Pilihan Raya Negeri Johor yang berlangsung baru baru ini berakhir dengan kemenangan besar kepada Barisan Nasional yang telah menguatkan posisi mereka di kerajaan negeri tersebut. Ini merupakan PRN yang ke empat sejak PRU 2018 lepas dan ke tiga selepas Ismail Sabri menyandang jawatan PM bermula Ogos tahun lalu. Johor juga merupakan antara 3 negeri di Malaysia termasuk Sarawak dan Melaka untuk mengadakan PRN secara berasingan dengan PRU. 

BN yang berjaya meraih 40 daripada 56 kerusi merupakan pemenang besar dan mendapat majoriti melebihi dua per tiga dari segi bilangan kerusi. Manakala, PH yang telah berjaya menawan negeri Johor daripada kawalan BN pada 2018 pula hanya berjaya mendapat 12 kerusi. Perikatan Nasional yang terdiri daripada Parti Bersatu dan PAS hanya mendapat 3 kerusi keseluruhan. 

Kemenangan BN

Walaupun Barisan Nasional telah menggondol sebanyak 70% daripada kerusi DUN yang dipertandingkan, mereka hanya memperoleh sebanyak 43% daripada undi keseluruhan ataupun undi popular. Tambahan pula, peratusan pengundi yang keluar mengundi adalah sangat rendah, iaitu sekitar 55%. Walaupun ini merupakan Pilihan Raya pertama di mana anak muda berumur 18 ke 21 dibenarkan mengundi, tidak nampak semangat di kalangan rakyat untuk turun mengundi. 

Sepertimana yang dilihat di PRN Melaka sebelum ini, kekurangan jumlah pengundi telah memberikan kelebihan kepada BN yang mempunyai jentera politik yang kuat dan sudah lama bertapak di lapangan. Pada PRU ke 14 lepas, peratusan pengundi yang tinggi telah memberikan kelebihan kepada pembangkang PH untuk menumpaskan BN di kedua-dua negeri Melaka dan Johor. Rakyat telah berpusu pusu ke pusat undi untuk memilih calon PH. Tetapi, ini tidak berlaku kali ini dan kekuatan BN di negeri Johor tidak berjaya di cabar oleh pihak pembangkang. 

Kekalahan PH

Pakatan Harapan telah kehilangan 15 daripada 27 kerusi DUN yang disandang sebelum ini dan telah kehilangan hampir 200 ribu pengundi dalam PRN ini berbanding PRU lepas. Juga, beberapa calon popular PH seperti ketua koalisi PH Johor Aminolhuda Hassan (Amanah) dan beberapa bekas EXCO negeri juga telah gagal untuk mempertahankan kerusi masing-masing.  Mazlee Malik yang memasuki PKR baru baru ini sebagai calon berprofil tinggi dan diangkat oleh PKR sebagai pilihan Menteri Besar juga telah kalah dengan hampir 3 ribu undi. 

Pada PRU lepas, PH telah berjaya memikat sokongan rakyat dan pengundi ‘atas pagar’ dengan janji-janji ekonomi dan politik yang menarik. Tetapi apabila PH mengambil alih kuasa kerajaan, mereka bukan sahaja gagal untuk menunaikan janji, malah pucuk pimpinan PH telah memperkecilkan manifesto PRU mereka sendiri. Rakyat yang sering tertipu dengan janji-janji kosong dari ahli politik tidak teruja untuk mengulangi kesilapan yang sama dan memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam proses pemilihan ini. 

PH juga berada dalam krisis politik dalaman yang berpanjangan. PKR misalnya tidak menggunakan simbol koalisi PH untuk bertanding di PRN ini dan memilih untuk menggunakan simbol mereka sendiri. Tambahan pula, keputusan yang mengecewakan di PRN Johor juga telah mengundang kritikan yang bertalu talu dari ahli ahli PH ke atas pucuk kepimpinan mereka yang dilihat sebagai gagal untuk memulihkan keyakinan di kalangan rakyat ke atas koalisi tersebut. 

Masa Depan PN

Perikatan Nasional telah cuba menggunakan pengaruh bekas PM Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan posisi politik mereka di Johor. Tetapi, ia tidak membuahkan sebarang hasil apabila PN kehilangan 9 kerusi termasuk beberapa posisi EXCO yang penting. 

Kekalahan ini mewujudkan persoalan berkenaan dengan cita-cita parti Bersatu untuk menggantikan UMNO sebagai perwakilan masyarakat Melayu yang terbesar. Pada masa yang sama, ia juga melemahkan pegangan PN ke atas kerajaan Federal dan akan memberi tekanan kepada kepimpinan PN untuk mengubah strategi Pilihan Raya mereka dan cuba mewujudkan koalisi politik yang lebih kuat. 

Bersatu dan PH mungkin akan dipaksa ke dalam satu sekutu politik bagi menjamin posisi politik masing-masing. Pada masa yang sama, PAS juga boleh kembali ke pangkuan BN dan menyambung usaha Muafakat Nasional yang dibentuk sebelum kerajaan PH jatuh pada awal 2020. 

Pada masa ini, ianya tidak jelas apakah formasi formasi politik baru yang akan muncul menuju PRU ke 15. Tetapi, pastinya situasi politik negara akan semakin kucar kacir dan terus menghadapi krisis untuk jangka masa yang panjang.

Parti-parti bebas

Sama seperti PRN Melaka lepas, PRN Johor juga melihat penglibatan daripada parti-parti yang baru ditubuhkan dan berdiri di luar blok BN, PH atau PN. MUDA (PH Plus), Parti Pejuang, Parti Bangsa Malaysia, Parti Perkasa, Warisan, Parti Sosialis dan 16 calon bebas lain telah bertanding. Ini mewujudkan situasi pertandingan 5 atau 6 penjuru di banyak kawasan. 

Tetapi, selain daripada MUDA yang meraih 1 kerusi, semua Parti lain telah gagal untuk mendapatkan sebarang kerusi DUN. Seramai 85 calon termasuk semua 42 calon dari Parti Pejuang telah kehilangan deposit.

Bagi parti-parti baru yang ingin menilai sokongan mereka di kalangan rakyat menuju ke PRU yang akan datang, keputusan PRN ini kurang memuaskan. Sekali lagi, ini mencerminkan kegagalan parti-parti baru ini untuk membawa alternatif politik yang munasabah dan membawa program yang boleh menarik perhatian rakyat biasa. 

MUDA

Parti MUDA yang mendapat 1 kerusi dalam pilihan raya yang pertama telah menerima keputusan tersebut dengan penuh kegembiraan. Media-media sosial dipenuhi dengan pujian dan mengatakan bahawa parti ini mempunyai masa depan yang cerah. 

Tetapi, parti MUDA yang merupakan pecahan daripada Parti Bersatu dan dipimpin oleh Syed Saddiq bukanlah sebuah parti yang mampu membawa perubahan kepada situasi ekonomi dan politik negara yang berada dalam krisis berpanjangan. Penubuhan parti ini bertujuan untuk merebut pengundi muda yang baru mendapat hak untuk mengundi dan sedang semakin muak dengan parti-parti politik yang sedia ada. MUDA cuba mengisi vakum politik yang ada dengan retorik-retorik kosong dan penggunaan media sosial sebagai platform kempen politik. 

Selain itu, pegangan parti ini tidak berbeza dengan parti-parti arus perdana lain dan akan pastinya mengecewakan rakyat kelak. Malah pemimpinnya sendiri mempunyai rekod buruk dalam mempertahankan ahli politik yang melompat parti, mempergunakan agenda perkauman untuk menyerang pesaing politik dan sedang berhadapan dengan tuduhan korupsi dari penglibatannya dalam kepimpinan parti Bersatu. 

Oleh kerana umur mengundi di kurangkan dan penggunaan media sosial menjadi lebih penting dalam kempen pilihan raya, parti MUDA mungkin akan berjaya meraih sokongan dan undi daripada beberapa lapisan anak muda, terutamanya dari Pantai Barat. Tetapi, sama seperti parti-parti lain, rakyat akan lambat laun mula mengenali wajah sebenar ahli-ahli politik parti MUDA yang juga mewakili kepentingan golongan kaya dan akan meminggirkan masyarakat miskin. Kepimpinan MUDA sendiri terdiri daripada golongan pemodal dan pemilik perniagaan yang kaya raya dan ini merupakan pertubuhan politik yang mewakili kepentingan orang kaya, bukan rakyat tertindas. 

Selain itu, parti-parti lain daripada BN, PH dan PN juga menyedari kepentingan undi anak muda yang menjadi antara faktor yang menjatuhkan BN dan membawa kejayaan kepada PH di PRU lepas. Masing-masing sedang membawa retorik-retorik untuk menarik sokongan golongan belia, meletakkan calon-calon yang lebih muda dan membuat pelaburan di media-media sosial. Oleh itu, parti MUDA juga boleh menjangkakan persaingan sengit untuk undi anak muda daripada parti-parti lain di PRU akan datang.

Parti Sosialis Malaysia

Parti Sosialis Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk meningkatkan profil mereka dan juga untuk membina kempen kempen rakyat dan menguatkan organisasi mereka. Calon mereka, aktivis dan pembikin filem Arangkannal telah mendapat hampir 1000 undi dan tidak jauh ketinggalan dari Parti Pejuang yang hanya meraih 1300 undi di Kota Iskandar. 

Tetapi, hala tuju PSM yang tidak jelas dan penglibatan dengan parti-parti pembangkang sepanjang sejarah mereka masih mewujudkan tanda tanya berkenaan pendirian parti ini. PSM telah memberikan sokongan terhadap pembangkang PH di setiap PRU walaupun sering meletakkan calonnya sendiri untuk menentang PH di beberapa kawasan. Ini mewujudkan kekeliruan di kalangan pengundi dan rakyat yang tidak memahami hala tuju sebenar PSM. 

Sebagai parti yang membawa nama Sosialis, PSM seharusnya membawa hujah untuk menentang semua pertubuhan politik arus perdana termasuk PH yang kononnya progresif dan menyeru kepada rakyat untuk membina perwakilan politik yang benar-benar mengangkat kepentingan rakyat. Sebaliknya, PSM sering mengelirukan rakyat dengan menyokong PH dan melihat PH sebagai alternatif yang lebih baik berbanding BN atau PN. 

Realitinya, selepas melihat PH di tampuk kekuasaan untuk 2 tahun, rakyat tidak nampak sebarang perbezaan yang ketara diantara kepimpinan PH dan BN sebelum itu. Walaupun rakyat biasa sudah mula menyedari perkara ini, kepimpinan PSM masih teragak-agak untuk mengambil posisi yang jelas dalam persoalan kerjasama dan sokongan mereka terhadap PH. 

Bagi parti-parti yang bergelar kiri atau sosialis, pilihan raya merupakan hanya salah satu arena di mana perjuangan menentang sistem dan perwakilan kapitalisme boleh di bina. Ia bukanlah sebuah arena yang akan membawa perubahan yang keseluruhan kepada rakyat biasa. Sememangnya tidak dinafikan bahawa PSM sangat aktif bergiat dalam menyusun dan memperjuangkan hak rakyat, tetapi malangnya, PSM gagal untuk menghubungkaitkan perjuangan mereka di luar Parlimen dengan intervensi politik mereka di pilihan raya. 

Dalam situasi politik hari ini, rakyat sudah muak dengan janji-janji kosong daripada ahli-ahli politik yang sering mengabaikan mereka selepas mendapat kuasa. Oleh itu, sekadar janji dan program sahaja tidak akan menggerakkan rakyat untuk turun dan menyokong mana-mana parti. 

PSM harus menjelaskan bagaimana mereka bercadang untuk melawan sistem kapitalisme untuk mendapatkan kebajikan dan hak untuk rakyat terbanyak. Haruslah ditegaskan bahawa rakyat tidak akan mendapat manfaat jika hanya bergantung dengan pilihan raya dan parti-parti utama yang sedia ada untuk mengharapkan perubahan. Perubahan yang nyata hanya boleh dicapai jika kelas pekerja dan rakyat biasa dapat menyatukan kekuatan mereka di bawah satu program yang konkrit dan berjuang menentang parti-parti politik arus perdana, termasuk PH dan parti-parti pro kapitalis yang baru muncul. 

Kompromi dan kerjasama dengan parti-parti kapitalis akan hanya mengelirukan rakyat terhadap hala tuju parti-parti kiri atau sosialis dan akan memberi peluang kepada kelas kapitalis untuk menguatkan cengkaman politik mereka ke atas rakyat biasa. Tambahan pula, kelas pekerja dan rakyat biasa akan menjadi kurang yakin dalam proses-proses politik yang sedia ada dan tidak berjaya melanjutkan perjuangan mereka di arena ini.  

Alternatif Sosialisme

Pihak-pihak berbeza membuat kesimpulan mudah bahawa kemenangan BN dan kekalahan PH merupakan cerminan kepada kekurangan jumlah pengundi. Ahli-ahli politik PH juga cuba menyalahkan rakyat biasa untuk kekalahan mereka. 

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kekurangan peratusan pengundi yang keluar mengundi. Tetapi, faktor yang paling besar adalah kekecewaan rakyat terhadap pertubuhan politik dan semua calon dari parti-parti yang telah mengkhianati mereka berulang kali. Rakyat Malaysia sudah semakin hilang harapan bukan sahaja dengan ahli-ahli politik yang wujud, malah dengan seluruh sistem politik itu sendiri. Pilihan raya di negara ini bukan lagi digunakan untuk memilih calon yang akan memelihara hak rakyat, tetapi sekadar untuk menghukum ahli-ahli politik yang di benci dan pernah mengkhianati mereka. 

Sebahagian besar daripada 55% rakyat Johor yang keluar mengundi di PRN lepas tidak mengharapkan sebarang perubahan dalam kehidupan mereka selepas ini. Kebanyakan anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa sedang gelisah dengan situasi ekonomi dan politik yang sedang semakin merosot dan tidak mempunyai sebarang pilihan yang wajar untuk memperbaiki kehidupan mereka. 

Pada waktu ini, rakyat yang sedang kehilangan harapan memerlukan sebuah kepimpinan politik yang membawa alternatif kepada sistem ekonomi dan politik kapitalisme yang gagal untuk menyelesaikan segala krisis yang sedang dihadapi oleh rakyat setakat ini. Perwakilan politik yang ingin mempertahankan sistem kapitalisme tidak akan berupaya untuk membawa sebarang perubahan yang terjamin kerana sistem itu sendiri sedang merosot di skala dunia.

Oleh itu, anak muda, kelas pekerja dan rakyat yang tertindas harus berganding bahu dan membina sebuah pertubuhan politik yang bukan sahaja mampu memimpin perjuangan rakyat, malah dapat membawa satu alternatif ekonomi untuk menggantikan sistem kapitalisme yang rakus. Sistem sosialisme mengutamakan keperluan rakyat miskin dan bukannya kehendak kelas kapitalis yang kaya raya. Ia meletakkan kuasa pengeluaran ataupun kuasa ekonomi dan kuasa politik di tangan kelas pekerja dan rakyat biasa, jauh dari pengaruh para pemodal dan pemilik perniagaan besar. 

Walaupun banyak pertubuhan lain yang memanggil diri mereka Sosialis, tetapi setakat ini tidak berjaya membentangkan sebuah perspektif yang jelas untuk membawa sistem sosialisme untuk menggantikan kapitalisme. Sosialisme tidak boleh dicapai hanya melalui perjuangan di arena politik ataupun di Parlimen sahaja. Ataupun ia tidak boleh dicapai dengan sekadar mengatur perjuangan rakyat di lapangan. Perlu ada hubungan antara perjuangan rakyat di tempat kerja atau di komuniti setempat dan dengan hala tuju politik yang jelas untuk membina sosialisme.  

Sosialisme hanya boleh dicapai dengan perjuangan massa daripada rakyat yang mempunyai kepimpinan politik yang jelas untuk menggulingkan penguasa kapitalis dari kuasa kerajaan dan digantikan dengan demokrasi kelas pekerja dan kuasa kepada rakyat terbanyak.  

 

 

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *