Januari tahun ini merupakan ulang tahun ke-100 pembunuhan dua orang pejuang kelas pekerja yang penting di Jerman, Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht. Mereka merupakan tokoh yang sehingga ke hari ini telah menjadi simbol bagi penentangan terhadap kapitalisme dan imperialisme dan telah berjuang dan mati demi sebuah masa depan sosialis. Mereka telah meninggalkan sebuah legasi yang menginspirasikan dan berdiri teguh sebagai sebuah simbol bagi perjuangan sosialisme.

Luxemburg dan Liebknecht meninggal dunia pada peringkat kritikal dalam sejarah gerakan pekerja antarabangsa dan agak wajar untuk mengatakan bahawa kematian awal mereka telah membantu dalam kegagalan perjuangan pekerja antarabangsa, pengekalan sistem kapitalisme, perkembangan Stalinisme pada tahun 1920 an dan kemudiannya kemunculan kuasa fasisme Hitler.

Revolusi dan kaunter revolusi

Pada akhir tahun 1918 dan permulaan tahun 1919, Jerman berada di titik tengah gelombang revolusi antarabangsa yang telah membantu menamatkan Perang Dunia Pertama dan juga membawa persoalan sama ada sistem kapitalisme itu sendiri akan mampu bertahan di benua Eropah. Di kebanyakkan negara Eropah pada masa itu, majoriti daripada rakyat miskin amat marah dan benci terhadap kelas pemerintah dan juga pada masa yang sama sangat terkesan dengan Revolusi Oktober Rusia 1917 yang telah membawa kelas pekerja biasa untuk menjadi kuasa kerajaan. Kelas pekerja dan rakyat tertindas dari seluruh dunia mendapat inspirasi daripada Revolusi Oktober 1917 dan ingin mengikuti contoh tersebut ke arah pembinaan masyarakat yang baru.

Satu demi satu, empayar, rejim-rejim kuku besi di seluruh Eropah mula menjadi lemah dan jatuh. Kelas pekerja mula meningkatkan keyakinan mereka dan para kapitalis mula gentar dengan kedudukan mereka yang semakin tergugat. Oleh itu, para kapitalis dari seluruh dunia telah bergabung tenaga dan bertekad untuk menghentikan penyebaran Revolusi Sosialis dengan menggulingkan kerajaan revolusioner Bolshevik di Russia. Selain daripada perang propaganda politik, sebanyak 21 buah negara telah menghantar tentera mereka untuk cuba menghancurkan kerajaan pekerja yang baru di tubuhkan di Russia pada tahun 1917.

Negara Jerman pada waktu itu merupakan kunci kepada proses yang akan berkembang di seluruh Eropah dan dunia. Walaupun kalah dalam perang dunia pertama, Jerman masih mempunyai populasi yang terbesar di Eropah. Pada akhir perang tersebut Jerman merupakan ekonomi ke dua terbesar di Eropah dan mengekalkan potensi ekonomi yang dinikmatinya sejak sebelum 1914.

Pada masa yang sama, Jerman juga mempunyai tradisi perjuangan kelas pekerja yang hebat dan gerakan-gerakan yang seumpanya mula berkembang dalam pelbagai bentuk sehingga tercetus sebuah gerakan rakyat dengan skala yang besar pada tahun 1918. Dalam cuma beberapa hari sahaja, Empayar Jerman, raja Kaiser dan kerajaannya telah digulingkan sekaligus oleh gerakan tersebut. Para pekerja, petani dan askar mengikut jejak Rusia dan menubuhkan ‘soviet’ (majlis) di seluruh negara bagi menggantikan tugasan kerajaan dalam mengendalikan hal-ehwal rakyat secara demokratik.

Ini bukan sahaja mengejutkan dan menakutkan kelas pemerintah dan ketua tentera Jerman, tetapi juga menakutkan Parti Demokratik Sosial (SPD) dan pemimpin kesatuan sekerja yang, pada tahun 1914, meninggalkan prinsip sosialis untuk menyokong imperialisme Jerman dalam perang dunia pertama. SPD merupakan parti yang mempunyai sejarah perjuangan dan masih mempunyai sokongan daripada kelas pekerja, tetapi kepimpinan parti tersebut sudah meninggalkan agenda sosialisme dan mula beralih ke arah mempertahankan sistem kapitalisme. Kepimpinan SPD yang lebih mementingkan kedudukan mereka telah rasa tergugat dengan gerakan pekerja yang mula menjangkaui had-had demokrasi parlimen dan mula mengawal sebahagian daripada negara melalui majlis-majlis rakyat yang ditubuhkan secara demokratik. Bagi mencegah kelas pekerja dan rakyat biasa daripada menuntut kuasa kerajaan sepenuhnya sepertimana yang berlaku di Rusia, kepimpinan SPD berkejasama dengan pihak kelas pemerintah kapitalis di Jerman untuk menjamin kesinambungan sistem kapitalisme. Malah, mereka bersedia untuk menerima arahan daripada kepimpinan tentera dan general yang ingin merebut kuasa kerajaan. Pada November 10, 1918, sehari selepas menjadi Perdana Menteri Jerman, ketua SPD Ebert menerima tawaran daripada ketua tentera baru General Groener untuk menubuhkan sebuah barisan umum bagi melawan pengaruh Bolshevisme di Jerman. Dalam kata lain, Ebert dan kepimpinan pusat SPD telah mula persiapkan diri untuk melancarkan serangan ke atas kerajaan pekerja Rusia yang di pimpin oleh parti Bolshevik sejak hari pertama mereka mendapat kuasa kerajaan.

Tetapi pada awalnya SPD tidak ingin mendedahkan agenda mereka secara terbuka kerana mengkhuatiri penentangan daripada penyokong mereka sendiri. Mereka menggunakan nama kerajaan yang sama dengan kerajaan Rusia bagi meraih sokongan yang lebih besar. Mereka juga membawa masuk beberapa parti politik kiri seperti Parti Demokratik Sosial Bebas (USPD) untuk menggambarkan sebuah kerajaan pro rakyat dan kelas pekerja. Tetapi, walaupun dengan nama kerajaan yang sama, terdapat perbezaan yang besar di antara SPD yang berusaha untuk menyelamatkan kapitalisme dan kerajaan yang dipimpin oleh parti Bolshevik yang berjuang untuk menghancurkan sistem kapitalisme di peringkat antarabangsa.

karl liebknecht Ulang tahun ke-100 kematian Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht Sosialis Alternatif
Karl Liebknecht

Kepimpinan SPD terutamanya takut dengan Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht yang mempunyai sokongan yang luas di kalangan rakyat biasa. Liebknecht, anak kepada salah seorang pengasas SPD mempunyai kedudukan yang baik di kalangan kelas pekerja dan terkenal sebagai seorang pejuang anti-perang sebelum tahun 1914 lagi. Dia merupakan ahli parlimen SPD pertama yang mengundi untuk membantah peperangan. Selepas Liebknecht dijatuhkan hukuman penjara 4 tahun bagi membuat ucapan yang berunsur anti-perang di upacara Hari Pekerja, seramai 55 ribu orang pekerja telah membanjiri bandar Berlin untuk melancarkan protes anti-perang massa yang pertama. Liebknecht menjadi sebuah simbol perjuangan anti-perang dan menikmati sokongan massa yang besar.

Rosa Luxemburg merupakan pemimpin utama faksi revolusioner di dalam SPD selama bertahun-tahun dan merupakan pembangkang kepada perang selepas 1914. Berbeza dengan parti Bolshevik di Rusia, Rosa gagal untuk mempersiapkan sebuah organisasi yang mampu membawa idea sosialisme dengan jelas pada waktu-waktu gerakan massa menjadi matang. Rosa cuba memperjuangkan idea-idea sosialisme dari dalam SPD dan selepas mencapai jalan buntu, mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah organisasi revolusioner pada tahun 1916 bergelar Spartakus. Tetapi ia merupakan sebuah organisasi yang longgar pada awalnya dan hanya di ambang revolusi Jerman mereka memulakan kerja-kerja penubuhan sebuah parti revolusioner yang tersusun. Akhirnya, Parti Komunis Jerman (KPD) tertubuh pada tahun 1918 dibawah naungan Liebknecht dan Luxemburg yang merupakan pemimpin utama parti tersebut.

rosaluxemburg lasallemarx e1549947398539 Ulang tahun ke-100 kematian Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht Sosialis Alternatif
Rosa Luxemburg

Pada akhir tahun 1918, kepimpinan kerajaan SPD sudah mula melancarkan beberapa serangan terhadap perjuangan rakyat terutamanya di bandar Berlin. Berlin merupakan bandar industri terbesar di dunia dan merupakan medan pertempuran yang utama pada masa itu.

Khuatir dengan radikalisasi daripada massa, kepimpinan SPD mula mengetatkan kawalan dan penindasan terhadap rakyat. Pada 24 Disember, SPD mengarahkan serangan ke atas pasukan kelasi yang merupakan penyokong SPD tetapi dianggap sebagai sudah terlalu radikal. Walaupun serangan ini gagal, ia mewujudkan krisis di dalam kerajaan dan beberapa menteri dari USPD telah menarik diri dari kerajaan. Mereka digantikan oleh wakil SPD lain seperti Gustav Noske yang telah menubuhkan militia yang bergelar Freikorps (kebanyakkan ahli pasukan ini menyertai parti Nazi selepas 1920) untuk menghancurkan gerakan revolusi yang berkembang. Pada akhir tahun 1918, SPD mula mengerah unit Freikorp ke Berlin untuk tujuan menghancurkan gerakan massa yang menuntut revolusi.

Jerman kemudian menghadapi situasi dwi kuasa. Di satu penjuru, gerakan revolusi oleh rakyat massa telah merampas kuasa pemerintahan daripada rejim lama. Sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu, majlis pekerja dan askar telah berjaya memegang kuasa pemerintahan di banyak kawasan. Tetapi malangnya semua kuasa ini tidak berjaya disatukan dibawah kepimpinan politik yang jelas sepertimana yang berlaku di Rusia pada 1917. Tambahan pula, kerajaan SPD yang kononnya memperjuangkan hak rakyat telah berusaha sesungguhnya dari hari pertama untuk menggagalkan sebarang kebangkitan massa ke arah revolusi.

Pada Januari 1918, SPD mengambil keputusan untuk menggunakan provokasi sebagai senjata untuk menghancurkan gerakan massa. Mereka memecat ketua polis yang merupakan ahli USPD dengan sengaja bagi memprovokasi tindak balas daripada parti-parti kiri yang mula menentang kerajaan. Kepimpinan SPD ingin mempergunakan tindak balas itu untuk membuat tuduhan palsu dan menindas pemimpin-pemimpin yang inginkan revolusi. Perkara yang serupa juga berlaku di Revolusi Rusia 1917 yang dikenali sebagai ‘peristiwa Julai’ dimana provokasi kerajaan telah membawa kepada pemenjaraan pemimpin parti Bolshevik seperti Trotsky. Lenin, salah seorang pemimpin Revolusi Rusia yang penting terpaksa melarikan diri keluar dari negara akibat ancaman daripada pihak penguasa. Tetapi, parti Bolshevik yang mempunyai kepimpinan yang jelas telah berjaya mengemudi proses revolusi tersebut dan mencari jalan terbaik bagi kelas pekerja untuk mengambil alih kuasa kerajaan dari pihak kapitalis. Akibat ketiadaan sebuah parti revolusioner seperti Bolshevik di Jerman yang sudah bersedia untuk menghadapi situasi-situasi seperti ini dari awal lagi, pihak SPD berjaya menggunakan provokasi ini untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin utama yang mampu membawa revolusi di negara itu.

Akibat kekeliruan dan tiada persetujuan dikalangan parti yang memimpin revolusi seperti KPD dan organisasi Spartakus, beberapa peluang keemasan untuk merealisasikan sebuah revolusi di Jerman telah terlepas. Protes-protes massa tidak mendapat kepimpinan yang jelas dan menjadi mangsa provokasi agen kerajaan yang ingin menimbulkan situasi kekecohan. Pada 8 Januari, pasukan tentera kerajaan mula menyerang semua pemimpin KPD dan organisasi yang menentang mereka dengan alasan ‘memerangi pengganas’. Pemimpin SPD berhujah bahawa mereka terpaksa mengambil langkah yang drastik ini untuk mempertahankan kepentingan kelas pekerja dan rakyat Jerman dari ancaman pengganas dari luar. Pada waktu yang sama, tentera kerajaan mula mengatur strategi untuk membunuh pemimpin yang paling berpengaruh di kalangan kelas pekerja yang memperjuangkan revolusi iaitu Luxemburg dan Liebknecht. Rancangan mereka adalah untuk mencekik gerakan revolusi ini di bandar Berlin sebelum ia berjaya merebak ke seluruh negara.

Luxemburg dan Liebknecht di bunuh dengan kejam pada 15 Januari oleh Freikorp, tiga hari selepas beberapa pertempuran massa berakhir di Berlin.

Selepas pertempuran di Berlin berakhir, sebuah majlis republik rakyat baru diumumkan di bandar lain bernama Bremen. Kerajaan juga menghantar pasukan tentera Freikorp ke situ dan menghancurkan majlis tersebut dengan kejam. Tetapi, langkah ini telah mencetuskan lebih banyak kebangkitan massa di Ruhr, Rhineland dan di Saxony. Pada awal Mac, Berlin juga menyaksikan sebuah mogok umum dan perjuangan rakyat kembali berkembang untuk beberapa bulan selepas itu. Di kawasan lain seperti di Hamburg dan Thuringia juga tercetus beberapa gerakan massa yang hampir menimbulkan situasi perang saudara. Munich merupakan bandar terakhir di mana majlis rakyat ini dijatuhkan oleh kerajaan SPD pada awal Mei 1919.

Walaupun di kalahkan oleh pihak berkuasa dan beribu-ribu telah berkorban nyawa, kekuatan gerakan massa di Jerman pada 1918 ke 1919 telah menjamin pelbagai hak ekonomi dan demokrasi bagi kelas pekerja. Pihak kerajaan yang telah menghancurkan gerakan rakyat secara kejam terpaksa memberikan beberapa konsesi bagi memadamkan api kemarahan yang terpendam di kalangan jutaan rakyat. Seringkali mereka menggunakan perkataan ‘sosialisme’ dalam menghuraikan polisi mereka dengan harapan untuk mengelirukan dan mengaburi mata rakyat.

Pada masa yang sama, berjuta-juta kelas pekerja dan rakyat biasa yang menyokong SPD sudah mula hilang kepercayaan terhadap parti tersebut. SPD yang meraih lebih 11 juta undi pada pilihanraya di Januari 1919 telah hilang 50% daripada undi itu dalam 18 bulan sahaja. Manakala, parti-parti yang kecil seperti USPD dan KPD mula menggandakan sokongan mereka dengan cepat. Dengan sokongan yang meningkat untuk gabungan USPD dan KPD, revolusi Jerman masih lagi berpeluang untuk mendapat nafas perjuangan baru. Tetapi malangnya pada 1923, dengan kebangkitan massa sekali lagi, KPD juga terlepas satu lagi peluang untuk membawa revolusi sosialisme di Jerman. Akhirnya, selepas satu demi satu peluang tercicir, kegagalan revolusi Jerman telah mengakibatkan kemerosotan Revolusi Rusia yang masih jauh di belakang Jerman dari segi industri dan teknologi pada masa itu. Selepas sebuah proses ke arah revolusi sosialis dunia telah terhenti di Jerman, kemunduran teknologi dan keterasingan kerajaan pekerja Rusia telah melahirkan birokrasi Stalinisme yang juga membantutkan gerakan-gerakan yang menuju ke arah revolusi sosialisme di seluruh dunia. Selepas itu, Jerman dan dunia melihat kebangkitan sebuah kuasa fasis yang kejam di dalam Hitler yang turut menolak gerakan revolusioner kelas pekerja ke belakang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *