Tahun 2011 bermula dengan tunjuk perasaan besar-besaran yang telah tersebar di Timur Tengah dan Afrika Utara dan menggegarkan rejim-rejim autokratik yang bermaharajalela di rantau ini. Para diktator – Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir – yang tampil teguh untuk berdekad-dekad lamanya, disingkirkan dari kekuasaan oleh gerakan anak muda dan kelas pekerja yang luar biasa. Gerakan-gerakan massa ini telah menjadi inspirasi kepada rakyat di seluruh dunia untuk berjuang menuntut hak mereka.

Pencetus awal gerakan ini adalah apabila seorang penjual buah di Tunisia, Mohamed Bouazizi, yang membakar dirinya sebagai tanda protes atas kehidupan yang penuh dengan kemiskinan dan penindasan dari pihak polis. 

Kemiskinan, rasuah, penindasan dan penghinaan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara telah mencetuskan sebuah gelombang gerakan massa yang bersejarah. 

Bouazazi (pemuda yang membunuh diri) menetap di Sidi Bouzid, di mana kadar pengangguran rasmi di kawasan ini adalah lebih 30%. Upah yang rendah dan kenaikan kos makanan dan barang asas lain telah mendorong ketidakpuasan di kalangan rakyat. Begitulah keadaan seluruh rantau ini sehingga revolusi di Tunisia dan Mesir telah diikuti dengan gerakan massa di Yaman, Bahrain, Libya dan Syria.

Apabila berita mengenai kejatuhan Mubarak disambut oleh kelas pekerja Mesir dan seluruh dunia, anggota CWI (Jawatankuasa Kelas Pekerja Antarabangsa) telah berkempen di jalanan Kaherah dengan risalah bahasa Arab yang mencadangkan beberapa langkah penting untuk menyatukan rakyat dan memajukan perjuangan massa.

Kami mendesak, “rakyat tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada birokrasi tentera dan harus menolak kepimpinan dari semua pegawai atasan yang telah berkhidmat untuk Mubarak”. Ini merupakan tugasan utama pada waktu itu kerana kepimpinan tentera telah bergerak dengan cepat untuk memberikan jaminan palsu kepada para penunjuk perasaan bahawa pihak tentera akan memainkan peranan untuk mengawasi peralihan kuasa kerajaan.

Risalah CWI menyokong semua perjuangan untuk hak demokratik, termasuk kebebasan politik dan hak kesatuan sekerja untuk mengatur dan mengambil tindakan industri. Pada masa yang sama, ia juga menyeru untuk mengheret semua penindas yang berkuasa di bawah rejim Mubarak ke mahkamah rakyat untuk diadili secara demokratik.

Semua perkara ini hanya boleh dilakukan dengan mendirikan Jawatankuasa Kelas Pekerja dan komuniti setempat di kalangan rakyat yang boleh menjadi asas kepada pemerintahan baru yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat biasa. 

Kerajaan yang didirikan oleh rakyat boleh mengambil alih semua  industri dan perkhidmatan utama untuk menjadi hak milik orang ramai dan berpecah dengan sistem kapitalisme. Kapitalisme merupakan sebuah sistem yang hanya menawarkan mimpi buruk untuk sebahagian besar daripada umat manusia.

Langkah-langkah untuk mewujudkan jawatankuasa aktivis tempatan telah berlangsung. Begitu juga dengan langkah penting dalam membangun kesatuan sekerja yang bebas dan bersedia untuk berjuang. Tetapi, perkembangan ini sahaja tidak mencukupi. Tambah dengan langkah-langkah dari kelas kapitalis dunia, campur tangan imperialisme dan helah dari birokrasi tentera, gerakan ini tidak berjaya membuahkan sebuah kepimpinan rakyat yang jelas. 

Sejarah menunjukkan bahawa tidak ada kelas kapitalis – sama ada jenis pemerintahan yang kejam atau lebih jinak – yang akan terus menyerahkan kekuasaan kepada rakyat majoriti apabila menghadapi kebangkitan rakyat. Tanpa langkah-langkah konkrit untuk menghapus “semua sisa rejim lama” seperti yang dibahaskan oleh CWI, pemerintahan kapitalis pasti akan berlanjutan di Mesir dan Tunisia dengan hanya perubahan yang sedikit di atas permukaan sahaja. 

