Pandemik Covid-19 yang bermula lebih satu tahun lalu sedang mewujudkan penderitaan yang berterusan kepada jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin di seluruh dunia. Kerajaan dan kepimpinan dunia yang diamanahkan untuk menangani pandemik ini sedang gagal untuk memikul tanggungjawab mereka. Projek vaksin mereka sedang menghadapi masalah bekalan untuk memenuhi keperluan rakyat dunia, terutamanya bagi rakyat di negara miskin. Pada masa yang sama, angka jangkitan pandemik ini sedang terus meningkat di beberapa negara sehingga menjadi malapetaka yang memakan jutaan nyawa. Di Malaysia sendiri, pandemik Covid-19 sedang merebak tanpa kawalan dan sedang mencecah angka yang merisaukan.
Dalam setahun yang lepas, kebanyakan kerajaan dunia telah menghabiskan rizab dan dana awam mereka dalam perbelanjaan menangani pandemik Covid-19. Di Malaysia, lebih dari 600 Bilion ringgit telah diperuntukkan setakat ini tanpa mengambil kira kos tambahan bagi vaksin yang tidak didedahkan kepada umum. Persoalannya di sini, berapa banyak daripada peruntukan tersebut telah digunakan untuk membantu jutaan rakyat biasa yang memerlukan bantuan dan berapa banyak digunakan untuk membantu pemilik syarikat dan korporat kaya yang telah mengalami kerugian?
Hakikatnya, selain menerima bantuan kewangan yang sangat sedikit, rakyat Malaysia tidak menikmati sebarang kebajikan sosial lain sepanjang berada di dalam keadaan krisis kesihatan yang bersejarah ini. Jutaan telah kehilangan kerja dan kadar pengangguran sedang semakin meningkat. Kilang-kilang besar mula menutup operasi dan bagi para pekerja yang masih mempunyai nafkah tetap, mereka sedang hidup dalam keadaan yang penuh dengan kerisauan mengenai masa hadapan mereka. Nasib jutaan pekerja yang terpaksa menganggur akibat penutupan kedai-kedai kecil dan sederhana terus menjadi sebuah tanda tanya. Pada masa yang sama, isu-isu yang menggugat kelangsungan kehidupan jutaan rakyat ini langsung tidak mendapat perhatian dari mereka-mereka yang mempunyai platform politik.
Ahli-ahli politik arus perdana hanya tertumpu dengan cita-cita politik mereka sendiri dan sedang asyik dengan permainan politik dan rebutan kerusi. Manakala, jutaan masyarakat miskin yang sedang merana pula tidak mempunyai sebarang perwakilan di dalam arena politik negara. Buat masa sekarang, para pekerja dan rakyat miskin telah diarahkan untuk menggunakan wang simpanan hari tua mereka sendiri untuk menampung segala kerugian yang dialami semasa pandemik ini.
Memandangkan bilangan jangkitan yang terus meningkat dan langkah kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk seluruh negara, ianya sukar untuk menjangkakan satu pemulihan ekonomi dalam masa yang terdekat. Oleh itu, jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa sedang menghadapi satu ketidaktentuan yang boleh mengancam kehidupan mereka. Semua kepimpinan politik yang wujud, biarlah dari parti pemerintah atau pembangkang, tidak akan membawa sebarang program untuk menambah baik kehidupan rakyat biasa. Semua agenda mereka adalah untuk membawa keuntungan yang lumayan kepada kelas kapitalis kaya yang mempunyai pengaruh yang luar biasa dalam membentuk polisi ekonomi dan politik negara.
Di mana kesatuan sekerja?
Di dalam keadaan yang genting ini, kita mendapati bahawa pihak kepimpinan dari kesatuan-kesatuan sekerja yang wujud tidak mengambil sebarang tanggungjawab untuk memperjuangkan hak dan kepentingan para pekerja di bawah naungan mereka. Selain daripada segelintir daripada Kesatuan Sekerja yang meneruskan aksi-aksi industri dan melawan penindasan para majikan, kebanyakan daripada kelas pekerja yang terdiri daripada ahli kesatuan tidak mendapat sebarang perlindungan daripada pertubuhan mereka.
Bukan sekadar itu, malah pertubuhan pekerja dan badan kepimpinan untuk gabungan Kesatuan Sekerja seperti MTUC juga didapati membisukan diri pada waktu ini apabila para pekerja memerlukan sebuah kepimpinan yang kukuh. Kepimpinan MTUC langsung tidak mengeluarkan sebarang bantahan terhadap kerenah ahli-ahli politik yang sedang mengabaikan keselamatan kelas pekerja dan rakyat. Di samping itu, mereka juga belum lagi membawa sebarang tuntutan kepada kerajaan bagi pihak jutaan kelas pekerja untuk mendapatkan kebajikan dan perlindungan sosial yang mencukupi.
Sejarah gerakan Kesatuan Sekerja di Malaysia
Di sepanjang sejarah, gerakan-gerakan kelas pekerja yang dipimpin oleh Kesatuan Sekerja telah menjadi kuasa perubahan yang paling ditakuti oleh kelas kapitalis dan ahli politik yang korup. Malah di dalam sejarah kemerdekaan negara dari penjajahan British, gerakan kelas pekerja yang hebat telah memainkan peranan yang mutlak. Selepas Hari Hartal ( mogok umum ) dilancarkan oleh kepimpinan Pan Malayan Trade Union Federation (PMTUF) pada 1947, pihak British menyedari kekuatan kelas pekerja yang mampu melumpuhkan seluruh ekonomi negara pada bila-bila masa sahaja. Walaupun pihak British cuba mengambil balik kawalan dengan mendeklarasi darurat, menangkap dan membunuh beberapa pemimpin PMTUF dan mengharamkan semua organisasi yang memperjuangkan kemerdekaan, akhirnya mereka terpaksa meninggalkan Malaysia pada 1957.
Malah selepas pemergian British, kesatuan sekerja telah memainkan peranan yang penting dalam kebanyakan gerakan massa dan perjuangan rakyat. Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab untuk menggerakkan ekonomi negara, kelas pekerja merupakan nadi utama di dalam mana-mana gerakan sosial dan sering menjadi kepimpinan massa secara semula jadi. Oleh itu, kepimpinan kesatuan sekerja bukan sahaja mempunyai tanggungjawab ke atas ahli mereka sahaja, malah harus melibatkan diri secara aktif dalam perjuangan semua rakyat tertindas dengan menjalinkan solidariti. Jika perjuangan-perjuangan rakyat yang berbeza dapat disatukan di bawah satu gerakan massa dengan kepimpinan yang kuat, ia akan berjaya membawa aspirasi rakyat biasa ke hadapan.
Tetapi malangnya, akibat dominasi para kapitalis yang mempergunakan politik perkauman untuk memecahkan perpaduan rakyat dan menghancurkan gerakan kesatuan sekerja secara berperingkat selama berdekad-dekad lamanya, kita mendapati diri kita tanpa sebarang pertahanan daripada ancaman-ancaman yang bakal dihadapi.
Selain sebilangan kecil, kebanyakan daripada kepimpinan Kesatuan Sekerja yang wujud pada hari ini adalah merupakan para birokrat yang telah melupakan sejarah perjuangan mereka sendiri. Ramai yang melihat diri mereka sekadar orang tengah di antara majikan dan pekerja dan tidak berani menyusun sebarang aksi untuk mempertahankan hak atau kebajikan ahli mereka. Pada waktu pandemik, ramai di kalangan kepimpinan Kesatuan ini didapati cuba untuk memujuk para pekerja untuk menanggung kerugian untuk diri sendiri dan berkorban demi keuntungan syarikat.
Kebanyakan daripada pemimpin Kesatuan Sekerja yang ada hari ini sangat selesa dengan pangkat, kedudukan kewangan dan taraf sosial mereka. Mereka seringkali bergeser bahu dengan pihak majikan dan berkomplot dengan mereka untuk mengelakkan sebarang aksi industri dari para pekerja yang ditindas. Para kepimpinan kelas pekerja ini sudah lebih mirip dengan kelas majikan dan sering bertindak untuk menentang kepentingan kelas pekerja.
Bina kembali gerakan kelas pekerja yang bersejarah
Pandemik Covid-19 telah mendedahkan segala kepincangan yang ada di dalam sistem kapitalisme. Ahli-ahli politik dan kelas majikan kaya kedua-duanya membantu satu sama lain untuk menyelamatkan keuntungan dan kemewahan bagi segelintir elit seperti mereka, sambil mengabaikan nasib jutaan rakyat miskin yang sedang merana.
Kita sebagai anak muda, kelas pekerja, rakyat biasa dan penduduk miskin akan digadaikan oleh kelas kapitalis kaya dalam pandemik ini bagi menyelamatkan diri mereka sendiri. Jika rakyat tidak bersatu dan membina sebuah penentangan terhadap semua polisi-polisi kelas kapitalis dan menggantikannya dengan program rakyat yang membawa manfaat kepada semua, kelas kapitalis kaya akan menggondol segala saki baki kekayaan yang tinggal.
Jutaan anak muda, kelas pekerja dan rakyat biasa sedang mengharapkan sebuah kepimpinan rakyat yang benar-benar mampu membawa mereka keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi. Ini merupakan masa yang sesuai untuk gerakan kelas pekerja untuk mula bangkit kembali dan memimpin rakyat massa ke arah sebuah perubahan yang bermakna.
Ahli-ahli biasa kesatuan sekerja haruslah memainkan peranan jika ingin membina satu pertubuhan yang berkeupayaan untuk memenangi tuntutan kelas pekerja. Mereka harus menyertai semua aktiviti kesatuan dan mengambil peranan untuk membina kesatuan tersebut. Jika mempunyai kepimpinan yang tidak menyebelahi kepentingan pekerja, maka kepimpinan ini haruslah di cabar dan ditukar kepada ahli-ahli kesatuan yang mempunyai hala tuju perjuangan yang jelas. Pertubuhan kelas pekerja seperti MTUC harus di penuhkan dengan kepimpinan yang mempunyai komitmen untuk mengembangkan dan membina kembali gerakan-gerakan Kesatuan Sekerja. Gabungan kelas pekerja merupakan kepimpinan rakyat yang mampu membebaskan rakyat jelata dari cengkaman kapitalisme yang membinasakan.
Sosialis Alternatif
Perjuangan kelas pekerja dan rakyat biasa tidak boleh terhenti dengan hanya membawa tuntutan-tuntutan ekonomi sahaja. Walaupun kebajikan rakyat haruslah diutamakan, tetapi, pada masa yang sama, kita juga harus menyedari bahawa segala kemenangan yang diperoleh oleh rakyat biasa di dalam kerangka sistem ekonomi kapitalis adalah sangat terhad dan tidak terjamin. Sistem ekonomi kapitalisme sedang menjurus ke arah sebuah krisis yang mendalam dan telah merosot teruk akibat pandemik Covid-19. Di dalam situasi ini, para kapitalis tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa kerajaan dan ketenteraan untuk menyelamatkan diri sendiri dan mengkorbankan majoriti daripada rakyat biasa. Hakikat ini sudahpun terbongkar daripada kerenah pemimpin kapitalis dunia yang sedang mengheret seluruh umat manusia ke arah kehancuran.
Kelas pekerja tidak boleh hanya memikirkan tuntutan-tuntutan ekonomi yang akan sekadar menjadi solusi untuk jangka masa yang pendek. Bagi memastikan keberlangsungan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan untuk meletakkan keutamaan kepada keperluan rakyat biasa, ia memerlukan tuntutan-tuntutan politik yang mencabar sistem kapitalisme itu sendiri. Pandemik Covid-19 telah mendedahkan kepada dunia bahawa kelas pekerja merupakan nadi utama yang menggerakkan ekonomi dan memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat. Walaupun tanpa penglibatan CEO-CEO kaya yang lari dan menyembunyikan diri, kelas pekerja yang diistilah sebagai ‘essential’ telah membanting tulang dan mengambil risiko tinggi demi masyarakat.
Oleh itu, kelas pekerja dan rakyat biasa juga harus menuntut kawalan ke atas ekonomi dan politik negara disamping di tempat kerja. Sistem perwakilan Parlimen yang langsung tidak memberi sebarang suara dan demokrasi kepada rakyat biasa haruslah diganti dengan sistem yang menggalakkan penglibatan dari rakyat massa. Pilihan Raya untuk perwakilan rakyat haruslah diadakan di setiap tempat kerja dan komuniti setempat. Rakyat harus diberikan kuasa mutlak untuk memecat wakil rakyat pada bila-bila masa dan wakil tersebut haruslah tidak menerima gaji dan kedudukan sosial yang jauh lebih tinggi daripada seorang pekerja biasa. Kelas pekerja dan rakyat biasa, bukan para kapitalis yang harus memutuskan pengagihan kekayaan negara secara adil dan mengikut keperluan rakyat.
Sosialisme merupakan sebuah sistem ekonomi yang berpaksikan kepada keperluan rakyat biasa. Bertentangan dengan sistem kapitalisme yang dikawal oleh segelintir kapitalis elit kaya, sosialisme berpegang kepada prinsip demokrasi massa yang meletakkan kekuasaan politik di bawah pertubuhan-pertubuhan massa.
Walaupun ianya di masa hadapan, tetapi perjuangan kelas pekerja haruslah juga disertai dengan perspektif politik jangka masa panjang yang jelas. Rakyat jelata yang sudah muak mendengar janji-janji manis dari pihak politik yang akhirnya mengkhianati mereka ingin melihat sebuah kepimpinan yang berbekalkan dengan hala tuju yang jelas. Melalui gerakan kelas pekerja dan massa yang disusun sebagai strategi utama perjuangan, kesedaran rakyat biasa boleh dibina sehingga mencapai sebuah alternatif sosialisme yang akan menjatuhkan dominasi para kapitalis korup untuk selama-lamanya.