Aksi Piket Pekerja HSBC – Perjuangan Kelas Pekerja Sedang Berkembang Di Era ‘Malaysia Baru’!

Aksi Piket Pekerja HSBC – Perjuangan Kelas Pekerja Sedang Berkembang Di Era ‘Malaysia Baru’!

Posted by

Sejak bulan Mac lalu, para pekerja Hong Kong Shanghai Bank (HSBC) dibawah kepimpinan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) sedang melancarkan sebuah kempen nasional untuk mempertahankan hak mereka. Majikan HSBC didapati menganiaya para pekerja terutamanya pekerja bergaji rendah, melanggar penetapan Persetujuan Kolektif (CA) dan cuba untuk menghancurkan Kesatuan Sekerja (union busting). Melalui perjuangan ini, para pekerja telah mendedahkan pelbagai jenis penindasan yang dilakukan oleh majikan HSBC seperti memotong faedah kesihatan pekerja, menipu pembayaran bonus bagi pekerja bergaji rendah, menghentikan kenaikan gaji tahunan, melanggar perjanjian tahun 2010 dan banyak lagi. Majikan HSBC yang merupakan bank asing terbesar di Malaysia sedang mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit setiap tahun sambil meningkatkan eksploitasi dan penindasan terhadap pekerja yang bertungkus-lumus mewujudkan keuntungan tersebut.

Di bawah kepimpinan NUBE, para pekerja telah menganjurkan beberapa aksi piket di hadapan pejabat HSBC di negeri Pulau Pinang, Perak, Johor, Terengganu dan di Kuala Lumpur yang telah menarik beratus-ratus pekerja untuk turun memperjuangkan hak mereka. Walaupun perjuangan ini sudah berterusan untuk hampir 2 bulan, tiada sebarang tanda-tanda kelesuan dari kalangan para pekerja dan setiap aksi baru mendapat sokongan yang padu. Sebenarnya akar perjuangan ini bermula sejak 2016 lagi apabila majikan enggan berunding untuk membentuk Persetujuan Kolektif yang munasabah di mana beberapa piket telah dilancarkan pada akhir 2018. Sehingga ke hari ini, pihak majikan terus bertegas dan tidak ingin memberikan sebarang konsesi kepada para pekerja.

Walaupun NUBE merupakan antara kesatuan sekerja yang sangat aktif memperjuangkan hak pekerja di Malaysia dan telah melancarkan kempen perjuangan menentang syarikat-syarikat gergasi seperti CIMB, Maybank dan Bank Muamalat, perjuangan pekerja HSBC merupakan pengalaman unik di era ‘Malaysia baru’ di bawah kerajaan PH. Akan tetapi, NUBE dan seramai lebih 1000 ahli mereka yang berkerja dengan HSBC, masih tidak mendapat sebarang sokongan atau intervensi dari pihak kerajaan. Sebaliknya, pihak Kementerian Sumber Manusia dan ahli-ahli parlimen termasuk dari pihak pembangkang, memilih untuk mendiamkan diri dan tidak mengendahkan perjuangan pekerja yang sedang berpanjangan untuk bertahun-tahun lamanya.

Bukan sekadar pekerja industri bank, pekerja dari industri lain juga sedang menghadapi masalah yang sama di mana kondisi kehidupan mereka sedang semakin merosot walaupun produktiviti dan keuntungan bagi pihak majikan terus meningkat. Perubahan kerajaan tidak memberikan sebarang kesan positif bagi jutaan rakyat Malaysia dan layanan yang sama sedang diterima tidak kira di bawah rejim BN atau PH.

Sepertimana kerajaan BN sebelum ini, kerajaan PH juga hanya mementingkan kebajikan pihak majikan berbanding dengan rakyat dan perkara ini tercermin dalam bajet 2019 dan polisi-polisi ekonomi semenjak pilihanraya tahun lepas. Ini merupakan asas kepada perjuangan kelas pekerja yang sedang meningkat di pelbagai industri termasuk perjuangan menuntut gaji minimum yang adil dikalangan para pekerja. Bersama dengan pekerja bank HSBC, para pekerja AIROD (syarikat penyelenggaraan pesawat) juga sedang melancarkan aksi piket untuk mempertahankan hak mereka. Seperti ini, kita boleh menganggarkan lebih banyak lagi perjuangan yang akan berkembang apabila saki baki harapan pekerja ke atas kerajaan baru ini mula terhakis.

Oleh itu, para pekerja yang sedang berada di dalam medan perjuangan pada waktu ini harus menyedari bahawa di samping membina perjuangan kelas pekerja, kita juga harus terlibat dalam perjuangan untuk membina kepimpinan politik bagi kelas pekerja secara keseluruhan. Selagi para pekerja gagal untuk membina sebuah kepimpinan politik yang membawa tuntutan dan program yang mewakili aspirasi jutaan pekerja, selagi itulah hala tuju ekonomi dan polisi negara akan selalu berpihak kepada kelas majikan yang memiliki segala alat produksi. Tidak ada sebarang alternatif politik di dalam mahupun di luar kerajaan yang benar-benar mewakili aspirasi majoriti kelas pekerja dan alternatif tersebut haruslah diusahakan secara demokratik oleh kepimpinan pekerja itu sendiri.

Kami dari Sosialis Alternatif ingin menyatakan solidariti dan sokongan terhadap perjuangan pekerja HSBC, AIROD dan semua pekerja yang sedang berjuang menentang kezaliman majikan. Pada masa yang sama, kami juga menggesa kepimpinan untuk meneruskan perjuangan ini dengan membina sokongan dari kalangan semua kelas pekerja di Malaysia dengan mengangkat tuntutan mereka. Peningkatan dalam perjuangan di kalangan kelas pekerja Malaysia ini haruslah diambil sebagai titik tolak untuk membina keahlian dan kesatuan yang lebih kukuh dan bersifat juang. Kepimpinan yang terbina dari gabungan para pekerja akan memberikan kuasa sosial dan ekonomi yang mampu menjadi kuasa politik yang benar-benar mewakili aspirasi kelas pekerja dan majoriti rakyat terbanyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*