Berita penularan wabak Covid-19 di asrama kilang di serata Malaysia telah datang pada waktu rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan kes jangkitan yang paling tinggi dalam tahun ini. Kluster ‘Teratai’ yang berpunca daripada asrama pekerja migran kilang Top Glove di Meru kini sudah menjangkaui 5000 kes dan sedang terus meningkat setiap hari. Sepertimana yang berlaku di Singapore pada April tahun ini, ribuan pekerja migran yang sedang dijangkiti Covid-19 telah mendedahkan kondisi tempat tinggal para pekerja yang sangat teruk sehingga kesihatan dan nyawa mereka diabaikan.
Top Glove yang merupakan syarikat pengeluar sarung tangan terbesar di dunia telah mendapat durian runtuh apabila pandemik Covid-19 telah meningkatkan permintaan bagi sarung tangan dan peralatan latex yang digunakan dalam usaha membendung pandemik tersebut. Oleh itu, Top Glove, bersama dengan syarikat-syarikat gergasi yang lain seperti Hartalega dan Kossan Rubbers telah meningkatkan keuntungan mereka sebanyak empat kali ganda pada tahun ini. Tambahan pula, dengan penularan Covid-19 yang belum terkawal di seluruh dunia, syarikat-syarikat ini dijangka akan terus menjana keuntungan yang sangat tinggi untuk beberapa tahun yang akan datang.
Namun, walaupun dapat membuat keuntungan yang lumayan setiap tahun, syarikat-syarikat besar seperti Top Glove seringkali menindas para pekerja mereka, terutamanya pekerja migran yang diseksa dengan beban kerja yang berlebihan. Syarikat-syarikat ini juga sentiasa melepaskan tanggung jawab mereka dan menggunakan pengaruh mereka di dalam kerajaan untuk melanggar segala regulasi atau undang-undang perlindungan pekerja yang sedia ada. Akhirnya, penularan Covid-19 di asrama-asrama Top Glove telah mendedahkan sifat pemilik korporasi besar yang sanggup memperjudikan nyawa para pekerja mereka, melanggar undang-undang sesuka hati dan membahayakan kesihatan awam, semata-mata untuk mencapai keuntungan maksimum.
Syarikat Top Glove sudahpun didedahkan sebagai sebuah syarikat yang mengamalkan kaedah-kaedah yang tidak beretika dan menindas para pekerja migran mereka dengan teruk sebelum ini. Pada 2018, Guardian (surat khabar dari UK) telah melaporkan bahawa kilang-kilang di bawah kawalan Top Glove di dapati melayan pekerja migran seperti hamba abdi dan melanggar hak asasi mereka. Pada Julai tahun ini, Amerika Syarikat telah mengharamkan pembelian barangan daripada Top Glove dengan merujuk kepada laporan-laporan tersebut.
Bukan sahaja Top Glove, malah kebanyakan daripada kilang-kilang di Malaysia sememangnya menindas para pekerja migran tanpa sebarang pengawasan daripada pihak berkuasa atau kerajaan. Pekerja migran yang datang untuk berkerja di kilang tempatan akan dikenakan caj rekrut yang sangat tinggi oleh agen-agen yang membekalkan pekerja tersebut. Pihak majikan yang membayar agen tersebut akan memaksa para pekerja untuk membayar balik caj rekrut itu melalui kerja. Dalam kaedah yang dikenali sebagai ‘Debt bondage’ (perhambaan melalui hutang), pekerja ini ditekan untuk berkerja untuk jangka masa yang panjang bagi menyelesaikan ‘hutang’ mereka. Majikan juga di dapati akan merampas dokumen perjalanan seperti pasport daripada pekerja supaya mereka tidak dapat melepaskan diri daripada situasi tersebut.
Pemilik Top Glove Lim Wee Chai tidak pernah mengaku bersalah ataupun meminta maaf sehingga ke hari ini walaupun segala bukti-bukti berkenaan salah laku kilang ini sudahpun didedahkan ke khalayak umum. Lim berkata bahawa para pekerja tersebut telah ‘dibenarkan’ untuk berkerja melebihi had masa atas desakan daripada pekerja itu sendiri dan pasport pekerja yang disimpan oleh majikan adalah bagi tujuan untuk melindungi dokumen tersebut. Walaupun kedua-dua perkara tersebut adalah melanggar undang-undang tenaga kerja dan hak asasi, majikan Top Glove masih angkuh dan tidak menunjukkan sebarang kesalan. Tetapi, bagi mengatasi sekatan yang dikenakan ke atas perniagaan mereka oleh Amerika, Lee telah mengeluarkan pampasan pembayaran balik caj rekrut bernilai RM136 juta kepada 10 ribu pekerja dari Nepal dan Bangladesh baru-baru ini.
Walaupun Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap Top Glove, tetapi masih terdapat banyak lagi kilang-kilang yang melakukan perkara yang sama dan tidak diendahkan oleh mana-mana pihak. Oleh itu, walaupun motif sebenar disebalik langkah Amerika itu boleh dipersoalkan , tuduhan-tuduhan pelanggaran hak asasi ke atas Top Glove mempunyai asas bukti yang kukuh. Akan tetapi, ahli-ahli politik kerajaan, termasuk Menteri Sumber Manusia M. Saravanan telah berkali-kali mempertahankan Top Glove dan memperkecilkan segala tuduhan ke atas mereka.
Kini, apabila wajah sebenar majikan Top Glove sedang terdedah akibat penularan kes Covid-19 yang tidak terkawal, ahli-ahli politik yang menyokong Top Glove sebelum ini membuat pusingan-u dan sedang menuding jari ke arah pihak pengurusan syarikat itu sebagai penyebab kluster Covid-19 yang paling besar di Malaysia setakat ini. Menteri KSM M. Saravanan yang melawat asrama Top Glove mengatakan bahawa para pekerja sedang dipaksa untuk hidup dalam keadaan yang sesak dan sangat teruk di dalam asrama-asrama kilang. Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja juga telah membuka siasatan ke atas Top Glove dan syarikat-syarikat lain yang disyaki sebagai melanggar penetapan undang-undang dan kerajaan.
Pihak kerajaan sedang cuba untuk menunjukkan bahawa mereka sedang mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk memenangi hati rakyat. Tetapi hakikatnya, ahli-ahli politik dan pentadbiran kerajaan yang korup merupakan punca kepada semua isu-isu yang sedang timbul ke permukaan pada waktu ini. Kerajaan yang sedia ada dan semua kerajaan yang datang sebelum ini, biarlah BN, PH ataupun PN, merupakan pengampu kepada kuasa-kuasa korporat besar dan telah membiarkan syarikat-syarikat ini untuk berbuat sesuka hati. Malah, syarikat-syarikat besar seperti Top Glove selalunya mempunyai pengaruh yang kuat di dalam mana-mana kerajaan yang bersilih ganti dan akan menggunakan wang untuk membeli semua ahli-ahli politik arus perdana yang menduduki kerajaan.
Walaupun terpaksa mengambil langkah untuk menghukum syarikat Top Glove bagi meredakan kemarahan rakyat pada masa ini, sepertimana yang sering berlaku, pihak kerajaan akan sentiasa melindungi kepentingan pihak majikan kaya dan akan akhirnya mencari jalan penyelesaian yang damai. Malah, pihak kerajaan juga harus dipersalahkan kerana membenarkan syarikat-syarikat seperti Top Glove untuk terus menindas para pekerja migran tanpa sebarang pengawasan sehingga sekarang. Berita berkenaan dengan kondisi pekerja migran di kilang Top Glove misalnya sudahpun didedahkan semenjak 2018 lagi. Tetapi, hanya setelah isu kluster Covid-19 terdedah kepada rakyat umum, barulah pihak kerajaan tergerak untuk menyiasat dan memantau fasiliti tempat tinggal dan kerja di kilang itu. Ahli-ahli politik PH yang kononnya progresif dan pejuang hak pekerja juga tidak berbuat apa-apa dan membiarkan semua penindasan ini berlaku di hadapan mata mereka.
Pendedahan berkenaan dengan situasi pekerja migran di asrama dan tempat kerja di Malaysia juga mendedahkan ketempangan sistem pasaran bebas yang mengutamakan pelabur dan pemodal kaya yang seringkali mengabaikan kepentingan masyarakat demi melindungi keuntungan peribadi mereka. Pihak kerajaan yang juga akur dengan peraturan pasaran bebas kapitalisme tidak mempunyai sebarang solusi dan juga sedang mendedahkan sifat mereka yang tidak ikhlas, korup dan langsung tidak mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat biasa. Walaupun kelas pekerja dan rakyat biasa sedang bertungkus lumus untuk menguruskan segala keperluan masyarakat di dalam situasi pandemik yang cemas, kelas majikan dan ahli-ahli politik kapitalis sedang asyik dengan kadar keuntungan dan nilai saham yang sedang meningkat.
Sehingga ke hari ini, kedua-dua pihak majikan dan kerajaan belum membawa sebarang solusi untuk mencari penempatan yang lebih baik kepada jutaan pekerja migran yang terpaksa menghabiskan kehidupan di dalam bilik-bilik yang kecil dan sesak. Para pekerja migran Top Glove kini juga terkurung di asrama-asrama yang sesak dan tanpa kemudahan asas bagi menampung keperluan harian mereka. Pekerja dari beberapa asrama dilaporkan terpaksa memanjat pagar dan keluar dari premis asrama kilang secara rahsia untuk membeli barangan keperluan mereka. Kedua-dua kerajaan dan majikan sedang membisu melihat kondisi yang tidak berperi kemanusiaan yang sedang dihadapi oleh pekerja migran di negara ini.
Kelas pekerja dan pertubuhan pekerja seperti Kesatuan Sekerja harus memberikan solidariti kepada pekerja migran yang sedang ditindas dan menuntut kepada pihak kerajaan untuk sebuah solusi yang lebih baik untuk masalah yang sedang dihadapi. Pada masa yang sama, kelas majikan yang membuat keuntungan yang tidak terhingga tetapi sanggup menyeksa para pekerja mereka haruslah di hukum dengan tegas. Syarikat besar seperti Top Glove yang menjana keuntungan akibat Covid-19 haruslah dikenakan cukai yang setimpal dan dana tersebut boleh digunakan untuk meningkatkan taraf kehidupan bagi semua pekerja.
Isu-isu penindasan pekerja yang di lihat di Top Glove dan di kilang-kilang lain adalah berpunca daripada sistem kapitalisme yang memelihara kehendak dan kemahuan segelintir para elit kaya yang memiliki segala modal dan infrastruktur untuk menggerakkan ekonomi ini. Tetapi, ekonomi ini tidak boleh bergerak tanpa pengorbanan daripada jutaan kelas pekerja yang merupakan majoriti daripada penghuni dunia. Kelas majikan dapat menjana segala keuntungan mereka dengan mengeksploitasi tenaga kerja rakyat biasa dan dengan mengawal kerajaan untuk memberikan ruang secukupnya bagi meneruskan penindasan tersebut.
Oleh itu, kepimpinan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja harus melihat kepada perubahan sistem ekonomi sebagai solusi jangka masa panjang yang benar-benar dapat menyelesaikan semua masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat, termasuk krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang menyusul. Sebagai solusi terakhir, kelas pekerja dan rakyat biasa harus menyusun tenaga mereka, menuntut kuasa politik dan mengambil alih semua kuasa produksi daripada tangan kelas kapitalis dan meletakkan kuasa tersebut di bawah pengawalan demokratik rakyat biasa. Usaha ke arah agenda ini haruslah dimulakan dengan perjuangan-perjuangan di kilang, pemantapan kepimpinan kelas pekerja dan dengan menjalinkan solidariti dengan semua kelas pekerja dan rakyat biasa yang tertindas.