Pada persidangan Dewan Negara terakhir bagi tahun 2019, para Senator telah meluluskan beberapa pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan yang sudahpun dicadangkan oleh Menteri Sumber Manusia Kulasegaran dan diluluskan di peringkat Dewan Rakyat. Proses pindaan akta ini telah berjalan dengan perbalahan dari pelbagai pihak dan tanpa sebuah persetujuan daripada kepimpinan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) yang menuduh bahawa pihak Kementerian tidak merujuk kepada MTUC sebelum membawa cadangan pindaan tersebut ke Dewan Rakyat. Tambahan pula, pihak MTUC berhujah bahawa pindaan yang diluluskan oleh Parlimen itu bukan sahaja tidak akan membawa manfaat kepada para pekerja, malah akan mengakibatkan perpecahan di kalangan Kesatuan Sekerja yang sedia ada dan melemahkan perpaduan di kalangan para pekerja yang berkesatuan. Pihak Kementerian pula menafikan perkara tersebut dan mendakwa bahawa pihak MTUC telah dirujuk dan keputusan hanya diambil selepas mengadakan perbincangan yang mendalam dengan pelbagai pihak yang berkaitan. Justeru, Menteri Kulasegaran mempertahankan pindaan yang dicadangkan sebagai sebuah langkah yang akan membawa manfaat kepada golongan pekerja dan menguatkan kesatuan sekerja di negara ini.
Pihak-pihak berbeza mempunyai persepsi yang bertentangan berkenaan dengan pindaan akta-akta perusahaan. Ada pihak yang menyokong pindaan ini seperti LLRC (Labour Law Reform Coalition yang terdiri daripada gabungan 58 buah Kesatuan), Parti Sosialis Malaysia dan MTUC Sarawak yang berhujah bahawa ada beberapa aspek di dalam pindaan ini yang akan meningkatkan hak para pekerja dan kesatuan. Ada juga beberapa pihak yang menyerang kepimpinan MTUC bagi mengambil langkah-langkah untuk membantah pindaan akta tersebut.
Pindaan Akta Perhubungan Perusahaan
Akta Perhubungan Perusahaan yang di perkenalkan pada 1967 merupakan sebuah akta zalim yang bertujuan untuk menghadkan perkembangan Kesatuan Sekerja dan telah dipinda beberapa kali dalam sejarah kewujudannya untuk meningkatkan penindasan terhadap para pekerja yang berkesatuan. Dengan membawa akta ini, pihak kerajaan BN telah berjaya melemahkan gerakan perjuangan pekerja, melemahkan peranan Kesatuan Sekerja dan membantut perkembangan kesatuan di kalangan para pekerja dalam usaha untuk menyediakan pasaran buruh yang murah bagi modal asing atau tempatan. Oleh itu, walaupun belum jelas jika pindaan tersebut akan memberi kesan yang positif kepada pihak pekerja dari segi penguat kuasaan, atas kertas ada beberapa pindaan yang nampaknya lebih baik berbanding dengan apa yang wujud sebelum ini.
Dengan pindaan terbaru dalam akta tersebut, para pekerja akan dibenarkan untuk diwakili oleh mana-mana pihak kecuali peguam dalam proses rundingan antara majikan dan pekerja yang dikendalikan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan. Ini akan membantu para pekerja dalam menghadapi kes mereka dengan bantuan daripada pihak luar seperti NGO atau pertubuhan-pertubuhan hak pekerja yang lain. Selain itu, proses pengiktirafan Kesatuan Sekerja juga akan di permudahkan dengan harapan bahawa kesatuan-kesatuan yang berdaftar akan diiktiraf oleh pihak majikan dengan lebih cepat.
Pindaan ini juga memperkenalkan beberapa mekanisme yang akan menghukum pihak majikan ke atas salah laku seperti gagal untuk membayar pampasan kepada pekerja selepas keputusan di buat di Mahkamah Perusahaan, melengahkan proses Persetujuan Kolektif (CA), memanjangkan tempoh pembayaran balik gaji bagi pekerja yang dipecat tanpa mengikut akta yang tersedia dan sebagainya. Oleh itu, pihak-pihak yang melindungi kepentingan golongan majikan seperti Federasi Majikan Malaysia (MEF) juga mengemukakan bantahan terhadap pindaan ini.
Antara pindaan yang di ketengahkan adalah berkenaan dengan pengurangan kuasa Menteri Sumber Manusia dalam isu-isu berkaitan pertikaian di antara majikan dan pekerja. Kes-kes baharu tidak akan dirujuk ke pihak Kementerian untuk mendapat keputusan dan akan di kendalikan oleh Ketua Pengarah jabatan sendiri. Walaupun langkah ini dianggap akan menyelesaikan belenggu birokrasi yang bertindak bertentangan dengan kemahuan para pekerja, masih lagi ianya tidak bermakna bahawa jabatan-jabatan ini akan menjalankan tugas mereka dengan telus dan demokratik. Pindaan ini hanya membawa maksud bahawa kuasa mutlak yang pernah di pegang oleh Menteri kini akan diberikan kepada Ketua Pengarah yang secara tidak rasmi boleh dipengaruhi oleh pihak Kementerian pada bila-bila masa. Kesan pindaan ini ke atas kes-kes pertikaian perusahaan yang bakal berlaku masih tidak jelas dan harus dinilai selepas penguatkuasaan pindaan ini bermula secara rasmi.
Bantahan MTUC
Tumpuan utama pindaan ini yang menjadi pertikaian pihak MTUC adalah berkenaan dengan membenarkan kewujudan lebih dari satu kesatuan di tempat kerja yang sama. Ini merupakan pindaan yang ditentang sehabis-habisnya oleh pihak kepimpinan MTUC dan mendakwa bahawa ini merupakan satu langkah dari pihak Kementerian untuk menghapuskan pertubuhan tersebut. Dengan pindaan ini, lebih daripada satu kesatuan boleh mewakili para pekerja dan kesatuan yang mempunyai sokongan majoriti pekerja akan diamanahkan untuk mengendalikan Perjanjian Kolektif dengan pihak majikan. Oleh itu, pihak kepimpinan MTUC khuatir bahawa ini akan mewujudkan lebih banyak percanggahan dan perbalahan di kalangan para pekerja yang diwakili oleh pihak-pihak yang lain dan akan berfungsi untuk memberi kelebihan bagi pihak majikan. Pada masa yang sama, terdapat beberapa kes seperti yang berlaku di kilang Renesas pada 2013 di mana pihak majikan cuba mencantas perkembangan kesatuan sekerja di tempat kerja mereka dengan menubuhkan satu lagi kesatuan sekerja dan enggan untuk mengiktiraf kesatuan yang sudahpun ditubuhkan lebih awal.
Pindaan ini sememangnya menyukarkan situasi dan mewujudkan pelbagai kekeliruan dan persoalan. Pihak majikan sememangnya akan mendapat ruang untuk melemahkan perjuangan kesatuan dengan mewujudkan beberapa kesatuan sekerja yang dianjurkan oleh pihak majikan sendiri yang akan menyokong setiap keputusan mereka. Pada awalnya majikan boleh memberikan beberapa konsesi kepada pihak pekerja untuk menarik mereka masuk ke dalam kesatuan yang dianjurkan majikan, dan selepas memastikan bahawa semua perwakilan pekerja yang pernah wujud berjaya dihancurkan, mereka boleh kembali mencengkam para pekerja dengan pelbagai jenis penindasan.
Jika pihak kepimpinan MTUC dan majoriti daripada kepimpinan Kesatuan Sekerja yang wujud di Malaysia sangat aktif dalam memperkukuhkan kesatuan masing-masing melalui perjuangan yang memanfaatkan pekerja, mereka tidak perlu khuatir dengan pindaan ini dan boleh bergantung dengan kekuatan mereka. Tetapi sebaliknya, akibat keengganan pihak kepimpinan pertubuhan pekerja dalam memperjuangkan hak pekerja dan akibat sifat birokratik kepimpinan yang tidak memberikan suara kepada ahli-ahli biasa, kebanyakan Kesatuan Sekerja yang ada berada dalam keadaan yang lemah dan tidak dapat menarik sokongan para pekerja dengan berkesan. Dalam situasi ini, pindaan ini akan mencabar dominasi MTUC sebagai satu-satunya wakil bagi pekerja swasta di Malaysia dan ini merupakan punca utama kepada kerisauan di kalangan kepimpinan MTUC dalam isu ini.
Tetapi, pihak MTUC juga tidak berupaya untuk melakukan apa-apa kempen yang bertujuan untuk mendidik para pekerja mengenai bahaya pindaan ini dan memobilasi mereka dengan efektif bagi membantah pindaan tersebut dan mencadangkan pindaan yang lebih baik. Malangnya, kepimpinan MTUC hanya menumpukan perhatian untuk melobi ahli-ahli politik dengan berkempen membantah pindaan tersebut di Parlimen. Sebagai sebuah perwakilan pekerja yang mempunyai lebih setengah juta ahli, MTUC seharusnya menumpukan usaha mereka untuk melobi sokongan para pekerja dan ahli-ahli mereka dengan membawa hujah-hujah yang bernas. Tetapi, akibat kelemahan kepimpinan MTUC sendiri, para pekerja tidak bersedia untuk memperjuangkan hal ini, malah juga wujud beberapa faksi di dalam MTUC sendiri yang menyokong pindaan akta tersebut dan membantah kepimpinan mereka.
Berita kelulusan akta ini pula disusuli dengan berita penyiasatan Suruhanjaya Pendaftaran (ROS) ke atas MTUC atas tuduhan gagal untuk mengadakan perjumpaan-perjumpaan yang diwajibkan di dalam perlembagaan pertubuhan MTUC. Akibatnya, isu ini mewujudkan pelbagai tanda tanya mengenai kesinambungan MTUC yang mula ditubuhkan di zaman pra-merdeka 1948. Butiran halus mengenai isu ini masih belum sampai ke permukaan tetapi ia bukanlah sebuah rahsia bahawa terdapat rekahan di kalangan kepimpinan MTUC yang sedang berkelahi antara satu sama lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Perpaduan di kalangan kesatuan sekerja di dalam MTUC yang lemah dan pelbagai isu lain juga sedang membantut perkembangan pertubuhan ini.
Peranan MTUC dalam gerakan pekerja
Sehingga ke hari ini, MTUC gagal untuk memainkan peranan mereka sebagai suara kolektif para pekerja dan kepimpinan bagi perjuangan bersama kelas pekerja di Malaysia. Kepimpinan MTUC hanya bertindak sebagai orang tengah di antara pihak kerajaan, majikan dan pekerja dan selalunya cenderung untuk berkompromi daripada memilih jalan perjuangan seperti melancarkan protes, piket atau mogok untuk memenangi tuntutan pekerja. Oleh itu, kelas pekerja tidak yakin dengan kepimpinan MTUC yang hanya berusaha untuk memadam api perjuangan yang tercetus di kalangan para pekerja. MTUC juga tidak berjaya mengembangkan keahlian mereka disebabkan itu dan tidak mendapat sokongan padu dari kalangan pekerja.
Walaupun sedang diserang oleh pelbagai pihak, pertubuhan MTUC masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan dirinya jika pihak kepimpinan berjaya membawa hala tuju MTUC ke arah perjuangan akar umbi kelas pekerja dan menjadi suara bagi jutaan pekerja yang tertindas di Malaysia. Kelas pekerja yang sedang menghadapi tekanan kehidupan yang semakin berat setiap tahun sedang terdesak untuk mencari sebuah kepimpinan yang boleh memperjuangkan hak dan kebajikan mereka. MTUC yang merupakan salah sebuah pertubuhan pekerja dengan keahlian yang besar, mampu memainkan peranan kepimpinan dalam gerakan para pekerja dan rakyat biasa dalam menuntut sebuah kehidupan yang lebih baik daripada sekarang. Oleh itu, jika kepimpinan kesatuan masih dikongkong oleh birokrasi yang hanya mementingkan dirinya sendiri, para pekerja muda dan ahli biasa kesatuan mempunyai tanggung jawab untuk mencabar kepimpinan mereka dan berjuang untuk mewujudkan satu pertubuhan kelas pekerja yang mampu memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tertindas.
Bolehkah kerajaan PH dipercayai?
Kerajaan PH ingin menggunakan pindaan akta Perhubungan Perusahaan ini sebagai bukti bahawa mereka masih berpegang pada janji PRU lepas untuk mengutamakan hak pekerja. Tetapi pindaan ini hanya akan memberikan impak yang minimum kepada kehidupan pekerja biasa terutamanya bagi 94% daripada 14 juta pekerja yang tidak diwakili oleh sebarang kesatuan. Pada masa yang sama, pihak kerajaan sedang melupakan majoriti daripada janji PRU mereka yang akan benar-benar membawa kebajikan kepada pekerja seperti peningkatan gaji minimum ke RM1500, pemansuhan caj tol, pendidikan percuma dan banyak lagi. Walaupun janji-janji ini telah memberikan harapan kepada jutaan rakyat yang mengundi PH pada PRU lepas, selepas lebih setahun setengah di bawah kerajaan baru, situasi bagi jutaan rakyat miskin masih berada dalam keadaan yang sama seperti di bawah kepimpinan BN sebelum ini. Bajet 2020 yang dibentangkan juga mendedahkan watak kerajaan PH yang mementingkan kebajikan pihak majikan dan golongan kaya berbanding rakyat miskin dengan pelbagai jenis pemotongan kebajikan yang akan dikuat kuasa pada tahun 2020. Dari sudut polisi ekonomi dan politik, tidak ada jurang yang besar yang memisahkan parti BN yang memerintah sebelum ini dan ‘Malaysia baru’ di bawah PH.
Bagaimana untuk mencapai aspirasi rakyat biasa?
Jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang mengharungi kehidupan yang semakin terbeban akibat kepimpinan kerajaan yang berat sebelah tidak boleh mengharapkan mana-mana pertubuhan politik arus perdana, biar PH ataupun BN dalam menangani masalah ekonomi yang dihadapi mereka setiap hari. Melihat tindak tanduk PH yang mementingkan kebajikan kelas majikan kaya sama seperti BN sebelum ini, ia haruslah jelas bahawa kepimpinan politik yang sedia ada hanya akan mengulangi retorik yang sama dan tidak akan berani untuk menentang kepentingan pihak majikan bagi memelihara kebajikan kelas pekerja dan rakyat miskin. Ini mendedahkan kekuasaan golongan elit, korporat dan kelas majikan ke atas hala tuju ekonomi dan politik negara yang akan sentiasa menindas jutaan kelas pekerja bagi tujuan keuntungan peribadi bagi segelintir yang kaya.
Bagi membawa sebuah perubahan yang bermakna untuk bukan sahaja kelas pekerja, tetapi juga untuk semua rakyat lain yang ditindas dibawa aturan sistem ekonomi kapitalisme, sebuah kuasa politik yang mewakili aspirasi majoriti rakyat haruslah dibina. Kepimpinan politik itu haruslah dibina secara demokratik dan di wakili oleh para pekerja dan rakyat tertindas itu sendiri dan bukannya ahli-ahli politik yang berpihak kepada sistem kapitalis. Pada masa yang sama, bagi menarik jutaan sokongan daripada rakyat biasa, sebuah program sosialis yang mengangkat aspirasi jutaan rakyat biasa haruslah didirikan dan diperjuangkan melalui aksi-aksi massa seperti mogok di tempat kerja dan sebagainya. Harapan rakyat untuk ke arah sebuah masa depan yang cerah amat bergantung dengan pembinaan sebuah kepimpinan politik yang demokratik dan yakin dengan kuasa perjuangan rakyat biasa menentang kepentingan para kapitalis korporat yang rakus.