Oktober 17, seramai 300 orang pekerja, badan Kesatuan Sekerja, wakil-wakil NGO, pejuang hak asasi manusia dan aktivis sosial telah turun ke perkarangan Parlimen untuk membantah penetapan gaji minimum kerajaan yang hanya melihat kenaikan sebanyak RM50 yang akan berkuat kuasa mulai Januari tahun depan. Bantahan aman yang diketuai oleh MTUC(Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) dan dianjurkan oleh Gabungan Bantah RM1050 telah membawa aspirasi jutaan kelas pekerja miskin yang kecewa dengan penetapan gaji minimum yang tidak memuaskan oleh kerajaan PH.
Kelas pekerja di Malaysia sedang menanggung beban peningkatan kos kehidupan, kenaikan inflasi dan pencabutan subsidi oleh kerajaan, dan pada masa yang sama, kekayaan kelas majikan pula sedang meningkat dengan tidak terkawal. Walaupun majikan kaya yang hanya segelintir bilangannya dapat menggandakan keuntungan mereka setiap tahun, seramai 14 juta kelas pekerja miskin yang bertungkus lumus mewujudkan kekayaan tersebut terpaksa melalui kehidupan yang terseksa kerana kekurangan gaji. Manakala kerajaan PH yang telah berjanji untuk mengutamakan kebajikan pekerja sebelum pilihanraya, kini sedang mencari seribu dalih dan alasan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab tersebut selepas berjaya mendapat kuasa. Penetapan gaji minimum sebanyak RM1050 merupakan sebuah penghinaan kepada pengorbanan kelas pekerja yang telah selama ini mencurah tenaga mereka bagi menghidupkan ekonomi negara dan menjamin keuntungan swasta bagi golongan kaya. Dengan penetapan ini, watak kerajaan baru yang hanya berpihak kepada kepentingan orang kaya dan kelas kapitalis telah terdedah dengan jelas.
Gabungan Bantah RM1050 yang sedang menggerakkan kempen untuk menuntut gaji minimum yang adil juga telah memaksa Menteri Tenaga Kerja M.Kulasegaran untuk turun ke pintu hadapan Parlimen untuk menerima Memorandum daripada perwakilan kelas pekerja. Memorandum tersebut juga menggariskan beberapa fakta dan menuntut supaya kerajaan melaksanakan kenaikan gaji minimum sekurang-kurangnya ke Rm1800. Berikutan itu, Menteri M. Kula juga menjemput seramai 20 orang wakil untuk mengadakan sebuah perbincangan mengenai isu yang berbangkit. Malangnya, malah di dalam mesyuarat itu, Menteri gagal untuk memberikan sebarang penjelasan yang munasabah bagi penetapan gaji minimum yang dibuat. Tambahan pula, Menteri tersebut cuba mempertahankan keputusan kerajaan baru ini dengan memberikan pelbagai alasan yang cuma mengambil perspektif pihak majikan kaya.
Kenaikan gaji minimum yang dibuat oleh kerajaan setiap 2 tahun ini bertujuan untuk menyelaraskan gaji pekerja miskin dengan kenaikan inflasi dan kos kehidupan. Walaupun begitu, terdapat pelbagai kajian yang mengatakan bahawa inflasi dan kos kehidupan di Malaysia telah meningkat berlipat ganda manakala gaji yang diterima oleh majoriti kelas pekerja kekal sama ataupun menurun. Misalnya kajian yang dikeluarkan oleh Bank Negara sendiri telah mendedahkan bahawa seorang individu memerlukan sekurang-kurangnya RM2700 untuk menjalankan kehidupan yang selesa di Kuala Lumpur. Gaji minimum RM1050 yang ditetapkan oleh kerajaan tidak sampai walaupun separuh daripada saranan daripada kajian tersebut. Kenaikan gaji RM50 langsung tidak mencerminkan keprihatinan pihak kerajaan terhadap keperitan kehidupan seorang pekerja miskin. Walaupun kelas majikan kaya 1% sudah menimbun harta bernilai berbilion-bilion ringgit, dan pada masa yang sama majoriti kelas pekerja miskin tidak boleh menanggung kos kecemasan melebihi Rm500, masih lagi Menteri M.Kulasegaran ingin menyuarakan kepentingan kelas majikan. Perjumpaan tersebut telah mensahihkan keraguan para pekerja bahawa kerajaan baru tidak akan cuba mempertahankan kepentingan majoriti rakyat tertindas dan hanya akan akur kepada arahan daripada kelas majikan kaya.
Bantahan aman ini telah memberikan banyak pengajaran kepada kepimpinan dan gerakan kelas pekerja dalam perjuangan menuntut gaji yang adil dan munasabah. Ia telah mendedahkan watak kerajaan baru dan mengajar kita semua bahawa walaupun dengan penukaran kerajaan, kebajikan rakyat miskin tertindas masih tidak boleh dijamin. Kerajaan yang bertukar adalah juga perwakilan kepada kelas kapitalis kaya minoriti yang sedang mengawal hala tuju ekonomi dan politik negara, sama seperti kerajaan sebelum ini. Walaupun dari segi retorik sangat berbeza dan sering cuba mempamerkan diri sebagai progresif, kerajaan PH juga diperbuat oleh acuan yang sama dengan BN dimana kepentingan kelas kapitalis diutamakan sebelum perkara-perkara lain. Maka, tidak ada pilihan lain bagi kelas pekerja selain untuk menyusunkan diri dalam sebuah gerakan untuk memperjuangkan hak mereka.
Kita harus sedar bahawa wakil-wakil rakyat yang ada di Parlimen hanya mementingkan cita-cita politik peribadi masing-masing dan tidak akan membela nasib seorang pekerja miskin. Maka, kelas pekerja harus bersatu dan menguatkan perjuangan mereka bagi menghadapi penindasan yang sedang berlaku ke atas diri mereka.
Gabungan Bantah RM1050 juga telah menyeru kepada wakil-wakil kelas pekerja dan organisasi-organisasi lain untuk bersama dengan kita dalam membina sebuah gerakan akar umbi yang mampu mencabar kekuasaan kelas kapitalis dan memaksa pihak kerajaan untuk melaksanakan polisi-polisi yang berpihak kepada majoriti rakyat biasa. Jika berjaya, gerakan ini boleh menjadi asas dan pencetus kepada gerakan-gerakan bagi isu-isu sosio-ekonomi yang lain yang juga harus diketengahkan kepada kerajaan baru.
[foogallery id=”40268″]