Sejak 5 bulan yang lalu, kelas pekerja dan rakyat biasa di Algeria sedang terlibat dalam sebuah gerakan massa menentang rejim pemerintah yang kuku besi. Gerakan ini dengan cepat dapat mengumpul momentum dengan protes-protes gergasi yang dilancarkan oleh anak muda dan rakyat biasa termasuk mogok umum dari kelas pekerja. Kami menyiarkan kenyataan dari rakan perjuangan kami dari Gauche Révolutionnaire dan El Yassar el Thawri (ليسار الثوري) (CWI di Perancis dan Algeria).

Untuk kenyataan asal sila layari : http://www.gaucherevolutionnaire.fr/wp-content/uploads/2019/07/Déclaration-Algérie-juin-2019-v2.pdf

Perjuangan Revolusioner Rakyat Harus Menang !

Untuk Algeria yang Demokratik, Saksama dan Bebas – Berjuang demi Sosialisme !

Algeria telah melalui sebuah kebangkitan massa yang bersejarah, tetapi, perjuangan mereka masih belum selesai. Untuk pertama kali sejak 1980, gerakan-gerakan gergasi telah tersebar ke seluruh Algeria dan telah melibatkan jutaan rakyat biasa. Sejak kemerdekaan Algeria pada 1962, rejim pemerintah tidak pernah merasai protes massa dalam skala yang besar seperti yang dilihat sekarang. Kerajaan yang bertambah lemah setiap hari sudah beberapa kali terpaksa berundur dan sedang mencuba segala helah untuk mengaburi mata rakyat yang sedang bangkit berjuang.

Kerajaan yang dikawal oleh tentera Algeria pada waktu ini tidak mempunyai sebarang solusi yang mampu memuaskan jutaan rakyat biasa yang sedang menuntut supaya pihak tentera mengundurkan diri daripada memegang tugasan kerajaan. Pihak tentera tidak berjaya mewujudkan seorang figura sepertimana yang dilakukan oleh mereka pada krisis tahun 1999 di mana Bouteflika telah menjadi tokoh yang berjaya menyelamatkan kekuasaan rejim pemerintah. Pada waktu ini, Bouteflika dan Perdana Menteri Algeria Noureddine Bedoui telah terpaksa letak jawatan akibat protes massa dan tekanan daripada birokrasi rejim itu sendiri.

Walaubagaimanapun, birokrasi tentera yang merupakan aparatus rejim pemerintah sedang memegang pada kuasa kerajaan seboleh mungkin. General Gaid Salah yang menguasai tentera sedang melancarkan serangan balik terhadap para aktivis dan anak muda yang sedang menganjurkan protes anti-kerajaan. Pada masa yang sama, pihak tentera juga menahan beberapa ahli politik dan ahli perniagaan yang korup sebagai langkah untuk mengaburi rakyat daripada agenda utama mereka, iaitu untuk melemahkan gerakan massa yang sedang berkembang. Tidak lupa juga bahawa Salah sedang juga berusaha untuk menghancurkan segala musuh politik atau persaingan yang wujud didalam struktur politik semasa bagi mengukuhkan posisinya sendiri. Satu senario yang boleh dijangkakan adalah bahawa rejim ini mengekalkan Presiden interim yang dilantik pada waktu ini (Bensalah) yang sedang menikmati pangkat presiden untuk jangka masa yang belum di kenal pasti. 

Kondisi sosial yang teruk bagi majoriti rakyat

Gerakan revolusi massa ini mempunyai akarnya di masa lalu. Rakyat Algeria terpaksa melalui sebuah perang saudara yang dicetuskan oleh golongan fundamentalis agama dan tentera pada 1990. Selepas mencapai keamanan, mereka terpaksa melalui pemerintahan kuku besi daripada diktator Bouteflika selama 20 tahun. Anak muda Algeria yang tidak mempunyai sebarang masa depan terpaksa menggadaikan nyawa mereka untuk menjadi pelarian ekonomi, semata-mata untuk meneruskan kehidupan.

Pada waktu kebangkitan rakyat Utara Afrika seperti Tunisia, Libya dan Mesir pada tahun 2012, rejim Bouteflika telah memberikan beberapa konsesi kepada rakyat Algeria bagi mengelakkan kebangkitan massa di negara sendiri. Tetapi, beberapa tahun selepas itu, serangan ke atas kebajikan rakyat bermula kembali. Pada tahun lepas, kadar pengangguran di kalangan anak muda telah meningkat ke 28% dan 21% bagi para wanita. Inflasi telah naik mendadak dari 6.4% pada 2016 ke 7.4% pada 2018. Pada masa yang sama, gaji minimum tidak dinaikkan sejak Januari 2012. Sejak 2018 lagi, beberapa protes telah mula tercetus untuk membantah kenaikan kos kehidupan yang tidak mampu dihadapi oleh rakyat biasa. 

Negara ini mempunyai rizab pertukaran asing yang besar (82 bilion USD), diperoleh dari industri minyak dan gas (80% daripada GDP). Tetapi kekayaan ini tidak digunakan untuk kebajikan rakyat atau pembangunan negara. Syarikat nasional yang dikawal oleh Bouteflika “kecil” seperti Sonatrach membuat perniagaan dengan kuasa-kuasa imperialis sambil menindas para pekerja tempatan untuk membuat keuntungan bernilai berbilion USD. Malangnya, pertubuhan yang seharusnya melindungi para pekerja seperti Federasi Kesatuan Sekerja UGTA juga berkomplot dengan rejim pemerintah dalam memerah tenaga kerja dan sumber alam Algeria demi keuntungan segelintir elit.  

Gerakan rakyat massa yang tercetus pada waktu ini sedang mendedahkan semua korupsi dan jenayah yang dilakukan oleh rejim sebelum ini. Seorang demi seorang pengurus syarikat-syarikat negara termasuk pengurus Sonatarch Ould Kaddour telah ditahan dan dipenjara oleh pihak tentera akibat tekanan dari gerakan akar umbi rakyat. Bouteflika sendiri ditahan di atas tuduhan korupsi dan kemungkinan besar akan dikorbankan untuk meredakan kemarahan rakyat. Gerakan yang sedang menghalau birokrasi rejim yang korup daripada menduduki pusat-pusat pemerintahan harus cuba untuk mengambil alih kuasa tersebut di bawah pengawasan rakyat biasa yang disusun secara demokratik. Pada masa yang sama, birokrasi yang menduduki kepimpinan organisasi kelas pekerja seperti UGTA harus digulingkan oleh kelas pekerja biasa bagi mewujudkan sebuah Kesatuan yang mampu memimpin perjuangan massa. 

Massa dan kelas pekerja Algeria harus menyiapkan diri untuk melancarkan mogok umum yang melibatkan majoriti daripada rakyat. Hanya dengan pengalaman melalui perjuangan bersama seperti mogok umum, kelas pekerja akan menyedari kuasa kepimpinan mereka dan akan bergerak dengan yakin untuk menuntut kuasa kerajaan bagi pihak rakyat majoriti yang miskin dan tertindas. Kewujudan jawatankuasa-jawatankuasa mogok di tempat kerja dan komuniti masing-masing akan membentuk sebuah tulang belakang di mana seluruh masyarakat boleh disusun secara demokratik bagi bergerak ke arah revolusi. Ia mampu menjadi kepimpinan rakyat yang sah di mana semua lapisan tertindas di dalam sesuatu masyarakat dapat membawa aspirasi mereka di bawah satu gerakan yang jelas. 

Kami menyeru untuk penubuhan sebuah Majlis Konstituen Revolusioner yang terdiri daripada kepimpinan pertubuhan akar umbi rakyat yang selama ini bertanggungjawab untuk menyusun jutaan rakyat biasa untuk bergerak menentang rejim yang zalim. Majlis ini haruslah membawa aspirasi rakyat biasa dengan sebuah program yang mampu menyatukan semua perjuangan rakyat di bawah satu gerakan. Kami membantah segala usaha dari para liberal yang ingin mengetepikan suara rakyat biasa dalam pembinaan Algeria baru. Sebuah Algeria baru yang benar-benar dapat menepati kehendak semua rakyat miskin dan tertindas tidak boleh wujud sama sekali tanpa penglibatan jutaan rakyat dalam proses pembinaannya. Oleh itu, rakyat biasa dan kelas pekerja haruslah memikul tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah alternatif sosialis, yang berpaksikan kepada kehendak rakyat biasa untuk menggantikan sistem kapitalisme yang hanya menguntungkan segelintir elit dan golongan liberal. 

Revolusi akan berterusan

Semua pembangkang kerajaan yang wujud tidak melakukan apa-apa kecuali untuk tunggu sehingga Bouteflika tumpas. Pada awal tercetusnya gerakan massa pada Februari tahun ini, tidak ada sebarang pihak pembangkang mahupun UGTA memberikan sokongan kepada rakyat yang berjuang. Hanya selepas menyedari kekuatan gerakan ini yang berpanjangan untuk berbulan-bulan selepas kejatuhan Bouteflika, barulah beberapa pihak ingin memberikan sokongan mereka. 

Golongan pembangkang kerajaan, termasuk yang melabel diri mereka sebagai aliran kiri, tidak berjaya memberi sebarang solusi kepada majoriti rakyat akibat ketidakyakinan mereka terhadap kekuatan massa itu sendiri. Mereka hanya ingin berkompromi atau bermain politik untuk melakukan perubahan yang bermula dari atas puncak kuasa kerajaan. Mereka tidak percaya pada perubahan yang mampu dilakukan oleh gerakan massa dari bawah. Bagaimanapun, seperti yang dijangkakan oleh kami, majoriti rakyat akhirnya sedar bahawa mereka terpaksa memilih jalan perjuangan dan bergelut dengan aparatus kerajaan di jalanan dan di tempat kerja untuk melihat perubahan politik yang nyata.

Selepas 22 Februari (tarikh mobilisasi protes nasional) sehingga 10-11 Mac dengan mogok umum di banyak bahagian negara, semua lapisan masyarakat – belia, wanita, kanak-kanak, petani, pekedai kecil, para pekerja – tiba-tiba mendapati diri mereka berada dalam sebuah solidariti dengan semua yang tertindas. Ketakutan yang menyelubungi mereka mula hilang dan semakin ramai orang mula menjadi lebih lantang dalam menyuarakan bantahan terhadap kerajaan pemerintah. Hanya seminggu selepas mencuba sebuah mogok umum, para pekerja dengan semangat melancarkan mogok yang telah berlangsung setiap hari Jumaat sejak Februari lalu. 

Gerakan yang penuh dengan potensi revolusi ini harus terus berkembang. Ia harus meningkatkan kesedaran melalui perjuangan yang berterusan. Apabila gerakan ini mengangkat slogan “Hancurkan sistem” ia harus membawa maksud untuk menghancurkan sistem ini secara menyeluruh. Iaitu termasuk menghancurkan sistem ekonomi kapitalisme yang hanya berpihak kepada segelintir elit kaya dan gantikannya dengan sistem yang mengangkat aspirasi rakyat tertindas majoriti. Bukan sekadar untuk pemilikan awam semua syarikat besar yang membuat keuntungan peribadi, tetapi juga untuk membawa syarikat tersebut dibawah kawalan kelas pekerja dan rakyat biasa secara demokratik. Untuk menghapuskan segala bentuk korupsi yang subur dalam sistem kapitalisme, mengelakkan pembentukkan birokrasi di dalam sistem pengurusan negara dengan memastikan pemilihan setiap jawatan secara demokratik dan tertakluk untuk dilucutkan serta merta di atas kehendak majoriti rakyat. 

Kami berusaha untuk membina sebuah parti pekerja massa di Algeria yang terdiri daripada majoriti lapisan tertindas dan kelas pekerja yang bersatu di bawah sebuah program rakyat. Gerakan massa yang berkembang akan menghadapi jalan buntu jika tidak dipimpin oleh sebuah parti yang telah melengkapkan diri dengan perspektif dan hala tuju yang jelas. Parti ini akan membawa tuntutan sosialisme yang tidak boleh disamakan dengan retorik yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin lama Algeria yang telah hanya mempergunakan terma itu untuk menyeleweng rakyat. Apabila kami menyebut tentang ekonomi sosialisme, kami membawa maksud pemilikan dan kawalan ke atas ekonomi secara menyeluruh oleh pertubuhan-pertubuhan demokratik kelas pekerja dan majoriti rakyat biasa, bukan segelintir birokrasi yang kononnya mewakili kepentingan rakyat.

Sebuah revolusi sosialis yang berjaya di Algeria akan bergema di seluruh rantau ini yang telah lama di tindas oleh para diktator yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa imperialis Eropah dan Utara Amerika. Gerakan revolusi ini akan menggoyangkan semua kuasa diktator korup di rantau Utara Afrika dan mereka sudah mula berusaha melemahkan perjuangan rakyat dengan memberi bantuan kepada birokrasi tentera Algeria. Kemenangan revolusi di Algeria akan membawa maksud kemenangan revolusi bagi semua warga tertindas di rantau ini. 

Di seluruh dunia, walaupun di negara yang dikatakan kaya, sistem kapitalisme hanya membawa kesengsaraan, peperangan dan diskriminasi. Ianya tidak berbeza di Algeria juga. Sertai organisasi kami untuk menjayakan gerakan rakyat, mengalahkan sistem kapitalisme dan berjuang demi revolusi sosialis!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *