Pada 1 Ogos, SIP dibentangkan di parlimen untuk dilaksanakan pada tahun 2019 di bawah pengurusan PERKESO (SOCSO) dengan sumbangan bulanan 1 peratus daripada kedua-dua pihak pekerja dan majikan. SIP bertujuan untuk melindungi seramai 6.5 juta pekerja swasta sekiranya diberhentikan kerja akibat keadaan ekonomi yang tidak stabil. Antara perlindungan yang diberikan adalah menyediakan bantuan kewangan selama 6 bulan, dan mendapatkan kerja baru.
Sejurus selepas dibentangkan, SIP mendapat tentangan daripada beberapa pihak terutamanya majikan dan kesatuan. Majikan seperti biasa membantah dengan alasan akan membebankan mereka, iaitu dengan kata lain akan menyusutkan keuntungan mereka. Manakala, kesatuan pula membantah sebab kerajaan tidak melibatkan mereka dalam rundingan SIP, dan mempersoalkan beberapa kaedah perlaksanaan. Selepas bantahan tersebut, kini jumlah sumbangan dijangka akan dikurangkan kepada 0.4 daripada 1 peratus, dan akan dibentangkan semula untuk bacaan kedua di sidang parlimen bulan Oktober.
Persoalannya, adakah ini satu kejayaan besar kepada pekerja seperti yang dilaungkan oleh beberapa pihak termasuk kerajaan?
Punca krisis ekonomi adalah akibat daripada persaingan, perjudian dan percaturan ke atas keuntungan yang terus dipermainkan oleh kelas kapitalis antarabangsa mahupun tempatan. Manakala kerajaan pula membuat polisi dan undang-undang untuk melindungi permainan ini dalam sistem pasaran bebas. Jadi, adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan dan juga majikan untuk memastikan pekerja yang setiap hari membanting tulang untuk pembangunan negara serta menjanakan keuntungan dilindungi dengan sewajarnya, terutama daripada kesan-kesan krisis ekonomi seperti pemberhentian kerja dan penutupan kilang.
Hakikatnya, kerajaan dan majikan akan menentukan, mengawal dan mengurus aktiviti-aktiviti pelaburan dan perniagaan tanpa penglibatan secara demokratik daripada pekerja. Justeru, mereka hanya mengeksploitasi tenaga buruh pekerja untuk kepentingan keuntungan maksimum bagi pihak majikan dan mempertahankan kuasa untuk kerajaan. Maka adalah wajar SIP ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan majikan, dan bukannya membebankan pekerja yang langsung tidak diberikan peranan dalam menentukan polisi-polisi ekonomi dan pelaburan.
Walaupun, jumlah sumbangan yang dicadangkan untuk SIP adalah kecil bagi setiap pekerja individu, tetapi ia melibatkan sumbangan bernilai ratusan juta ringgit setiap bulan daripada semua warga pekerja ke PERKESO. Ini bukan sekadar isu sumbangan sahaja, isu pokoknya adalah siapa yang harus bertanggungjawab terhadap SIP? Sekiranya ada dana baru, ianya akan menguntungkan kerajaan terutamanya dalam aktiviti pelaburan yang biasanya akan dimanfaatkan oleh ahli politik dan kroni kerajaan. Skandal rasuah dalam FELDA dan penahanan Isa Samad adalah salah satu contoh di mana dana yang dikumpulkan daripada rakyat dipergunakan sewenang-wenangnya untuk kemewahan ahli-ahli politik dan kroni kerajaan.
PERKESO mempunyai berbilion-bilion ringgit dalam tabungnya, dan mengapa sebahagian daripada dana tersebut tidak diperuntukkan untuk tujuan SIP?
HRDF (Dana Pembangunan Sumber Manusia) yang sepatutnya memberikan latihan untuk pekerja yang diberhentikan kerja juga mempunyai dana berbilion ringgit dan secara logiknya boleh dimanfaatkan untuk SIP. Pengumuman satu lagi pengumpulan dana seperti SIP adalah amat mencurigakan dengan adanya berbagai-bagai skandal yang sedang ditanggung oleh kerajaan pada masa ini.
Selama ini, kerajaan dengan desakan majikan telah melemahkan manfaat dan penguatkuasaan yang harus diperolehi oleh pekerja dalam akta kesatuan sekerja, akta buruh dan akta pekerjaan serta hak untuk mogok semata-mata untuk melindungi sistem pasaran bebas kapitalisme. Ini termasuk menganaktirikan pekerja dan mengutamakan majikan dalam isu pemberhentian kerja dan penutupan kilang. Misalnya jika sesuatu syarikat bankrap, keutamaan pampasan kepada pekerja adalah yang terakhir sekali selepas tuntutan pihak-pihak lain seperti bank diselesaikan, di mana dalam banyak keadaan, para pekerja tidak akan mendapat sebarang pampasan. Seharusnya undang-undang dan akta yang berkaitan dengan pekerja harus diperkukuhkan, dan ini tidak dilakukan oleh kerajaan.
Ketika ini kerajaan menjadikan isu pekerja seperti SIP sebagai gula-gula pilihanraya untuk mendapatkan undi pekerja, manakala hak dan demokrasi pekerja terus terhancur disebabkan oleh polisi-polisi yang menyebelahi kelas majikan. SIP juga ingin dipergunakan oleh kerajaan untuk mempertahankan sistem pasaran bebas ketika ianya di dalam krisis, dan sama seperti BRIM, SIP juga tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah dan isu asas kelas pekerja.
Sosialis Alternatif percaya hanya dengan hak dan perlindungan yang wajar, taraf hidup pekerja boleh dipertingkatkan, dan ini hanya boleh dicapai melalui perjuangan gerakan pekerja dan kesatuan sekerja. Bagi mencapai perubahan yang nyata, kelas pekerja bersama dengan anak muda harus memimpin satu gerakan politik massa yang mampu mengalahkan agenda elit kapitalis dan membawa aspirasi rakyat biasa ke hadapan.