Pada 1 Mei, Presiden Nicolas Maduro mengumumkan rancangan untuk memanggil sebuah Majlis Perlembagaan bagi “mencapai keamanan di Republik, mengalahkan cubaan untuk rampasan kuasa oleh fasis dan untuk mempertahankan kedaulatan rakyat. “
Deklarasi ini muncul dalam konteks krisis ekonomi dan sosial yang tenat, dengan kadar inflasi melebihi 700% (3,000% untuk harga makanan) dan juga kemerosotan kondisi sosial termasuk pemecatan beribu-ribu pekerja. Wabak kemiskinan, yang sedikit sebanyak dikurangkan di bawah pemerintahan Chavez, kini semakin berkembang dengan pesat, membawa kepada peningkatan dalam gejala-gejala sosial yang teruk.
Kuasa-kuasa politik sayap kanan ( bersatu dalam koalisi MUD ) mempergunakan situasi ini dan cuba mengambil kesempatan politik yang lebih memihak kepada mereka. Realitinya, MUD merupakan golongan parasit elit yang langsung tidak menawarkan sebarang alternatif yang wajar bagi rakyat biasa. Tumpuan MUD adalah untuk merampas kuasa kerajaan bagi menarik balik segala polisi-polisi yang berpihak pada rakyat biasa dan menggantikannya dengan polisi-polisi neo-liberal kapitalis yang hanya berpihak kepada pihak elit. Program mereka mewakili kesengsaraan yang sedang dialami oleh rakyat Brazil di bawah kepimpinan Temer dan rakyat Argentina di bawah Macri.
Walau bagaimanapun, rampasan kuasa kerajaan oleh kuasa sayap kanan di Venezuela hari ini adalah kemungkinan yang amat nyata. Punca asas bagi situasi ini adalah kerana kerajaan Maduro itu sendiri yang seringkali mendendangkan retorik-retorik sosialis tetapi tidak dicerminkan dalam susunan polisi dan langkah-langkah konkrit yang diambil oleh kerajaan. Maduro memberikan satu konsesi demi satu konsesi kepada pihak kapitalis nasional dan antarabangsa dan menjalankan pemotongan perbelanjaan sosial yang merupakan tulang belakang kepada kehidupan rakyat.
Kelas pekerja dan rakyat miskin telah melakukan segalanya dalam kuasa mereka untuk membawa sebuah aspirasi revolusi sosialis berdasarkan demokrasi pekerja yang mampu mengalahkan kuasa-kuasa elit. Tetapi kerajaan Maduro kekal dengan dasar-dasar kapitalis yang hanya melemahkan semangat massa.
Percanggahan dalam struktur kerajaan
Pihak sayap kanan MUD dengan media-media kawalan elit mereka sedang mengutuk seruan untuk Majlis Perlembagaan oleh Maduro sebagai ancaman kepada kebebasan negara dan demokrasi. Sinisnya, pihak yang sama telah menganjurkan rampasan kuasa pada tahun 2002, dengan mengurung Hugo Chavez (dipilih secara demokratik oleh rakyat), membubarkan Parlimen dan menggantung perlembagaan yang disahkan oleh 87% rakyat di referendum, kini bercakap tentang “rampasan kuasa” dan “diktator “.
Semenjak mengambil alih Parlimen pada tahun 2015, pihak MUD telah mengambil pelbagai usaha untuk merampas kawalan penuh kerajaan dan posisi Presiden yang kini sedang digenggam kuat oleh Maduro. Antaranya adalah seruan mogok 12 jam yang dipanggil 8 bulan dahulu yang tidak berjaya dan cubaan-cubaan untuk menganjurkan demonstrasi massa yang seringkali tidak menjadi. Perkara ini mendedahkan fakta bahawa MUD yang merupakan representasi pihak elit kapitalis tidak mempunyai tarikan atau kapasiti untuk menggerakkan kelas pekerja dan massa. Walaupun selepas banyak percubaan, pemimpin MUD tidak berjaya membuat sebarang jalinan dengan massa yang membenci pendirian mereka.
Banyak diantara komitmen politik yang dijanji oleh bekas Presiden Chavez seperti seruan untuk memperkasa kelas pekerja telah dipinggirkan oleh kerajaan Maduro dan banyak tuntutan-tuntutan pihak kapitalis ditunaikan dengan mudah. Ini termasuk kenaikan harga barang, kelonggaran dalam kawalan harga, memotong tenaga kerja kerajaan, menindas organisasi kelas pekerja dan revolusioner yang menuntut untuk kawalan pekerja dalam produksi, membayar hutang awam kepada kapitalis dan pakatan dengan korporat asing dalam mewujudkan zon-zon ekonomi khas.
Tanpa kapasiti untuk memobilisasi massa di jalan raya, pihak MUD dan kuasa-kuasa imperialisme telah beralih ke taktik untuk mengukuhkan kumpulan-kumpulan fasis yang ditonjolkan kepada media-media antarabangsa sebagai kumpulan anak muda yang marah dan ingin mempertahankan demokrasi.
Kumpulan-kumpulan ini menganjurkan serangan ke atas tempat-tempat awam dan bertempur dengan pasukan keselamatan yang sehingga ke hari ini telah menyebabkan 45 kematian dari kedua-dua pihak. Seperti yang seringkali berlaku, anak muda menjadi mangsa percaturan politik pihak kapitalis yang tamak. Pihak sayap kanan ingin mewujudkan naratif umum bahawa terdapat situasi konflik awam di Venezuela yang memerlukan campur tangan kuat oleh badan-badan imperialis antarabangsa (seperti PBB). Mereka juga berharap bahawa tekanan diplomatik ini mampu mengubah imbangan kuasa dalam kepimpinan tentera yang masih sedang menyokong Maduro pada masa ini.
Pada masa ini, segala percanggahan yang wujud dalam struktur kerajaan belum menghindari perintah bagi menandatangani Majlis Perlembagaan tersebut. Tetapi situasi yang tidak stabil ini tidak memberikan satu kepastian kepada mana-mana pihak.
Jika kerajaan telah mengguna pakai dasar-dasar sosialis yang membolehkan kelas pekerja dan rakyat biasa untuk benar-benar mempunyai inisiatif dan kuasa, menamatkan rasuah dan sabotaj pihak kapitalis dan birokrasi kerajaan, ia akan menjadi agak mudah untuk mengalahkan rancangan kaunter-revolusi sayap kanan dan menyelamatkan revolusi Bolivarian. Malangnya dasar-dasar yang digunakan berada dalam arah yang bertentangan.
Adakah Majlis Perlembagaan mewakili gerakan ke arah haluan kiri atau sosialis?
Adakah seruan untuk Majlis Perlembagaan bermakna perubahan dalam dasar-dasar dan polisi kerajaan? Antara beberapa pihak yang terlibat dalam gerakan Bolivarian, walaupun ramai yang agak kritikal terhadap kerajaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, seruan untuk Majlis Perlembagaan ini membawa sedikit harapan. Tetapi, juga terdapat lapisan aktivis dan pejuang kelas pekerja yang kekal kritikal dengan langkah itu dan juga secara terbuka menolaknya.
Maduro dan pemimpin lain daripada PSTU menggambarkan imej bagi sebuah Majlis Perlembagaan yang akan mewakili kelas pekerja dan rakyat. “Saya memanggil satu perhimpunan rakyat, bukan untuk golongan elit, tetapi untuk kumpulan pekerja, komuniti-komuniti tempatan, petani, feminis, anak muda, mahasiswa dan orang asli.”, Maduro berkata.
Menurut kenyataan yang dibuat kemudiannya, sekurang-kurangnya 250 ahli Majlis dikatakan akan dipilih mengikut sektor dan persatuan. Ia terdiri daripada wakil-wakil pekerja, pesara, institusi rakyat dan lain-lain. Butiran terperinci mengenai perwakilan dan bidang kuasa mereka masih belum jelas. Sesetengah pengkritik revolusi Bolivarian telah mengkritik dan membandingkan Majlis Perlembagaan ini dengan demokrasi soviet di Russia yang pernah wujud pada satu masa dahulu! Tetapi adakah ia benar-benar mempunyai apa-apa perkaitan dengan soviet-soviet – pertubuhan demokratik yang membolehkan kelas pekerja dan petani untuk mengambil kuasa kerajaan di Rusia dan membawa aspirasi untuk membina sebuah negara sosialis revolusioner 100 tahun lalu?
Jika benar, ia sudah tentu merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam konteks perjuangan rakyat. Namun malangnya, jawapannya adalah tidak. Majlis Perlembagaan yang dicadangkan tidak mempunyai sebarang usaha dalam membangunkan organ-organ kuasa pekerja. Demokrasi dalam bentuk soviet-soviet pekerja yang ditubuhkan sebagai organ kuasa revolusi dalam peralihan kepada sosialisme hanya boleh menjadi produk gerakan bebas yang kuat dari bawah oleh kelas pekerja itu sendiri. Ia tidak boleh dibawa secara paksa oleh langkah-langkah dari atas, terutamanya daripada kerajaan yang masih terbelenggu dibawah kuasa kapitalisme.
Pembangunan kuasa untuk kelas pekerja dan miskin harus bermula daripada pembubaran kerajaan kapitalis dan keistimewaan golongan elit, undang-undang dan alat-alat penindasan ( kementerian, datuk bandar, tentera dan polis yang terasing daripada masyarakat ) dan menggantikannya dengan demokrasi kelas pekerja. Melalui wakil-wakil yang dipilih secara demokratik, kuasa pekerja mampu secara demokratik mengawal kuasa kerajaan dalam transisi ke arah sosialisme.
Langkah penubuhan Majlis Perlembagaan oleh kerajaan bukanlah langkah yang boleh dianggap sebagai revolusioner. Ia tidak mempunyai sebarang objektif seperti yang dinyatakan di atas. Ia tidak membawa sebarang program untuk meletakkan kilang atau bank-bank di bawah pentadbiran demokratik langsung kelas pekerja dan rakyat miskin. Sebaliknya, objektif Majlis Perlembagaan baru dan langkah-langkah lain kerajaan adalah untuk mengukuhkan radas kerajaan yang masih berorientasikan kapitalisme, dan untuk mencapai kerjasama dengan sektor-sektor yang berbeza daripada kelas kapitalis kebangsaan dan antarabangsa. Ini harus ditolak oleh semua yang berjuang untuk menamatkan kapitalisme dan imperialisme di Venezuela.
Dalam 9 objektif yang disenaraikan oleh Maduro bagi Majlis Perlembagaan, perkataan sosialisme tidak disebut langsung. Ia digantikan dengan janji yang bertema “model ekonomi pasca-minyak”. Begitu juga dengan tuntutan kuasa rakyat, kawalan pekerja dan seruan untuk membantah birokrasi. Apa yang disebutkan oleh kepimpinan PSTU dan lain adalah seruan untuk satu pakatan dengan kelas majikan untuk membina “Venezuela untuk semua”. Malah, sehingga kini, pihak kerajaan telah mengadakan lebih banyak mesyuarat dengan wakil-wakil majikan untuk berunding, berbanding dengan mana-mana sektor lain termasuk pekerja.
Menganjurkan pekerja dan golongan miskin untuk revolusi dan menolak keluar kelas kapitalis dan birokrat
Memandangkan tekanan dan serangan antarabangsa, ada yang berpendapat bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menyokong usaha Majlis Perlembagaan tersebut. Tetapi adakah ini betul? Tidak! Golongan revolusioner mampu dan mesti melakukan sesuatu yang lain. Mereka mampu dan mesti mengangkat tuntutan yang sudahpun berada di kesedaran kelas pekerja yang radikal: bergerak ke arah revolusi dengan mengambil kuasa daripada pihak kapitalis dan birokrat, dan meletakkan kuasa di tangan kelas pekerja dan miskin. Walau bagaimanapun, hanya kelas pekerja dan golongan tertindas boleh membawa gerakan ini. Bagaimana? Dengan mewujudkan sebuah Majlis Revolusi yang diwakili oleh kelas pekerja dan rakyat misin di kilang-kilang, kawasan luar bandar dan di komuniti setempat, dan pada masa yang sama membawa program sosialis untuk melawan kapitalisme dan birokrasi “Bolivarian”.
Jika pilihan raya untuk Majlis Perlembagaan diteruskan tanpa sebarang tentangan dan tindak balas daripada organisasi kelas pekerja dan revolusioner, ia akan dipergunakan untuk membawa pemimpin-pemimpin yang tidak ikhlas dan ini akan mengakibatkan kelemahan semangat dan momentum di kalangan gerakan akar umbi rakyat. Mereka-mereka yang menggunakan retorik sosialis dan imej Chavez untuk melonjakkan diri mereka ke dalam kuasa bagi menikmati keistimewaan dan kemewahan manakala penduduk mengalami inflasi dan kesengsaraan, tidak boleh dibenarkan untuk terus berada dalam kepimpinan!
Hanya ada satu cara untuk mengelakkan kemenangan kaunter-revolusi yang diwakili oleh MUD, kuasa-kuasa imperialisme dan birokrasi dalam kerajaan yang menguatkan kuasa kapitalisme. Pekerja dan golongan miskin yang pernah menjadi penggerak kuasa revolusi pada masa lalu dan pernah mempertahankannya daripada serangan imperialisme harus bergerak sekali lagi menentang ancaman-ancaman baru.
Pada 1 Mei, pelbagai organisasi kiri dan revolusioner Chavista yang kritikal dengan dasar-dasar kerajaan bersatu membincangkan pembentukan satu barisan bersatu dan menyeru kepada sektor kritikal PSUV untuk berjuang bersama-sama dibawah dasar revolusioner. Ini adalah jalan ke hadapan yang positif dan jelas. Hanya rakyat boleh menyelamatkan rakyat. Hanya melalui perpaduan belia, petani dan pekerja yang berjuang untuk meletakkan semua kuasa politik dan ekonomi di tangan kelas pekerja melalui program sosialisme, internasionalisme dan anti-birokrasi, boleh mengelakkan kekalahan tragis revolusi Venezuela.