Mana-mana pilihanraya yang berlaku pada tahun ini berlangsung dengan latar belakang yang mempunyai impak yang besar dan signifikan; terutamanya persoalan yang berkaitan dengan krisis ekonomi di era baru dan juga jangkitan pandemik Covid-19 yang telah pun meragut lebih sejuta nyawa. Negara di rantau Indo-China juga tidak terkecuali dalam hal ini dan pilihan raya di Myanmar pada 8hb November yang lepas telah menyaksikan kemenangan bagi parti Liga Nasional Kebangsaan (NLD – National League of Democracy) – di bawah pimpinan Aung Syan Suu Kyi – bakal mentadbir di dalam situasi krisis yang bersifat pelbagai; baik dari segi aspek ekonomi politik, sosial mahupun alam sekitar.

Parti NLD telah memenangi kerusi sebanyak 396 total – iaitu sebanyak 258 kerusi di Pyithu Hluttaw (bersamaan Dewan Rakyat) dan juga 138 kerusi Amoyotha Hluttaw (bersamaan Dewan Negara) manakala parti pembangkang pro-tentera Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) telah memenangi 24 kerusi. Terjemahan kepada sokongan sebegini kekal menjadi tanda bahawa majoriti rakyat menyokong akan perjuangan ke arah sebuah negara demokratik, walaupun kemampuan untuk mencapai objektif tersebut kerap dipersoalkan. Tidak lupa juga kemenangan ini diperolehi tanpa mengambil kira keterlibatan 1.5 juta rakyat yang layak untuk mengundi, terutamanya di daerah sempadan negara Myanmar seperti daerah Rakhine dan Chin. Ini berikutan keputusan suruhanjaya pilihanraya yang membatalkan hak mengundi di sana, dengan alasan peningkatan konflik bersenjata di antara tentera Myanmar dan tentera pembebasan yang mulai rancak sejak hujung 2018.

Beberapa parti politik telah menghantar surat kepada pihak suruhanjaya bagi menangguhkan pilihan raya disebabkan wabak pandemik. Antara sebab-sebab utama adalah perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan telah menghalang kemampuan parti-parti yang bertanding untuk melakukan kempen – malah kebanyakan parti yang bertanding merupakan parti-parti kecil dan tidak mempunyai modal ataupun tenaga kerja yang cukup untuk berkempen di bawah situasi sedemikian rupa. Kawalan akses internet yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi menghalang pergerakan tentera pembebasan juga turut menyukarkan usaha kempen parti-parti politik di sana. Ini menunjukkan bagaimana kemenangan yang diperolehi oleh parti NLD adalah berlatarbelakangkan situasi yang tidak adil bagi parti-parti kecil.

Kemenangan parti NLD dilihat sebagai kesinambungan kepada perkembangan demokrasi di sana; di mana setelah berada di bawah rejim ketenteraan selama 22 tahun – akhirnya negara tersebut, di bawah pantauan kuasa imperialis barat telah mulai melaksanakan beberapa polisi perubahan yang dikatakan sebagai jaminan bagi sebuah kehidupan kenegaraan yang bersifat demokratik. Aung San Suu Kyi, di mata para kapitalis barat, senantiasa mendapat pujian akan usaha untuk menyebarkan demokrasi yang hanya sesuai buat para borjuis dan golongan kelas penguasa – seiring dengan prospek pembangunan yang berteraskan keuntungan pasaran bebas. Meskipun begitu, disebabkan pembunuhan beramai-ramai dan juga pengusiran etnik minoriti Rohingnya yang bermula pada beberapa tahun lepas – Aung San Suu Kyi mendedahkan ketidakmampuan untuk menyelesaikan masalah penindasan etnik minoriti yang sedang rancak berlaku di sana. Lebih kurang 600,000 ribu etnik Rohingnya tidak dibenarkan untuk mengundi dan beberapa permohonan untuk bertanding telah ditolak oleh suruhanjaya pilihanraya. Malah, pihak NLD juga tidak menyatakan apa-apa bantahan terhadap perlembagaan yang ditulis oleh rejim ketenteraan, yang memberikan mereka kerusi sebanyak 25% tanpa perlu bertanding. Ini merupakan tanda cengkaman yang nyata dan masih mengukuhkan kuasa autoritarian yang masih dipegang oleh rejim ketenteraan.

Krisis Ekonomi dan Pandemik

Namun, sebuah ideal demokrasi di bawah aturan kapitalisme hanya akan menjurus kepada sebuah percanggahan yang tidak dapat dielakkan dan akhirnya akan terus menerus memudaratkan keadaan kelas pekerja. Seperti keadaan negara-negara yang lain, kejatuhan ekonomi yang sedang berlaku di Myanmar menandakan kebergantungan pasaran di antara negara-negara sedunia. Tidak lupa juga dengan kerosakan yang disebabkan oleh impak pandemik, selaku faktor yang mempercepatkan pendedahan akan ketempangan sistem kapitalisme itu sendiri.

Laporan Bank Dunia telah menjangkakan kejatuhan KDNK sebanyak 5.9% – dari 6.4% ke 0.5%. Kadar perkembangan bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan, pasar-pasar dan juga pengangkutan – yang merangkumi sebanyak 42% daripada ekonomi negara dijangkakan akan menurun ke 1%, manakala sektor pengeluaran yang merangkumi sebanyak 36% daripada ekonomi akan mengalami penguncupan sebanyak -0.2%. Kadar penurunan ini memberi impak kepada kelas pekerja secara umum, di mana empat daripada lima pekerja di Myanmar bekerja di dalam sektor tidak formal dan menjadi lebih sukar bagi mendapatkan pengagihan bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Kadar kebergantungan ekonomi di seluruh dunia, berikutan krisis ekonomi yang memberi impak negatif kepada kesemua negara – meletakkan pimpinan NLD di sebuah posisi yang sukar dan merbahaya.

Perang Dagang dan Tekanan Kuasa-kuasa Besar

Melalui One Belt One Road Initiative, susun atur Myanmar yang terletak di kawasan selatan China dan bersebelahan Teluk Bengal menjadikannya sebagai sebuah negara yang strategik buat memperluaskan lagi jaringan ekonomi yang sedang diusahakan oleh China. Projek pelabuhan di kawasan Kyaukpyu telah menimbulkan konflik di antara China dan India, kerana projek tersebut bakal memudahkan kuasa imperialis seperti China bagi mendapatkan sumber minyak dari kawasan Timur Tengah; di mana Kyaukpyu dapat menghubungkan sumber komoditi seperti gas semula jadi dan minyak melalui jaringan paip ke Yunan, di kawasan selatan China. Malah di kawasan zon perindustrian baru di Dawei, pelbagai syarikat dari China – terutamanya yang berkait rapat dengan pembangunan jaringan paip di Kyaukpyu, sedang berebut kuasa dan mulai menjalankan proses untuk membina infrastruktur yang penting di sana. Justeru, pembinaan jaringan yang dapat menjadi alternatif kepada laluan Selat Melaka menjadi hal yang strategik buat negara yang mempunyai kuasa ekonomi yang kedua terbesar di dunia.

Namun, kos kepada projek ini telah dikurangkan ke $1.3 bilion dari $7 bilion yang dirancang pada awalnya. Berikutan kegagalan beberapa pihak kerajaan di negara lain untuk menyelesaikan masalah hutang, seperti Sri Lanka contohnya – kerajaan NLD mengambil langkah berjaga-jaga terhadap setiap projek yang dilaksanakan oleh China. Pihak NLD juga turut membatalkan projek empangan di daerah Kachine, berikutan tekanan protes besar-besaran yang dilakukan oleh kesemua etnik yang hidup di sepanjang kawasan sungai tersebut. Projek-projek infrastruktur yang besar seperti ini kekal menjadi persoalan utama kerana ianya turut berkait rapat dengan faktor-faktor yang lain seperti konflik ketenteraan, keselamatan penduduk etnik minoriti di sana, dan persoalan tanah-tanah tradisi yang telah lama dihancurkan berikutan pembangunan sektor pertanian.

Kedua-dua projek ini menjadi contoh bagaimana China akan terus memainkan peranan yang signifikan di dalam pembangunan ekonomi di Myanmar dan seperti negara-negara yang berada di rantau sama, akan turut dipengaruhi juga oleh negara imperialis Amerika Syarikat bagi melawan hegemoni China. Kita juga dapat jangkakan bantuan yang lebih besar bakal diberikan kepada India bagi menghalang pengaruh China, melalui kerjasama di dalam Supply Chain Resilience Initiative bersama Jepun dan Australia. Baru-baru ini, perjanjian dagangan RCEP yang telah pun ditandatangani oleh negara ASEAN turut memberi peluang bagi China untuk lebih memperkukuhkan jaringan ekonomi di kawasan Asia Tenggara yang secara tidak langsung akan merancakkan semula projek-projek yang telah pun dimulakan di Myanmar. Kerajaan Myanmar, yang dilihat sebagai negara demokratik yang masih segar dari segi ketersediaan buruh dan pasaran perlu mengatur langkah bagi mendapatkan kata sepakat di antara para pelabur di serata dunia – namun pada akhirnya, pembangunan yang berteraskan keuntungan tanpa mengambil kira hal ehwal kebajikan rakyat dan perihal kualiti kehidupan rakyat hanya akan terus menindas kelas pekerja, 

Persoalan Kebangsaan Yang Belum Selesai

Pembentukan negara moden di Myanmar menghasilkan konflik sempadan yang tidak berkesudahan. Seperti mana-mana negara neokolonial, persoalan kebangsaan seringkali tercetus di kawasan konflik sempadan, seperti selatan Thailand, Kepulauan Mindanao dan Filipina, ataupun Papua Barat di Indonesia – yang seringkali bertembung dalam konflik ketenteraan dan bercanggah dengan pemaksaan hegemoni kerajaan itu sendiri. Ini menjadikan sebuah perspektif yang jelas akan cara untuk menyelesaikan persoalan kebangsaan menjadi benar-benar penting; di mana hak untuk menentukan nasib sendiri bagi etnik-etnik di kawasan sempadan turut berkait rapat dengan kemunduran dan konflik yang berlaku di kawasan sana, selaku kawasan yang gagal menjadi tumpuan pembangunan kuasa modal.

Namun kita perlu mengambil iktibar daripada perjuangan-perjuangan sebelumnya; perjuangan pembebasan dan hak untuk menentukan nasib sendiri berhubungan dengan persoalan identiti. Dengan itu, persoalan identiti menjadi senjata politik utama bagi perjuangan golongan etnik minoriti yang berada di dalam konflik dengan hegemoni etnik utama. Tetapi perjuangan ini tidak dapat dimenangi dengan sendirinya dan ianya disebabkan batas-batas terhadap perjuangan berteraskan identiti itu sendiri. Perjuangan berteraskan identiti seringkali dikhianati oleh pemimpin-pemimpin yang bersifat oportunistik – yang tidak menjadikan perbezaan kelas sebagai kaedah bagi mengukuhkan solidariti di antara etnik-etnik berlainan, sebaliknya menggunakan perjuangan identiti bagi mencipta borjuis nasionalnya sendiri. Di samping itu, pimpinan kumpulan bersenjata di kawasan sempadan pada suatu masa dahulu, kini telah pun menjadi sebahagian daripada tokoh penting di dalam konglomerat di Myanmar. Kesemuanya ini berkait rapat dengan pembangunan kapitalisme itu sendiri, yang sekaligus menghasilkan sebuah situasi yang rumit dan berhubungan dengan pelbagai elemen.

Oleh itu, keutamaan kelas pekerja selaku elemen yang menentang keutamaan pihak kapitalis merupakan perspektif yang tepat bagi menyelesaikan masalah yang seringkali berlaku di kawasan konflik sempadan. Kelas pekerja adalah sebuah kuasa perubahan yang dapat mengatasi batas-batas kaum mahupun agama. Sebuah pengukuhan solidariti di antara 130 etnik di Myanmar berteraskan sebuah perspektif kelas menjadi hujah utama kami – iaitu sebagai sebuah kuasa perubahan yang tidak lagi berteraskan kepentingan keuntungan pasaran bebas semata-mata. 

Makanya penumpuan kelas pekerja di kawasan kota utama – bersama kekuatan buruhnya – bertanggungjawab untuk mengangkat persoalan kebangsaan yang bertunjangkan perspektif kelas dan bukannya berdasarkan hegemoni sesebuah etnik. Melalui perjuangan kelas sebuah kerjasama sesama pekerja yang berbilang etnik dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan segala konflik sedia ada dan menentang penindasan pihak pemodal yang terdiri daripada kelas penguasa – baik di pimpinan ketenteraan mahupun di pimpinan kerajaan sedia ada. Namun tanpa sebuah program yang jelas oleh pihak pimpinan gerakan buruh dan juga ketiadaan organisasi sosialis revolusioner, persoalan kebangsaan bakal memudaratkan lagi konflik di kawasan sempadan negara – yang kian rancak disebabkan pergelutan kuasa di antara kuasa-kuasa besar.

Ketiadaan Pimpinan Buruh Yang Militan

Hampir 250,000 buruh telah kehilangan kerja – baik di kawasan tempatan mahupun di luar negara. Tambahan lagi, lebih daripada 140,000 ribu pekerja tempatan telah hilang punca pendapatan mereka disebabkan penutupan 5,658 syarikat dan juga 270 kilang-kilang besar, kedai mahupun restoran.

Baru-baru ini, kerajaan telah melaksanakan perintah untuk menutup 600 operasi kilang industri pakaian tanpa menyediakan sebuah jalan penyelesaian yang komprehensif. Perlaksanaan penutupan operasi kilang telah memberi impak yang besar kepada 600,000 pekerja yang merangkumi sebanyak 80% pekerja di daerah Yangon. Pihak majikan pula mengambil keputusan untuk tidak membayar gaji pekerja dan hanya akan menyambung bayaran tersebut setelah kilang dibuka semula operasinya. Situasi krisis ini, yang berlaku hampir di keseluruhan pelusuk dunia mendedahkan bagaimana kapitalisme tidak dapat menyediakan bantuan kepada pihak pekerja – sebaliknya hanya memberikan dana bantuan kepada para majikan yang pastinya akan mengutamakan keuntungan dan keberlangsungan syarikat mereka itu sendiri; tanpa memikirkan situasi kehidupan buruh yang dieksploitasinya.

Lebih malang lagi, ketiadaan pemimpin yang bersifat militan telah menghampakan para pekerja yang sedang ditindas. Artikel temu bual di antara jurnalis media Thailand – The Irrawady dan juga timbalan setiausaha agung bagi Konfederasi Kesatuan Sekerja Myanmar menjadi bukti kepada ketiadaan perspektif yang bersifat militan dan sarat dengan sikap apologetiknya. Berhubungan dengan perintah penutupan operasi kilang, Daw Phyo Sandar Soe hanya menyatakan rasa kesal tanpa menyusun Tindakan yang perlu bagi menentang berbagai bentuk penindasan yang dilakukan oleh pihak majikan. Seiring dengan situasi pandemik dan krisis ekonomi, pihak pimpinan kesatuan tanpa segan silu masih menekankan kepentingan akan keharmonian perindustrian – sebuah bentuk kerjasama tiga pihak di antara kerajaan, majikan dan juga pekerja. Solidariti kebangsaan kerap ditekankan walaupun dengan jelas, situasi ini tidak langsung memberi apa-apa kelebihan kepada kelas pekerja secara umum. Konfederasi Kesatuan Sekerja Myanmar – sewaktu melaksanakan perbincangan mengenai cara untuk menghadapi situasi ini – menyarankan penutupan operasi tanpa apa-apa penyediaan dan program yang jelas. Lebih teruk lagi, pendekatan ini juga turut dipersetujui oleh dua federasi buruh yang lain; menandakan kelemahan pimpinan sedia ada yang melihat jalan penyelesaian melalui kerangka kapitalisme semata-mata.

Malah dengan kadar pengangguran yang kian meningkat, pihak kesatuan hanya mengajukan program adaptasi kelas pekerja untuk mendapatkan kemahiran ataupun kerja yang baru pada masa yang akan datang – namun tidak menyediakan sebuah program perjuangan yang dapat menyelesaikan masalah sedia ada secara konkrit. Walaupun terdapat beberapa berita mengenai protes yang dilancarkan oleh beberapa pekerja yang dipimpin oleh kesatuan yang lain; ianya masih dalam skala yang kecil dan tidak berjaya mempengaruhi gerakan buruh secara umumnya. Tambahan lagi, proses perindustrian yang berlaku dan reformasi yang berkaitan dengan pekerjaan, seperti kebebasan untuk menubuhkan kesatuan sekerja – dilaksanakan sewaktu aturan kapitalisme berada di kemuncak dan secara tidak langsung, menyebabkan kurangnya kesedaran kelas pekerja yang benar-benar militan dan tidak berjaya untuk mengenal pasti kekuatan gerakan buruh itu sendiri. Tetapi berikutan krisis yang akan datang dan juga mengambil kira skala krisis global ini – tidak mustahil gerakan buruh di Myanmar akan mengambil tindakan yang lebih radikal jika pimpinan sedia ada masih tidak berganjak daripada berjuang dan membela kelas pekerja.

Pimpinan kerajaan NLD kini akan terhimpit dengan persoalan kemasukan dana asing dan juga pelaburan dari negara-negara yang lebih maju; dengan itu akan mengambil pendekatan yang akan mengutamakan kepentingan modal para syarikat besar dari luar. Situasi ini akan mendedahkan ketidakmampuan pimpinan kerajaan NLD untuk membela kelas pekerja, disebabkan percanggahan kepentingan di antara modal dan juga tenaga buruh. Walaupun pimpinan NLD sedang cuba untuk melaksanakan reformasi di Myanmar, terutamanya berhubungan persoalan kebangsaan yang merangkumi etnik-etnik minoriti – namun selagi ianya tidak mengambil kira impak penindasan kelas pekerja yang berlaku, terutamanya yang berlaku di kawasan sempadan – semestinya akan menyukarkan lagi usaha rekonsiliasi di antara pihak kerajaan dan juga rakyat etnik minoriti. Pembangunan infrastruktur yang bakal dibina di kawasan luar Yangon, terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan pelaburan negara luar seperti India, China dan juga Jepun – bakal menjadi medan pertempuran yang meliputi pelbagai faktor dan hanya melalui solidariti di antara kelas pekerja – terutamanya berteraskan kekuatan kuasa revolusioner yang dipegang oleh kelas pekerja di Yangon, sebuah perjuangan yang lebih kukuh dapat dibina.

Kegagalan Reformasi – Ke Arah Perubahan Sosialis Revolusioner

Gerakan politik yang bertunjangkan demokrasi – terutamanya di bawah pimpinan NLD menekankan persoalan reformasi dan autonomi rakyat yang bebas daripada cengkaman rejim ketenteraan. Malah terdapat beberapa organisasi yang memboikot pilihanraya selagi pihak NLD tidak mengambil kira persoalan pemansuhan perlembagaan yang ada kini. Kedudukan Myanmar sebagai sebuah negara yang segar dan masih mempunyai potensi untuk menjadi lebih maju – hanya difikirkan melalui logik kapitalisme, iaitu melalui kemasukan pelaburan bagi menambahkan lagi pendapatan negara. Namun bagi sebuah negara kecil yang terhimpit di antara kuasa-kuasa besar – harapan ini hanya tinggal ilusi dan situasi pembangunan yang tidak sekata ini, hanya melihat negara Myanmar sebagai sebuah potensi bagi terus meningkatkan kadar keuntungan yang besar buat para kapitalis luar. Ini disebabkan sehingga sekarang, persoalan buruh murah dan ketiadaan kawalan ataupun pembelaan kelas pekerja menjadi faktor yang utama kepada tarikan pelaburan. Tambahan lagi, konflik ketenteraan di kawasan sempadan bakal menjadi hal utama pada pimpinan NLD yang akan datang – apabila ianya melibatkan kepentingan pelbagai pihak; baik di antara pimpinan etnik minoriti yang bersifat oportunistik, pimpinan rejim ketenteraan mahupun kuasa-kuasa imperialis yang menginginkan habuan yang besar bagi projek-projek di sana. Di sebalik perbalahan di antara kuasa-kuasa modal, pada akhirnya kelas pekerja lah yang akan menjadi mangsa.

Sosialis Alternatif yang juga merupakan sebahagian daripada Commitee for Workers International berhujah akan keperluan pimpinan yang mempunyai kesedaran untuk membina perjuangan ke arah sosialisme dan hanya melalui kuasa revolusioner yang dipegang oleh kelas pekerja – sebuah masalah yang merupakan terjemahan kepada percanggahan kapitalisme dapat diselesaikan. Aturan ekonomi yang bertunjangkan kepentingan modal tidak akan mengambil kira kepentingan kelas pekerja yang merupakan majoriti daripada penduduk dunia pada waktu ini. Rantau Asia Tenggara yang merangkumi sebahagian besar daripada produksi komoditi dunia merupakan lubuk keuntungan kelas kapitalis – namun pada masa yang sama turut menjadi medan yang utama bagi perjuangan kelas pekerja untuk mengambil alih industri produksi sedia ada dan mengawalnya secara demokratik mengikut kepentingan pembangunan kehidupan manusia itu sendiri.

Pimpinan NLD sedia ada akan mendedahkan kelemahan mereka sendiri dan akan menghasilkan sebuah penentangan di kalangan rakyat dan bakal menghancurkan ilusi yang dipegang oleh kelas pekerja yang kian sarat ditindas oleh kelas kapitalis. Meskipun begitu, persoalan akan pembinaan sebuah kuasa politik yang berteraskan kepimpinan kelas pekerja dan menuju ke arah perubahan sosialisme melalui penyelesaian yang bersifat revolusioner – menjadi semakin penting di kawasan rantau ini. Ini kemudiannya akan menjurus kepada persoalan pembinaan parti massa pekerja yang akhirnya dapat melibatkan kelas pekerja, petani miskin dan rakyat tertindas secara umum dan pembinaan sebuah jaringan yang dapat dibina di antara parti pekerja massa di rantau ini akan menjadi titik penting bagi menuju ke arah perubahan sosialisme.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *