Berikutan serangan ganas ke atas komuniti Rohingya di daerah Arakan oleh tentera dengan sokongan kerajaan Burma yang dikongkong oleh junta tentera dengan kepimpinan parti Aung Sang Su Kyi, beberapa NGO di Malaysia telah memanggil sebuah protes di hadapan kedutaan Burma pada 30 Ogos. Seramai 1000 orang warga Rohingya telah turut menyertai protes ini dan telah membanjiri kawasan LRT Ampang dan Tabung Haji pada pukul 11 pagi.
Walaupun seramai 50 rakyat Malaysia yang terdiri daripada aktivis hak asasi dan NGO telah dibenarkan mendekati kedutaan Burma, semua warga Rohingya lain telah diserang dengan ganas dan dihalau oleh pihak polis Malaysia. Seramai 44 orang Rohingya juga ditahan dan ditempatkan dalam sebuah lori Polis kecil selama berjam-jam di tengah panas.
Kumpulan NGO yang juga terdiri daripada beberapa organisasi Islam seperti MAPIM dan PAS telah menyediakan sebuah memorandum untuk diterima oleh duta Myanmar dan cuma 6 orang wakil dibenarkan untuk masuk dan berjumpa dengan pegawai bertugas. Selebihnya berkumpul lebih 100 meter daripada bangunan kedutaan tersebut dan memberikan ucapan dan kenyataan media.
Walaupun usaha daripada NGO ini harus disokong, tetapi juga harus diakui bahawa ia tidak memberikan sebarang impak atau mampu membawa perubahan yang nyata bagi rakyat Rohingya itu sendiri. Hanya dengan berkumpul dalam angka yang sedikit di tempat yang tiada lalu lalang kenderaan, jauh dari mata rakyat biasa, menyerahkan memorandum dan kenyataan akhbar tidak mencerminkan sebuah perjuangan yang serius. Malah, protes ‘spontan’ tanpa sebarang kepimpinan yang dilancarkan oleh warga Rohingya Malaysia yang hampir menutup jalan raya utama di Kuala Lumpur memberikan impak yang lebih besar dari segi menaikkan kesedaran orang ramai mengenai kesengsaraan yang sedang dihadapi keluarga mereka di kampung halaman. Seramai lebih 1000 orang Rohingya yang turun ke jalan raya akhirnya tidak mendapat sebarang kepimpinan yang jelas untuk memperjuangkan nasib mereka.
Tambahan pula, beberapa pihak penganjur ‘acara penyerahan memorandum’ ini tidak mempunyai sebarang solusi yang boleh diterima oleh rakyat untuk mempertahankan mangsa Rohingya. Ramai diantara NGO terutamanya daripada latar belakang agama telah cuba untuk meletakkan aksi solidariti ini didalam kerangka perjuangan agama. Hujah mereka adalah bahawa rakyat minoriti yang beragama Islam sedang diserang oleh kumpulan kumpulan ekstremis agama Buddha. Walaupun ia benar bahawa pihak kerajaan mempergunakan institusi agama tertentu untuk menyemarakkan propaganda perkauman sehingga tercetus beberapa rusuhan kaum, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengalihkan perhatian rakyat biasa daripada masalah ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi. Kerajaan Junta sebelum ini telah mempergunakan perpecahan etnik yang diwujudkan oleh penjajah British untuk memegang kuasa dan kini disambung oleh kerajaan NLD (Liga Nasional untuk Demokrasi) dibawah kepimpinan Aung Sang Su Kyi. Ini dikenali sebagai taktik pecah dan perintah yang diamalkan di banyak negara negara bekas penjajahan barat termasuk di Malaysia.
Apabila rakyat miskin dan tertindas dilagakan dengan menggunakan sentimen perkauman, ia akan membawa manfaat kepada golongan pemerintah yang menggunakan situasi ini untuk terus merompak sumber alam rakyat biasa dan tenaga kerja kelas pekerja demi keuntungan. Maka, untuk menjelaskan perkara ini dan untuk menaikkan kesedaran rakyat, adalah penting bagi kepimpinan gerakan solidariti Rohingya untuk melihat isu ini sebagai isu hak asasi manusia yang merangkumi semua kaum. Malah, terdapat juga populasi Rohingya yang bukan Muslim yang juga ditindas dan didiskriminasi oleh kerajaan Burma.
Dengan mengangkat hujah dari sisi agama, kepimpinan gerakan ini hanya memecahkan pertalian yang wujud dikalangan rakyat biasa yang secara kolektif sedang menjadi mangsa penindasan kerajaan kapitalis Burma. Salah seorang daripada wakil NGO telah berucap bahawa kerajaan Malaysia harus menghukum pekerja migran Burma jika kerajaan Burma tidak menghentikan penganiayaan terhadap minoriti Rohingya. Ia dilihat sebagai serangan terhadap Islam dan harus dibalas juga dengan serangan terhadap pekerja migran bukan Islam. Pemikiran atau hujah sempit sebegini akan mengukuhkan agenda kelas pemerintah Myanmar yang inginkan perpecahan yang lebih mendalam dikalangan rakyat biasa. Sebaliknya, kita harus menyeru untuk bersatu dengan semua rakyat yang tertindas tanpa mengira kaum atau agama untuk melancarkan sebuah gerakan massa yang mampu mencabar pemerintahan golongan minoriti elit dan mampu mempertahankan nasib majoriti rakyat biasa.
Pada masa yang sama kita juga harus membina sebuah penentangan terhadap polisi-polisi ekonomi kerajaan kapitalis Malaysia yang sedang membentuk hubungan perdagangan dengan Burma. Malaysia yang juga merupakan sekreteriat ASEAN harus memainkan lebih banyak peranan dalam menangani isu hak asasi di Burma daripada mendahulukan agenda perniagaan dan pelaburan. Sikap hipokrit Perdana Menteri Najib dan pemimpin PAS yang menganjurkan ‘Himpunan Solidariti Rohingya’ pada Disember lepas harus didedahkan dan dipersoal. Kerajaan kapitalis tidak akan bersimpati dengan kesengsaraan rakyat biasa dan hanya mendendangkan retorik sebegitu untuk meraih undi di pilihanraya. Sebaliknya, peristiwa yang berlaku di Rohignya akan dipergunakan untuk mengaut lebih banyak sokongan undi.
Satu inisiatif yang melibatkan solidariti rakyat biasa dan kesatuan sekerja di Malaysia, Burma dan rantau Asia Tenggara perlu untuk mendesak rejim Burma dan kerajaan negara-negara Asia Tengggara untuk membawa perubahan yang nyata bagi rakyat Rohingya itu sendiri.
Pada masa ini, rakyat biasa Burma terutamanya dari minoriti Rohingya sedang tersepit dibawah percaturan politik yang sedang dimainkan oleh minoriti elit kaya yang mengawal negara. Seringkali sentimen perkauman dipergunakan bagi mewujudkan rusuhan dimana situasi itu akan memberikan kelebihan kepada pihak pihak tertentu di dalam pilihanraya atau sebagainya. Di dalam perebutan kuasa antara bekas pemerintah Junta USDP dan pemegang majoriti parlimen NLD, berjuta-juta rakyat Rohingya dijadikan mangsa. Aung San Suu Kyi yang dilihat sebagai harapan rakyat dan dianggap sebagai penyelamat Burma juga sedang melontarkan cemuhan perkauman terhadap masyarakat Rohingya dan bersifat sangat berat sebelah dalam isu perjuangan kebebasan etnik minoriti.
Adalah jelas bahawa sistem kelas dan sistem kapitalisme yang hanya mengutamakan kesejahteraan segelintir elit kaya tidak akan menyelesaikan masalah perpecahan etnik dan isu pembebasan minoriti. Aung San Suu Kyi yang juga merupakan pendokong sistem pasaran bebas kapitalisme ternyata tidak berupaya menyelamatkan rakyat Rohingya. Bagi menyelesaikan masalah masalah yang wujud di Burma, sistem kapitalisme itu sendiri harus digulingkan dan diganti dengan alternatif sosialis yang akan memberikan demokrasi kepada rakyat biasa. Kelas pekerja dan rakyat biasa harus menjangkaui perbezaan kaum dan latar belakang dan bersatu menuntut keamanan dan demokrasi. Walaupun kita tidak harus menafikan bahawa perjuangan kebebasan etnik minoriti harus diteruskan, gerakan tersebut harus membawa mesej solidariti dengan semua kelas pekerja dan rakyat tertindas bukan sahaja dari Burma tetapi dari seluruh Asia Tenggara. Hanya sebuah gerakan yang dibina berdasarkan perpaduan dikalangan kelas tertindas akan mampu membawa sebuah perubahan yang nyata bagi rakyat Rohingya dan kelas pekerja di Burma.