Dengan ketiadaan sebuah Parti Pekerja massa untuk menawarkan alternatif, pilihan raya umum Mesir pada tahun 2012 memberikan kemenangan kepada Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) yang membentuk sebuah struktur pemerintahan kapitalis. Ikhwanul Muslimin yang diketuai oleh Mohamed Morsi, tidak pernah dan tidak berniat langsung untuk memenuhi tuntutan revolusi rakyat yang telah menggulingkan pemerintahan Mubarak. 

Selepas satu tahun, berikutan demonstrasi besar-besaran oleh rakyat, Ikhwan Muslimin juga jatuh dalam rampasan kuasa oleh tentera, yang membuka jalan kepada penubuhan sebuah rejim tentera yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Sisi sehingga ke hari ini. Di bawah sebuah rejim yang kejam dan bepaksikan sistem kapitalisme, masyarakat Mesir sedang menghadapi kehidupan yang lebih teruk berbanding di bawah rejim Mubarak. 

Maklumat yang diperoleh melalui tinjauan media The Guardian ‘YouGov’ baru-baru ini telah mendedahkan bahawa kurang dari satu perempat daripada rakyat Mesir menganggap bahawa kehidupan mereka telah bertambah baik berbanding sepuluh tahun yang lalu. 

Mengkhuatiri sebuah cetusan kemarahan baru dari rakyat, diktator al-Sisi telah meningkatkan hukuman penjara dan penindasan terhadap orang-orang yang menentang rejimnya. Tetapi, peristiwa tahun 2011 menunjukkan bahawa apabila majoriti daripada masyarakat bangkit dan berjuang dengan satu tenaga, tidak ada aparatus kerajaan yang cukup kuat untuk menahan mereka.

Situasi yang sama juga dihadapi oleh Tunisia dengan segala kemenangan yang terhad yang dimenangi dari revolusi 2011 telahpun habis terhakis dan sedang melihat peningkatan dalam pengangguran dan kemerosotan dalam taraf hidup. Tambahan pula, protes-protes baru dari kalangan rakyat sudahpun mula tercetus di sana sini. Tunis dan bandar-bandar utama lain sedang menyaksikan kebangkitan anak muda yang marah dengan peningkatan kadar pengangguran yang mendadak dan kegagalan pihak kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada masalah mereka. 

Semua parti-parti kapitalis yang mengambil alih kerajaan Tunisia telah gagal untuk membawa sebuah perubahan yang nyata, sepertimana yang dikehendaki oleh rakyat yang telah turun ke jalan raya dan berjuang demi kejatuhan diktator Ben Ali. Walaupun sudah 10 tahun sejak kejatuhan diktator, masyarakat Tunisia masih menghadapi masalah kemiskinan, kerajaan yang korup, perpecahan di kalangan rakyat dan ancaman terorisme. 

Oleh itu, tidak hairanlah bahawa ada di kalangan rakyat yang sudahpun berputus asa dan merasakan bahawa perjuangan ke arah stabiliti adalah lebih penting berbanding demokrasi. Ini tercermin dalam peningkatan sokongan bagi Parti Konstitusi yang dipimpin oleh penyokong Ben Ali baru-baru ini.

Revolusi dan kontra-revolusi

Bersama dengan harapan yang hancur di Mesir dan Tunisia, kontra-revolusi yang berlaku di dekad lepas adalah juga termasuk kebangkitan massa di Baharin yang dihancurkan oleh Arab Saudi dan perang-perang sivil yang tercetus di Yaman, Syria dan Libya. Campur tangan oleh pelbagai kuasa imperialis dari seluruh dunia, yang berusaha untuk mempromosikan kepentingan mereka sendiri, telah memainkan peranan besar dalam memburukkan lagi perang-perang tersebut.

Walaubagaimanapun, pada tahun-tahun kebelakangan ini, kita juga menyaksikan protes-protes dan gerakan baru mula muncul di rantau ini. Gerakan revolusi pada 2018-19 telah melihat penyingkiran Presiden Omar Al-Bashir dari tampuk kuasa. 

Sembilan hari sebelum kejatuhannya, Presiden Bouteflika juga dipaksa keluar dari kerajaan Algeria selepas protes besar-besaran yang tercetus di seluruh negara itu. 

Di Lubnan, selepas letupan bahan kimia di pelabuhan Beirut Ogos lalu, pihak kerajaan yang korup dan tidak bertanggung jawab telah menghadapi protes besar-besaran yang bersejarah. 

Gelombang kebangkitan kelas pekerja yang bermula di Iran pada 2018 telah melihat kesinambungan dalam perjuangan-perjuangan kelas pekerja yang berterusan di sana. Walaupun dalam skala yang lebih kecil, negara-negara seperti Iraq, Jordan dan Maghribi juga melihat cetusan kemarahan dan protes dari kelas pekerja. 

Semua kebangkitan rakyat ini berpunca daripada taraf kehidupan yang merosot sehingga menyebabkan kemarahan rakyat yang tidak boleh dipendam lagi. Majoriti daripada penduduk di rantau ini merupakan anak muda yang tidak mempunyai sebarang prospek untuk menjalani sebuah kehidupan yang bermaruah. 

Dengan ekonomi yang dilanda krisis, taraf hidup bagi kebanyakan rakyat akan terus merosot dalam dekad baru ini. Tambahan pula dengan golongan kaya yang terus menghirup segala harta rakyat miskin, perintah untuk melaksanakan penjimatan oleh IMF, impak krisis iklim dan pandemik Covid -19 sekarang, rakyat di rantau ini tidak mempunyai sebarang jalan lain selain untuk berjuang demi hak mereka di jalan raya dan di tempat kerja. 

Mencapai perubahan

Satu pengajaran yang dapat dipelajari dari peristiwa-peristiwa 2011 yang boleh dilihat dalam slogan-slogan gerakan rakyat yang berkembang selepas itu, adalah bahawa ianya tidak mencukupi sekadar untuk menukar satu sosok presiden atau pemimpin dengan yang baru. 

Di Algeria, di Lebanon dan di Iraq, rakyat menuntut agar seluruh sistem politik yang berdasarkan pada golongan elit disingkirkan dari akarnya. Mereka juga menolak perpecahan berdasarkan mazhab. Ini terutamanya jelas di Lubnan, di mana gerakan rakyat secara aktif telah menolak sistem politik sektarianisme yang memecah belahkan perpaduan rakyat. 

Pembentukan kerajaan gabungan yang dikuasai tentera di Sudan tahun lalu juga menggambarkan isu-isu penting yang timbul setelah kuasa diktator dikalahkan oleh perjuangan rakyat.

Persoalan yang dihadapi oleh masyarakat rantau ini  adalah: Apa yang harus menggantikan sistem politik sekarang, dan bagaimana hal itu dapat dicapai? Ini mewujudkan keperluan untuk membina parti-parti politik massa yang mampu mencabar parti-parti kapitalis. Pada masa yang sama, parti yang mewakili kepentingan massa juga haruslah bebas dari pengaruh kapitalis, dan meletakkan program yang bukan sahaja menuntut penggulingan struktur politik sedia ada, malah untuk menggulingkan sistem yang menjadi asas kepada struktur politik tersebut, iaitu kapitalisme. 

Kelas yang mampu untuk membina sebuah kepimpinan dan kuasa politik sebegitu merupakan kelas pekerja. Ini kerana kelas pekerja tidak mempunyai kepentingan umum untuk memelihara sistem kapitalisme. Juga, sebagai kelas utama di bawah sistem kapitalisme yang menghasilkan segala barangan dan memberikan perkhidmatan, kelas pekerja memiliki kekuatan yang besar – melalui aksi mogok umum – untuk menjatuhkan kelas kapitalis.

Para aktivis di gerakan 2011 melihat idea untuk membina parti politik sebagai tidak menarik akibat kemerosotan perspektif politik dan birokrasi dari kepimpinan parti-parti kiri di dalam sejarah rantau ini. Tetapi kebangkitan massa dan revolusi di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara selama satu dekad terakhir ini mendedahkan had-had yang wujud dalam gerakan rakyat yang spontan dan tidak teratur. Sejarah membuktikan bahawa perlunya sebuah kepimpinan dari kelas pekerja dan rakyat sendiri untuk mengatur hala tuju ekonomi dan politik negara, di peringkat lokal, wilayah dan nasional.

Bagi mencegah kemerosotan politik, organisasi rakyat memerlukan struktur yang memberi ruang perbincangan dan perbahasan di semua peringkat – dan proses membuat keputusan yang demokratik, oleh wakil rakyat yang bertanggung jawab sepenuhnya kepada rakyat yang memilih mereka. Ini bermaksud bahawa ahli-ahli biasa mempunyai hak untuk menukar ganti wakil mereka pada bila-bila masa yang diperlukan.

Mengatur penentangan terhadap rejim yang kejam adalah, pada hakikatnya, sesuatu yang amat sukar dan berbahaya. Ada pelbagai pengajaran berharga yang dapat dipelajari dari sejarah, termasuk kaedah dan struktur yang digunakan oleh Parti Bolshevik di Rusia pada tahun-tahun sebelum Revolusi 1917, ketika berada di bawah Tsarisme dengan penuh tekanan. Hari ini, komunikasi elektronik boleh menjadi alat yang berguna untuk mengatur perjuangan rakyat, tetapi ia bukanlah tanpa kelemahannya, terutamanya di bawah rejim otoriter yang sentiasa memantau dan boleh menghentikan semua media internet pada bila-bila masa. 

Di samping keperluan untuk membina parti pekerja massa, persiapan juga diperlukan untuk membekalkan parti tersebut dengan idea-idea sosialis revolusioner, yang penting untuk menyatukan semua gerakan-gerakan rakyat di bawah perjuangan bersama. 

Banyak petunjuk dapat diperoleh dari mempelajari revolusi-revolusi masa lalu, dari Komune Paris 1871 (yang merupakan ulang tahun ke-150 tahun ini) hingga revolusi Rusia pada tahun 1917 yang berjaya menjatuhkan kapitalisme, dan revolusi-revolusi lain di abad ke-20: di China, Sepanyol, Chile, Portugal dan sebagainya.

Antara pelajaran penting dari sejarah adalah juga termasuk persoalan berkenaan dengan tentera dan pasukan keselamatan negara kapitalis. Di revolusi Mesir 2011, kepimpinan dan birokrasi tentera mendapati bahawa askar-askar berpangkat rendah tidak boleh dipercayai untuk menentang rakyat yang sedang berjuang di jalanan. Ini adalah kerana majoriti daripada askar berpangkat rendah datang dari latar belakang kelas pekerja dan juga bersimpati dengan seruan rakyat yang mencari perubahan. Risalah CWI yang disebutkan di atas juga menyarankan pembentukan jawatankuasa demokratik dalam angkatan bersenjata dan polis untuk memastikan bahawa tidak ada orang yang dapat menggunakan pasukan tersebut untuk menentang kehendak rakyat. 

Panduan politik dan cara menyusun organisasi juga boleh dipelajari dengan membaca dan membincangkan tulisan-tulisan Marxis, terutama oleh Lenin, Trotsky, Engels dan Marx sendiri, yang semuanya mendasarkan idea mereka pada analisis Marxis (kajian berkenaan dengan perkembangan sistem kapitalisme, sistem masyarakat sebelum kapitalisme dan pergolakkan dalam kehidupan kelas pekerja di bawah sistem ini). 

Teori ‘Revolusi Kekal’ Trotsky sangat relevan dengan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara hari ini kerana ia menjelaskan mengapa kelas kapitalis di negara-negara yang kurang maju tidak dapat membawa ‘demokrasi’ kapitalis sepertimana yang dinikmati oleh rakyat dari negara-negara yang lebih maju.

Pendekatan Marxis juga penting untuk mengelakkan kesalahan serius dari organisasi kiri untuk menganjurkan ‘fron popular’ atau pakatan dengan parti-parti kapitalis, yang akhirnya akan mengekang perjuangan mereka, seperti yang berlaku di Mesir dan Tunisia semasa peristiwa 2011-12.

Sebaliknya, adalah mustahak agar gerakan pekerja berdiri bebas dari semua pengaruh kapitalis dan menentangnya dengan tegas. Kekuatan gerakan rakyat harus dikerah untuk mewujudkan perhimpunan konstituen yang benar-benar demokratik dan revolusioner, di mana wakil pekerja, petani kecil, orang muda dan orang miskin dapat membincangkan program transformasi masyarakat dari kapitalisme ke sosisalisme demokratik. 

Hanya dengan cara itu, impian jutaan rakyat untuk masa depan yang lebih baik akan menjadi kenyataan. Ini merupakan satu-satunya harapan bagi rakyat biasa di rantau ini untuk berkongsi kekayaan dan membina masyarakat baru berdasarkan kerjasama, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan semua.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *