Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan pada hari Khamis, 24 Februari bahawa tentera Rusia telah diarahkan untuk melancarkan “operasi ketenteraan khas” di Ukraine. Sosialis dan gerakan kelas pekerja yang lebih luas harus mengutuk pencerobohan tentera Rusia ke Ukraine, yang akan membawa kepada kehilangan nyawa dan kemusnahan yang meluas kepada rakyat biasa yang tidak melakukan sebarang kesalahan. CWI berdiri teguh menentang semua kapitalis dan nasionalis reaksioner yang cuba mewujudkan perlagaan di kalangan kelas pekerja. CWI juga menentang Nato dan kuasa kapitalis barat, yang juga bertanggungjawab untuk meningkatkan ketegangan ketenteraan di rantau itu yang kini telah mengakibatkan perang baru di Ukraine. Hanya kelas pekerja Ukraine dan Rusia yang akhirnya terpaksa menanggung kesan buruk akibat perang, bukan oligarki dan elit pemerintah di Moscow, Kiev dan Washington.

Gerakan kelas pekerja antarabangsa perlu bergerak menentang perang dan menuntut pembebasan daripada cengkaman kelas pemerintah dan parti politik pro-kapitalis. Pejuang sosialis harus menentang sebarang percubaan untuk mengetepikan perjuangan kelas pekerja akibat tekanan daripada kuasa kuasa tertentu untuk menyokong pendekatan imperialis di dalam perang Rusia Ukraine. 

Hujah kami: Hentikan perang di Ukraine; undur tentera Rusia dan tamatkan pengeboman dengan serta merta; undur tentera NATO dari Eropah Timur; bantah penindasan terhadap etnik berbeza; sokong hak penentuan nasib sendiri dan hak demokrasi penuh untuk semua minoriti; bina perpaduan pekerja dan perjuangan bersama menentang pengganas, oligarki dan sistem kapitalisme yang mewujudkan kemiskinan, pengangguran, perpecahan etnik dan peperangan.

Dalam kabus perang, apa yang sebenarnya berlaku di lapangan di Ukraine juga samar samar dan tidak jelas. Propaganda yang tidak berkesudahan pula dicurahkan oleh kedua – dua pihak kuasa imperialis Barat dan imperialis Rusia dalam konflik ini.

Letupan bom dilaporkan di beberapa kawasan berbeza di Ukraine, termasuk di bandar Kiev dan Kharkov. Kerajaan Ukraine mendakwa bahawa tentera Rusia berada di Odessa, tetapi ianya kemudian disangkal oleh Moscow. Kementerian Pertahanan Rusia pula bercanggah dengan laporan kerajaan Ukraine dan mendakwa bahawa tentera mereka hanya menyasarkan infrastruktur ketenteraan Ukraine dan bukan tempat awam. Laporan media mengatakan bahawa peluru berpandu jarak jauh Rusia telah menembusi sistem pertahanan udara, infrastruktur kawalan senjata dan pangkalan udara di Ukraine. Akhbar Barat juga mendakwa bahawa tentera Rusia sedang melancarkan serangan dari sempadan utara Ukraine dengan Belarus, merentasi sempadan timurnya dengan Rusia, dan selatan dari Crimea.

Sebagai tindak balas kepada tindakan tentera Rusia, presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, membuat ucapan di televisyen dan menyeru kepada semua orang yang mempunyai pengalaman pertempuran untuk mengangkat senjata dan menentang tentera Rusia. Sebagai tanda sokongan, NATO juga mengumumkan bahawa ia akan mengerahkan lebih banyak angkatan darat, udara dan laut ke arah sempadan Rusia.

Setakat ini, berdasarkan kepada ucapan rasmi kerajaan Rusia, Putin mendakwa bahawa Rusia tidak akan menduduki Ukraine dan ini merupakan sekadar misi keamanan yang bertujuan untuk mengembalikan kestabilan di negara itu. Tetapi, ianya tidak jelas pada waktu ini jika dakwaan Putin tersebut benar ataupun adakah matlamat sebenar Putin akan berjaya.

Putin terus mengutuk penyebaran kuasa NATO ke arah timur (sempadan Rusia) dan menyerang kemunafikan kuasa Barat yang campur tangan di negara negara di Eropah Timur dan untuk melancarkan perang berpanjangan di Timur Tengah dan Afghanistan.

Walaupun agenda NATO yang mengancam sekuriti Rusia tidak dinafikan, sosialis dan gerakan pekerja secara keseluruhannya harus menentang campur tangan tentera Rusia ke Ukraine. Sudah tentu, etnik Rusia di Ukraine sedang menghadapi diskriminasi, dan kawasan pro-Rusia yang memisahkan diri dari Ukraine di Donbas dilaporkan berada di bawah serangan peluru berpandu tentera Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Penduduk Donetsk dan Luhansk (dikenali sebagai wilayah Donbas) mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka, tetapi ini tidak boleh dilaksanakan di bawah bayang-bayang Putin dan tentera Rusia. Putin yang sedang menindas kelas pekerja di negaranya sendiri tidak akan membebaskan penduduk Donbas dari penindasan dan eksploitasi kapitalis . Rejim autoritarian Putin hanya mementingkan kepentingan oligarki dan bersifat anti-pekerja pada akarnya. Selain itu, Putin juga mempunyai cita-cita imperialis untuk menyebarkan pengaruh kapitalis Rusia ke rantau ini dan untuk bersaing dengan kelas kapitalis dari Barat Eropah dan AS. Ini dilihat dalam keputusan Putin baru-baru ini untuk menghantar tentera Rusia untuk menyokong rejim di Kazakhstan dan menjatuhkan protes massa rakyat di sana. Sebelum itu, Putin juga melakukan campur tangan untuk mengekalkan kuasa rejim Bashar al-Assad di Syria. Penduduk Donetsk dan Luhansk, dan semua etnik Rusia yang bertempat di Ukraine, hanyalah sekadar kuda tunggangan bagi memenuhi agenda peribadi imperialis Moscow. 

Penyebaran NATO ke timur

Krisis semasa telah bermula pada penghujung 2021 apabila 100,000 tentera Rusia berkumpul di sempadan dengan Ukraine, termasuk di Belarus, sekutu Rusia. Putin mengutuk penyebaran NATO ke arah sempadan Rusia dan menyebar propaganda nasionalisme di negaranya sendiri untuk mewajarkan tindakannya. Manakala, Presiden AS Joe Biden pula bertindak balas dengan melulu, menolak semua tuntutan Rusia atau melanjutkan sebarang perbincangan serius dengan Putin dan pada masa yang sama, membekalkan Ukraine dan negara negara ahli NATO di rantau itu dengan senjata bernilai berbilion dolar AS. Barangkali Putin memutuskan bahawa ini merupakan peluang terbaik untuk konsolidasi sokongan daripada penyokong Rusia di Ukraine dan menghentikan penyebaran NATO ke sempadan Rusia. 

Gerakan pekerja di negara negara ahli NATO juga harus menentang tindakan kerajaan mereka sendiri yang cenderung untuk melanjutkan peperangan. Mengapa kelas pekerja perlu menaruh kepercayaan kepada kerajaan pro-kapitalis, yang telah berulang kali mengkhianati mereka dan meneruskan agenda peperangan yang ditaja oleh kelas kapitalis yang tamak?  Kuasa kuasa barat juga tertumpu untuk memelihara kehendak kelas kapitalis tidak kira di dalam atau di luar negara. Dalam memelihara kepentingan imperialis Barat, ia tidak teragak-agak untuk menyerang dan menduduki negara-negara yang lebih kecil, seperti yang kita lihat sejak tiga dekad yang lalu. Malah pada waktu ini, serangan terhadap masyarakat Yemen oleh Saudi yang ditaja oleh AS dan serangan tentera AS di Somalia sedang berlaku dan mengorbankan nyawa dan harta benda rakyat terbanyak. 

Walaupun rakyat Ukraine mempunyai hak untuk hidup bebas daripada ancaman, paksaan dan serangan tentera Rusia, mereka tidak boleh mempercayai kerajaan Zelensky. Sebagai tindak balas kepada operasi ketenteraan Putin, Zelensky mengisytiharkan ‘undang-undang tentera’. Ini di samping keadaan darurat selama 30 hari yang akan memberi kuasa luar biasa kepada Presiden, termasuk kuasa untuk mengharamkan parti politik dan protes rakyat. Di bawah syarat ini, hak pekerja dan rakyat biasa tidak akan diambil kira. Tambahan pula, sejak rampasan kuasa kerajaan yang membawa rejim pro-Barat berkuasa pada 2014, Ukraine telah diperintah oleh kerajaan berhaluan kanan, autoritarian, melibatkan nasionalis sayap kanan dan unsur ‐ unsur fasisisme yang telah menyekat hak demokrasi rakyat biasa dan menindas kelas pekerja dengan teruk. 

Sosialis dan gerakan kelas pekerja yang lebih luas mesti menentang perang di Ukraine di mana akhirnya kelas pekerja yang akan menanggung segala kesan buruk. Perpaduan kelas pekerja antarabangsa adalah penting untuk membina gerakan anti-perang besar-besaran di mana-mana sahaja. Kita harus menyokong sebarang percubaan untuk mengeratkan perpaduan dikalangan masyarakat yang berlaku di lapangan di Ukraine, termasuk segala usaha untuk mempertahankan diri yang disusun secara demokratik. Kita juga menyokong semua tindakan yang perlu diambil bagi membantu pembinaan organisasi kelas pekerja bebas di Ukraine, Rusia dan di seluruh rantau ini. Ini termasuk membina kesatuan sekerja bebas dan parti massa kelas pekerja dengan dasar sosialis yang jelas dengan hala tuju politik. Program sosialis boleh menyatukan pekerja merentasi semua garis kebangsaan dan etnik bagi menentang penyebaran perang dan penindasan oligarki dan kuasa imperialis luar.

CWI menyokong budaya, bahasa dan hak demokrasi minoriti lain, dan juga hak untuk menentukan negara sendiri, termasuk pemisahan dengan Ukraine, sekiranya mereka mahu. Ini jauh berbeza daripada seruan palsu untuk ‘penentuan nasib sendiri’ yang dibuat oleh kuasa NATO dan Moscow. Bagi Biden dan rakannya, penentuan nasib sendiri untuk Ukraine bermakna membawanya lebih rapat ke orbit imperialisme barat. Bagi Putin, penentuan nasib sendiri bermakna penguasaan kapitalis Rusia ke atas Donetsk dan Luhansk dan di tempat lain di Ukraine

Matlamat Putin

Pada waktu ini matlamat Putin di dalam pencerobohan Ukraine masih tidak jelas. Menurut ucapannya, Rusia sedang cuba untuk membubarkan tentera Ukraine yang mempunyai lebih 200 ribu anggota. 

Pelopor dan para analis Barat membuat andaian yang berbeza beza. Ada yang berpendapat bahawa Rusia mempunyai kuasa ketenteraan yang besar dan dengan mudah boleh mengambil alih keseluruhan Ukraine dalam masa yang singkat. Manakala ada pula yang menyimpulkan bahawa perang ini merupakan sekadar ancaman kosong yang sebenarnya bertujuan untuk konsolidasi kuasa Rusia di Donetsk dan Luhansk sahaja. Ramai yang spekulasi bahawa peta Ukraine akan berubah sesudahnya krisis ini.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Putin berhasrat untuk melanjutkan kawalan Rusia ke atas Donetsk dan Luhansk yang akan mewujudkan ‘jambatan darat’ ke Crimea. Pada waktu ini, Russia hanya boleh akses ke Crimea yang menjadi sebahagian daripada rantau Rusia pada 2014 melalui laut. Jika wilayah Donbas jatuh ke tangan Rusia, ini akan menguatkan kedudukan ketenteraan Rusia di rantau ini. Namun, ianya tidaklah semudah itu dan akan wujud persaingan yang sengit untuk merebut rantau ini dari kuasa Barat. 

Secara teori, Rusia mempunyai kuasa tentera dan senjata yang cukup untuk menjajah seluruh Ukraine. Tetapi ini akan menjadi sebuah tindakan yang melulu dan akan memakan kos nyawa dan harta benda yang tinggi. Percubaan untuk menduduki Ukraine untuk sebarang jangka masa akan menjurus ke arah kegagalan. Rusia akan berhadapan dengan populasi yang enggan untuk menerima penjajahan itu dan mempunyai akses kepada senjata moden. Pelopor Barat menganggarkan bahawa Putin perlu mengerah sebanyak sekurang kurangnya 600 ribu anggota tentera untuk menangani tentera Ukraine dan perang perang gerila yang akan tercetus di rantau berbeza!

Mungkin pada waktu ini, Putin sedang menikmati sedikit peningkatan sokongan daripada rakyat Rusia yang beranggapan bahawa perang ini bertujuan untuk membebaskan masyarakat di Donetsk dan Luhansk dari serangan tentera Ukraine. Tetapi, jika perang ini berpanjangan dan mengakibatkan banyak kematian daripada kedua ‐ dua pihak, rakyat akan mula resah dan menarik balik sokongan mereka. Terutamanya dalam keadaan ekonomi Rusia yang teruk pada waktu ini yang sedang meningkatkan kemarahan rakyat terhadap rejim Putin. 

Walaupun NATO telah menegaskan bahawa ia tidak akan menentang sebarang kuasa Rusia secara berdepan di Ukraine, situasi perang ini sedang masih mewujudkan kerisauan di kalangan kelas pekerja dan anak muda di rantau ini. Terutamanya selepas kerajaan kerajaan dunia mendendangkan propaganda peperangan yang sedang berterusan sehingga ke hari ini. 

Sekatan ekonomi

Selain daripada menyalurkan senjata ke Ukraine dan negara negara NATO lain, imperialis Barat tidak dapat melakukan apa apa dalam menyekat Putin daripada menceroboh Ukraine. Mereka hanya melancarkan sekatan sekatan ekonomi yang baru dan Berlin menangguhkan pembinaan saluran gas Nord 2 dari Rusia ke German. Juga, sekatan sekatan yang lebih besar seperti sekatan daripada sistem kewangan dunia dan akses kepada teknologi juga boleh dilancarkan dalam minggu minggu yang akan datang, bergantung dengan situasi. 

Gerakan kelas pekerja di peringkat antarabangsa haruslah membantah sebarang sekatan ekonomi yang di taja oleh kuasa kapitalis yang akan akhirnya membawa kepada kesengsaraan kelas pekerja Rusia. Walaupun ia merupakan negara daratan yang terbesar dengan banyak sumber bumi, Rusia mempunyai KDNK yang lebih rendah berbanding Itali dan mempunyai hanya satu perempat daripada taraf kehidupan yang dinikmati oleh rakyat UK. 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini Rusia telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesan sekatan sekatan ekonomi oleh kapitalis barat. Selepas ekspot agrikultur dan tenusu ke Eropah telah disekat pada 2014, Moscow mengambil keputusan untuk menumpukan aktiviti ekonomi mereka supaya tidak bergantung dengan Eropah. Sebagai contoh, pembinaan saluran paip gas dari Siberia ke China yang berjaya dan saluran paip kedua baru diluluskan oleh kedua dua pihak. 

Rusia juga telah menggunakan pendapatan daripada eksport minyak dan gas untuk membina rizab kewangan yang besar. Ia mempunyai rizab mata wang asing kira-kira $500bn dan tahap hutang negara yang sangat rendah mengikut piawaian antarabangsa.

EU pada waktu ini sedang bermesyuarat untuk mengenakan sekatan ekonomi baharu terhadap Rusia, tetapi ini boleh mendatangkan musibah ekonomi kepada kedua dua pihak. Rusia menyediakan 40% daripada minyak dan arang batu yang digunakan oleh EU, dan 20% daripada gas asli. Jika Rusia menghentikan bekalan gas, dianggarkan ia akan memusnahkan 3% daripada KDNK Rusia dan pada masa yang sama memberi kesan kepada 1.2% KDNK EU. Negara Barat akan mencari sumber alternatif dan pemotongan bekalan tenaga ini akan membawa kepada harga komoditi yang melambung tinggi dan mendatangkan lebih banyak kerugian. Rusia juga merupakan pembekal komponen utama untuk pembuatan global, termasuk alat ganti kereta. Pemotongan bekalan ini juga akan membawa akibat yang meluas untuk kedua-dua industri dan ekonomi dunia.

Pada skala yang lebih luas, konflik Ukraine perlu dilihat dalam konteks persaingan yang berterusan antara kuasa ekonomi AS yang sedang merosot dan perkembangan ekonomi dan kuasa ketenteraan China. Biden telah mengambil tindakan keras terhadap Rusia dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menghantar isyarat kuat kepada China bahawa AS masih mempunyai kuasa tentera terbesar di dunia. Presiden China, Xi Jinping  pula mengambil langkah untuk menyokong Putin dalam isu berkaitan Ukraine, dengan agenda untuk menawan Taiwan di Asia. 

Rusia merupakan penerima terbesar pinjaman Beijing, bernilai sebanyak $151bn antara 2000 dan 2017. Menurut Financial Times, China mungkin akan membantu Rusia mengharungi sekatan ekonomi melalui pinjaman dan perjanjian dagang sambil memelihara kepentingan ekonominya sendiri. Namun, Beijing akan terus cuba untuk mencapai keseimbangan dalam menyokong Putin dan kepentingan dirinya sendiri dalam kestabilan rantau itu dan dalam hubungan perdagangannya di seluruh dunia.

Peperangan di Ukraine mencerminkan keadaan dunia yang berbahaya dan perkembangan blok blok tentera yang bermusuhan antara satu sama lain di skala dunia. Tugas utama sosialis dan gerakan pekerja adalah untuk menentang semua kuasa imperialis dan kelas pemerintah mereka yang bergaduh di negara masing masing; untuk berjuang demi perpaduan kelas pekerja dalam menentang penindasan semua rakyat termasuk minoriti, sebagai sebahagian daripada program untuk ke arah masyarakat sosialis.

Hentikan perang di Ukraine!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *