Di terjemah dari tulisan Phil Gasper dari International Socialist Review ( CLICK untuk membaca artikel asal )

Kebanyakan orang menjadi sosialis atau Marxis bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk menentang elemen-elemen masyarakat yang dianggap sebagai tidak bermoral seperti ancaman rasisme, seksisme, perang imperialis yang membunuh jutaan manusia dan sistem yang memusnahkan kehidupan orang ramai bagi keuntungan segelintir kaya. Aktivis sosialis dan organisasi revolusioner biasanya berkongsi keyakinan yang sama iaitu keyakinan bahawa keruntuhan sosial masyarakat berpunca dari kontradiksi dalam sistem kapitalisme.

Perkara ini diterangkan di dalam aliran Marxisme secara mendalam dan menyimpulkan bahawa moraliti umum sesebuah masyarakat itu ditentukan oleh kelas yang memerintah masyarakat tersebut. Pada zaman ini, golongan borjuis atau kelas kapitalis menentukan segala moraliti yang harus dipatuhi oleh rakyat biasa. Walaupun kelas kapitalis ‘mencuri’ segala kekayaan alam dan menukarnya menjadi komoditi yang boleh dijual untuk membuat keuntungan pada setiap saat, perbuatan mereka dianggap suci dan hukuman berat menanti rakyat biasa yang melakukan kesalahan-kesalahan remeh. Segala sistem undang-undang dan kehakiman telah didirikan oleh kelas kapitalis dan dimanipulasi sesuka hati bagi meneruskan kekuasaan mereka.

Makanya, bagaimanakah Marxis membataskan moraliti mereka? Sebagai seorang materialis, Marx menolak idea bahawa kaedah-kaedah moral mempunyai sumber spiritual dan dikenakan ke atas masyarakat manusia dari luar. Tetapi dia juga menolak idea yang dipertahankan oleh ahli falsafah Jerman abad kelapan belas Immanuel Kant, yang menganggap bahawa moral adalah semata-mata sebuah produk pemikiran rasional manusia. Kelakuan yang dianggap logik dan rasional adalah apa yang dianggap sebagai moral.

Tetapi pada awal abad ke sembilan belas, Hegel berhujah menentang moral Kantian ini. Dia mengatakan bahawa moral Kant tidak mempunyai sebarang jawapan bagi kenapa sesebuah fenomena itu wujud dan hanya mengandungi idea-idea yang abstrak yang menyokong sebarang kondisi asal. Mengikut konsep Kant, kita tidak boleh menjawab persoalan bahawa sesuatu yang dilakukan oleh seseorang itu adalah sebenarnya bermoral atau tidak. Sebagai contoh, adakah aktivis-aktivis sosial dan politik zaman ini berkelakuan rasional atau moral? Rasional manusia bukanlah sesuatu yang konkrit dan ia berubah-ubah bergantung dengan kondisi materi pemikir. Hegel mencadangkan bahawa kandungan moral sebenarnya berasal daripada tradisi, budaya dan sejarah sesebuah masyarakat. Walaupun ini benar, ia masih tidak menerangkan kepada kita akan hadith-hadith yang perlu diterima dan ditolak bagi konteks zaman sekarang.

Teori-teori moral yang berpengaruh daripada abad kelapan belas cenderung dalam melihat moraliti sebagai cara untuk mengawal impuls manusia yang berbahaya. Satu komponen utama dalam teori Kant adalah bahawa moraliti diperlukan untuk mengawal keinginan manusia bagi mengelakkan konflik sosial. Di sebalik pandangan ini adalah andaian bahawa manusia adalah individu yang kompetitif yang hanya mementingkan diri mereka sendiri dan akan terlibat dalam perang antara satu sama yang lain jika dibiarkan begitu sahaja.

Dalam Manuskrip Ekonomi dan Falsafah tahun 1844, Marx bermula dengan pemahaman yang sangat berbeza bagi sifat manusia. Dalam konsep ini, kita tidak berdaya saing secara semula jadi, sebaliknya, manusia adalah makhluk sosial yang tidak boleh hidup tanpa bekerja-sama dengan satu sama lain. Sains moden mengesahkan pandangan ini. Umat manusia tidak berkembang sebagai koleksi individu yang sentiasa berperang antara satu sama lain, tetapi dalam kumpulan sosial yang bergantung kepada sokongan bersama.

Idea bahawa keganasan dan peperangan yang sentiasa menjadi sebahagian daripada ciri masyarakat manusia kelihatan seperti pemahaman umum yang ada. Tetapi kajian bukti sejarah mendedahkan realiti yang sangat berbeza. Rekod arkeologi global dan penemuan-penemuan baru menunjukkan bahawa peperangan adalah sebuah fenomena yang sebahagian besar berkembang sejak 10,000 tahun yang lalu. Peperangan menjadi ciri masyarakat manusia selari dengan kemunculan penempatan kekal, harta persendirian, pengumpulan kekayaan di tangan swasta dan kemunculan hierarki sosial elit. Peperangan bukanlah sebuah fenomena yang mencerminkan kecenderungan manusia terhadap keganasan, tetapi ia dianjurkan bagi kepentingan segelintir yang menguasai rakyat.

Keterangan seperti ini menyokong pandangan bahawa manusia tidak secara semula jadi ganas, mementingkan diri, berdaya saing, tamak, atau xenofobia. Susunan hierarki bagi sosial manusia dan status sosial yang lebih rendah bagi wanita bukanlah sesuatu yang semula jadi seperti yang dicadangkan oleh pendokong-pendokong kapitalisme atau golongan konservatif. Sistem kapitalisme ini juga tidak mencerminkan ciri-ciri semula jadi manusia seperti yang sering dihujahkan oleh para pembelanya.

Marx mengiktiraf bahawa dalam keadaan sosial dan sejarah yang berbeza, tingkah laku manusia dan psikologi boleh berubah-ubah secara mendadak, sama seperti dalam keadaan fizikal yang berbeza, air boleh mengambil bentuk pepejal, cecair, atau gas. Seperti yang dikatakannya, inti manusia bukanlah sesuatu yang abstrak yang terkandung di dalam setiap individu. Pada hakikatnya, ia adalah hasil daripada perhubungan sosial yang wujud secara keseluruhan.

Pandangan Marx mengenai moral adalah lebih dekat kepada pandangan ahli falsafah Yunani purba seperti Aristotle daripada ahli falsafah moden seperti Kant. Daripada memikirkan moral sebagai satu set peraturan untuk mengawal sifat manusia, Marx melihat moraliti atau akhlak sebagai kaedah perkembangan tahap sosial manusia.

Semenjak 10,000 tahun lalu, masyarakat manusia telah dibahagikan ke dalam kelas yang bertentangan, maka teori moraliti telah dibangunkan bukan sebagai teori bagi pembebasan manusia, tetapi sebagai satu set peraturan yang mana setiap kelas cuba membawa kepentingan sendiri ke hadapan.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa moraliti kelas kapitalis dan moraliti kelas pekerja adalah kedua-duanya sah. Moraliti kelas kapitalis atau borjuis sah apabila mereka menentang kelas feudal atau monarki pada kurun ke 17. Pada zaman ancaman perang nuklear dan kemusnahan alam sekitar sekarang, moraliti kelas borjuis telah kehilangan kemutlakan mereka.

Marx mendebatkan bahawa di bawah kapitalisme, kelas pekerja adalah kelas sejagat. Dalam mengejar kepentingan sendiri, perjuangan kelas pekerja mewakili kepentingan umum semua umat manusia.

Apabila kelas pekerja berjuang untuk menumbangkan kapitalisme dan berjaya membebaskan dirinya, pada masa yang sama ia akan membebaskan seluruh umat manusia.

Dalam perjuangan menentang eksploitasi dan penindasan, kelas pekerja perlu mencabar moral kelas pemerintah. Apabila pekerja menduduki kilang atau pemilik rumah enggan meninggalkan harta yang telah disita oleh bank, moral kapitalis dicabar. Pergeseran moral ini akan menyebabkan penggunaan aparat kerajaan seperti polis dan tentera untuk mengawal keadaan yang sebaliknya akan mendedahkan dengan lebih mendalam tentang kondisi kapitalisme yang zalim dan tidak bermoral.

Marxisme menyimpulkan bahawa walaupun terdapat asas moraliti yang dikongsi bersama semua umat manusia, selagi masyarakat dibahagi mengikut kelas, sebuah moraliti universal tidak boleh wujud. Walau bagaimanapun, dengan memperjuangkan kepentingan sendiri, kelas pekerja mampu membawa sebuah moraliti yang boleh diaplikasikan secara universal. Engels mengungkapkan :

“ semua teori moraliti yang wujud sehingga kini adalah produk kondisi ekonomi masyarakat zaman-zaman tertentu dan semua masyarakat yang wujud sehingga sekarang telah bergerak dalam percanggahan kelas. Teori moraliti yang wujud adalah teori moraliti kelas yang mewajarkan penguasaan dan kepentingan kelas pemerintah. Perkara ini akan berterusan sehingga kelas yang tertindas berkembang dan menjadi cukup kuat untuk mencabar moraliti yang dianggap sebagai umum dan menentang penguasaan kelas pemerintah bagi kepentingan moraliti mereka sendiri.

Dalam proses ini, sebuah kemajuan dalam moraliti dapat dikesan. Tetapi kita masih terbelenggu di dalam moraliti kelas dan belum beralih ke moraliti universal. Sebuah moraliti yang benar-benar manusiawi hanya akan dicapai pada tahap di mana sesebuah masyarakat itu telah berjaya mengatasi dan melupakan segala percanggahan-percanggahan kelas”.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *