Tahun 2022 menjadi saksi kepada keberanian rakyat Myanmar yang tekal dan teguh menentang kudeta rejim Tatmadaw. Berita hukuman Aung San Suu Kyi yang bakal dipenjarakan selama empat tahun diterima dengan perasaan skeptisisme di kalangan rakyat Myanmar, dek kerana hukuman ini dan penahanan sosok pimpinan berumur 75 tahun ini tidak lain tidak bukan merupakan taktik kotor rejim Tatmadaw.

Ianya menandakan perkembangan terbaru krisis yang sedang berlangsung di sana. Hukuman yang telah dijatuhkan bukanlah sebuah hal yang mengejutkan, sudahpun dilihat selaku sebuah tindakan yang pastinya sudah diduga oleh kesemua rakyat yang ketika ini, bergelumang dalam kecamukan negara yang tak terlihatkan lagi sisi penghujungnya. Gerakan revolusioner yang tercetus kebanyakkannya terdiri daripada generasi yang lebih muda. Kali ini, mereka tidak akan berganjak dan tiada kompromi bakal diberikan. Keberanian diterjemahkan melalui slogan seperti “Pastikan ini adalah revolusi kita yang terakhir!” dan juga “Revolusi pastinya berjaya!”.

Namun realiti bakal menjamahkan faktor-faktor yang pastinya tidak diduga oleh rakyat. Perjuangan yang kian berlanjutan semestinya menghasilkan kelelahan yang nyata dan menyelubungi segenap lapisan masyarakat yang makin lama kian terdesak ekoran kesusahan yang melanda kehidupan mereka. Justeru, menjadi hal yang utama bagi anak muda dan golongan revolusioner di Myanmar untuk memahami selok belok dan situasi yang konkrit ketika ini – supaya dapatlah kita mengemudi perjuangan menuju ke sebuah perspektif yang tepat dan sekaligus, menjurus kepada sebuah tindakan yang berjaya membebaskan rakyat sepenuhnya.

Kacau-bilaunya ekonomi

Dunia yang kini sedang bergejolak dengan keributan dari pelbagai sudut turut mempengaruhi situasi di Myanmar. Krisis yang berkali ganda ini – dari serangan gelombang Covid 19 dan juga kudeta ketenteraan telah menjadikan negara ini semakin tenat. Bank Dunia menganggarkan pengecilan ekonomi sebanyak 18% dan sebanyak 30% berbanding keadaan tanpa kedua-dua krisis ini.

Nilai wang Kyat berbanding AS dolar sudah pun jatuh sebanyak 23%, eksport merudum sebanyak 18% manakala import pula jatuh menjunam sebanyak 26%. Di sektor pertanian pula, peningkatan kos dan hambatan kredit akan menyebabkan penurunan nilai sebanyak 10% dan bakal memberi impak yang besar kepada golongan petani. Ketidaktentuan dan ketidakstabilan yang semakin teruk jadinya telah mengucar-ngacirkan lagi situasi semasa di Myanmar. Ia telah menghuru-harakan perlaksanaan perniagaan, proses pekerjaan, konsumsi, pelaburan dan juga perdagangan yang berlangsung di kawasan-kawasan sempadan. Seperti yang turut dilaporkan oleh International Labour Organisation dan juga United Nations Development Programme – krisis yang meliputi pelbagai hal ini akan mengakibatkan peningkatan kadar kemiskinan sebanyak dua kali ganda.

Rencana rejim yakni Myanmar Economic Recovery Plan, yang hampir sebahagian besarnya berteraskan dokumen dan rencana di bawah pimpinan NLD juga gagal mengukuhkan kerajaan dan situasi negara. Tindakan penggadaian aset sebanyak 140 juta AS dolar dan perlaksanaan pelbagai bentuk campur tangan yang lain juga tidak dapat menjamin sebuah kestabilan yang berkesan di bawah pimpinan kerajaan yang sedang ditentang habis-habisan oleh rakyat.

Situasi perjuangan rakyat

Sosok politik Aung San Suu Kyi yang pada awalnya menjadi simbol perjuangan rakyat pada awal kudeta kini telah melanjut ke sebuah pergerakan politik yang lebih gagah sifatnya – yakni untuk menghapuskan segala bentuk kawalan dan penguasaan ketenteraan. Kegagalan rejim untuk mengawal negara telah mengejutkan pelbagai pihak. Generasi baru tidak ingin membiarkan apa-apa bentuk penguasaan kepada pihak tentera. Rejim terus menerus membunuh, menyeksa dan menangkap rakyat yang bangkit menentang mereka. Sehingga kini, pihak junta telah membunuh hampir 1,500 penduduk, lebih 100 diseksa sehingga mati dan hampir 11,300 telah ditangkap. Kita dapat jangkakan kekejaman ini akan terus dilaksanakan dan dengan itu juga, kemarahan dan kesungguhan rakyat untuk menghapuskan kuasa Tatmadaw menjadi lebih teguh!

Video-video yang tersebar dan tular baru-baru ini, contohnya video rempuhan yang membunuh 4 penduduk yang turun protes di Kyimyindaing dan 10 penduduk kampung, termasuk kanak-kanak berusia 14 ke 17 yang diseksa dan dibakar hidup-hidup di kota Salingnyi – kesemuanya menunjukkan bagaimana rejim tentera masih mempunyai kuasa dan akan terus bongkak mengawal penentangan dan pemberontakan rakyat kebanyakan. Serangan ke atas People’s Defense Forces telah dilancarkan dengan menggunakan helikopter berpistol, jet pejuang, drones dan sebagainya. Kampung-kampung dan kediaman para penduduk telah hancur dibakar dan dibom, memaksa berpuluh-puluh ribu rakyat untuk lari menyelamatkan diri mereka.

People’s Defense Forces telah membalas serangan dan menggugah kawalan pihak tentera. Pengumuman yang dilakukan oleh pihak NUG pada September lepas telah menyebabkan peningkatan konflik bersenjata di antara PDF dan rejim Junta. Pada bulan November, Thein Aung yang merupakan ketua pegawai kewangan bagi Mytel – yakni sebuah syarikat yang dimiliki oleh rejim telah ditembak di kawasan kediamannya. Insiden seperti ini merupakan sebahagian daripada kempen “Operation Shallow” yang telah membunuh 200 sosok yang terlibat dengan pihak Tatmadaw dan setakat ini lebih 1,000 askar telah terbunuh di dalam pertempuran dan serangan yang dilakukan oleh PDF.

Bermulanya perpecahan dalaman ketenteraan?

Tindakan serangan balas ini pastinya menggusarkan rejim Tatmadaw, terutama sekali apabila timbulnya kesukaran untuk merekrut ahli tentera yang baru, sehingga terpaksa memanggil semula ahli tentera yang sudah pencen. Kadar demoralisasi di kalangan tentera berpangkat rendah mulai meningkat dan hal ini telah merancakkan lagi usaha dan kempen para rakyat untuk meyakinkan para tentera untuk mengingkar arahan kuasa pimpinan dan bersama-sama senjata dan kemahiran ketenteraan mereka untuk turun berjuang bersama gerakan yang telah dimulakan rakyat.

Namun harus juga diakui bahawa perubahan ini, belum menjurus kepada perubahan yang signifikan – pihak tentera Tatmadaw merupakan sebuah kekuasaan yang turut memiliki kuasa ekonomi yang besar, tambahan lagi rejim sedang mengukuhkan lagi kerjasama mereka dengan dua kuasa besar iaitu China dan Rusia yang menjual dan memasarkan senjata-senjata mereka. Justeru berdasarkan hujah yang telah ditulis oleh CWI sebelum ini, persoalan kepimpinan dan taktik yang bakal dilaksanakan oleh koalisi PDF dan organisasi etnik yang bersenjata kekal menjadi persoalan yang penting. CWI berhujah bahawa sebuah koordinasi pembelaan rakyat perlu dikawal secara demokratik oleh kepimpinan gerakan buruh di Myanmar dan tidak dapat diasingkan daripada perjuangan yang lebih menyeluruh bagi membebaskan rakyat di Myanmar. Ketika ini, pengelolaan dan penyusunan serangan dan pembelaan masih lagi bersifat sporadik dan tidak tersusun, tindak-tanduk perjuangan berbeza-beza mengikut kawasan dan keterlibatan organisasi etnik pula masih belum berjaya disatukan di bawah program yang jelas dan mencakupi aspirasi rakyat tertindas secara keseluruhan.

Bagi menjayakan sebuah perubahan yang revolusioner – menjadi sebuah kemestian untuk menyediakan program yang dapat menggugah asas penguasaan ketenteraan secara total. Pengambil alihan sarana produksi yang turut mencakupi aset-aset rejim untuk di kawal secara demokratik oleh kelas pekerja dapat menjamin sebuah perubahan yang sebenar-benarnya berpihak kepada golongan majoriti dan menuju ke arah pembangunan sosialisme yang membebaskan kelas pekerja di Myanmar. Kesemuanya ini memerlukan sebuah organisasi revolusioner yang tersusun bagi melancarkan seruan dan propaganda yang benar-benar efektif yang menyeru para pekerja yang terlibat untuk bersatu atas dasar kelas dan menentang kuasa ketenteraan dan juga kuasa para pemodal, baik tempatan mahupun antarabangsa yang kemudiannya menggerakkan perubahan asas ke keseluruhan rantau sekaligus. Marxis berhujah bahawa kuasa revolusioner terletak pada kepimpinan kelas pekerja dan sebagai kuasa politik yang mandiri, kelas pekerja mampu menumpaskan rejim yang menindas kesemua rakyat ketika ini.

Kemelut persoalan kebangsaan yang belum langsai

Bagi menggantikan perlembagaan 2008 yang dirangka oleh junta, Piagam Demokrasi Persekutuan kini menghadapi persoalan yang lebih besar, yang sudah terang dan nyata bukan hanya berhubungan dengan penghapusan kuasa tentera semata-mata – sebaliknya turut berhubungan dengan kepentingan golongan etnik minoriti yang berbeza-beza di kawasan-kawasan sempadan Myanmar. Tuntutan demokratik yang radikal, berbanding dengan tuntutan awal menjurus kepada persoalan dan jalan penyelesaian yang lebih revolusioner sifatnya. Ianya berkait rapat dengan wujud ataupun tidak sebuah program yang dapat menyatukan kesemua pihak dan sama ada wujud ataupun tidak sebuah pimpinan politik yang dapat membimbingnya. Persoalan ini lah yang menjadi hal utama di mana-mana negara yang sedang mengharungi krisis yang besar – di mana persoalan ketiadaan dan krisis kepimpinan yang tidak dapat membawa kelas pekerja ke kesimpulan yang tepat.

Piagam Demokrasi Persekutuan yang dirangka dan digerakkan oleh National Union Consultative Council (NUCC) merangkumi elemen-elemen campuran kelas yang tidak dapat menjamin kepentingan kelas pekerja secara umumnya. Perwakilan campuran kelas ini akan digerakkan oleh prospek campur tangan oleh kuasa-kuasa borjuis luar dan dalam, yang akan mengutamakan keharmonian sistem kapitalisme dan kesinambungan penguasaannya di Myanmar. Ketiadaan organisasi kelas pekerja yang mandiri dan revolusioner akan menghambat perjuangan rakyat menentang kudeta tentera dan kekuatan yang benar-benar diperlukan bagi memastikan sebuah perlembagaan yang berpihak kepada rakyat dan sebuah sistem yang stabil buat kelas pekerja tidak akan berjaya diwujudkan, Apabila situasi sudah berada di tahap yang benar-benar kritikal, tidak mustahil sebuah kompromi akan dilakukan bersama-sama pihak Tatmadaw – seperti mana yang pernah dilakukan oleh pihak NLD sebelum ini. Pihak pimpinan NUG yang sebahagian besarnya terdiri daripada bekas pimpinan NLD merupakan golongan yang pernah bekerjasama dengan pihak Tatmadaw sebelum ini dan bergelumang di dalam ilusi reformasi tanpa mengubah hal asas yang mengukuhkan kekuasaan Tatmadaw itu sendiri. Tidak lupa juga, Kongres Rakyat yang dicadangkan perlu mewakili kelas pekerja, etnik minoriti dan golongan rakyat tertindas dan berpaksikan garis kelas bagi memastikan bahawa kepentingan rakyat dapat dibezakan dengan kepentingan golongan elit yang pro-kapitalis.

Tambahan lagi, perpecahan dan pengambilan posisi yang berbeza di kalangan organisasi bersenjata etnik minoriti turut menjadi sebuah cabaran bagi menyatukan sebuah penentangan yang padu terhadap rejim Tatmadaw. Ketika ini, kuasa besar China yang mempunyai kepentingan geopolitik di kawasan utara Myanmar sedang mengaturkan proses genjatan senjata bagi menjamin sebuah situasi yang stabil bagi kesinambungan projek One Belt One Road yang meliputi kawasan sempadan tersebut. Tidak dapat tidak, persoalan kebangsaan yang kompleks di Myanmar memerlukan kepimpinan kelas pekerja yang menggerakkan keseluruhan penduduk yang berasal daripada etnik minoriti, bersatu di bawah sebuah program yang benar-benar dapat menjamin hak demokratik golongan etnik minoriti yang berasaskan garis kelas dan membezakannya dengan kepentingan pimpinan mereka yang terikat dengan kepentingan dan kelebihan ekonomi yang telah lama terpelihara selama ini.

Kemana gerakan buruh di Myanmar?

Dilaporkan hampir separuh daripada pekerja kerajaan, melebihi setengah juta telah melibatkan diri di dalam Gerakan Pembantahan Sivil. Jumlah pekerja yang menentang tindakan kudeta ini merupakan sebuah penanda bahawa rejim Junta tidak berjaya mengukuhkan kuasa mereka dan sudah pun kehilangan keabsahan kerajaan yang ingin dilaksanakan oleh mereka. Tidak ada cara lain bagi pihak Junta melainkan dengan menggunakan taktik yang kejam bagi mengugut para pekerja untuk kembali berkhidmat kepada mereka dan terdesak untuk mengelakkan daripada runtuhnya aparatus-aparatus mereka.

Kekuatan gerakan ini tidak menjurus kepada penubuhan dan gerakan buruh yang lebih mandiri dan militan. Ketiadaan sebuah parti revolusioner massa telah menyebabkan gerakan buruh menghadapi krisis kepimpinan yang mundur dari segi perspektif dan program yang jelas bagi membawa gerakan buruh lebih ke hadapan. Taktik pemboikotan yang sedang dilakukan oleh gerakan buruh dan seruan pemberhentian pelaburan ke negara Myanmar tidak akan menguatkan kuasa politik yang diperlukan oleh kelas pekerja itu sendiri. Situasi revolusioner yang sedang berlaku ketika ini menjadi titik perubahan yang penting bagi mengubah kedinamikan sedia ada dan perlu bagi mengukuhkan gerakan buruh yang mandiri dan menuju ke arah politik revolusioner sosialisme. Perspektif pengambil alihan kuasa produksi di Myanmar perlu diambil dan dipimpin oleh gerakan-gerakan buruh yang utama di Myanmar dan dengan itu, turut menyediakan program untuk mengambil alih kuasa kerajaan daripada pihak kapitalis dan juga rejim Tatmadaw.

Internasionalisme dan solidariti gerakan buruh sedunia!

Pengukuhan kuasa kelas pekerja di Myanmar perlu diluaskan dan turut menyeru kepada solidariti kelas pekerja yang berada di sekelilingnya. Kelas pekerja Myanmar yang berada di Thailand dan negara-negara lain perlu bekerjasama dan melaksanakan tindakan solidariti dan berkempen bagi membantah keganasan dan penguasaan rejim Tatmadaw yang kejam dan terus menerus menindas rakyat.

Solidariti antarabangsa yang akan menjurus kepada sebuah tindakan bersatu di kalangan pekerja akan memberi tekanan yang nyata kepada pihak kapitalis di Myanmar. Kebergantungan kepada kuasa-kuasa besar dunia bagi menyelamatkan situasi di Myanmar hanya akan meneruskan aturan sistem kapitalisme yang berpihak kepada golongan pemodal dan kepentingan mereka. Manakala hubungan diplomatik rejim bersama China dan Rusia akan terus meningkat, dengan kedua-dua negara masih belum mengenal pasti tindakan kudeta tentera yang berlaku pada Februari yang lepas. Setahun selepas berlangsungnya kudeta, aktiviti dan hubungan di antara ketiga-tiga negara ini menjadi semakin kuat dan menandakan sebuah pengukuhan bagi melawan penentangan yang digerakkan oleh kepentingan geo politik kuasa-kuasa barat.

Kutukan kudeta oleh kuasa imperialis AS yang baru-baru ini melawat beberapa negara di Asia Tenggara turut menekan blok serantau ASEAN bagi meningkatkan tekanan yang sama, tetapi masih belum tentu akan kedinamikan yang wujud di dalam ASEAN itu sendiri, terutamanya apabila negara Cambodia mulai mengambil alih pimpinan ASEAN dan ingin memanggil semula Senior General Ming Aung Hlaing ke dalam persidangan akan datang.

Ketidakmampuan kuasa-kuasa besar untuk melakukan campur tangan yang signifikan adalah sebahagian daripada taktik geopolitik “tunggu dan lihat” – supaya kepentingan para pemodal yang terlibat dalam terjamin di dalam perjanjian yang bakal dilakukan dan tidak ada kena mengena dan tidak dipedulikan akan jumlah-jumlah rakyat yang telah dibunuh dan diseksa selama setahun ini. Para perwakilan kapitalis, baik di luar dan di dalam negara perlulah ditentang sehabis-habisnya dan kepentingan mereka perlu didedahkan oleh agitasi yang tertumpu kepada objektif perubahan ke arah sosialisme.

Penekanan akan kuasa politik yang perlu dipimpin oleh kelas pekerja menjadi persoalan yang benar-benar kritikal buat rakyat Myanmar. Golongan revolusioner dan organisasi-organisasi kiri perlu menelaah dan menimba pelajaran berdasarkan revolusi-revolusi yang berlaku sebelum ini terutamanya peristiwa Revolusi Rusia dan program Bolshevisme yang berjaya menyatukan kepelbagaian etnik minoriti dan persoalan kebangsaannya, menyelesaikan masalah para petani yang masih merangkumi sebahagian besar penduduk di negara neo-kolonial di bawah satu panji sosialisme. Kedudukan dan situasi di Myanmar, sebagai salah satu negara di rantau Asia Tenggara juga tidak dapat tidak, berhubungan dengan persoalan perubahan ke arah sosialisme bagi seluruh rantau dan sedunia!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *