Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Media-media utama kapitalis seperti ‘The Economist’, ‘The Wall Street Journal’, ‘Financial Times’ dan lain-lain secara terang-terangan mendesak Najib meletakkan jawatan bukan kerana mereka sangat prihatin dengan rakyat Malaysia akibat penindasan, skandal rasuah 1MDB dan kehancuran hak rakyat oleh kerajaan autokratik di Malaysia, tetapi disebabkan oleh kemerosotan keyakinan kapitalis terhadap keadaan ekonomi negara.

Walaupun pertumbuhan ekonomi (KDNK) dijangka dalam 4 peratus pada tahun ini yang masih bergantung kepada aktiviti ekonomi domestik, kejatuhan lebihan (surplus) perdagangan dan kemerosotan rizab pertukaran asing bank negara, mengakibatkan Malaysia amat terdedah kepada perubahaan yang boleh berlaku secara tiba-tiba dalam ekonomi global. Ini terbukti dengan kejatuhan harga minyak semenjak tahun lalu, dan kejatuhan nilai Ringgit akibat pemilihan Donald Trump di US bulan November lalu.

Struktur Ekonomi Tidak Berubah

Tambahan pula struktur ekonomi Malaysia yang masih berlandaskan kepada ekspot barangan komoditi dan pengeluaran, walaupun dipropagandakan akan bergerak kearah ekonomi berlandaskan perkhidmatan/kewangan untuk menjadi negara maju. Monopoli kapitalis antarabangsa yang semakin meningkat serta limitasi ekonomi Malaysia, tidak akan membenarkan Malaysia menjadi negara maju setaraf US atau Jepun di bawah kongkongan kapitalisme. Ketika kerajaan melaungkan ‘ekonomi berpendapatan menengah’, kapitalis-kapitalis pula terus mempergunakan hampir 40 peratus tenaga buruh daripada pekerja migran dengan berpendapatan rendah untuk mengaut keuntungan.

Asas Ekonomi Rapuh

Kejatuhan KDNK daripada 5 peratus tahun lalu kepada 4 peratus tahun ini adalah akibat kemerosotan ekonomi domestik (termasuk penurunan aktiviti konsumerisme) yang merupakan enjin ekonomi ketika aktiviti pelaburan dan perdagangan merosot semenjak beberapa tahun yang lalu. Manakala lebihan (surplus) perdagangan pada tahun ini jatuh sebanyak 19.4 peratus (RM 2.3 bilion) dan akaun semasa jatuh 1.5 peratus (RM12.9 billion) berbanding tahun lalu terutamanya akibat peningkatan import berbanding dengan eksport. Impak-impak tersebut juga dijangka akan memberikan kesan untuk mencapai defisit bajet tahun ini sebanyak 3.1 peratus kepada KDNK.

Ringgit Terus Diancam

Nilai Ringgit yang turun-naik berlandaskan kepada harga minyak di pasaran dunia, kini pula terdedah kepada ‘kesan Trump’ selain daripada kesan korupsi/skandal 1MDB dan ketidakstabilan politik. Nilai Ringgit pada tahun ini adalah terburuk dalam 17 tahun kebelakangan ini, dan ada ekonomis yang menjangkakan nilai ringgit boleh mencapai RM 5 untuk 1USD akibat ‘kesan Trump’ pada awal tahun hadapan. Walaupun Najib mengatakan peningkatan harga komoditi seperti Kelapa Sawit, Getah dan lain-lain dalam beberapa minggu kebelakangan ini akan menstabilkan nilai ringgit, tetapi ini masih tidak kukuh dengan ketidakstabilan ekonomi negara China dan global yang berterusan.

Bank Negara juga terpaksa mempergunakan rizab pertukaran asing sebanyak RM8.4 billion untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit. Ini menyebebakan rizab semakin berkurangan daripada USD98.3 billion kepada USD96.4 billion. Malahan arahan bank negara kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam eksport supaya 75 peratus daripada pertukaran asing mereka ditukar balik kepada ringgit (sebelum ini hanya 1 peratus sahaja di antara tahun 2011 hingga 2015) untuk meningkatkan rizab dijangka tidak akan mendapat sambutan sepenuhnya dengan ketidaktentuan ekonomi negara.

Juga dijangka lebih banyak aliran keluar modal daripada dalam negara akibat jualan bon dan ekuiti oleh pelabur asing di bulan-bulan yang akan datang dengan peningkatan nilai dollar US susulan polisi Trump untuk meningkatkan perbelanjaan untuk infrastruktur dan pemotongan cukai yang dijangka akan meningkatkan kadar interest untuk mengekang inflasi di US.

Kawalan Kapital?

Langkah-langkah kawalan kapital (di antaranya di mana nilai ringgit diumpukkan kepada satu nilai yang tetap) yang dilaksanakan ketika krisis kewangan pada tahun 1998, kini dirujuk sebagai langkah untuk mengawal kejatuhan nilai ringgit yang berterusan. Tetapi, situasi ekonomi global pada 1998 tidak sama dengan keadaan ekonomi pada masa kini. Pada masa itu, krisis ekonomi tersebut memberikan impak terutamanya kepada negara-negara Asia, dan US yang merupakan rakan dagang utama Malaysia pada masa itu masih mampu membeli barangan keluaran Malaysia, dan dengan ini kawalan kapital yang dibawa oleh Mahathir telah dapat menyelamatkan Malaysia.

Tetapi kini hampir kebanyakan negara termasuk US dan China sedang menghadapi sama ada kejatuhan atau ‘stagnation’ dalam ekonomi, dan langkah kawalan tidak mampu memberikan impak yang sama. Tetapi, kerajaan Malaysia akan cuba mempergunakan langkah tersebut, dalam keadaan yang terdesak. Misalnya, Bank Negara baru-baru ini terdesak untuk menetapkan nilai Ringgit apabila aktiviti spekulasi ringgit di luar negara telah menurunkan nilai ringgit, dan memerintahkan bank-bank dalam negara tidak melakukan pertukaran wang Ringgit dengan bank-bank di luar negara untuk seketika.

Kegagalan TPPA

Kegagalan TPPA dengan pemilihan Trump juga dijangka memberikan kesan kepada ekonomi Malaysia yang selama ini mengharapkan untuk membuka lebih luas pasaran Malaysia kepada pelaburan daripada USA dan dengan negara-negara lain dalam TPPA.

Kini Malaysia mengharapkan pula RCEP dengan China yang dijangka selesai pada akhir tahun hadapan untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan. Kini China yang merupakan rakan dagang utama Malaysia, akan mempergunakan posisinya untuk memperkuatkan kuasa ekonomi di Malaysia dan di rantau ini. Lawatan Najib baru-baru ini, dengan perjanjian pelaburan USD30 billion, akan memberikan laluan untuk kapitalis-kapitalis China untuk mengambilalih projek-projek infrastuktur, pembinaan dan lain-lain. Malahan, kini Jack Ma, kapitalis terkaya di China dijadikan penasihat ekonomi kerajaan.

ASEAN Dieksploitasi

Manakala Malaysia mempergunakan ASEAN untuk mengeksploitasi tenaga buruh dan sumber-sumber kekayaan negara-negara yang lebih miskin seperti Vietnam, Kemboja dan Myanmar dengan mengalakkan pelaburan kapitalis tempatan dan GLC. Pada masa yang sama, tenaga buruh daripada negara-negara ini dibawa untuk bekerja ke Malaysia dengan gaji yang lebih murah.

Najib yang bergabung dengan Hadi Awang untuk menonjolkan diri sebagai ‘jaguh Islam’ dengan mengadakan satu drama protes terhadap penindasan terhadap masyarakat Rohingya di Burma, kini sedang menghadapi tekanan daripada Persatuan Majikan Malaysia akibat ugutan kerajaan Myanmar untuk menarik lebih daripada 100,000 pekerja Myanmar yang berkerja di Malaysia (hampir 75 peratus sedang berkerja di sektor pengeluaran). Kini kerajaan terpaksa tunduk kepada keuntungan majikan dan kapitalis negara yang melabur di Myanmar dengan menutup mata terhadap pembunuhan masyarakat Rohingya yang dilancarkan oleh kerajaan Myanmar !

Gelembung Hartanah / Kredit ?

Nilai hartanah juga dilaporkan sama ada menurun atau ‘stagnating’. Kini pemaju-pemaju hartanah utama terpaksa mengadakan pemasaran di negara-negara seperti China, Hong Kong, Singapura dan lain-lain untuk menarik pembeli. Pada masa yang sama kebanyakan pelabur hartanah juga sedang menghadapi masalah untuk menjual balik hartanah mereka. Jika ini berterusan, maka ‘gelembung hartanah’ boleh pecah, dan boleh mewujudkan krisis.

Peningkatan ‘gelembung kredit’ dan hutang isirumah (yang kini hampIr 90 peratus daripada KDNK) dan juga inflasi telah menurunkan aktiviti konsumerisme dan juga telah memberikan impak kepada perniagaan terutama kepada SME. Penutupan perniagaan sudah semakin biasa pada masa sekarang akibat kerugian atau untuk tujuan mengurangkan kos. Manakala penganguran dan pemberhentian kerja juga semakin meningkat. Pada tahun lalu, 44,000 pekerja diberhentikan, dan sehingga September 33,000 pekerja diberhentikan, dan dijangka semakin meningkat pada bulan-bulan yang akan datang.

Kepincangan Sosial

Pemotongan perbelanjaan awam untuk pendidikan dan perubatan serta pemotongan subsidi untuk barangan dan perkhidmatan asas yang lain telah meningkatkan kos hidup kelas pekerja dan juga kelas menengah. Tekanan sosial juga semakin meningkat dengan kejadihan bunuh diri dan kemurungan yang semakin meningkat. Satu kajian pada awal tahun ini mendedahkan bahawa satu per tiga daripada rakyat Malaysia sedang menghadapi kemurungan (12 peratus pada 2011 dan 29 peratus pada 2015). Kejadian seperti seorang pekerja yang terdesak untuk bunuh diri dengan terjun daripada jambatan Pulau Pinang akibat tekanan kerja dan hutang adalah salah satu contoh yang menunjukkan keadaan hidup rakyat biasa semakin tertekan.

Dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum, dijangka kerajaan akan melancarkan lebih banyak pemotongan subsidi atau meliberalisasikan ekonomi untuk mengekang peningkatan defisit. Ini akan terus meningkatkan tekanan dan beban kepada rakyat biasa. Kepincangan ekonomi dan sosial boleh dipergunakan oleh pihak pemerintah untuk menyemarakkan sentimen perkauman untuk memecahbelahkan rakyat bagi mengekalkan kuasa seperti konflik perkauman yang berlaku pada tahun 1969. Ini juga adalah langkah pemerintah untuk memesongkan kemarahan terhadap kerajaan yang semakin meningkat hari demi hari dengan keadaan hidup yang semakin teruk.

Pembinaan Sosialis Alternatif

Malaysia dan negara-negara membangun yang pada satu ketika diomong-omongkan sebagai ‘kuat landasan ekonomi’ dan tidak akan mengalami impak akibat krisis politik dan ekonomi di negara-negara maju, kini bukan sahaja sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi dan sosial yang tidak tentu, malah struktur politik yang telah dipertahankan selama ini semakin rapuh.

Kontradiksi dalam politik negara dijangka akan semakin meruncing dengan ketidakstabilan ekonomi dan politik dunia, yang boleh memungkinkan kepada satu keadaan yang tidak terkawal oleh pihak pemerintah. Kegelisahan ini bukan sahaja ditonjolkan oleh intelektual dan ekonomis arus perdana malahan oleh kapitalis dalam negara dan antarabangsa.

Pada masa yang sama peningkatan impak sosial dan ekonomi juga akan mendesak lebih banyak perjuangan daripada kelas pekerja, kelas menengah, anak muda dan golongan tertindas yang lain yang mana akan memperkuatkan landasan untuk membina idea-idea sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme, dan pembinaan parti revolusiner serta pembinaan parti massa untuk kelas pekerja dan anak muda sebagai landasan perjuangan politik alternatif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *