Indonesia sekali lagi menjadi medan perjuangan rakyat menentang polisi-polisi menindas dari kerajaan. Pada September lalu, kerajaan Indonesia telah terpaksa mengerah ribuan anggota keselamatan di seluruh negara untuk melindungi stesen-stesen minyak daripada diserang oleh kemarahan rakyat biasa yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga minyak terbaru. Para mahasiswa dan siswi di Jakarta telah bertembung dengan pihak polis yang menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyerang para demonstran. 

Bersamaan dengan anak muda IPT, para pekerja, termasuk beberapa kesatuan sekerja dan ratusan ribuan rakyat biasa telah terlibat dalam protes besar-besaran ini. Mereka menuntut supaya kerajaan dan Presiden Jokowi menarik balik perancangan untuk meningkatkan harga minyak kenderaan sebanyak 30%. Peningkatan ini tidak boleh diterima oleh jutaan penghuni Indonesia yang sudahpun di beban dengan peningkatan inflasi global dan harga barangan asas yang melampau. Tambahan pula, pandemik Covid-19 juga telah menghancurkan kehidupan rakyat miskin yang telah menghadapi kecemasan kesihatan dan kehilangan punca pendapatan.

Ini merupakan kali kedua anak muda dan kelas pekerja Indonesia melancarkan protes gergasi di seluruh negara pada tahun ini sahaja. Pada April lalu, rakyat di seluruh Indonesia telah turun ke jalan dan membantah kenaikan harga makanan dan minyak masak yang mendadak. Tetapi, kerajaan Jokowi langsung tidak menghiraukan keluhan rakyat dan meneruskan polisi-polisi neoliberal yang menggiatkan usaha penswastaan ekonomi negara dengan pesat dan mengurangkan subsidi kebajikan kepada rakyat. 

Ekonomi

Dalam 10 tahun ini, Indonesia telah menjadi salah satu ekonomi terbesar di dunia dan tahun ini akan menganjurkan persidangan G20 ( 20 ekonomi terbesar dunia ) di Bali. Sumber alam dan kebolehan untuk mengekspot komoditi dengan banyak telah menjadikan Indonesia sasaran para kapitalis dan pelabur kaya dunia yang ingin menjana keuntungan lumayan. Tetapi, perkembangan ekonomi ini tidak mencerminkan peningkatan dalam taraf kehidupan rakyat biasa. Sebaliknya, rakyat Indonesia sedang menjadi semakin tertekan dengan penswastaan yang pesat yang melihat peningkatan dalam harga perkhidmatan dan pengurangan subsidi untuk barangan asas oleh kerajaan. 

Pada 2021, Indonesia telah mengisytiharkan resesi secara rasmi apabila menghadapi pertumbuhan KDNK negatif untuk 2 bulan berturut-turut. Walaupun pembukaan kembali ekonomi Indonesia selepas pandemik telah melihat pertumbuhan yang sederhana, tetapi rakyat terpaksa berhadapan dengan peningkatan harga barangan ekoran inflasi global. Kejatuhan nilai Rupiah akibat peningkatan kadar faedah Amerika Syarikat juga sedang memberi kesan buruk kepada ekonomi Indonesia. 

Walaupun Indonesia merupakan antara pengeluar komoditi mentah terbesar dunia dan harga komoditi telah meningkat selepas pandemik, ekonomi mereka masih terumbang-ambing akibat kemelesetan ekonomi China yang merupakan pelanggan terbesar untuk seluruh rantau Asia Tenggara. Dalam situasi ini, Presiden Jokowi telah mencuba pelbagai cara untuk memulihkan ekonomi negara tanpa sebarang hasil yang berkesan. Indonesia telah menggiatkan pengeluaran komoditi dengan harapan untuk mengembangkan industri tempatan. Tetapi tanpa pendapatan yang stabil daripada ekspot komoditi dan pelaburan asing yang merudum akibat kelemahan ekonomi dunia, Jokowi tidak berjaya memulihkan ekonomi negara ke tahap pra-pandemik.

Hasilnya, jutaan rakyat Indonesia yang miskin sedang menghadapi tekanan kehidupan yang tinggi akibat pendapatan yang tidak sepadan dengan peningkatan harga barang. Tambahan pula, kadar pengangguran negara juga meningkat dengan penutupan perniagaan kecil dan sederhana yang tidak dapat bersaing dalam pasaran ekonomi dunia dan tempatan yang tidak berkembang. Manakala, para kapitalis, pemilik perniagaan besar, para CEO dan pemodal kaya bukan sahaja berjaya melindungi harta mereka, malah telah bertambah kaya dalam waktu pandemik yang telah mengheret majoriti daripada penghuni dunia ke arah kemiskinan.  

Jokowi bersama para pemimpin dunia lain di Persidangan G20 di Osaka, Jepun 2019.

 

Tindak balas rakyat

Ekonomi Indonesia yang merosot telah memaksa kerajaan untuk menarik balik beberapa subsidi barangan asas dan tindakan ini telah ditentang habis-habisan oleh rakyat. Protes menentang kenaikan harga minyak kenderaan baru-baru ini merupakan salah satu siri perjuangan rakyat yang sedang berterusan untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Ini menandakan bahawa situasi rakyat sudah sangat teruk sehingga mereka terpaksa turun ke jalan raya untuk memperjuangkan nasib mereka. 

Presiden Jokowi yang datang ke kuasa di atas janji untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat biasa telah mengecewakan mereka di sepanjang 8 tahun di atas takhta. Di bawah pemerintahan Jokowi, kelas pekerja dan rakyat biasa Indonesia telah menjadi bertambah miskin dan terdedah kepada eksploitasi dari kapitalis antarabangsa. Akibatnya, Jokowi sedang kehilangan sokongan dari rakyat dan pada waktu ini terpaksa membentuk sebuah kerajaan campuran dengan para pemimpin dari parti pembangkang yang menyandang beberapa posisi penting di kabinet.  

Pada tahun 2019, Jokowi juga telah memperkenalkan Rang Undang-undang Cipta Kerja (di kenali sebagai Omnibus Law ) yang telah dibantah oleh kelas pekerja dari seluruh negara yang melancarkan aksi-aksi industri yang hebat. (Rujuk artikel : Indonesia : Jutaan kelas pekerja dan anak muda bangkit melancarkan mogok dan membantah ‘Omnibus Law’) dan (Indonesia: Millions rise against oppressive law). Tetapi, oleh kerana dilanda pandemik Covid-19, kerajaan telah berjaya mencantas gerakan tersebut dengan menggunakan undang-undang kecemasan yang menghadkan gerakan rakyat biasa. Jika tidak, pastinya pihak kerajaan tidak akan berjaya untuk meluluskan undang-undang tersebut dengan begitu mudah.

Tetapi, gerakan pekerja yang terbentuk dalam protes tersebut tidak berjaya dikebumikan oleh pihak kerajaan. Hasil daripada protes-protes yang tercetus pada tahun 2019 dan 2021 untuk menentang ‘Omnibus Law’, sebuah Parti Pekerja telah dibentuk dibawah kepimpinan Kongres Buruh Seluruh Indonesia (KBSI). Pada waktu ini Parti Pekerja ini tidak mempunyai pemimpin yang mempunyai semangat perjuangan dan hanya menumpukan perhatian pada Pilihanraya Umum 2024. Oleh itu, parti tersebut belum lagi menjadi platform politik yang sesuai untuk kelas pekerja. Tetapi, dengan penyertaan daripada kelas pekerja yang banyak, kepimpinan yang sedia ada boleh digantikan dengan para pemimpin yang mampu membawa perjuangan rakyat ke hadapan dengan berani. 

Jika keadaan ekonomi tidak pulih dalam masa terdekat, kita akan melihat lebih banyak cetusan-cetusan gerakan massa yang boleh berkembang dan menjadi kuasa yang mampu mencabar kerajaan. Terutamanya dalam waktu sekarang di mana kemarahan rakyat sedang membuih dan kerajaan negara sedang lemah dan kehilangan sokongan.

Kepimpinan Parti Pekerja harus sedar akan situasi semasa dan tidak boleh menangguhkan perjuangan rakyat sehingga ke PRU yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2024. Kelas pekerja dan rakyat biasa sudah tidak boleh bertahan di bawah kondisi kehidupan dan beban ekonomi yang teruk dan memerlukan solusi yang munasabah dalam masa terdekat. Oleh itu, Parti Pekerja haruslah memainkan peranan untuk memimpin gerakan-gerakan rakyat yang terbentuk ke arah perjuangan yang dapat membawa manfaat kepada semua. 

Kelas pekerja dan rakyat biasa di Indonesia sudah bersedia untuk turun berjuang pada bila-bila masa sepertimana yang dilihat dalam aksi-aksi protes yang tercetus. Tetapi, belum ada sebarang pertubuhan kelas pekerja yang tampil ke hadapan untuk memimpin perjuangan tersebut pada waktu ini. Parti Pekerja yang baru ditubuhkan pula dipenuhi dengan golongan birokrat yang sudah menyerah kalah dan segan untuk melancarkan sebarang aksi protes seperti mogok umum.

Protes anjuran Kesatuan Sekerja Indonesia di Jakarta pada 6 Oktober 2020

 

Alternatif ekonomi dan politik

Bukan sahaja untuk Indonesia, malah untuk kebanyakan negara dunia yang dibelenggu dengan kemerosotan ekonomi, satu-satunya solusi adalah untuk menolak sistem ekonomi kapitalisme dan membina sebuah sistem ekonomi baru yang bergerak berlandaskan keperluan dan kehendak majoriti rakyat biasa. Tetapi, ini bukanlah sebuah perkara yang mudah, terutamanya apabila semua kuasa politik dan kerajaan dipegang oleh perwakilan kelas kapitalis. 

Perwakilan kelas kapitalis ini haruslah dicabar oleh perwakilan politik kelas pekerja dan rakyat massa. Oleh sebab itu, pembentukkan Parti Pekerja di Indonesia merupakan sebuah kemajuan dalam perkembangan gerakan kelas pekerja. Ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada Indonesia, malah akan memberi inspirasi kepada gerakan kelas pekerja di seluruh rantau Asia Tenggara. Tetapi, pada masa yang sama, perwakilan kelas pekerja ini tidak boleh hanya menumpukan perhatian kepada pilihanraya yang dianjurkan dan dikawal  oleh kelas kapitalis yang tidak adil dan menghadkan penyertaan rakyat. 

Cabaran ke atas kelas kapitalis haruslah dimulakan dengan aksi-aksi industri yang tersusun seperti mogok umum dan okupasi kilang-kilang atau pusat produksi. Selain itu, Parti Pekerja juga boleh menyatukan perjuangan anak muda, rakyat biasa dan kelas pekerja dan memimpin mereka untuk menuntut kebajikan dan perubahan yang nyata. Ini merupakan satu-satunya cara untuk membina kekuatan dan kuasa Parti Pekerja yang benar-benar berupaya untuk mengangkat aspirasi rakyat tertindas.

Parti Pekerja Indonesia haruslah mengeluarkan satu program atau siri tuntutan ekonomi dan politik dalam masa terdekat untuk menyatukan semua perjuangan rakyat di bawah kepimpinan yang mempunyai perspektif politik yang jelas. Tenaga kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa haruslah dikerah ke arah membentuk sebuah gerakan sosial dan politik rakyat massa bagi membawa sistem ekonomi dan politik yang lebih mampan.

Perspektif Politik

Pada waktu ini, Parti Pekerja Indonesia masih tidak mempunyai sebuah perspektif politik yang jelas. Mereka masih menaruh harapan bahawa reformasi ke atas sistem ekonomi kapitalisme boleh menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat. Melihat sejarah Indonesia sendiri, reformasi-reformasi yang telah dijanjikan oleh para perwakilan kapitalis tidak pernah membawa sebarang kesan yang baik kepada rakyat miskin. Walaupun diktator Suharto digulingkan oleh gerakan Reformasi pada 1998, sehingga kini, kondisi kelas pekerja dan rakyat biasa tidak bertambah baik. Semua pemimpin negara yang datang selepas Suharto, termasuk Jokowi, telah menjanjikan perubahan dan reformasi tanpa sebarang kesan yang nyata kepada kehidupan rakyat miskin.  

Terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia yang meleset, Indonesia dan negara-negara kurang maju yang lain tidak mempunyai ruang untuk melakukan sebarang reformasi ke atas struktur ekonomi mereka. Sebaliknya, para kapitalis dunia sedang menuntut kerajaan Jokowi untuk melonggarkan undang-undang yang melindungi hak buruh dan menggiatkan penswastaan aset negara untuk menggalakkan pelaburan asing. Dalam situasi ini, harapan Parti Pekerja untuk mencari perubahan melalui Parlimen merupakan sebuah jalan buntu. 

Oleh itu, Parti Pekerja perlu membina sebuah perspektif politik yang jelas. Sistem ekonomi kapitalisme sudah tidak berupaya untuk menanggung keperluan majoriti rakyat dan haruslah diganti dengan sistem Sosialisme yang meletakkan pemilikan pusat produksi di bawah kawalan kelas pekerja dan rakyat biasa. Hanya Sosialisme berupaya untuk mengangkat jutaan rakyat dari kesengsaraan dan membina sebuah masyarakat yang adil dan saksama. Kenyataan ini sedang di sedari oleh masyarakat dan kelas pekerja sedunia yang sedang melancarkan aksi-aksi protes di negara masing-masing. Mereka hanya memerlukan kepimpinan yang dibina berdasarkan kepada perjuangan rakyat biasa dan mempunyai perspektif yang jelas untuk keluar daripada krisis ekonomi yang sedang dihadapi. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *