Kebanyakan rakyat Malaysia melangkah ke tahun 2018 dengan harapan, keazaman dan keyakinan baru supaya kehidupan mereka lebih baik daripada tahun sebelumnya. Ramai juga merasakan tahun demi tahun berubah, tetapi nasib mereka masih di takuk lama, dan hilang harapan untuk perubahan. Dengan pendekatan politik dan ekonomi negara masih menjadi landasan kepada pembentukan taraf sosial rakyat, persoalan samaada PRU14 tahun ini mampu merubah politik dan halatuju ekonomi negara menjadi topik perbincangan di kalangan rakyat biasa.

Najib di pihak kerajaan pemerintah, memulakan tahun baru 2018 dengan kenyataan yang penuh keyakinan dengan pencapaian ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur untuk memberikan harapan bahawa Barisan Nasional masih terus mampu menerajui kerajaan. Manakala, Mahathir di pihak pembangkang pula, beberapa hari sebelum tahun baru, meminta maaf ke atas segala kesilapannya ketika 22 tahun pemerintahannya dan menjanjikan kerajaan Pakatan Harapan yang telus, dan yang mampu memperkasakan demokrasi dengan pembaharuan seperti sistem kehakiman yang bebas, dan meningkatkan taraf hidup rakyat dengan agenda seperti pemansuhan GST.

Amat jelas, Najib dan Mahathir masing-masing sudah mengatur langkah untuk memenangi PRU14 yang dijangka akan diadakan dalam awal tahun ini dengan agenda dan polisi populis untuk menarik sokongan rakyat. Walaupun mekanisme pilihanraya dan percaturan politik negara dijangka lebih memihak kepada Najib dan BN, tetapi dengan kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang dan kos hidup, Mahathir dan PH akan dilihat sebagai pilihan yang lebih baik, dan dengan itu masih boleh melakukan kejutan.

Hakikatnya, di PRU14, rakyat hanya diberikan dua pilihan, sama ada meneruskan ‘Najibnomik’ atau mempergunakan ‘Mahathirisme’ untuk melakukan ‘reformasi’.

Najibnomik – berapa lama boleh bertahan ?

Najibnomik dikaitkan kepada dasar-dasar ekonomi Najib dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Unjuran ekonomi (Keluaran Dalam Negara Kasar) 2017 yang dianggarkan meningkat kepada 5.8 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2016, dijadikan garis pengukur kepada pencapaian Najibnomik. Tetapi, fenomena ini bukan satu perkembangan yang unik hanya kepada Malaysia seperti yang cuba digambarkan oleh Najib. Terdapat sedikit peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2017 yang sedikit sebanyak telah memanfaatkan Malaysia, tetapi kebanyakan pakar-pakar ekonomi utama telah meramalkan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia ini hanya untuk satu jangkamasa sementara sahaja. Ini kerana, konflik dalam sistem pasaran bebas kapitalisme yang bermula pada tahun 2008 masih belum diubati, dan masalah yang menyebabkan krisis tersebut masih wujud, dan dijangka mampu meletuskan krisis yang lebih besar. Tambahan pula, ketidakstabilan politik di Amerika Syarikat, ekonomi China yang penuh dengan kontradiksi, keadaan Timur Tengah yang tidak menentu dan kepincangan politik di Eropah masih mampu memberikan kesan kepada Najibnomik.

Di antara tahun 2015 dan 2016, lapan syarikat multinasional di antaranya Samsung dan Seagate telah menutup kilang-kilangnya di Malaysia akibat ‘pasaran yang lemah dan penstrukturan semula untuk memastikan persaingan antarabangsa’. Jadi, pelaburan yang masuk ke Malaysia pada tahun 2017 termasuk daripada China, sama ada berkekalan atau tidak amat bergantung kepada ‘pasaran dan persaingan antarabangsa’. Keadaan ekonomi Malaysia amat bergantung kepada keadaan ekonomi dunia, dan sekiranya krisis baru muncul, Najibnomik boleh berkecai.

Malahan, pertumbuhan 5.8 peratus pada tahun lalu tidak menampakkan peningkatan taraf hidup kelas pekerja dan anak muda, mahupun kelas menengah dengan peningkatan pendapatan tidak setimpal untuk menampung peningkatan kos hidup. Kesimpulannya, kekayaan yang meningkat akibat pertumbuhan ekonomi ini masih memanfaatkan segentir golongan billionair dan elit-elit politik yang terus memuja sistem kapitalisme dan mengawal kekayaan negara dengan mengetepikan keperluan dan hak majoriti.

Mampukah Mahathirisme menyelematkan Reformasi ?

Mahathirisme merujuk kepada agenda neo-liberalisme dan pemerintahan autokratik ketika 22 tahun pemerintahan Mahathir. Najib sebenarnya adalah kesinambungan kepada Mahathirisme, dan Najib juga menyokong agenda neo-liberalisme dan kapitalisme sepertimana Mahathir. Skandal dan korupsi dalam kerajaan Najib yang ditentang oleh Mahathir telah lama berakar umbi ketika pemerintahan Mahathir. Sebenarnya, dengan menentang Najib dan UMNO, Mahathir tidak bertukar jiwa atau mempromosi alternatif. Pertembungan di antara Najib dan Mahathir adalah lebih kepada persaingan untuk kuasa dengan matlamat menyelematkan agenda kronisme dan nepotisme masing-masing.

Pelopor-pelopor anti-Mahathirisme pada satu ketika seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mat Sabu kini sanggup berkerjasama dengan Mahathir semata-mata untuk ‘menyelamatkan Malaysia’ daripada Najib. Dengan meletakkan Mahathir sebagai pemimpin utama atau sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, pencapaian Mahathirisme akan dibandingkan dengan pencapaian Najibnomik. Segolongan rakyat terutama yang pernah melalui pemerintahan Mahathir, dan mempunyai harapan bahawa ‘keadaan hidup dan ekonomi zaman Mahathir lebih baik daripada Najib’, akan memilih untuk mengundi Pakatan Harapan. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa kemerosotan sokongan kepada BN pada PRU12 dan PRU13 adalah disebabkan oleh peningkatan kesan ekonomi kepada rakyat.

Pada masa yang sama, PKR, DAP dan PAN beranggapan bahawa agenda reformasi yang dimulakan oleh Anwar Ibrahim dengan parti-parti pembangkang yang lain pada 1998 masih mampu direalisasikan dengan kerjasama Mahathir. Sosialis Alternatif berpendirian bahawa Reformasi Anwar Ibrahim bukanlah agenda untuk membina alternatif kepada kepincangan kapitalisme tetapi lebih bermatlamat untuk menyelematkan struktur kapitalisme daripada agenda ‘Mahathirisme’ yang pada satu ketika tidak memihak kepada kapitalis antarabangsa. Maka gabungan Mahathir dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan menunjukkan tiada percanggahan di antara agenda ‘reformasi’ dan ‘mahathirisme’ yang pada asasnya sanggup bergabung untuk menyelematkan struktur kapitalisme Malaysia daripada dihancurkan oleh Najibnomik.

Bagaimana dengan pendirian golongan anti-parti ?

Dengan ketidakstabilan ekonomi dunia dan serantau, politik negara dijangka terus tidak stabil selepas PRU14 sama ada BN atau PH membentuk kerajaan. Golongan anti-parti yang jijik dengan politik parti-parti pembangkang dan pemerintah dijangka tidak akan mengundi mana-mana parti atau mengambil posisi memboikot PRU14. Sosialis Alternatif berpendirian bahawa hanya dengan menukar satu pemimpin kepada pemimpin lain atau menukar satu parti kepada satu parti lain tanpa agenda dan polisi alternatif kepada sistem kapitalisme, perubahan dan hasrat kelas pekerja dan anak muda termasuk hasrat golongan anti-parti untuk satu kerajaan yang telus dan demokratik tidak dapat direalisasikan. Dengan anti-parti dan tanpa politik alternatif, agenda kapitalisme yang di bawa oleh parti-parti dalam BN atau pun PH tidak mampu dilawan, dan mereka sentiasa mampu menukar wajah dan warna untuk mempromosikan diri mereka sebagai alternatif kepada parti pemerintah, sepertimana yang dilakukan oleh Mahathir.

Selagi vakum politik alternatif berlandaskan kepada sosialisme dan kelas pekerja tidak dibina dan diperkembangkan, selagi itu golongan elit politik pro-kapitalisme akan terus mengongkong dan mencengkam kehidupan rakyat biasa. Sosialis, kesatuan sekerja, kelas pekerja, anak muda dan masyarakat tertindas yang lain mempunyai tugasan penting untuk membina alternatif kepada kepincangan kapitalisme untuk membina masa depan dan masyarakat yang demokratik dengan pembahagian kekayaan secara saksama dan pemeliharaan persekitaran yang mampan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *