Hari 1 Mei yang menjadi simbol perjuangan kelas pekerja untuk lebih 150 tahun terpaksa disambut di dalam keadaan yang penuh dengan ketidaktentuan dan huru hara pada tahun ini. Pandemik Covid-19 dan kemurungan ekonomi global sedang memberikan kesan yang mendalam kepada jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin dari seluruh dunia.
Tetapi, walaupun dalam keadaan ini, perjuangan-perjuangan bersejarah kelas pekerja yang telah mempertahankan hak kita sebagai rakyat tertindas harus menjadi inspirasi dan menguja kita untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia dengan semangat untuk mencari jalan keluar daripada malapetaka yang sedang melanda umat manusia.
Pada Hari Pekerja Sedunia kami berdiri teguh dengan rakyat yang menentang semua jenis diskriminasi, biarlah berdasarkan gender, ras, etnik, umur, kewarganegaraan dan agama.
Pada masa yang sama, pada hari yang penuh sejarah ini, kami juga ingin memperingati pengorbanan dan perjuangan kelas pekerja lepas, disamping mengangkat gerakan rakyat tertindas yang sedang berkembang pada waktu ini.
Memperingati pengorbanan kelas pekerja dan rakyat tertindas
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada awal tahun lalu sudahpun menelan sebanyak 3 juta nyawa manusia dalam jangka masa satu tahun. Di Malaysia sahaja sebanyak 400 ribu orang sudahpun dijangkiti virus ini dengan peningkatan kes baru yang melebihi 3000 sehari. Walaupun Vaksin sudahpun diedarkan selama lebih 4 bulan sekarang, masih, kurang daripada 4% daripada masyarakat dunia yang dilaporkan mendapat imunisasi setakat ini. Bagi lebih 100 negara termiskin di dunia, mereka dijangka tidak akan mendapat dos pertama vaksin sehingga tahun 2023.
Di Malaysia juga, program imunisasi nasional tidak bergerak dengan lancar dan setakat ini kurang daripada 2% rakyat telah mendapat dos vaksin yang secukupnya. Tambah dengan masalah pembekalan vaksin sedunia pada waktu ini, nampaknya lebih ramai rakyat miskin akan terus menjadi mangsa pandemik ini dalam bulan-bulan yang akan datang.
Bukan sekadar itu, kelas pekerja juga telah mengambil risiko yang besar untuk terus menggerakkan ekonomi negara dalam keadaan pandemik yang boleh meragut nyawa mereka. Terutamanya bagi para pekerja ‘essential’ yang menjadi nadi utama untuk menguruskan segala keperluan masyarakat, pandemik ini merupakan sebuah mimpi ngeri yang berpanjangan.
Setiap hari, para pekerja penghantar makanan dan barangan, pekerja pembersihan, pekerja sektor kesihatan, pekerja ekonomi ‘gig’ dan jutaan kelas pekerja telah mengambil risiko bukan sahaja ke atas diri mereka, malah ke atas keluarga dan komuniti setempat mereka bagi memenuhi kehendak negara.
Manakala, kelas majikan dan korporat kaya dapat menikmati kehidupan yang selesa dan terlindung daripada ancaman Covid-19 sambil menikmati keuntungan yang lumayan hasil usaha kelas pekerja.
Kelas majikan kaya dan kapitalis melihat pandemik ini sebagai sebuah berkat yang membolehkan mereka menikmati keuntungan yang lumayan ataupun bantuan kewangan daripada pihak kerajaan. Top Glove meraih hampir 400% keuntungan bersih dalam tahun 2020 dan pemilik Air Asia mendapat hutang bernilai RM1 bilion untuk membantu mereka dalam keadaan yang terdesak ini.
Golongan elit dan ahli-ahli korporat tidak perlu risau dengan masa hadapan mereka, tetapi, apakah nasib ribuan para pekedai kecil dan sederhana yang terpaksa menutup operasi mereka akibat sekatan PKP dan kesan pandemik?
Bagaimana pula dengan nyawa jutaan pekerja migran yang disumbat ke dalam penempatan yang teruk dan tidak mempunyai kemudahan asas. Hasil pendedahan yang berlaku selepas penyebaran kes Covid di kalangan pekerja migran di hostel-hostel kilang, majoriti daripada pihak majikan didapati melanggar segala peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan menindas pekerja ini tanpa peri kemanusiaan. Gambar-gambar penempatan pekerja di dalam kontena kapal yang tidak mempunyai tandas dan sumber air telah tersebar di media-media sosial tempatan pada tahun lalu.
Pertama kali dalam 30 tahun, Malaysia melihat kadar pengangguran negara mencapai 5%. Ini tidak termasuk ribuan pekerjaan yang hilang dalam sektor-sektor informal yang tidak diambil kira di dalam statistik tersebut. Kilang-kilang besar yang menjadi tempat mencari nafkah bagi jutaan pekerja sedang ditutup bersama dengan syarikat-syarikat teknologi maklumat yang sedang mengalihkan operasi mereka ke negara lain.
Di dalam situasi kebuntuan ini, kelas pekerja dan rakyat tertindas terpaksa pula menghadapi kecelaruan di dalam institusi politik yang sedang mendedahkan sifat sebenar parti-parti arus perdana yang hanya tertumpu untuk merebut kuasa walaupun dalam keadaan pandemik yang mengancam nyawa rakyat.
Pandemik mendedahkan kerakusan sistem kapitalisme
Walaupun pandemik ini merupakan sebuah malapetaka semula jadi, tetapi kerakusan pihak pemerintah dalam menangani krisis ini telah mengakibatkan bencana bagi jutaan rakyat miskin. Pihak pemerintah negara-negara dunia, termasuk Malaysia, hanya mengutamakan kebajikan dan keuntungan kelas majikan dan mengemudi segala pengurusan negara berdasarkan kepada kehendak segelintir individu yang tamak.
Daripada lebih RM 600 Bilion yang dibelanjakan daripada rizab dan dana awam, kelas pekerja dan rakyat miskin hanya menerima bantuan yang sangat sikit berbanding kelas majikan kaya yang menggondol sebahagian besar daripada peruntukkan tersebut. Oleh itu, walaupun dalam keadaan krisis yang mengancam, bilangan billionaire di Malaysia, sama seperti di negara-negara lain, sedang meningkat. Tahun ini, majalah Forbes menyenaraikan peningkatan billionaire sebanyak 660 orang berbanding tahun lepas, menjadikan rekod peningkatan yang tertinggi di dalam sejarah majalah tersebut!
Pada masa yang sama, rakyat yang kehilangan kerja ataupun mengalami peningkatan beban ekonomi akibat pengurangan gaji pula terpaksa mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka untuk menampung keperluan harian mereka dan keluarga mereka.
Walaupun kami kesal dengan pengorbanan jutaan nyawa dan kehancuran sosial di seluruh dunia, pada masa yang sama, pandemik ini telah mendedahkan kerakusan dan ketempangan sistem kapitalisme yang berteraskan pada motif profit bagi segelintir individu. Bukan sekadar itu, pandemik ini juga telah mengetengahkan peranan kelas pekerja yang menjadi penggerak utama ekonomi dan pengurusan keperluan masyarakat dunia.
Pandemik ini mendedahkan bahawa walaupun para CEO, pemilik syarikat dan pemegang saham sering ditonjol sebagai tokoh negara, hakikatnya, kelas pekerja miskin merupakan nadi dan kuasa ekonomi. Tanpa kerjasama dari jutaan para pekerja yang mengorbankan diri sendiri demi kemajuan negara dan dunia, kelas kapitalis tidak akan berjaya untuk membuat walau satu sen keuntungan. Segala keuntungan yang dilihat di dunia adalah hasil keringat kelas pekerja dan rakyat tertindas.
Kelas pekerja mempunyai kuasa perubahan
Daripada pengalaman-pengalaman lepas, terutamanya sejak bermulanya pandemik, kita boleh menyimpulkan bahawa kelas pekerja dan rakyat biasa tidak memerlukan kelas majikan dan para kapitalis untuk menguruskan segala keperluan mereka. Rakyat terbanyak yang mempunyai kemahiran dan kebolehan untuk menguruskan masyarakat juga memiliki kebolehan yang secukupnya untuk menguruskan hal ehwal politik negara.
Ianya sangat jelas bahawa ahli-ahli politik arus perdana tidak mewakili kepentingan rakyat biasa dan kelas pekerja. Selain mengutamakan kedudukan politik masing-masing, mereka juga terikat dengan kewajipan untuk menunaikan segala kehendak kelas kapitalis kaya.
Selagi kuasa politik di miliki sepenuhnya oleh kelas kapitalis, kelas pekerja dan rakyat biasa akan sentiasa menjadi mangsa penindasan dan akan dilaga-lagakan antara satu sama lain. Jika rakyat biasa menentang penindasan ini, pelbagai sentimen perkauman dan propaganda nasionalisme akan didendangkan bagi memecahkan perpaduan di kalangan kita. Ini merupakan tugasan utama parti-parti politik yang wujud pada masa ini, bagi memastikan bahawa sistem kapitalisme tidak akan ditentang oleh rakyat biasa dan kelas kapitalis akan dilindungi.
Oleh itu, sebagai kelas pekerja yang memegang kuasa produksi dan ekonomi negara, kita juga memerlukan sebuah pertubuhan politik yang mewakili kepentingan rakyat miskin dan bersedia untuk menentang sistem kapitalisme. Bukan sebuah pertubuhan politik yang mencerminkan parti-parti politik yang ada sekarang, tetapi sebuah pertubuhan yang disusun secara demokratik, berbekalkan sebuah program yang membawa agenda rakyat dan mempunyai perspektif untuk mengalahkan kelas kapitalis dan sistem mereka. Pada masa yang sama, pertubuhan ini juga harus membina perjuangan mereka melalui gerakan-gerakan massa dan aksi-aksi industri di tempat kerja, bukan sekadar bersuara lantang di Parlimen dan di kempen PRU.
Kesatuan-kesatuan sekerja yang merupakan organisasi massa kelas pekerja boleh menjadi asas kepada sebuah gabungan yang membentuk pertubuhan politik ini. Perjuangan-perjuangan kelas pekerja boleh menjadi permulaan kepada gerakan-gerakan yang lebih luas di kalangan rakyat. Di bawah kepimpinan kelas pekerja yang disusun secara demokratik, sebuah cabaran yang hebat boleh dikemukakan kepada kelas kapitalis, untuk mengubah cara urus tadbir negara yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Sempena Hari Pekerja 2021, Sosialis Alternatif ingin menyeru kepada semua kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa di dunia untuk menolak sistem kapitalisme, dan mula mengorak langkah ke arah sebuah perjuangan yang akan membawa kepada dunia yang lebih adil, tanpa peperangan, penindasan dan pencemaran alam, tanpa diskriminasi dan ancaman ekonomi, tanpa kapitalisme dan ketamakan. Sebuah dunia yang dibina melalui silaturahim antara umat manusia, dan tanggung jawab kepada alam semula jadi dan generasi yang akan datang.
Selamat Hari Pekerja 2021