Kekalahan memalukan calon Pakatan Harapan dalam pilihanraya kecil untuk kawasan Parlimen Tanjung Piai, mencerminkan ketidakpuasan rakyat berbilang kaum terhadap kerajaan PH yang tidak mampu merealisasikan harapan rakyat untuk satu taraf hidup yang lebih baik dan terjamin. Tanpa peningkatan gaji yang berpatutan dan kawalan harga barangan dan kos perkhidmatan di bawah ekonomi terancang yang demokratik berlandaskan hak dan keperluan rakyat terbanyak, harapan rakyat tidak mampu direalisasikan. Ini kerana, sepertimana BN, PH juga terkongkong di bawah hegemoni sistem pasaran bebas yang hanya mengutamakan keuntungan dan kekuasaan kapitalisme daripada keperluan dan harapan rakyat. Beberapa kajian terbaru jelas menunjukkan PH hanya mampu menjadi pak turut kepada kehendak kapitalisme.
Kajian daripada badan kerajaan telah melaporkan bahawa gaji median bagi pekerja telah meningkat sebanyak 6.6% dari tahun 2017 ke 2018 dan kini berada pada RM 2308. Walaupun ini merupakan angka kasar yang sangat berbeza mengikut industri dan kawasan kerja (bandar atau luar bandar), catatan peningkatan ini dipergunakan oleh PH untuk menunjukkan bahawa taraf kehidupan pekerja di Malaysia sedang bertambah baik di bawah pemerintahan mereka. Tetapi, hakikatnya, kebanyakan daripada pekerja di Malaysia tidak merasakan bahawa taraf kehidupan mereka bertambah baik akibat kos kehidupan juga sedang bertambah selaras dengan peningkatan gaji. Malah sebahagian besar kelas pekerja di Malaysia sedang mengalami taraf kehidupan yang semakin merosot.
Walaupun gaji dikatakan sedang meningkat, golongan B40 ataupun golongan pekerja miskin 40% terbawah masih menerima pendapatan isi rumah yang sangat sedikit, iaitu di bawah RM3000 sebulan. Dengan mengambil kira purata isi rumah sekitar 4 orang bagi setiap satu keluarga, gaji individu berada di sekitar RM 1500 sahaja jika dikira secara kasar. Tambahan pula, ada juga kajian yang mendedahkan bahawa 50% daripada rakyat Malaysia sedang menerima gaji bulanan kurang dari RM1700. Ini merupakan jumlah pendapatan yang amat kurang dan tidak setara dengan peningkatan kos kehidupan yang sedang meningkat dengan mendadak, terutamanya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Pada tahun lepas, bank negara telah mengeluarkan sebuah kajian yang mendedahkan bahawa gaji kehidupan yang paling minimum yang harus diterima oleh seorang individu yang berkerja di Kuala Lumpur adalah di sekitar RM2700. Gaji kehidupan ini mengambil kira kos perumahan, pengangkutan, harga barang makanan dan sebagainya. Tetapi hakikatnya, majoriti daripada rakyat Malaysia tidak dapat menikmati sebuah kehidupan yang selesa dengan gaji yang diterima pada masa ini.
Tambahan pula, pekerja wanita di Malaysia menerima gaji yang kurang daripada pekerja lelaki bagi kerja yang sama, sekitar 10% ke 31%. Ini mewujudkan jurang pendapatan dalam purata 21% bagi para pekerja wanita jika dibanding dengan lelaki dan juga memberi kesan dalam jumlah pendapatan isi rumah yang sangat rendah bagi pekerja bergaji rendah.
Gaji minimum yang diumumkan oleh kerajaan pada belanjawan 2020 lepas sebanyak RM1200 merupakan kurang separuh daripada gaji kehidupan yang dicadangkan oleh Bank Negara. Kerajaan juga tidak melaksanakan sebarang program alternatif yang konkrit untuk mengawal harga rumah dan kos barangan yang semakin meningkat. PH sebenarnya tidak meningkatkan dana kebajikan social, dan hanya mampu mengekalkan beberapa bantuan sara hidup yang serupa dengan kerajaan BN sebelum ini tanpa sebarang usaha untuk meningkatkan pendapatan bagi golongan miskin. Keadaan ini sedang mewujudkan situasi di mana peratusan kemiskinan sedang meningkat dan kini seramai 20% daripada rakyat boleh dianggap sebagai golongan miskin tegar. Ini sangat bercanggah dengan laporan dan hujah-hujah kerajaan PH yang sangat berpuas hati dengan prestasi mereka yang langsung tidak dapat memuaskan keperluan majoriti rakyat.
Rakyat Malaysia juga terbeban dengan hutang isi rumah yang kekal sebagai antara yang tertinggi di dunia pada kadar 83% berbanding KDNK. Beberapa kajian mendedahkan bahawa punca hutang yang tinggi ini dipacu oleh harga perumahan yang tidak terkawal dan terus meningkat dari tahun ke tahun. Hampir dua per tiga daripada hutang tersebut adalah hutang pinjaman perumahan dan golongan pekerja bergaji rendah mempunyai beban yang paling banyak berbanding golongan lain. Gaji bulanan yang sangat rendah bermakna isi rumah yang mempunyai hutang yang tinggi berada dalam situasi risiko tinggi, di mana sebarang kecemasan kesihatan, kemalangan atau kehilangan punca pendapatan bagi mana-mana ahli keluarga akan mengakibatkan kegagalan membayar balik hutang mereka dan mewujudkan kadar kemuflisan yang sedang bertambah.
Pada masa yang sama, jurang diantara orang kaya dan miskin sedang semakin melebar di Malaysia. Golongan T20 ataupun golongan berpendapatan paling tinggi 20% menggondol sebanyak 46% daripada kekayaan pukal negara manakala golongan B40 hanya mendapat 17% keseluruhan. Pendapatan purata bagi T20 adalah di sekitar 8 kali ganda gaji purata B40 dan telah meningkat hampir 2 kali ganda dalam 20 tahun. Misalnya, pendapatan purata T20 meningkat dari RM9000 ke RM16000 dari 1995 ke 2016, manakala gaji purata bagi B40 meningkat dari RM1000 ke RM2000 sahaja dalam jangka masa yang sama. Ada juga kajian yang mendedahkan bahawa golongan 10% terkaya kini sedang memiliki lebih separuh daripada kekayaan negara dan 90% rakyat lain terpaksa bersaing antara satu sama lain bagi merebut saki baki tinggal. Walaupun gaji median di Malaysia dikatakan meningkat sebanyak 6.6%, pendapatan bagi golongan 10% terkaya telah meningkat sebanyak 8.3%. Ini mendedahkan jurang yang sangat besar di kalangan golongan kaya dan miskin dan orang kaya yang merupakan minoriti daripada rakyat terus meningkatkan kekayaan mereka manakala golongan miskin terus menjadi miskin.
Walaupun situasi bagi golongan miskin sedang merosot setiap tahun, ini bukanlah sebuah fenomena yang baru dan tren ini sudahpun berpanjangan untuk berdekad-dekad lamanya. Ini adalah disebabkan oleh kekuasaan ekonomi oleh golongan kaya raya dan kerajaan-kerajaan yang hanya menumpukan perhatian bagi melindungi kekayaan golongan elit atasan dan kapitalis dalam dan luar negara. Walaupun kerajaan negara boleh berubah dan diganti dengan kepimpinan baru, situasi ini masih kekal sama dan setiap tahun, harta kekayaan golongan miskin berpindah sedikit demi sedikit kepada minoriti kaya yang mengawal segala aspek ekonomi dan politik negara. Oleh sebab itu, walaupun kekayaan negara boleh meningkat setiap tahun, pengagihan kekayaan tersebut sangat berat sebelah dan hanya dinikmati oleh golongan atasan. Ini merupakan asas kepada sistem kapitalisme yang dipertahankan oleh kedua-dua kerajaan BN dan PH. Percanggahan yang berlaku di kalangan golongan pemerintah adalah sekadar percanggahan idea di kalangan golongan kaya yang mencadangkan polisi-polisi yang berbeza. Ianya langsung tidak mencabar aturan masyarakat yang mengutamakan kelas kapitalis yang menggondol segala kekayaan.
Segala kekayaan di Malaysia dan di dunia adalah dihasilkan oleh kelas pekerja yang mengeluarkan titik peluh mereka setiap hari yang mewujudkan keuntungan bagi pihak majikan. Tetapi keuntungan dan kekayaan tersebut tidak di agihkan secara adil kepada kelas pekerja oleh golongan pemilik syarikat dan korporat kaya. Kerajaan pula merupakan alat bagi golongan kapitalis ini untuk menindas rakyat biasa dan untuk memastikan bahawa aturan sosio-ekonomi ini berterusan tanpa sebarang sekatan. Itulah sebab kenapa segala polisi-polisi ekonomi dan sosial kerajaan hanya menguntungkan segelintir kapitalis kaya sambil menindas majoriti daripada rakyat biasa. Mengikut kajian, hanya sebanyak 35% daripada KDNK negara di peruntukkan ke arah gaji pekerja, selebihnya boleh dianggap sebagai keuntungan bagi pihak majikan.
Keadaan ekonomi bagi jutaan majoriti miskin di Malaysia sedang menekan kehidupan mereka sehingga tercetusnya pelbagai perjuangan di akar umbi. Kedua-dua kerajaan BN dan PH dilihat sebagai menghampakan rakyat dan mewujudkan kekecewaan kepada rakyat yang menaruh harapan kepada mereka. Ini jelas dalam PRK Tanjung Piai, di mana pada PRU ke 14 mereka menaruh harapan kepada PH akibat kegagalan BN meningkatkan taraf hidup, tetapi mengundi BN apabila PH pula menujunkkan sifat yang sama. Tetapi sebenarnya kedua-dua BN dan PH mempunyai acuan politik yang sama, dan tidak mempunyai alternatif politik berlandaskan harapan rakyat. Untuk masa ini, tidak ada sebarang alternatif kepimpinan politik yang benar-benar mampu memperjuangkan kehendak rakyat dan bernekad untuk mengubah aturan sosial ini kepada aturan yang lebih adil.
Aspirasi rakyat yang benar-benar boleh membawa kepada peningkatan taraf kehidupan bagi rakyat miskin hanya boleh dicapai melalui sebuah perjuangan menentang aturan sistem kapitalisme yang tidak adil. Sistem sosialisme yang mengutamakan keperluan rakyat dan bukannya agenda kelas kapitalis kaya adalah satu-satunya jalan keluar yang mampu membebaskan rakyat daripada cengkaman golongan kapitalis. Oleh itu, kelas pekerja dan rakyat biasa haruslah berusaha untuk membina perjuangan yang berteraskan kepada program alternatif rakyat dan membina sebuah kepimpinan politik yang mampu membawa perubahan sistem yang akan memanfaatkan semua. Perjuangan ini haruslah dipimpin melalui sebuah pertubuhan politik yang menyatukan majoriti daripada kelas pekerja dan rakyat biasa menuju ke arah perubahan sistem dan bagi menubuhkan sebuah sistem alternatif sosialis yang demokratik dan berpihak kepada rakyat massa.
Untuk merealisasikan perjuangan ini, kelas pekerja dan rakyat biasa harus berganding bahu dan menubuhkan sebuah parti politik massa, yang dikawal secara demokratik oleh kelas pekerja biasa dan membawa program rakyat yang boleh membawa inspirasi kepada majoriti bagi memperjuangkan agenda tersebut. Parti itu juga harus berbekalkan dengan sebuah alternatif sosialis yang jelas, bagi meyakinkan jutaan rakyat bahawa hanya dengan perubahan sistem, sebuah masa depan yang terjamin bagi semua boleh dibina.