Untuk hampir 2 bulan, gerakan ‘Gilet Jaunes’ ataupun ‘Jaket Kuning’ telah menarik ratusan ribu rakyat France ke dalam perjuangan menentang Presiden Macron yang di label sebagai ‘Presiden untuk orang kaya’. Sejak 17 November lalu, seramai 300 ribu anak muda dan rakyat biasa telah menyertai gerakan ‘Jaket Kuning’ ini di lebih 2 ribu lokasi di seluruh France dengan melakukan aksi seperti mogok di tempat kerja, menutup jalan-jalan utama dan membuat bantahan di tempat-tempat penting. Walaupun tidak mempunyai kepimpinan yang jelas, tuntutan mereka mencerminkan kemarahan terhadap kerajaan France dan Presiden Macron yang telah membawa polisi-polisi ekonomi yang meningkatkan kekayaan golongan korporat dan memiskinkan para mahasiswa, anak muda dan kelas pekerja biasa.

Protes ini tercetus dengan pengenalan cukai terhadap pembelian disel yang di bawa oleh Presiden Macron sebagai solusi kepada kelemahan ekonomi France. Walaupun keuntungan golongan elit kaya yang memiliki korporasi gergasi seperti Total, AXA, BNP Paribas dan sebagainya dijamin dengan pelepasan cukai korporat dan perlindungan khas, para pekerja biasa dan rakyat jelata diperkenakan cukai untuk membeli disel yang menjadi antara bahan kegunaan harian yang penting. Lebih 60% kereta di France menggunakan disel sebagai bahan bakar dan majoriti daripada kelas pekerja terutamanya dari luar bandar-bandar utama terpaksa bergantung dengan kereta untuk berulang-alik dari kerja.

Langkah Macron yang telah memperkenalkan cukai ke atas gaji lebih masa yang diterima oleh pekerja, cukai terhadap wang pension pesara, memotong dana kebajikan sosial dan sebagainya telah menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat France. Walaupun telah menabur pelbagai janji untuk memulihkan kehidupan rakyat biasa dan untuk memperbaiki ekonomi France pada pertabalan Presiden yang berlangsung hanya 18 bulan lalu, majoriti rakyat mendapati diri mereka masih lagi menghadapi kemerosotan dalam taraf kehidupan dan menjadi semakin miskin manakala golongan elit kaya 1% sedang meningkatkan keuntungan mereka bernilai berbilion-bilion setiap hari. Dengan memperkenalkan cukai baru terhadap pembelian bahan bakar disel, Macron sedang cuba untuk memaksa lebih banyak pengorbanan daripada rakyat bagi mengimbang ekonomi yang sedang merudum, dan pada masa yang sama ingin menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang prihatin dengan kemerosotan alam sekitar. Polisi-polisi ekonomi yang dituju untuk memelihara kepentingan kelas majikan berbanding kelas pekerja oleh kerajaan France adalah sebab utama kenapa rakyat menggelar Macron sebagai ‘Presiden untuk orang kaya’. Kondisi yang berterusan untuk hampir sedekad semenjak krisis kewangan 2008 ini telah melihat pelbagai gerakan massa sebelum ini dan gerakan ‘Jaket Kuning’ ini juga merupakan sebahagian daripada perjuangan tersebut.

macron merkel may Protes Jaket Kuning : Kebangkitan Anak Muda dan Pekerja di France Sosialis Alternatif
Dari kiri: Macron (France), May (England) dan Merkel (Germany). Antara kepimpinan dan wajah neo-liberal yang juga merupakan antara pemimpin negara yang paling tidak popular di Eropah pada masa ini.

Gerakan Tanpa Kepimpinan

Di France, sepertimana di negara-negara lain di Eropah, rakyat biasa sedang ketandusan sebarang alternatif politik yang mewakili kepentingan mereka. Tidak ada mana-mana parti politik besar yang secara tradisinya mendapat sokongan rakyat di pilihanraya parlimen mempunyai sebarang jalan penyelesaian kepada krisis ekonomi yang sedang melanda dunia dan negara mereka. Selepas mendapat mandat kerajaan, parti-parti sosial demokrat yang menggelar diri mereka sebagai pejuang rakyat juga menyerah kepada kehendak kapitalis besar dan memangsakan rakyat biasa bagi memuaskan hati orang-orang paling kaya di dalam masyarakat. Macron yang menonjolkan dirinya sebagai bukan ahli politik tradisional dan menjanjikan sebuah perubahan dalam cara pemerintahan kerajaan France kini mendedahkan dirinya sebagai sekadar sebuah boneka bagi si kapitalis sama seperti pemimpin-pemimpin sebelum ini.

Oleh itu, rakyat biasa sudah tidak mempunyai cara lain selain untuk membanjiri jalan-jalan utama di France bagi memaksa pihak kerajaan mengubah pendirian mereka dalam beberapa polisi ekonomi. Tidak ada parti politik yang boleh dianggap sebagai mewakili dan membawa aspirasi mereka secara ikhlas dan rakyat biasa sedang mengambil keputusan untuk berjuang untuk diri mereka sendiri walaupun tanpa sebarang kepimpinan. Sentimen ‘anti pertubuhan’ ini bukan sahaja berkembang di France tetapi di seluruh dunia pada masa ini. Ini adalah disebabkan oleh krisis ekonomi yang sedang membebankan rakyat biasa dan pada masa yang sama ketiadaan sebarang kuasa politik yang mampu menawarkan penyelesaian yang munasabah.

Walaupun begitu, juga terdapat banyak kekeliruan yang wujud di dalam memahami gerakan ini disebabkan ia tidak mempunyai kepimpinan yang jelas. Parti-parti dan demagog sayap kanan extremis seperti Marie Le Pen dari Parti Gerakan Nasional yang bersifat rasis dan anti migran sedang cuba untuk merampas kepimpinan gerakan ini bagi mendapatkan sokongan rakyat. Mereka cuba menyalahkan komuniti minoriti migran miskin dan pelarian perang sebagai penyebab kepada masalah ekonomi yang sedang dihadapi rakyat dan ingin memangsakan rakyat yang sedang mengharungi kehidupan yang sukar. Ini menimbulkan beberapa kekeliruan di kalangan komuniti dunia yang tersilap anggap bahawa gerakan ‘Jaket Kuning’ ini dipimpin oleh golongan sayap kanan ekstrim.

Tetapi jika di nilai dari tuntutan, slogan dan laporan daripada akar umbi, ia mendedahkan dengan jelas bahawa ini adalah sebuah gerakan yang mengungkap perasaan jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang menghadapi masalah ekonomi dan sosial di dalam kehidupan harian mereka. Tuntutan umum gerakan ini adalah jelas, bahawa rakyat tidak boleh terima seorang Presiden atau mana-mana kepimpinan yang secara tidak adil mengorbankan kebajikan rakyat biasa bagi memelihara kesinambungan sistem ekonomi yang hanya berfungsi untuk kebajikan orang orang terkaya 1%. Oleh kerana itu, organisasi sayap kanan yang juga merupakan pendokong sistem kapitalisme dan pak turut kepada para kapitalis tidak berjaya untuk memasuki gerakan ini secara efektif. Retorik anti migran mereka tidak berjaya mendapat sambutan dan tidak menjadi tuntutan gerakan ‘Jaket Kuning’ secara keseluruhan. Sehingga ke hari ini, tidak ada sebarang insiden berkaitan rasisme yang menjadi ciri utama gerakan ini dan kebanyakan tuntutan adalah berbentuk tuntutan ekonomi yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat biasa.  

Perjuangan Yang Berterusan

Walaupun Presiden Macron telah mengalah dan menarik balik rancangan untuk mencukai bahan bakar disel dan juga memberikan beberapa konsesi lain seperti menarik balik cukai terhadap gaji lebih masa (overtime pay) pekerja, menambah gaji minimum sebanyak 100 Euro dan sebagainya, langkah ini masih lagi tidak berjaya meyakinkan rakyat biasa. Protes Jaket Kuning ini sudah berpanjangan selama 6 minggu sekarang dan mula mendapat penyertaan daripada kelas pekerja dan kesatuan sekerja termasuk anggota keselamatan dan polis yang telah melancarkan mogok-mogok mereka sendiri. Lebih daripada 100 buah institusi pengajian juga telah ditutup untuk beberapa hari akibat mogok dari para mahasiswa yang turut memasuki gelanggang perjuangan. Para peguam telah melancarkan mogok umum dan membakar buku peraturan mereka sebagai bantahan terhadap perancangan kerajaan untuk penggubalan beberapa undang-undang yang dianggap tidak demokratik. Penindasan dan keganasan dari pihak polis dan anggota keselamatan kerajaan terhadap peserta protes Jaket Kuning juga sedang meraih simpati rakyat tertindas sedunia. Bermula dengan 70%, protes Jaket Kuning kini mendapat sokongan dari hampir 85% daripada rakyat France dan menjadi inspirasi kepada gerakan-gerakan lain yang sedang muncul di seluruh dunia.

Konsesi yang ditaburkan oleh Macron tidak berjaya meyakinkan rakyat bahawa kerajaan ini akan mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memulihkan ekonomi tanpa memangsakan rakyat biasa. Walaupun memberikan janji untuk mengambil beberapa langkah konkrit, masih lagi persoalan utama iaitu isu kesihatan ekonomi France yang merudum itu masih tidak terjawab. Tuntutan Jaket Kuning untuk meningkatkan cukai bagi korporat besar untuk menampung dana sosial rakyat ditolak dan langsung tidak dipertimbangkan oleh Macron. Tanpa mengenakan cukai ke atas keuntungan korporat yang bernilai berbilion Euro, adalah mustahil bagi kerajaan ini untuk mengimbangi bajet dan memberikan peruntukan kebajikan sosial yang memuaskan pada masa yang sama. Akhirnya, rakyat biasa juga yang akan dipaksa untuk membayar balik segala hutang kerajaan dengan menanggung beban pemotongan kebajikan dan cukai-cukai regresif baru.

Protes massa ini mempunyai potensi untuk menyatukan perjuangan-perjuangan yang wujud secara sporadik di France untuk beberapa tahun ini. Para pekerja dari pelbagai sektor telah melancarkan mogok dan pihak kesatuan sekerja juga sedang ditekan untuk meningkatkan penyertaan dan sokongan mereka terhadap perjuangan Jaket Kuning. Walaupun kepimpinan Majlis Kesatuan Sekerja CGT yang birokratik tidak menawarkan diri mereka untuk memimpin gerakan ini, banyak ahli-ahli kesatuan tempatan telah bergabung tenaga dengan penganjur Jaket Kuning dan membuat aksi bersama. Ini juga mendedahkan kelemahan pihak birokrat di dalam Majlis Kesatuan Sekerja yang tidak mempunyai semangat juang dan bercanggah dengan kemahuan ahli-ahli biasa mereka yang bersedia untuk memimpin gerakan ini.

Gerakan Jaket Kuning ini memerlukan sebuah hala tuju yang jelas dan kepimpinan yang berwibawa daripada organisasi yang demokratik dan berpaksikan rakyat biasa. Badan-badan kesatuan sekerja dan pemimpin organisasi buruh haruslah tonjol kehadapan dan memberikan kepimpinan yang mampu menyusun tenaga rakyat ke dalam aksi-aksi massa seperti mogok umum yang mampu melemahkan penguasaan golongan elit ke atas ekonomi negara. Pada masa yang sama, kelas pekerja dan rakyat yang sedar juga harus mewujudkan sebuah pertubuhan politik massa yang demokratik dengan program rakyat yang jelas bagi mencabar penguasaan politik oleh golongan kelas kapitalis.

Jika sebuah kepimpinan yang berdasarkan kepada prinsip demokratik dan aspirasi massa dapat diwujudkan bagi memimpin perjuangan rakyat, gerakan ini bukan sahaja boleh memenangi segala tuntutan rakyat, malah mempunyai potensi untuk berkembang menjadi platform politik yang mampu membawa sebuah sistem ekonomi alternatif. Tambahan pula, ini boleh menjadi inspirasi kepada gerakan rakyat dari seluruh dunia yang juga sedang mencari sebuah alternatif kepada sistem ekonomi dan politik yang sedia ada.  

tous ensemble Protes Jaket Kuning : Kebangkitan Anak Muda dan Pekerja di France Sosialis Alternatif
Semua Bersama: Gerakan Jaket Kuning menyatukan rakyat dari semua latar belakang dan pendirian politik di atas nama perjuangan untuk rakyat tertindas.

Inspirasi Kepada Golongan Tertindas

Langkah penjimatan dana sosial yang sedang berlaku di seluruh Eropah bagi menyelamatkan keuntungan golongan minoriti kaya ini menimbulkan kemarahan rakyat biasa yang sedang menyusun tenaga mereka untuk melancarkan sebuah perjuangan menuntut perubahan. Gerakan ‘Jaket Kuning’ ini telah menjadi inspirasi dan sedang tersebar ke negara-negara lain seperti Belgium, Republic Ireland, Spain, Iraq, dan Israel. Malah, diktator Mesir, General Al Sisi telah mengharamkan penggunaan ‘Jaket Kuning’ akibat khuatir dengan pencetusan sebarang gerakan yang serupa di sana. Penyebaran gerakan ini mendedahkan kondisi sistem ekonomi kapitalisme yang sedang menghadapi krisis di skala global.

Bukan sahaja di France, di kebanyakkan negara dunia, kekayaan golongan kaya, para majikan dan pemilik syarikat sedang meningkat manakala kekayaan 99% daripada rakyat biasa sedang menyusut. Jurang kekayaan di antara golongan elit 1% dan majoriti rakyat biasa sedang melebar dengan skala yang tidak terlihat dalam sejarah dunia. Kurang daripada 10 orang individu terkaya kini memiliki lebih banyak harta berbanding dengan 50% daripada populasi dunia bergabung, dan rakyat miskin terpaksa menghadapi realiti ini tanpa sebarang jalan keluar. Dari Amerika ke Jepun, dari Sweden ke Argentina, rakyat dari setiap pelosok dunia sedang memendam kemarahan terhadap sistem ekonomi dan politik yang meminggirkan mereka bagi memelihara kepentingan segelintir elit kaya.

Cetusan gerakan-gerakan massa seperti yang berlaku di France pada masa ini hanya memberikan gambaran permukaan terhadap kemarahan dan kekecewaan rakyat biasa yang inginkan sebuah perubahan yang bermakna bagi hidup mereka. Gerakan seperti ini akan mula menjadi ciri utama dunia baru yang akan mempersoalkan kesahihan sistem ekonomi dan politik yang sedang diamalkan di seluruh dunia. Rakyat biasa dan kelas pekerja akan mempersoalkan apakah sistem yang hanya berpihak kepada segelintir kaya ini harus dikekalkan atau sebuah alternatif baru harus di cari.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *