Penipuan Sejarah
Pada 27 Disember 1949, ketika pengisytiharan kedaulatan Negara Republik Indonesia oleh Belanda, West Papua masih merupakan jajahan yang tidak berpemerintahan sendiri. Hanya pada 1 Disember 1961, rakyat West Papua baru mendeklarasikan kemerdekaan mereka dan telah membentuk Dewan Nieuwgunearaad. Walau bagaimanapun, deklarasi tersebut tidak diakui oleh Soekarno yang menganggap ia sebagai negara boneka buatan Belanda. Soekarno kemudian melakukan aneksasi (penggabungan paksa) terhadap West Papua melalui program Trikora (3 Komando Rakyat).
Pada tahun 1963, ketika Indonesia mengambil alih tanggung jawab administratif atas West Papua, rantau itu tetap berstatus jajahan yang tidak berpemerintahan sendiri, padahal rakyat West Papua berhak atas penentuan nasib sendiri dibawah undang-undang antarabangsa. Hak itu telah diakui oleh Indonesia dalam New York Agreement yang menguatkan fakta bahawa Indonesia tidak memiliki kedaulatan atas West Papua. Keberadaan Indonesia di West Papua adalah administrasi kolonial yang boleh bersifat kekal hanya sekiranya rakyat West Papua memilih untuk integrasi melalui penentuan nasib sendiri dengan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa.
Satu-satunya penentuan nasib sendiri yang dilakukan adalah Penentuan Pendapat Rakyat (PEPERA) yang tidak sah pada tahun 1969. Ia tidak sah kerana hanya 1022 orang (4 orang lain tidak mengambil bahagian) yang terlibat dalam pemungutan atau kurang dari 0.2% dari populasi penduduk Papua, yang dikondisikan setuju untuk bergabung dengan Indonesia. Justeru, oleh kerana pengambilalihan tersebut tidak sah, maka West Papua bukanlah bahagian yang sah dari negara Indonesia. West Papua sehingga hari ini tidak mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri dan diduduki oleh tentera Indonesia.
Perkauman dan Genosid
Di samping itu, rakyat Papua juga menghadapi perkauman dan diskriminasi sama ada di tanah Papua ataupun di luar Papua sepertimana yang dialami oleh mahasiswa-mahasiswa Papua di Manado dan Jogjakarta. Lebih teruk lagi, kekerasan dan keganasan yang dilakukan terhadap mereka sudah terjadi selama puluhan tahun. Selama 53 tahun, lebih dari 500,000 orang Papua telah dibunuh. Ini sudah tentu merupakan satu genosid. Pembunuhan itu mula terjadi sejak program Trikora dilaksanakan. Ia kemudian dilanjutkan dengan begitu banyak kes seperti penghancuran gerakan Fery Awom pada tahun 1967, penembakan dan pengeboman penduduk Agimuga oleh Tentara Nasional Indonesia (TNI) pada tahun 1977, pembunuhan di Enarotali, Obano, Moanemani dan Wamena dimana seramai 10,000 orang penduduk Papua lari ke Papua New Guinea (PNG) demi menyelamatkan diri pada sekitar tahun 1977-1978 sehingga awal 1980-an, penangkapan dan pembunuhan Arnold C. Ap aktivis dan seniman Papua pada tahun 1984 dan banyak lagi kekerasan, penyeksaan dan keganasan yang masih dilakukan oleh tentera dan polis Indonesia sehingga ke hari ini. Bahkan, puluhan tahanan politik di Papua hidup di penjara dengan keadaan yang sangat mengerikan.
Rompakan Sumber Alam
Ali Moertopo pada tahun 1966 menyatakan bahawa “Indonesia tidak menginginkan orang Papua, Indonesia hanya menginginkan tanah dan sumber daya alam yang terdapat di dalam pulau Papua. Kalau orang Papua ingin merdeka, silahkan cari pulau lain di Pasifik untuk merdeka. Atau meminta orang Amerika untuk menyediakan tempat di bulan untuk orang-orang Papua menempati di sana”.
Justeru, secara ekonomi, sangat jelas terlihat rompakan sumber alam yang sangat besar di Papua. Seperti di hutan Wasior di mana terjadi pembalakan haram secara besar-besaran yang dilakukan oleh tentera dan beberapa perusahaan lain yang mengakibatkan penggusuran terhadap tanah adat masyarakat di daerah tersebut. Protes dari masyarakat adat kemudian berakhir dengan penembakan dan 6 orang meninggal dunia. Begitu juga dengan projek mega Freeport, sebuah perusahaan lombong emas dan tembaga yang majoriti modalnya berasal dari Amerika Syarikat, yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan maksimum yang boleh mencapai sehingga ratusan juta dan bilion (dalam dolar Amerika Syarikat) dalam hanya setahun. Rompakan sumber alam ini juga menyebabkan pelbagai suku di Papua kehilangan tanah mereka kerana projek Merauke Integrated Food and Energy Estate (MIFEE).
Sosialis Alternatif Malaysia mendukung hak penentuan nasib sendiri West Papua!
Justeru, Sosialis Alternatif Malaysia bersolidariti dan mendukung sepenuhnya hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat West Papua. Apa yang terjadi di West Papua adalah jelas merupakan satu penindasan dan eksploitasi daripada bentuk kapitalisme yang tidak berkemanusiaan. Kami di Sosialis Alternatif Malaysia percaya bahawa rakyat West Papua mempunyai hak mereka untuk menentukan nasibnya sendiri sebagaimana ia juga adalah sebahagian daripada perjuangan demokrasi. Bahkan, perjuangan ini juga adalah perjuangan melawan penjajahan dan syarikat-syarikat korporat antarabangsa yang telah menyokong penjajahan Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) di tanah West Papua untuk keuntungan mereka. Sosialis Alternatif Malaysia juga percaya bahawa hak penentuan nasib sendiri ini adalah sangat penting sebagai upaya permulaan untuk menghentikan segala diskriminasi, perkauman dan keganasan yang dilakukan terhadap rakyat West Papua.
Maka dengan itu, Sosialis Alternatif Malaysia mendukung hak menentukan nasib sendiri untuk West Papua melalui mekanisme yang demokratik. Pelaksanaan referendum ini harus berjalan dengan aman dan keberadaan tentara dan anggota polis mesti ditarik dari tanah Papua. Rakyat Papua Barat juga harus diberikan kebebasan untuk bersuara Kami bersama-sama menyokong usaha-usaha Front Rakyat Indonesia untuk West Papua (FRI-WEST PAPUA) yang berjuang membebaskan rakyat West Papua daripada segala bentuk penindasan yang akan mengadakan aksi massa pada 1 Disember 2016 di seluruh Indonesia. Di samping itu, kami juga berhujah untuk sebuah alternatif sosialis yang akan memelihara rakyat dan alam semulajadi di Papua dan menggantikan sistem kapitalisme yang cuma berpihak kepada segelintir elit.
Oleh itu, kami dari Sosialis Alternatif menyeru kepada semua organisasi kelas pekerja, pertubuhan NGO progresif, kumpulan-kumpulan anak muda dan organisasi berhaluan kiri untuk mengangkat isu masyarakat Papua Barat dan membantah penindasan daripada kelas pemerintah kapitalis Indonesia. Kami juga menuntut supaya :
- Hentikan penindasan terhadap rakyat Papua Barat dan berikan hak penuh kepada mereka untuk memperjuangkan kebebasan dari dalam atau dari luar Papua.
- Kebenaran penyertaan penuh Papua Barat dalam Melanesian Spearhead Group untuk mewakili suara Papua secara demokratik.
- Tarik balik kuasa tentera yang ditempatkan di Papua Barat yang menindas rakyat dan mencantas sebarang gerakan progresif dari kelas pekerja atau aktivis sosial.
- Dekati kelas pekerja dan rakyat biasa Indonesia untuk tidak terhasut dalam isu rasisme, perkauman mahupun agama serta bersolidariti dengan mana-mana masyarakat awam, mahasiswa, dan aktivis terutamanya dari Papua.
- Sokong pembebasan Papua Barat untuk mentadbir secara berdikari di bawah kuasa dan kawalan rakyat dan pekerja.
- Bagi sebuah alternatif sosialis untuk rakyat Papua supaya dapat membebaskan diri daripada belenggu kapitalisme yang menindas.