Keputusan PRU ke 15 telah melihat kegagalan semua koalisi politik untuk mendapat bilangan kerusi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan. Situasi ‘hung Parlimen’ ataupun Parlimen tergantung merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah politik negara. Pada awalnya, koalisi politik yang berbeza telah mendakwa bahawa mereka mempunyai majoriti yang cukup untuk menjadi kerajaan. Tetapi akhirnya selepas campur tangan dari institusi Raja, Anwar Ibrahim, iaitu ketua pembangkang PH, dipilih menjadi perdana menteri ke 10 Malaysia dan diamanahkan untuk mengetuai kerajaan baru. 

BN mengalami kekalahan teruk di banyak kerusi dan perwakilan Parlimen mereka berkurangan secara drastik. Ia hanya berjaya mendapat 30 kerusi berbanding 79 di PRU ke 14. Tambahan pula, dengan hanya 26 kerusi, UMNO menjadi salah satu parti yang  terkecil di Malaysia. 

Kejatuhan UMNO yang menguasai politik tempatan selama berdekad-dekad lamanya telah mengejutkan pakar-pakar politik yang tidak menjangkakan perkara ini. Bagaimanapun, ianya sama sekali tidak menghairankan bahawa rakyat telah menolak BN yang dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang korup dengan barisan kepimpinan yang tidak beramanah. Presiden UMNO Zahid Hamidi yang masih sedang berdepan dengan pertuduhan rasuah merupakan antara ahli politik yang paling tidak popular dan dibenci oleh rakyat. Zahid sendiri hanya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen yang dianggap sebagai kubu kuat BN dengan majoriti tipis sebanyak 348 undi. 

PN yang bertanding di PRU untuk pertama kali atas nama koalisi politik baru telah berjaya memperoleh 73 kerusi Parlimen. PAS yang merupakan komponen utama PN telah berjaya menjadi parti politik dengan ahli Parlimen yang terbanyak (49) dan sekaligus memacu koalisi PN untuk menjadi koalisi politik yang kedua besar selepas PH. PAS juga dengan jelas telah menggantikan UMNO sebagai pertubuhan politik Melayu yang paling popular di PRU kali ini. 

PH bukan sahaja gagal untuk memperoleh kerusi yang cukup untuk menubuh kerajaan, malah mereka juga gagal untuk mempertahankan beberapa kerusi yang mereka pegang sebelum ini. Dengan hanya 82 kerusi Parlimen, sokongan bagi PH sedang semakin terhakis dan koalisi tersebut bertambah lemah. Jelas sekarang bahawa dasar ekonomi PH semasa menjadi kerajaan telah memusnahkan dan mengecewakan penduduk miskin di utara dan pantai timur yang menolak mereka di PRU kali ini, sekali gus memberikan kelebihan kepada PN. Tambahan pula, masyarakat pantai barat hanya memilih PH bagi memastikan pertubuhan lain seperti BN atau PN tidak berjaya mendapat kuasa kerajaan, bukan kerana mereka mempunyai keyakinan dengan kepimpinan PH yang telah mengecewakan mereka juga sebelum ini.

Sementara itu, bekas perdana menteri dan veteran politik Malaysia, Mahathir Mohammad, ditolak secara unilateral oleh para pengundi bersama koalisi politik GTA yang baru ditubuhkan. Ahli politik Pejuang dan GTA tidak memenangi satu kerusi pun daripada lebih 130 kawasan yang mereka tandingi. Ini mencerminkan mood rakyat yang telah menghukum beberapa ahli politik yang sudah lapuk dalam pilihan raya kali ini yang dilihat sebagai menyumbang kepada krisis politik yang berterusan. 

Tiada pilihan untuk rakyat

Apabila mendengar keputusan pilihan raya umum ini, ramai yang membuat kesimpulan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah polarisasi di kalangan golongan yang digelar sebagai Melayu dan bukan Melayu. Tetapi ini adalah analisis berat sebelah yang gagal mengambil kira ketempangan proses pilihan raya yang tidak menawarkan sebarang pilihan yang munasabah untuk rakyat di peti undi. Semua parti-parti politik yang bertanding telah mengecewakan mereka sebelum ini. Oleh itu, rakyat sudah tidak menyertai proses PRU untuk memilih wakil yang mereka percaya, tetapi mereka hanya ingin mengundi menentang parti yang dianggap sebagai rakus dan tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah asas mereka. Kawasan pantai barat yang mempunyai populasi yang banyak dan maju dari segi industri melihat Pakatan Harapan sebagai kuasa politik yang kurang jahat dan di kawasan luar bandar, PN menjadi pilihan.

Memang benar bahawa hala tuju politik negara sedang mewujudkan perpecahan di kalangan rakyat yang dipengaruhi oleh ahli-ahli politik tertentu. Tetapi ini adalah kerana rakyat tidak mempunyai alternatif yang jelas yang benar-benar mewakili aspirasi mereka. Kegagalan kerajaan PH untuk menyelamatkan penduduk daripada kesengsaraan ekonomi telah menjadi isyarat kepada pembangkang BN dan PN untuk mengapi-apikan sentimen agama dan kaum demi meraih sokongan. Ini dipergiatkan menjelang pilihan raya dalam media-media sosial dan kempen politik. Akibatnya, sebilangan daripada penduduk telah dipengaruhi oleh para demagog, ahli politik taksub, pemimpin agama tajaan kerajaan dan selebriti yang tidak bertanggungjawab yang telah manipulasi realiti untuk menyesuaikan naratif sempit mereka.

Platform media sosial, seperti ‘TikTok’, dipenuhi dengan siaran yang membawa sentimen perkauman yang dijana oleh minda anak muda yang diracun. Ini adalah gambaran keadaan politik semasa, yang berdasarkan kepada momok-momok palsu yang mewujudkan ketakutan dan kesangsian di kalangan rakyat majmuk. Hujah-hujah palsu berbaur perkauman diturunkan dari atas, dari ahli politik dan agamawan yang mempunyai agenda tersendiri, kepada golongan belia untuk menimbulkan ketidakharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan latar belakang agama yang berbeza.

Bagaimanapun, tiada satu pun parti arus perdana yang boleh menawarkan program ekonomi dan sosial yang berdaya maju untuk menarik orang ramai keluar daripada cengkaman ahli-ahli politik yang rasis. PH mendedahkan dirinya sebagai hamba kepada kelas kapitalis dan gagal menunaikan sebahagian besar daripada janji pilihan raya kerana kemerosotan ekonomi kapitalis di seluruh dunia. Keengganan mereka untuk memperjuangkan kebajikan orang ramai telah mengakibatkan kekecewaan dan menolak orang ramai ke arah pangkuan para demagog yang mengangkat naratif perkauman. 

Penyertaan politik belia

Buat pertama kali di Malaysia, mereka yang berumur 18 hingga 21 tahun dibenarkan untuk mengundi. Selain itu, kerajaan terdahulu juga meluluskan undang-undang untuk membenarkan mana-mana warganegara yang layak mengundi secara automatik tanpa memerlukan pendaftaran berasingan. Ini menyebabkan peratusan keluar mengundi yang sangat tinggi melebihi 73%, lebih banyak daripada pilihan raya sebelumnya dari segi bilangan pengundi. Belia dan pengundi kali pertama tidak melepaskan peluang mereka dan membanjiri pondok mengundi di seluruh negara untuk melaksanakan ‘hak demokrasi’ mereka.

Berdasarkan kepada ucapan ahli-ahli politik PH sebelum PRU, mereka yakin bahawa PH akan meraih undi belia dengan selesa. Tetapi ternyata, golongan muda tidak mengundi secara berkelompok dan juga berpecah mengikut kawasan masing-masing. Di negeri pantai barat, PH menjadi pilihan pengundi muda dan dan PN mendominasi kawasan pantai timur dan utara.

Tanpa program yang baik daripada mana-mana parti yang bertanding, golongan muda dibiarkan tanpa pilihan yang jelas di dalam pilihan raya. Sungguhpun begitu, golongan muda dan pengundi kali pertama menunjukkan semangat untuk menyertai proses politik, walaupun hanya sebagai pengundi. Jika tenaga yang ditunjukkan oleh belia tidak digunakan oleh kepimpinan politik yang sedia ada untuk menyatukan rakyat dan berjuang untuk masa depan yang lebih baik untuk semua, populis sayap kanan boleh mengambil kesempatan dan memesongkan tenaga tersebut ke arah mengembangkan naratif-naratif rasis dan berbahaya.

Parlimen tergantung

Ironinya, Barisan Nasional, dengan hanya 30 ahli Parlimen, telah menjadi ‘kingmaker’ di dalam pilihan raya ini dan kedua-dua Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional terdesak untuk mendapatkan sokongan BN untuk membentuk kerajaan. Bagaimanapun, perpecahan yang mendalam dalam gabungan BN, terutamanya dalam UMNO telah menghalang mereka daripada memberi sokongan kepada mana-mana koalisi pada awalnya. Presiden UMNO, Zahid Hamidi, menolak sebarang kerjasama dengan PN yang dilihat sebagai kuasa politik pesaing yang juga merebut untuk mendapatkan undi masyarakat Melayu. Pada masa yang sama, sebilangan daripada pemimpin BN pula telah menggesa Zahid untuk meletak jawatan dan ingin membentuk kerajaan dengan PN.

Jika dilihat dari situasi parlimen yang tergantung sekarang, ianya tidak jelas sama ada kerajaan baru ini akan mampu bertahan selama satu penggal penuh (5 tahun). Walaupun PH mempunyai bilangan kerusi terbanyak, pada mulanya ia tidak dapat mencari sekutu untuk mencapai majoriti yang diperlukan untuk menjadi kerajaan. Tambahan pula, dengan kedua-dua PH dan PN mendakwa mempunyai majoriti, institusi Raja telah terpaksa memainkan peranan dengan campur tangan dalam proses pemilihan perdana menteri untuk mencuba dan menyelesaikan kebuntuan. Selepas empat hari kekeliruan dan ketidaktentuan, Anwar dari PH dilantik sebagai perdana menteri dengan sokongan ahli parlimen daripada BN. Bagaimanapun, ianya masih tidak jelas sama ada Anwar mempunyai sokongan daripada semua ahli parlimen BN. Ketua pembangkang baharu, Mahiaddin Yassin (Bersatu), dari PN, sudahpun mencabar Anwar untuk mengemukakan nama ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri baharu. Pembukaan parlimen yang dijadualkan bulan ini berkemungkinan besar akan melihat cabaran kepada Anwar sebagai PM baru daripada pakatan pembangkang PN.

Atas nama membentuk kerajaan yang stabil, kepimpinan PH dan Anwar telah sanggup untuk melakukan kerjasama dengan entiti yang dilabel sebagai korup oleh mereka selama ini. Sepanjang kewujudannya, BN merupakan musuh politik PH dan ahli-ahli politik PH telah mendedahkan kerakusan BN berulang kali. Sementara itu, BN dan PN pula telah merujuk kepada kegagalan kerajaan PH dalam menangani nasib penduduk miskin luar bandar. Selain itu, PH juga dilabel sebagai anti-Melayu dan anti-Islam kerana bilangan besar ahli bukan Melayu di dalam gabungan itu. Bagaimanapun, nampaknya kepimpinan kedua-dua PH dan BN telah mengetepikan segala perselisihan diantara mereka bagi mengelak kekecohan dan kebuntuan yang berterusan di Parlimen. Hanya pemimpin PN Mahiaddin yang masih berdegil dan enggan memberikan kerjasama, dengan harapan bahawa dirinya sendiri boleh menjadi PM seterusnya dengan bantuan daripada beberapa ahli parlimen BN.

Jika bukan kerana ‘undang-undang anti-lompat parti’ yang baru diperkenalkan, ahli parlimen dari parti berbeza sudah pun melompat dan menyertai organisasi berbeza secara bebas, mengikut cita-cita politik peribadi mereka. Gejala membeli ahli-ahli politik dari parti-parti berbeza, rasuah dan sebagainya merupakan perkara biasa di dalam politik Malaysia. Ironinya, undang-undang ini juga membantu BN mengekalkan ahli Parlimen yang ada sekarang dan menghalang mereka daripada menyertai parti lain seperti Bersatu, PAS ataupun salah satu komponen PH.

Pemimpin parti politik arus perdana sedang bimbang dengan keadaan semasa dan sedang cuba untuk menyelesaikan krisis politik yang meruncing dengan secepat mungkin. Kerajaan yang tidak stabil akan hanya mendedahkan kelemahan dan kerakusan sistem politik tempatan. Golongan pemerintah tidak berani untuk menyinggung perasaan rakyat dan memaksa mereka untuk menyuarakan kekecewaan terhadap keadaan politik semasa. 

Walaubagaimanapun, krisis politik Malaysia pada masa ini sudahpun meningkat ke tahap yang teruk dan sukar untuk diperbaiki dengan mudah. Kepincangan dalam sistem ekonomi dan politik negara telah pun terdedah kepada masyarakat umum, yang sedang mengikuti segala perkembangan yang berlaku dengan teliti. Ia tidak akan mengambil jangka masa yang panjang sebelum rakyat mula menentang dan menolak semua pertubuhan politik yang tamak, tidak jujur dan tidak membawa aspirasi rakyat dan akan terdesak untuk mencari alternatif politik dan ekonomi yang munasabah.

Kerajaan yang tidak stabil

Walaupun tujuan utama PRU ke 15 diadakan adalah untuk menyelesaikan krisis politik yang melanda negara, keputusan pilihan raya itu sendiri tidak membuahkan hasil yang memuaskan. Krisis politik yang sedia ada dijangka akan berterusan sehingga ke tahun depan, dan sebarang bentuk kerajaan bakal ditubuhkan akan menghadapi pertelingkahan dan pergolakan yang sengit. Wakil-wakil kapitalis yang bersaing di parlimen kini akan merancang pelbagai taktik kotor untuk menjatuhkan satu sama lain. Juga akan ada pendirian yang berbeza mengenai dasar sosial dan ekonomi di kalangan gabungan yang membentuk kerajaan yang akan menghasilkan konflik dan ketidakstabilan yang berterusan.

Kerajaan baru sekarang tidak akan dapat menangani kemelesetan ekonomi semasa, ancaman kekurangan bekalan makanan, peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang tidak mencukupi, krisis ekologi dan pengagihan kekayaan yang tidak mampan dengan secukupnya untuk memuaskan hati rakyat jelata. Ahli parlimen dan pemimpin politik akan terus menyalahkan satu sama lain di atas sebarang kekurangan dan akan asyik sibuk dengan perebutan kuasa politik. Golongan pekerja biasa sebaliknya akan terus menderita akibat keadaan ekonomi dan sosial yang semakin merosot.

Slogan lama Anwar ‘reformasi’ didedahkan sepenuhnya sebagai retorik kosong semasa kerajaan PH memerintah negara selama 22 bulan sebelum ini. Walaupun memegang kuasa negeri dan majoriti di Parlimen, ahli politik PH, termasuk Anwar, tidak berusaha untuk reformasi struktur politik atau ekonomi yang tidak demokratik. Begitu juga, tanpa program yang kuat untuk menentang kuasa kapitalis global dan tempatan, tidak mungkin Anwar atau ahli politik PH yang lain akan dapat membawa agenda reformasi ataupun janji-janji yang mereka laungkan sebelum ini. Kerajaan baru akan berhadapan dengan defisit, inflasi yang tidak terkawal dan banyak lagi cabaran sistemik dalam beberapa bulan akan datang dan setakat ini tidak ada sebarang solusi yang ditawarkan. 

Bina alternatif politik untuk rakyat

Selepas bertahun-tahun mengalami ketidakstabilan politik, rakyat Malaysia sedang menyedari hakikat bahawa sistem politik parlimen borjuasi adalah berat sebelah dan tidak dapat menyelesaikan isu-isu harian mereka. Selain itu, parti politik arus perdana yang terdedah sebagai pertubuhan yang tidak mempunyai prinsip, haus kuasa, tamak dan akan sentiasa mendahulukan diri mereka sebelum rakyat miskin dan tertindas.

Di dalam kekecohan dan ketidakstabilan dalam parlimen, terdapat juga bahaya nyata bahawa organisasi politik sayap kanan akan cuba menyelinap masuk ke dalam kerajaan. Apabila krisis ekonomi semakin meruncing, akan wujud pihak-pihak yang akan cuba mendendangkan propaganda perkauman untuk menimbulkan ketegangan sosial bagi menampilkan diri mereka sebagai satu-satunya pejuang bangsa atau agama tertentu. Gabungan PN, sebagai contoh, akan menyusuri laluan yang berbahaya ini dan formasi-formasi politik sayap kanan yang lebih ekstrem akan mula muncul.

Dari pengalaman tiga tahun lalu dan dengan keputusan pilihan raya umum ini, semakin jelas bahawa kelas pekerja dan rakyat tertindas tidak mempunyai wakil yang sah di dalam sistem politik semasa. Jika dibiarkan begitu sahaja, wakil-wakil kapitalis korup yang menguasai parlimen hari ini akan terus menindas rakyat jelata demi menjaga sistem ekonomi kapitalisme yang sedang semakin lemah. Mereka akan menggunakan semua jenis taktik untuk memecahbelahkan rakyat di bawah garis perkauman, mencetuskan ketidakharmonian dan menyemai ketakutan hanya untuk menghalang rakyat daripada terlibat dalam perjuangan yang bersatu dalam menentang kelas kapitalis.

Krisis ekonomi yang berterusan tidak akan membenarkan mana-mana wakil politik yang terikat dengan ekonomi kapitalisme untuk melaksanakan program berdaya maju yang mampu membebaskan rakyat daripada kemiskinan dan kesusahan. Malah, kelas pekerja dan rakyat biasa akan terpaksa berjuang menentang agenda kelas kapitalis demi mendapatkan sebarang manfaat ekonomi. Sebarang janji-janji manis yang ditaburkan oleh mana-mana pihak yang tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis merupakan janji palsu dan tidak wajar menerima kepercayaan dari rakyat.

Kelas pekerja, golongan belia dan rakyat yang tertindas perlu membentuk kuasa politik mereka sendiri dengan perspektif yang jelas untuk menentang agenda golongan kaya dan berkuasa. Kesatuan sekerja, pertubuhan anak muda, organisasi akar umbi dan pertubuhan masyarakat awam harus bersatu, membentuk kepimpinan untuk membina program ekonomi dan sosial, dan menjemput rakyat untuk menyertai mereka dalam berjuang demi masa depan mereka. Kapitalisme tidak dapat memenuhi tuntutan rakyat tertindas, dan massa di seluruh dunia sedang terlibat dalam pelbagai pertempuran dengan kelas kapitalis dan sedang mencari alternatif kepada sistem yang rakus ini.

Sosialisme di Malaysia

Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah satu-satunya parti berhaluan kiri yang menyertai proses pilihan raya dengan meletakkan dua calon. Walaupun hanya mendapat kurang daripada 1,000 undi kedua-dua kerusi, mereka masih mendapat lebih banyak undi berbanding koalisi sayap kanan Mahathir GTA.. Ini menunjukkan potensi untuk organisasi kiri seperti PSM untuk membina blok politik kiri untuk mencabar parti-parti kapitalis yang sedia ada. Walaubagaimanapun, PSM telah berulang kali gagal untuk mengambil pendirian politik yang jelas semasa pilihan raya dan secara konsisten telah menyokong PH yang dipanggil lebih ‘progresif’ berbanding koalisi politik lain. Walaupun berbilang kaum, PH telah menunjukkan bahawa mereka tidak sanggup menentang kelas kapitalis untuk membawa program kebajikan yang mencukupi untuk rakyat. Sungguhpun begitu, PSM berulang kali menafikan keperluan untuk membina koalisi politik kiri alternatif yang bebas daripada pengaruh PH.

Kesilapan ini menghalang PSM daripada menjadi kuasa bebas yang perlu diperhitungkan dalam politik Malaysia. Walaupun mendapat liputan nasional untuk penyertaan mereka dalam pilihan raya, pemimpin PSM gagal menggunakan platform ini dengan berkesan untuk membawa perspektif yang jelas untuk menyatukan rakyat dan menentang sistem kapitalisme.

Jika keadaan di Malaysia memaksa orang ramai untuk terlibat dalam perjuangan menentang kuasa-kuasa kapitalis, kepimpinan PSM yang sedia ada tidak akan dapat memimpin rakyat ke arah penyelesaian yang boleh menggantikan sistem kapitalisme dengan sosialisme. Mereka akan berhadapan dengan kekeliruan dan perbezaan pendapat dari keanggotaan mereka yang belum lagi yakin dengan hala tuju untuk membina alternatif sosialis di Malaysia.

Walau bagaimanapun, krisis ekonomi yang berterusan dan perkembangan gerakan-gerakan kelas pekerja di seluruh dunia akan menghasilkan peluang-peluang baru bagi organisasi kiri untuk membina keahlian mereka dan menawarkan kepimpinan kepada kelas pekerja dan rakyat biasa. Masih ada masa untuk pertubuhan kiri untuk mengusahakan sebuah perspektif yang jelas dan mempersiapkan ahli-ahli serta para penyokong mereka untuk perjuangan yang akan datang. Dalam situasi krisis, orang ramai boleh membangunkan kesedaran mereka dengan sangat cepat dan akan lebih terbuka untuk mendengar idea-idea baru yang tidak tersedia kepada mereka sebelum ini. Ini adalah peluang untuk sosialis, revolusioner dan organisasi kiri untuk membentangkan perspektif yang jelas kepada rakyat dan meyakinkan mereka untuk memilih jalan perjuangan ke arah kemenangan konklusif menentang kelas kapitalis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *