Pada 19hb November yang lepas Perdana Menteri India, Narendra Modi memansuhkan tiga rang undang-undang penternakan yang pernah diluluskan pada tahun lepas. Ini adalah kemenangan yang bersejarah buat kelas petani di India dan juga rakyat massa yang menentang rejim autoritarian BJP (Bharatiya Janata Party). September tahun lepas, kerajaan telah menggubal tiga undang-undang iaitu Perjanjian Jaminan Harga dan Akta Perkhidmatan Ladang Penternak (Pemerkasaan dan Perlindungan), Akta Perdagangan dan Perniagaan Penternak (Promosi dan Pemudahcaraan) dan juga Akta Komoditi Penting (Pindaan) 2020. Serangan berbentuk neo-liberal ini memudahkan syarikat korporat mengambil alih sektor pertanian di India dan kemenangan menentangnya menandakan sebuah peristiwa yang teramat signifikan buat perjuangan rakyat di India.

Buat pertama kalinya, sejak tujuh tahun kebelakangan ini, agitasi sebegini rupa telah memberi impak yang besar kepada rejim autoritarian Modi. Kali ini, rejim di bawah pimpinan Modi tidak lagi berjaya mengguna pakai histeria para cauvinis yang pernah mereka gunakan sebelum ini. Perjuangan para petani yang berlangsung secara besar-besaran ini telah menangkap imaginasi rakyat massa dan membangkitkan perasaan simpati yang luar biasa, sekaligus meraih sokongan di seluruh negara.

Rakyat massa secara umumnya menganggap rejim Modi mewakili kepentingan modal para korporat, terutamanya oleh para bilionair Ambani-Adani. Percanggahan fundamental yang wujud di antara kepentingan kelas pemodal dan kelas pekerja diterjemahkan dengan begitu ketara sekali. Rakyat berjaya bangkit melalui gerakan massa yang menentang kepentingan syarikat-syarikat besar. Ini adalah perkembangan yang penting dalam sejarah India pasca-merdeka.

Gerakan yang bersejarah ini terlahir di persimpangan perubahan sejarah yang lebih luas skalanya. Krisis covid telah memudaratkan lagi krisis struktural kapitalisme yang sudah pun menggelegak panas sebelum ini. Hal ini memburukkan lagi ekonomi yang sudah pun terpalit dengan pelbagai masalah yang berlanjutan di bawah pimpinan Modi (antaranya proses penyahwangan 2016, kenaikan GST dsb). Krisis ini tidak hanya terbatas dengan kemelaratan buruh-buruh migran, yang menjadi lebih sengsara di bawah sekatan pergerakan baru-baru ini. Pelbagai lapisan masyarakat, yang juga merangkumi kelas borjuis kecil, turut mendapat impak daripada ekonomi yang huru-hara dan tidak berpenghujung ini. Selama bertahun-tahun lamanya, ketidakpuasan hati dan kemarahan yang terpendam oleh kelas pekerja dan rakyat massa adalah penyebab utama peningkatan sokongan dan simpati massa terhadap perjuangan para petani. Keterlibatan para borjuis kecil (walaupun hanya mereka yang berasal daripada Punjab dan Haryana) turut menandakan situasi krisis sedia ada. Dalam situasi sebeginilah kita dapat lihat jurang yang ketara mulai wujud di antara para borjuis besar dan juga borjuis kecil – dengan borjuis besar mencengkam dan menindas borjuis kecil ini.

Keberanian para petani yang berjuang

Keserakahan majoriti ahli parlimen dan juga karisma peribadi Modi menjadi sumber rejim BJP untuk menghancurkan tentangan para petani yang sudah pun bangkit melawan melalui protes sebelum lulusnya tiga rang undang-undang itu. Di pinggiran kota Delhi, beratus-ratus ribu petani yang kebanyakannya berasal daripada kawasan utara seperti Punjab, Haryana dan juga Uttar Pradesh melaksanakan protes mogok duduk bagi menyanggah keangkuhan rejim penguasa yang terus membohongi rakyat massa. Pergolakan yang bermula pada 26hb November tahun lepas, menjadi lebih kuat di bulan-bulan yang seterusnya. Rundingan awal yang mendedahkan kesungguhan kesatuan para petani untuk tidak menerima apa-apa perjanjian, selain pemansuhan undang-undang sedia ada telah mengakibatkan rejim Modi mengguna pakai pelbagai jenis taktik kotor bagi melemahkan perjuangan tersebut.

Titik perjuangan para petani bermula seiring dengan slogan ‘Chalo Delhi’ (‘Berarak ke Delhi’) yang dengan penuh berani membawa beratus-ratus ribu para petani melangkaui sempadan kota Delhi dan meredah hembusan penembak-air, ayunan dan pukulan cota dan juga penghalang yang ingin menyekat mereka untuk tiba ke ibu kota. Minggu-minggu kemudiannya – perjuangan menjadi lebih besar apabila beribu-ribu rakyat mulai turun dan melibatkan diri bersama-sama para petani yang berkhemah di kawasan sempadan kota. Ini menyebabkan kerajaan pusat menjadi lebih terdesak. Disebabkan itu, dengan menggunakan media sosial dan syarikat-syarikat media, kerajaan menyerang melalui kempen yang memburuk-burukkan dan mencemarkan intipati perjuangan para petani. Malah lebih teruk lagi kerajaan mendirikan penghalang berdawai besi dan turut membina kubu bersertakan pasukan polis dan keselamatan. Paku besi turut disimen bagi menghalang para pembantah untuk turut serta dalam perjuangan tersebut.

Tragedi di Lakhimpur Kheri, yakni sebuah daerah Uttar Pradesh menjadi saksi keganasan yang dilaksanakan kepada para petani yang sedang membantah. Anak kepada seorang menteri persekutuan, dengan keretanya sendiri merempuh kumpulan yang sedang protes dan membunuh lapan orang. Setakat ini, berikutan ancaman rang undang-undang BJP dan pergolakan menentang polisi ini telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 700 petani. Kendati pun begitu, cubaan untuk menakutkan para petani menjadi sebuah hal yang sia-sia dan lebih mengukuhkan lagi kesungguhan mereka untuk terus berjuang.

Pilihan raya negeri yang bakal diadakan di Uttar Pradesh dan juga Punjab turut dilihat sebagai penyebab bagi rejim BJP untuk memansuhkan undang-undang ini. Tetapi ternyata hal ini tidak dapat membantu mereka untuk meraih sokongan yang secukupnya, terutamanya di Punjab.

Kepentingan akan kemenangan yang bersejarah ini

Setakat ini rejim Modi merupakan sebuah bentuk penguasaan kapitalis yang paling terkutuk di negara India. Selama tujuh tahun rakyat menyaksikan keberpihakan BJP yang mewakili kepentingan pemodal korporat dan melaksanakan serangan neo-liberal yang tidak terkawal sifatnya. Krisis pandemik mendedahkan oportunisme kerajaan BJP yang mengambil kesempatan untuk menindas rakyat. Demokrasi borjuis yang penuh ilusi ini dirobek habis-habisan oleh mereka; keabsahan institusi-institusi liberal dihancurkan dan sekaligus mendedahkan diri mereka selaku organ penguasa yang dikuasai dan berkhidmat untuk kepentingan kelas pemodal. Penggubalan undang-undang pertanian dan buruh yang dilaksanakan oleh mereka mengarah kepada situasi perhambaan dan meletakkan sektor pertanian di bawah dominasi modal perniagaan korporat.

Penggubalan undang-undang buruh yang telah diluluskan Modi terus melemahkan lagi perundangan yang ketika ini, tidak cukup pun untuk menyediakan apa-apa perlindungan yang bermakna buat kelas pekerja. Pendekatan neoliberal yang di guna pakai secara agresif oleh kerajaan Modi, seperti penswastaan sektor perbankan dan pengangkutan rel secara besar-besaran telah membuka peluang kepada pelaburan swasta dan melemahkan pengawalan pihak awam yang tertubuh pada tahun 1950-an dan juga 1960-an.

Adalah hal yang penting juga buat kita, untuk memahami bagaimana serangan ke atas kelas pekerja baru-baru ini berlaku tatkala pekerja berada dalam kedudukan yang lemah gemulai. Sejak tiga dekad kebelakangan ini, kesatuan-kesatuan sekerja di kilang-kilang dan juga perkhidmatan swasta secara konsisten dilengaikan. Pembahagian dan pemecahan yang diusahakan di dalam proses pengeluaran, penyumberluaran dan juga desakan neoliberal telah melesukan kuasa penawaran mereka. Sebaliknya berbeza pula dengan pekerja di sektor awam yang masih kuat kedudukannya dan menghadapi tindakan penswastaan serangan langsung. Maka dari hal ini dapatlah kita lihat akan peningkatan perjuangan kesatuan sekerja dari pelbagai sektor dan mogok-mogok umum yang dipimpin oleh kesatuan-kesatuan sekerja yang utama. Contohnya di sektor perbankan, para pekerja telah memberi tekanan kepada Bharatiya Majur Sanghatana (BMS) – yakni sebuah kesatuan sekerja yang berhubungan dengan parti BJP untuk terlibat sama di dalam mogok pekerja bank. Berlatar belakangkan hal ini, kesatuan-kesatuan sekerja yang utama selain BMS secara terus menerus maju menyokong perjuangan para petani. Terjadilah sebuah mogok umum pada 26hb November sebelum ini yang mengangkat tuntutan para petani seiring dengan tuntutan yang khusus buat para pekerja.

Jalan yang mana untuk kita terus maju ke hadapan?

Kemenangan perjuangan para petani yang berlatar belakangkan pandemik, cuaca sejuk di Delhi, penindasan kerajaan yang kejam dan juga kempen yang memburuk-burukkan mereka telah berjaya menjejaskan kekuasaan sebuah kerajaan yang menggunakan pendekatan semberono bagi menghancurkan tentangan ini. Yang penting, sekurang-kurangnya di kala ini, ia telah berjaya memansuhkan cubaan pengambil alihan sektor pertanian oleh modal-modal korporat. Kemenangan ini menjadi saksi bahawa perjuangan yang digerakkan oleh rakyat massa yang bekerja dapat menewaskan rejim BJP dan serangan-serangan mereka yang mewakili kepentingan tuan mereka, yaitu kelas kapitalis itu sendiri. Meskipun dengan adanya kemenangan ini, adalah sebuah keperluan untuk membawa momentum yang diperoleh ini ke arah pengukuhan perjuangan yang merangkumi keseluruhan lapisan dan seksyen kelas pekerja ke dalam sebuah kuasa politik yang lebih besar dan mampu mencabar sistem kapitalis dan kelas politik yang mengawal selia kepentingan mereka.

Sejak kebelangan ini, pengukuhan kuasa politik BJP  pada masa yang sama tetap menghasilkan pelbagai bentuk perjuangan di India. Pada Disember 2019, protes massa yang menentang CAA dan juga NRC telah melibatkan anak-anak muda dan golongan liberal dari kelas menengah – yang terdesak untuk turun keluar dari zon selesa mereka dan turut serta dalam perjuangan dan agitasi menentang kerajaan. Hal ini turut mengejutkan segelintir golongan borjuis liberal dan melihat situasi ini sebagai sebuah tindakan yang membahayakan buat mereka. Dalam jangka masa pendek, rejim BJP berjaya mengunakan elemen cauvinisme komunal untuk terus membungkam penentangan ini namun dalam jangka masa yang lebih panjang pula, polisi yang dilaksanakan mereka akan terus mengecewakan kelas pekerja massa yang sedang semakin teruk diasak dan ditindas dengan krisis sedia ada.

Situasi objektif telah membuka jalan kepada sebuah gerakan politik yang lebih gah untuk menentang tatanan kapitalisme. Kesimpulan kemenangan ini akan dicapai dengan pimpinan kelas pekerja yang berjuang dan bergerak di bawah sebuah parti sosialis revolusioner. Agitasi petani dan situasi objektif yang sedang memuncak, tambahan lagi dengan kemelaratan yang terhasil oleh krisis pandemik akan membuka peluang bagi pembinaan agitasi politik yang lebih meluas sifatnya. Walaupun perjuangan kesatuan-kesatuan sekerja ketika ini dilihat sebagai sebuah langkah yang positif, namun hal ini saja tentunya tidak mencukupi. Tidak lupa juga, parti-parti kiri yang menggunakan jalan parlimen seperti CPM (Communist Party of India – Marxist) dan juga CPI (Communist Party of India) tidak berjaya memberikan sebuah kepimpinan dengan menyediakan program dan tuntutan-tuntutan bagi menguatkan lagi perjuangan ketika ini.

Segelintir golongan liberal yang tidak memahami keadaan sosio-ekonomi dan kedinamikan yang mempengaruhi gerakan perubahan akan terus meletakkan harapan kepada parti-parti pembangkang yang wujud di kalangan mereka. Memang benar, bahawa situasi politik ketika ini akan terus menjadi kelam dan kekuatan pembangkang terlalu lemah untuk mengguna pakai momentum yang sedang berlangsung sekarang. Namun begitu kelas pekerja massa telah pun menunjukkan keberanian untuk melanjutkan perjuangan mereka sendiri, tanpa bergantung kepada pimpinan parti-parti politik sedia ada. Makanya dari situasi huru hara ini, dapatlah kita lihat akan sebuah kekuatan sosialis sebagai sebuah kuasa alternatif yang mampu menyediakan program yang dapat membimbing perjuangan pelbagai lapisan masyarakat yang kian ditindas oleh kepentingan para kapitalis dan seiring dengan sistem kasta dan kepentingan majikan serantau ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *