Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

BINA PARTI MASSA PEKERJA UNTUK SELAMATKAN RAKYAT!

Semenjak 2008, keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan taraf hidup rakyat yang semakin merosot telah mengucar-kacirkan keadaan politik negara. Seperti PRU 12 dan PRU 13 yang lalu, agenda populisme, rasisme dan nasionalisme sekali lagi akan menjadi landasan propaganda kepada parti pemerintah dan parti pembangkang untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 (PRU 14) yang dijangka sama ada di akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.

Krisis kapitalisme

Semenjak merdeka, kestabilan politik dan ‘kontrak sosial’ telah dipergunakan sebagai landasan untuk menarik syarikat-syarikat multinasional untuk melabur ke Malaysia serta membangunkan kapitalis nasional. ‘Kontrak sosial’ yang membolehkan Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan) membentuk kerajaan dengan gambaran bahawa semua kaum akan mendapat keadilan dan kesaksamaan dalam pembangunan dan kekayaan negara. Tetapi, ini ternyata tidak benar apabila ‘kestabilan politik’ dan ‘kontrak sosial’ menjadi kuda tunggangan untuk elit dan kapitalis untuk menimbunkan kekayaaan dan kemewahan untuk mereka, manakala rakyat biasa dijunamkan ke dalam konflik ekonomi dan sosial.

Kapitalisme di Malaysia yang dibangunkan oleh British dan seterusnya dipertahankan oleh kerajaan BN/Perikatan sedang mengharungi krisis bersama kapitalisme global. Situasi ini yang sedang mencorakkan politik negara dijangka menjadi lebih parah jika keadaan ekonomi global semakin teruk.

Boleh Najib bertahan ?

Skandal 1MDB dijangka terus memberikan tekanan kepada Najib, dan boleh dipergunakan oleh Zahid atau pemimpin UMNO yang lain untuk menjatuhkan Najib jikalau ekonomi semakin merosot atau sebagai langkah untuk memperkuatkan UMNO untuk berhadapan PRU14. Pemimpin UMNO yang berakar umbi dengan agenda nasionalis dan kapitalis, dan hanya berminat kepada kuasa dan keuntungan melalui projek-projek kerajaan dan melalui politik naungan, akan bersedia mengubah kesetiaan mereka kepada pemimpin yang lain jika skandal Najib terus melemahkan parti.

Buat masa ini Najib akan cuba untuk bertahan sekurang-kurangnya untuk mencantas tuduhan terhadapnya dan keluarganya dalam skandal seperti 1MDB dan lain-lain. Dengan melantik penyokongnya untuk jawatan penting dalam parti dan pemecatan pengkritik seperti Muhyiddin, dan beberapa pemimpin lain daripada UMNO dan kerajaan, dia telah mengukuhkan kuasanya dalam UMNO, tetapi dengan ekonomi yang semakin merudum ini tidak menjamin kedudukannya.

Negara berkebajikan ?

PAS yang mencanangkan negara berkebajikan pada pilihanraya yang lalu kini sanggup mempergunakan rasisme serta sentimen agama, dan berjinak-jinak dengan UMNO yang penuh dengan skandal dan penyalahgunaan kuasa semata-mata untuk memenangi pilihanraya. Gabungan PAS dan UMNO adalah bertujuan masing-masing untuk mendapatkan semula sokongan pengundi. UMNO mempergunakan PAS untuk memecahkan undi pembangkang untuk terus berkuasa. PAS pula mempergunakan UMNO untuk merealisasikan agenda hudud di negeri Kelantan atau memperluaskan undang-undang syariah bagi memastikan ianya dapat mengekalkan kuasa di Kelantan, dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat luar bandar.

Tetapi, pemerintahan PAS di negeri Kelantan bukan sahaja tidak mampu membangunkan ekonomi dan keperluan sosial berlandaskan hasrat rakyat, malahan terjerumus dalam skandal balak akibat bersekongkol dengan beberapa syarikat kapitalis yang telah mengakibatkan banjir teruk di negeri Kelantan dalam beberapa tahun ini. Memantapkan hak dan keperluan rakyat memerlukan demokrasi dan penglibatan rakyat dalam perancangan, bukannnya bermain dengan sentimen rakyat untuk kepentingan kuasa.

Selamatkan Rakyat atau Selamatkan Kapitalis ?

Pembangkang seperti PKR, DAP dan PAN dengan retorik populisme dan agenda ‘Selamatkan Malaysia’ pula sanggup bersekongkol dengan Mahathir, yang melancarkan kekejaman neoliberalisme ketika 22 tahun pemerintahan autokratik yang mengakibatkan hak-hak pekerja, anak muda/pelajar, kesatuan dan demokrasi dikikis satu demi satu. Salah satu sebab krisis sekarang adalah akibat polisi-polisi Mahathir pada masa pemerintahannya.

Parti Bersatu, parti serpihan daripada UMNO dengan Mahathir pula akan memperkudakan pembangkang untuk menjatuhkan UMNO yang pada satu ketika menjadi landasan mereka melancarkan polisi dan agenda pasaran bebas untuk kemewahan kepada kapitalis nasional dan antarabangsa. Manakala parti-parti di Sabah dan Sarawak pula mempergunakan agenda nasionalisme dan autonomi untuk mendapatkan sokongan rakyat di negeri-negeri tersebut yang juga sedang menghadapi tekanan sosial dan ekonomi seperti rakyat di Semenanjung.

Rakyat biasa dan anak muda di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak, mahukan pembahagian kekayaan yang saksama dan adil tanpa mengira kaum, agama, budaya dan sempadan negeri untuk menjamin hak dan demokrasi, tetapi ini sama sekali tidak dijunjung oleh parti-parti pemerintah dan pembangkang yang dikongkong oleh agenda elit dan kapitalisme.

Tidak demokratik

Pada awal tahun 2016, BN menang selesa dalam dua pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak walaupun pada hakikatnya Najib dan UMNO, telah diselubungi dengan berbagai skandal dan rasuah termasuk 1MDB, dan kepopularan kerajaan menjunam ke paras terendah iaitu 23% pada akhir tahun 2015. Ini tidak bermakna Najib telah mendapat mandat yang kuat untuk terus menjadi PM.

Ternyata taktik membeli undi dengan jutaan Ringgit projek-projek infrastruktur dan pelbagai janji pilihan raya masih dipergunakan. Mekanisme pilihan raya yang tidak demokratik dan berat sebelah bersama dengan sentimen perkauman dan agama terus dieksploitasi dan pembangkang yang berpecah-belah memanfaatkan BN.

Bina Alternatif

Dalam keadaan krisis ekonomi dan sosial, pekerja dan anak muda memerlukan pembelaan. Tanpa program dan perancangan alternatif berlandaskan kepada hak dan keperluan pekerja dan anak muda, maka parti-parti politik tidak mampu mendapatkan penyelesaian kepada kemahuan dan hasrat rakyat. Retorik nasionalisme, rasisme dan populisme parti-parti pemerintah dan pembangkang hanyalah untuk mengaburi mata rakyat daripada penyelesaian sebenar. Warga pekerja dan anak muda yang merupakan majoriti rakyat di Malaysia mampu mendapatkan penyelesaian jika mereka bersatu di bawah politik yang berlandaskan kepada hak mereka. Sosialis Alternatif, percaya dan yakin dengan pembinaan parti massa pekerja yang mengabungkan warga pekerja dan anak muda bersama masyarakat tertindas yang lain, satu perubahan berlandaskan kepada keperluan dan hasrat rakyat biasa mampu dibentuk dan diperkembangkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *