Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Kenyataan Gerakan Pembebasan Wanita untuk perarakan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’.

Keadaan ekonomi dan sosial negara sedang menjadi semakin teruk dari hari ke hari. Kemelesetan ekonomi global yang bermula pada tahun 2008 sedang memberikan kesan yang besar dalam kehidupan harian kelas tertindas dan perkara ini sedang merosot kondisi sosial wanita bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Tambahan pula, sistem politik yang berbentuk pecah dan perintah, propaganda dan aturan politik di bawah garis kaum, pusat kuasa yang ingin mempergunakan agama dan perkauman untuk mencapai cita cita politik individu dan akhirnya struktur masyarakat kelas sedang menjadikan golongan kelas pekerja dan wanita biasa ditindas berkali ganda.

Kami percaya bahawa perubahan yang nyata hanya boleh dicapai dari titik menyedari punca permasalahan yang dihadapi bukan sahaja oleh wanita tetapi juga oleh anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa. Kita juga harus bermula dari kesedaran bahawa sebuah perubahan yang positif hanya akan berlaku jika struktur kuasa pemerintahan politik tersebut berjaya didemokrasikan dan dibebaskan untuk berfungsi bagi kebaikan rakyat biasa, bukan untuk kepentingan segelintir elit korporat kaya seperti yang sedia ada.

Perjuangan golongan wanita juga terbelit dengan persoalan sistem kelas kapitalis yang meletakkan umat manusia dalam kelas kelas tertentu bagi kepentingan segelintir. Perpecahan masyarakat dalam kelas yang tidak setara merupakan asas bagi eksploitasi tenaga kerja dan badan manusia yang ditanggung oleh majoriti rakyat. Malah, pemimpin dunia kapitalis yang paling maju, Donald Trump dari Amerika Syarikat merupakan seorang yang seksis dan tidak menghormati kaum wanita. Sama juga dengan pemimpin pemimpin lain yang terhasil di bawah sistem ini seperti Narenda Modi dari India dan Duterte dari Philipines yang sering memperkecilkan peranan wanita dalam masyarakat. Di Malaysia juga tidak kurangnya ahli ahli politik yang sering mendendangkan propaganda kolot yang berbentuk cemuhan terhadap golongan wanita.

Pada masa ini, semua parti politik arus perdana biarlah dari kem koalisi pemerintah BN atau pembangkang PH, tidak berupaya untuk memberikan sebuah solusi yang nyata bagi masalah ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat. Ini adalah kerana kedua dua koalisi tersebut merupakan pendokong sistem kapitalisme dan tidak mampu untuk menentang kelas atasan bagi kepentingan rakyat biasa. Kedua dua koalisi kapitalis ini hanya menyerang satu sama lain dengan menggunakan propaganda murahan dan cetek dan sedang menimbulkan sebuah situasi ‘politik toksik’ di Malaysia.

Kami berpendirian bahawa bagi mengubah nasib kita sebagai rakyat tertindas, kita memerlukan pembinaan sebuah kuasa politik yang akan membawa aspirasi rakyat biasa ke hadapan dan berupaya menentang agenda kapitalis tamak. Sebuah kuasa politik sebegitu haruslah dibina dalam solidariti dengan semua kelas tertindas tanpa mengira kaum, agama, jantina dan latar belakang. Kebebasan penuh bagi golongan wanita hanya boleh dicapai dalam konteks perjuangan bersama menentang struktur masyarakat kelas dan sistem kapitalisme.

Sebagai sebuah kempen yang bertujuan untuk ke arah emansipasi golongan wanita, Gerakan Pembebasan Wanita akan menyokong semua langkah yang diambil demi memperbaiki keadaan sosial mereka. Tetapi pada masa yang sama, untuk mencapai potensi tertinggi gerakan ini, Wanita Bantah Politik Toksik mesti mempunyai tuntutan, hala tuju dan kepimpinan yang jelas.

Kami menyokong slogan ‘mengakhiri keganasan politik, ‘mengakhiri gejala rasuah’ dan ‘menegakkan kedaulatan undang-undang’ yang dibawa oleh perarakan Wanita Bantah Politik Toksik. Walaubagaimapun, kami merasakan bahawa tuntutan tersebut adalah terlalu umum dan tidak berjaya menjalin hubungan dengan perjuangan harian wanita yang dieksploitasi dan tidak memberikan penyelesaian konkrit bagi masalah mereka. Arena politik yang kondusif kepada wanita adalah amat penting dan haruslah diperjuangkan, tetapi kita juga mesti sedar sejauh mana sistem kapitalisme ini dapat direformasi bagi menampung perubahan progresif. Gerakan Pembebasan Wanita berpendirian bahawa penindasan terhadap golongan wanita akan berterusan selagi sistem ekonomi kapitalisme dan sistem kelas patriarki yang sedia ada ini tidak diubah kepada demokrasi kelas pekerja wanita dan lelaki.

Pada masa yang sama, perjuangan masyarakat yang demokratik tidak boleh dicapai dalam sehari atau melalui sebuah perarakan. GPW merasakan bahawa perlulah ada kesinambungan perjuangan yang berterusan untuk mewakili realiti benar seorang wanita kelas pekerja, yang malangnya tidak boleh melarikan diri daripada eksploitasi seharian.

Kita juga perlu menimbangkan siapakah kepimpinan gerakan ini. Kepentingan kelas manakah yang mereka wakili? Kelas yang dieksploitasi atau kelas yang mengeksploitasi? Matlamat akhir kami iaitu pembebasan wanita hanya dapat dicapai dengan gerakan akar umbi yang diperkuatkan oleh dan untuk kelas pekerja dan kelas tertindas.

Kami berpendat bahawa usaha yang diambil oleh pihak wanita seperti perarakan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ dan lain lain aktiviti umum merupakan satu langkah ke hadapan dalam perjuangan bersama kita. Oleh kerana itu, sebagai tanda solidariti perjuangan wanita, kami akan menghadiri perarakan ini dengan membawa mesej dan tuntutan kami sendiri yang akan menyeru kepada semua golongan tertindas wanita dan kelas pekerja.

Kami menuntut :

Kesaksamaan bagi wanita dalam gaji dan peluang pekerjaan
– Kesaksamaan bagi wanita dalam hak politik, ekonomi dan sosial
– Hak reproduksi untuk menentukan haluan hidup sendiri secara demokratik
– Pertahankan hak asasi manusia bagi komuniti LGBTQ
– Hapuskan budaya seksisme di institusi pengajian dan di tempat kerja
– Hak untuk menubuhkan kesatuan bagi semua pekerja
– Gaji minimum RM 10 sejam tanpa mengira kenegaraan, kaum, agama atau jantina
– Pengawalan produksi dan perancangan pembangunan secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa.
– Menentang sistem kelas dan sistem patriarki untuk berubah kepada sistem ekonomi sosialis yang demokratik.

Boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai kempen Gerakan Pembebasan Wanita di laman fb:  https://www.facebook.com/Gerakan-Pembebasan-Wanita-1218312851565590/

Sila datang beramai-ramai sertai perarakan ini dengan mesej perjuangan masing-masing! Berkumpul di kawasan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail pada Ahad 10 September jam 5pm!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *