Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Perjuangan untuk menjamin hak dan kebajikan wanita adalah perjuangan melawan agenda kapitalisme!

8 Mac adalah hari penting yang menggambarkan perjuangan hak dan kebajikan wanita di seluruh dunia. Sehingga hari ini, wanita masih lagi ditindas berganda. Pertama, mereka berada dalam cengkaman kekuasaan kapitalis dan kedua, mereka ditindas di dalam masyarakat kerana status gender mereka. Dalam konteks ini, wanita tidak harus memusuhi golongan lelaki, tetapi memperhalusi dengan kritis akan sebab-sebab berlakunya penindasan terhadap golongan wanita. Ia sebetulnya dapat dilihat pada susunan masyarakat kelas yang tidak adil dan sistem sosial patriarki. Ini kerana, sistem patriarki menekankan kedudukan lelaki sebagai unggul dan lebih penting dalam masyarakat berbanding wanita. Pendek kata, sistem ini membuatkan wanita tunduk kepada kekuasaan lelaki dan keadaan ini mengakibatkan wanita cenderung untuk didominasi dan dieksploitasi. Apatah lagi apabila patriarki juga ditekankan oleh sistem kapitalisme yang mempergunakannya untuk mengumpul sebanyak mungkin keuntungan swasta. Malah, wanita dijadikan sebagai komoditi yang boleh dijual beli oleh yang berkemampuan. Tambahan pula, penindasan terhadap golongan wanita juga terjadi akibat institusi masyarakat kelas yang bergerak dalam konsep harta persendirian dan pasaran bebas.

Di Malaysia, diskriminasi dan sikap merendah-rendahkan wanita terus terjadi. Wanita dianggap sebagai rakyat kelas kedua dengan alasan mereka beremosi dan lemah secara fizikal. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyatakan bahawa negara berpendapatan tinggi tidak patut bergantung kepada wanita sebagai penyumbang utama dan golongan lelaki harus mengetuai usaha untuk membina negara. Ridhuan Tee pula menyalahkan golongan wanita sebagai punca berlakunya masalah rogol. Di Terengganu wanita dilarang untuk membonceng motosikal yang ditunggang oleh lelaki. Pada masa yang sama, purata gaji bagi golongan wanita di negara ini masih rendah berbanding lelaki dan wanita sering terdedah kepada keganasan rumah tangga dan serangan seksual di tempat kerja dan awam.

Setiap tahun, di Malaysia sahaja, seramai 3000 wanita sedang menjadi mangsa rogol. Dikatakan setiap 35 minit, seorang gadis dirogol dan sejumlah besarnya adalah dari golongan 16 tahun ke bawah. Peningkatan keganasan seksual terhadap wanita juga dilihat dengan gangguan emosi yang terjadi akibat budaya seksisme yang merebak melalui laman sosial dan di tempat kerja. Kebanyakan daripada wanita di Malaysia tidak ada cara lain dan terpaksa bersabar dengan budaya seksisme kerana ketiadaan ruang untuk bersuara menentang penindasan tersebut. Sikap masyarakat yang menilai wanita pada paras rupa dan tubuh badan itu seringkali digunakan untuk justifikasi keganasan seksual.

Program penjimatan kerajaan yang memotong dana-dana sektor awam termasuk peruntukan kebajikan wanita juga membebankan wanita. Begitu juga dalam isu pembuangan kerja yang mendadak ketika krisis ekonomi. Wanita yang memenuhi separuh dari sektor pekerjaan turut merasai impak ini. Di kebanyakkan tempat, jumlah wanita yang kehilangan pekerjaan adalah dua kali ganda berbanding golongan lelaki. Semakin ramai golongan wanita terpaksa meneruskan rumah tangga dalam keadaan tertindas dan teraniyaya akibat pergantungan ekonomi kepada pihak lelaki dan kekurangan kebajikan daripada kerajaan.

Dengan pemilihan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat, kita dapat lihat bagaimana sistem ini membolehkan seorang yang taksub dan seksis untuk menduduki takhta pemerintahan negara termaju di dunia. Di pihak lain, Hillary Clinton juga merupakan seorang pendokong sistem kapitalisme yang langsung tidak akan membawa sebarang perubahan dalam kualiti kehidupan seorang wanita. Sistem kapitalisme sedang mendedahkan ketempangannya melalui sistem pilihanraya yang langsung tidak memberikan sebarang jalan keluar bagi keperitan hidup rakyat biasa. Trump seperti apa yang akan dilakukan oleh Clinton jika diberi peluang, akan terus mempergunakan bentuk-bentuk penindasan yang wujud di dalam patriarki untuk menjamin kesinambungan sistem kapitalisme. Perpecahan perpaduan yang wujud di antara wanita dan lelaki dalam patriarki akan dipergunakan sebagai senjata untuk mengalahkan segala penentangan yang dihadapi olehnya. Pada masa ini, Trump sudahpun memulakan serangan terhadap dana kebajikan wanita dan dana kesihatan awam yang akan memberikan kesan yang mendalam bagi rakyat Amerika.

Sistem kapitalisme yang diamalkan di negara kita juga sudah lama mendedahkan sikap seksis dengan perlaksanaan beberapa undang-undang yang menindas wanita. Di samping golongan wanita jarang mendapat kesamarataan di tempat kerja dan di arena politik, institusi agama juga dipergunakan untuk menyekat kebebasan wanita. Golongan lelaki sering menikmati kelebihan dalam peluang pekerjaan, hal perceraian, penglibatan dalam politik dan digambarkan sebagai lebih berkebolehan berbanding wanita.

Bagi mencari sebuah penyelesaian yang nyata bagi seluruh warga perempuan, sistem kelas yang mengangkat patriarki ini harus diubahkan dahulu. Realitinya, walaupun dalam sistem yang tidak adil ini, jika golongan wanita dapat berpadu dan berjuang, mereka masih boleh memenangi hak-hak yang sangat penting. Itulah yang boleh dipelajari daripada perjuangan-perjuangan wanita yang lepas. Tetapi, tanpa sebuah penyelesaian kepada masalah asas, iaitu masalah susunan masyarakat yang mewujudkan kelas, segala kemenangan perjuangan itu tidak terjamin. Banyak daripada kemenangan perjuangan wanita lepas telah ditarik balik pada masa-masa krisis ekonomi dan cara-cara penindasan yang baru telah mula muncul.
Perjuangan hak wanita termasuk hak untuk kesamarataan dalam ekonomi dan hak-hak asasi untuk wanita harus diteruskan. Perjuangan masalah harian yang dihadapi oleh kelas pekerja dan golongan wanita, perlu dihubungkaitkan dengan perjuangan menentang struktur masyarakat kelas dan menukar sistem kapitalisme kepada sistem sosialisme untuk menjamin hak dan kebajikan semua.

Tuntutan kami adalah :

Gaji yang sama rata bagi wanita dan lelaki

Peluang pekerjaan dan hak politik, ekonomi dan sosial yang sama rata dengan lelaki

Mengiktiraf beban dan kerja surirumah sebagai kerja produksi sosial untuk menjamin hak dan kebajikan surirumah dan keluarga

Berikan hak reproduksi untuk menentukan haluan hidup sendiri secara demokratik kepada wanita

Wujudkan kemudahan kesihatan yang mencukupi untuk menjamin keperluan kebajikan dan kesihatan wanita

Cuti berbayar yang mencukupi bagi wanita untuk menghadapi kedatangan haid dan jika mengandung.

Pembesaran kanak-kanak adalah tanggungjawab masyarakat dan harus disediakan peruntukan secukupnya oleh kerajaan untuk membantu membesarkan mereka.

Hapuskan budaya seksisme di institusi pengajian dan di tempat kerja

Hak untuk menubuhkan kesatuan sekerja bagi semua pekerja

Gaji minimum berlandaskan kepada inflasi bagi semua tidak kira kaum, agama dan jantina

Badan komuniti yang dipilih secara demokratik oleh rakyat harus diberikan kuasa dalam mengawal dan mengurus hal ehwal agama dan budaya.

Pengawalan produksi secara demokratik oleh kelas pekerja dan komuniti

Ubah sistem patriarki dan sistem kelas dan gantikan dengan alternatif sosialis untuk menjamin hak dan kebajikan majoriti kelas pekerja dan rakyat tertindas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *