1 Mei yang merupakan Hari Pekerja Sedunia pada tahun ini datang dalam situasi yang penuh dengan pelbagai cabaran bagi jutaan para pekerja. Ketidakstabilan politik yang melanda negara-negara dunia selama ini sudah mula tercetus di negara ini juga. Kemelesetan ekonomi dunia juga sudahpun memberi impak kepada pekerja di sini dengan peningkatan kadar pengangguran, terutamanya di kalangan anak muda dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Berjuta-juta pekerja sudah kehilangan kerja penuh masa yang terjamin dan sedang beralih menjadi pekerja ekonomi gig, sektor informal dan pekerja kontrak jangka masa pendek. Bersamaan itu, peningkatan harga rumah dan kos kehidupan seperti harga makanan dan kos pengangkutan yang mendadak sedang menghumban kebanyakan pekerja miskin ke dalam kehidupan yang terdedah kepada krisis ekonomi dan sosial.

Tambahan pula, bermula dari awal tahun ini, dunia telah digegarkan dengan berita penularan wabak Coronavirus yang sedang mengancam kesihatan dan nyawa seluruh populasi dunia. Dalam keadaan ini, kelas pekerja dan rakyat miskin yang sudahpun berada dalam situasi yang tidak stabil akan menjadi mangsa dan terpaksa mengorbankan kehidupan mereka dan keluarga mereka yang dikasihi.

Apabila berlakunya krisis dan kawalan pergerakan diumumkan kerajaan, pihak majikan yang selama ini menggunakan tenaga kerja rakyat miskin untuk menjana keuntungan yang lumayan didapati menghilangkan diri, tidak mengambil tanggung jawab yang sewajarnya, dan hanya berusaha untuk melindungi harta peribadi mereka. Jutaan pekerja yang bergantung dengan pendapatan mereka untuk meneruskan kehidupan sedang dibuang kerja dan dipinggirkan oleh pihak majikan yang hanya mengutamakan keuntungan mereka. Tambahan pula, ada juga syarikat-syarikat swasta yang mempergunakan situasi ini untuk memaksa pekerja mereka untuk mengambil risiko dan masuk kerja semata-mata untuk untuk cuba mengalahkan pesaing-pesaing mereka yang lain.

Kebanyakkan daripada pekerja yang belum hilang kerja dan masih mempunyai punca pendapatan juga sedang mengalami pengurangan gaji dan pemotongan faedah-faedah lain seperti elaun yang biasa diperoleh setiap bulan. Akibatnya, para pekerja miskin yang tidak mempunyai sebarang dana kecemasan sedang menghadapi kesukaran untuk menguruskan kehidupan mereka dan menunaikan segala pembayaran seperti pembayaran sewa rumah, bil utiliti dan penanggungan kos makanan bagi keluarga mereka. Ini sedang mewujudkan sebuah situasi krisis di kalangan jutaan rakyat Malaysia yang sedang semakin tersepit dengan beban kehidupan dan terpaksa mendedahkan diri kepada bahaya pandemik semata-mata untuk mencari nafkah yang sangat sederhana.

Pada masa yang sama, segala bantuan kewangan dan dana kecemasan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan juga seringkali tertumpu pada kebajikan kelas majikan, pemilik syarikat dan pemodal kaya dan bukannya boleh menampung kekurangan yang dihadapi oleh kelas pekerja biasa. Lebih dari separuh daripada pakej rangsangan ekonomi yang bernilai Rm260 billion telahpun diperuntukkan kepada syarikat-syarikat swasta. Akibatnya jutaan rakyat biasa terpaksa mencari jalan untuk meneruskan kehidupan mereka dengan dana yang sangat terhad dan tidak mencukupi. Kelas majikan kaya yang langsung tidak menyumbang dalam usaha untuk membendung krisis ini adalah pihak yang paling banyak menerima bantuan kerajaan, manakala kelas pekerja miskin yang terpaksa menggadaikan nyawa mereka setiap hari bagi memenuhi keperluan masyarakat pula dipinggirkan tanpa sebarang sokongan sosial yang kukuh.

Waktu-waktu krisis sepertimana yang sedang dilalui oleh dunia pada masa ini merupakan peringatan terhadap pengorbanan kelas pekerja. Dalam situasi yang paling genting, kita dapat melihat bagaimana para pekerja sanggup meletakkan diri mereka dalam risiko demi menjalankan tugasan harian mereka. Seluruh masyarakat akhirnya dapat menyaksikan dengan jelas bagaimana semua nilai bagi barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat adalah di wujudkan oleh tenaga kerja pekerja biasa. Pekerja-pekerja sanitasi, kakitangan kesihatan, pekerja pembuatan dan penghantaran makanan, pekerja kilang yang mengeluarkan barangan keperluan dan para pekerja yang digelar sebagai ‘essential’ (perkhidmatan penting) merupakan wira sebenar yang sedang berkorban demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat. CEO korporat besar, pemilik syarikat, pemodal kaya dan golongan kapitalis bukan sahaja sedang menggondol segala kebajikan yang seharusnya disalurkan ke rakyat, malah sedang memburukkan krisis ini dengan mengutamakan keuntungan perniagaan mereka.

Walaupun jelas bahawa kelas pekerja dan rakyat miskin merupakan punca segala kekayaan dan kemajuan negara, masih lagi mereka tidak diberikan penghargaan yang sepatutnya. Kerajaan-kerajaan yang pernah memimpin dan sedang memimpin ekonomi negara yang sentiasa memberikan keutamaan kepada kelas kapitalis kaya juga bertanggung jawab untuk mewujudkan situasi di mana kehidupan rakyat miskin sedang terancam. Biarlah parti pemerintah ataupun pembangkang, semua ahli politik yang menduduki Parlimen merupakan perwakilan kelas kapitalis dan tidak mewakili kepentingan rakyat biasa. Segala janji dan retorik yang ditaburkan adalah hanya untuk mengaburi mata rakyat, supaya sistem ekonomi yang mengutamakan golongan kaya ini akan diteruskan tanpa halangan. 

Pekerja Kuasa Perubahan

Jika anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa ingin mengubah nasib mereka dan mencapai kehidupan yang lebih bermakna bagi semua, maka, penguasaan ekonomi dan politik oleh kelas kapitalis ini haruslah dipersoal dan dicabar. Kita tidak boleh kekal menaruh harapan kepada perwakilan politik elit yang tidak membawa aspirasi rakyat tertindas. Sebaliknya, kita harus memperkasakan rakyat dan kelas pekerja mengikut garis-garis perjuangan yang telah dilalui oleh gerakan pekerja yang lepas. Kelas pekerja yang datang dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang mempunyai asas perjuangan yang mampu menyatukan semua rakyat tertindas di bawah satu panji dan berjuang demi hak, kebajikan dan keselamatan semua.

Pada waktu-waktu krisis begini, masyarakat amat memerlukan kepimpinan daripada kelas pekerja yang tersusun untuk membawa rakyat keluar dari ancaman kesihatan dan ekonomi yang dihadapi. Pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja mempunyai tanggung jawab, bukan sahaja untuk mempertahankan hak dan kebajikan pekerja, malah juga perlu memperjuangkan isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat terbanyak. Kesatuan sekerja, perjuangan akar umbi rakyat dan pertubuhan-pertubuhan yang membawa idea demokrasi massa, harus menggabungkan tenaga mereka untuk membentuk sebuah kepimpinan politik yang membawa program kebajikan rakyat sebagai agenda utama mereka.

Kepimpinan ini bukan sahaja harus memperjuangkan aspirasi massa, tetapi, pada masa yang sama, haruslah juga mencabar kepimpinan politik negara dengan tujuan untuk menggantikan sistem ekonomi kapitalis kepada sistem sosialisme yang mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat biasa. Sistem kapitalisme yang dibentuk untuk melindungi kepentingan pihak majikan tidak akan mampu untuk memenuhi kehendak majoriti rakyat biasa. Sistem sosialisme yang berteraskan kepada pemilikan sumber dan infrastruktur pengeluaran secara awam, dikawal dan diuruskan oleh kelas pekerja dan rakyat biasa, merupakan sistem yang bukan sahaja mampu untuk menangani krisis-krisis besar seperti pandemik Coronavirus, malah juga berupaya untuk membina satu dunia yang adil dan sejahtera bagi seluruh umat manusia.    

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *