Beribu-ribu pekerja syarikat lombong arang Longmay di timur utara China sedang bermogok selama lebih seminggu untuk menentang pemotongan kerja dan gaji yang belum dibayar. Mogok itu bermula pada 9 Mac lalu di salah satu daripada 10 lombong arang yang dimiliki syarikat Longmay di bandar Shuangyashan. Longmay adalah syarikat perlombongan milik kerajaan yang terbesar dan mempunyai lebih 250 ribu pekerja lombong di seluruh China. Baru-baru ini, syarikat itu telah membuang seramai 22 orang ribu pekerja dan sedang merancang pemotongan sebanyak 40 peratus daripada tenaga kerja, iaitu seramai 100 ribu orang.

Mogok ini tercetus apabila gabenor kawasan itu mengumumkan di televisyen bahawa syarikat Longmay sedang berkembang dan kerajaan sedang menyuntik sebanyak 1.5 bilion Dollar Amerika setahun ke syarikat tersebut. Gabenor itu juga menuduh para pekerja kerana menerima gaji yang tinggi untuk kerja yang tidak seberapa. Cuma beberapa hari daripada ucapan tersebut, 8 dari 10 lombong arang tidak beroperasi disebabkan oleh mogok spontan oleh pekerja.

Longmay mineworkers

Sehari dalam hidup pekerja lombong arang di China

Realitinya, pekerja lombong hanya menerima gaji perhambaan sekitar 100 Dollar Amerika sebulan. Pekerja yang memasuki kawasan bawah tanah dan lombong bagi kerja-kerja merbahaya juga hanya mendapat beberapa ratus Dollar Amerika sebulan. Di perarakan massa yang dianjurkan oleh pekerja mogok, mereka mengangkat kain rentang yang berbunyi ‘kami harus hidup, kami harus makan’ bagi memberikan mesej yang jelas kepada para majikan dan kerajaan bahawa mereka tidak ada cara lain selain berjuang demi kehidupan mereka yang serba kekurangan.

Walaupun kerajaan sangat takut dengan mogok-mogok sebegini yang sedang semakin bertambah di China, mereka tidak mempunyai penyelesaian bagi permasalahan pekerja akibat kemurungan dalam pasaran global. Media-media di China sering melaporkan perancangan kerajaan untuk mengurangkan kapasiti pengeluaran dengan menutup beberapa industri gergasi bagi menyelamatkan ekonomi negara. Harga semua komoditi, termasuk harga minyak, besi dan arang sedang menjunam jatuh akibat kekurangan permintaan global.

Sebuah NGO dari Hong Kong telah mengeluarkan laporan bahawa pada tahun lepas, China melihat lebih 2700 mogok di mana angka itu telah berganda daripada tahun sebelum itu. Oleh kerana ketiadaan laporan daripada dalam China, semua data terpaksa dikumpul daripada laman sosial dan dikatakan jumlah mogok sebenar yang telah berlangsung pada tahun lepas boleh mencecah hampir 20 ribu orang.

Walaupun kerajaan China memang terkenal dengan pemerintahan kuku besi yang kejam, kelas pekerja di sana masih berjuang dengan penuh semangat tanpa sebarang kepimpinan kesatuan. Mogok pekerja lombong arang ini juga menjadi inspirasi kepada kelas pekerja dari seluruh China dan sedang menjadi buah mulut di laman-laman sosial. Usaha kerajaan untuk menutup cerita mogok tersebut langsung tidak membawa sebarang hasil disebabkan popularitinya yang sedang meningkat.

mogok pekerja lombong arang

Mengikut data yang dikumpul melalui laman sosial, dilaporkan lebih 2700 mogok telah dilancarkan oleh kelas pekerja di China pada tahun lepas. Walau bagaimanapun, angka sebenar yang tidak dilaporkan dikatakan boleh menjangkau lebih 20 ribu mogok bagi tahun 2015 sahaja.

Pada masa ini, kelas pekerja China sedang menghadapi cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini. Dengan harga komoditi semakin merosot, pasaran perumahan yang beku dan hutang federal yang tinggi, kerajaan China yang memihak kepada kelas majikan dan kapitalis akan meneruskan serangan demi serangan ke atas kelas pekerja. Industri-industri yang besar akan ditutup dan jutaan pekerja akan kebuluran akibat kehilangan pekerjaan. Oleh kerana kadar gaji yang begitu murah, China juga tidak berjaya menjana ekonomi yang sihat melalui pasaran domestik mereka. Kelas pekerja yang menghasilkan segala jenis kekayaan, tidak mampu membeli balik atau menikmati kekayaan tersebut akibat gaji yang rendah. Apabila menghadapi masalah, golongan pekerja dan rakyat biasa sedang dipaksa untuk membayar segala hutang dan menanggung semua kerugian yang berpunca daripada ketamakan atau kecuaian segelintir kapitalis.

Bagi menghadapi penindasan yang bakal menimpa, para pekerja di China harus memikirkan pembentukan sebuah kesatuan yang independen daripada penguasaan kerajaan dan kelas kapitalis yang mampu mempertahankan hak-hak mereka. Hanya dengan adanya kesatuan yang sanggup berjuang, kelas pekerja akan dapat menghadapi segala serangan yang akan dilancarkan oleh kelas kapitalis dan membawa sebuah alternatif yang munasabah bagi menggantikan sistem yang berpihak kepada kelas majikan ini.