perlu bagi mencapai revolusi sosialis. Pilihanraya di Nicaragua menjadi contoh kepada kerosakan keadah birokratik yang dilaksanakan. Revolusi Sandinista pada tahun 1979 telah menumpaskan kediktatoran Somoza, namun revolusi tersebut tidak berpisah sepenuhnya daripada kapitalisme dan menggunakan kaedah pengurusan yang birokratik. Beberapa sosok daripada lapisan kepimpinan, khususnya Daniel Ortega telah pergi ke sayap kanan. Walaupun dikalahkan oleh Violeta Charmorro pada tahun 1990, dia berjaya mendapatkan kuasa semula pada tahun 2006 dan melakukan persetujuan dengan Gereja Katolik Roman. Dia kini menguasai negara Nicaragua dan membina dinastinya sendiri bersama-sama isterinya sebagai timbalan presiden. Kebangkitan rakyat yang berlaku pada tahun 2018 di sana pula ditindas secara kejam. Penangkapan pihak pembangkang, termasuklah golongan Sandinista pada pilihanraya itu telah menjadikan rejim Ortega menjadi Somoza versi kedua. Proses yang sama juga sedang mencengkam Venezuela di bawah pimpinan Maduro.

Gelombang perjuangan dan radikalisasi politik yang baru ini akan menimbulkan persoalan akan keperluan untuk membina parti politik massa kelas pekerja dengan program sosialis revolusioner. Di Argentina, parti-parti yang berteraskan idea-idea Trotsky di bawah organisasi FIT (Workers’ Left Front) telah memenangi sokongan undi yang signifikan. Namun begitu, untuk membentuk kekuatan massa yang sebenarnya ia memerlukan sokongan jutaan kelas pekerja yang masih mengundi pihak Peronist atas dasar kesetiaan. Ini memerlukan sebuah pendekatan dan keadah yang tidak sektarian. Sehinggalah persoalan krisis kepimpinan ini dapat diselesaikan, ketiadaan parti sosialis yang berpaksikan kekuatan kelas pekerja berserta program yang revolusioner akan membuka prospek yang menghambat perjuangan dan kebangkitan sedia ada – iaitu perjuangan di antara kekuatan revolusi dan juga kontra-revolusi.