Adakah wajar untuk meningkatkan umur persaraan bagi kelas pekerja?

Adakah wajar untuk meningkatkan umur persaraan bagi kelas pekerja?

Posted by

Berikutan pengumuman belanjawan 2020, beberapa isu pekerja menjadi perbincangan dan perdebatan di kalangan pertubuhan pekerja dan badan-badan kerajaan. Antara isu yang hangat di bincangkan adalah berkaitan dengan had umur persaraan bagi pekerja di Malaysia yang menjadi tumpuan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) dan pada waktu ini sedang membuat kempen untuk menyeru kepada pihak kerajaan supaya umur persaraan pekerja di tingkatkan dari 60 ke 65 tahun.

Tuntutan MTUC untuk meningkatkan umur persaraan adalah disebabkan oleh masalah yang sedang dihadapi oleh para pekerja yang sudah berusia untuk meneruskan kehidupan mereka dengan selesa. Gaji minimum atau gaji asas yang sedikit dan kos kehidupan yang meningkat sedang memberi kesan kepada simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang tidak mencukupi. KWSP seharusnya menampung kehidupan para pekerja pada hari-hari tua mereka yang sudahpun menghabiskan majoriti daripada kehidupan mereka untuk berkerja. Malangnya, akibat kekurangan gaji, kenaikan kos kehidupan, inflasi yang tinggi dan kekurangan dana kebajikan sosial dari kerajaan, para pekerja mendapati bahawa simpanan hari tua mereka serba tidak mencukupi dan terbelenggu dengan beban ekonomi yang sama yang dihadapi seumur hidup. Akibatnya, jutaan para pesara terpaksa sambung berkerja walaupun sudah mencapai umur persaraan yang ditetapkan pada usia 60 tahun pada masa ini. Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang sudah bersara sedang mencari jalan untuk melakukan kerja sambilan pada usia tua mereka semata-mata untuk meneruskan kehidupan yang serba sederhana.

Walaupun begitu, adakah wajar bagi rakyat untuk menanggung beban kerja sehingga ke hujung hayat mereka? Mengikut kajian, purata hayat kaum lelaki di Malaysia adalah 73 tahun dan bagi kaum wanita adalah sekitar 79 tahun. Adakah wajar bagi kebanyakan daripada pekerja yang mula berkerja pada usia awal 20-an untuk meneruskan kerja mereka tanpa mendapat sebarang peluang untuk beriadah dan beristirehat pada usia tua ?

Walaupun pihak MTUC melihat kenaikan umur persaraan sebagai salah satu solusi kepada masalah yang sedang dihadapi oleh jutaan rakyat, ianya hanya bertujuan untuk merawat simptom dan tidak melihat kepada cara untuk menyelesaikan masalah asas yang dihadapi. Menaikkan umur persaraan hanya akan melanjutkan eksploitasi tenaga pekerja, terutamanya dari kalangan yang miskin dan tidak berupaya menyelesaikan isu yang berkaitan dengan kekurangan sokongan sosial dan ekonomi bagi warga emas ini. Umur persaraan di Malaysia sudahpun dinaikkan dari 55 tahun ke 60 tahun dan dijangka akan terus naik seiring dengan purata umur persaraan dunia yang berada pada 62 tahun pada waktu ini. Para pekerja sedang terpaksa menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupan mereka di alam pekerjaan yang secara langsung akan menghadkan masa untuk beriadah dan berehat bersama ahli keluarga mereka dan untuk melakukan aktiviti peribadi dan kemasyarakatan yang akan dapat memberikan kepuasan hidup yang diidamkan semua.

Pada masa yang sama, pihak korporat dan kapitalis kaya sedang mengambil kesempatan terhadap kondisi kehidupan yang merosot untuk meningkatkan eksploitasi mereka terhadap para pekerja. Pekerja yang sudah berusia biasanya sudah mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam sesuatu bidang dan dengan meningkatkan usia persaraan, tenaga kerja mereka terus dipergunakan tanpa sebarang kos tambahan untuk melatih tenaga kerja baru. Tambahan pula, sebahagian besar pekerja dengan gaji yang rendah atau di bawah kategori B40 biasanya tidak menikmati kenaikan gaji yang tinggi dan akan diperas untuk bekerja dengan gaji yang lebih murah. Walaupun kadar pengangguran di kalangan anak muda sedang meningkat di Malaysia dan berjuta-juta tenaga kerja muda sedang dihumban ke dalam sektor-sektor informal dan ekonomi ‘gig’ (foodpanda,grab,dsb), peningkatan usia persaraan hanya akan memudahkan para kapitalis terus meningkatkan keuntungan mereka melalui penindasan pekerja secara umum.

Solusi yang benar-benar akan berpihak kepada para pekerja adalah untuk meningkatkan kebajikan dan sokongan sosial kepada semua pekerja, terutamanya bagi yang sudah berusia. Pihak MTUC yang mewakili suara pekerja harus mengangkat program gaji minimum yang lebih tinggi, kemudahan dan akses kepada kesihatan percuma dan menuntut dana persaraan yang berpatutan dan seiring dengan kenaikan inflasi dan kos kehidupan. Para majikan dan kelas kapitalis yang sedang meraih keuntungan yang sangat tinggi di atas usaha para pekerja haruslah dikenakan cukai yang lebih banyak dan didesak untuk berkongsi kemewahan mereka dengan kelas pekerja yang miskin.

Persoalan kenaikan kebajikan para pekerja adalah sangat berkait rapat dengan pembahagian kekayaan yang tidak adil yang berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. 1% kapitalis kaya sedang menikmati kenaikan kekayaan yang lumayan setiap tahun manakala 99% rakyat yang bertungkus lumus mewujudkan kekayaan tersebut sedang menanggung beban peningkatan kos hidup sehinggakan terpaksa berkerja untuk menampung kehidupan sehingga ke akhir hayat. Ini merupakan aturan sosial yang tidak adil dan haruslah dicabar. Malah, tuntutan untuk meningkatkan had umur persaraan hanya akan memburukkan lagi keadaan bagi rakyat terbanyak yang sudahpun mengharungi kehidupan yang terseksa dan menjadi hamba kepada para kapitalis yang sedang menikmati segala kekayaan yang sedang dijana oleh usaha sama kelas pekerja.

Kelas pekerja yang sedar mengenai hakikat ini haruslah menyatukan tenaga mereka dan menuntut untuk kehidupan yang lebih adil dan saksama. Secara bersatu, mereka harus menuntut kepada pihak kerajaan untuk meningkatkan cukai kepada golongan 1% terkaya ini bagi membiayai kebajikan bagi 99% rakyat supaya mereka dapat dibebaskan daripada cengkaman dan dominasi para kapitalis. Selain itu, hak kesihatan percuma, gaji kehidupan yang mencukupi dan dana kebajikan yang mampu menampung perbelanjaan sosial para pekerja haruslah dimenangi melalui perjuangan bersama. Tanpa sebarang perjuangan yang mengangkat aspirasi jutaan kelas pekerja miskin, rakyat Malaysia akan terus di eksploitasi oleh kelas majikan dan kapitalis kaya bagi memenuhi nafsu kekayaan segelintir yang sudahpun menikmati kehidupan yang selesa dan mewah. Justeru itu, pembinaan alternatif kepada sistem kapitalisme dengan idea dan program sosialisme yang akan memihak kepada kelas pekerja dan rakyat terbanyak perlu dibina dan diperkukuhkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*