Isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara telah menjadi isu kontroversi sehinggakan pihak monarki, ahli politik dan juga beberapa organisasi alam sekitar turut mengeluarkan kenyataan dan kritikan terhadap hal ini. Penyahwartaan itu dibuat setelah keputusan dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan membabitkan kawasan seluas 536.70 hektar. Ini pada awalnya membabitkan kawasan seluas 991.90 hektar telah dikurangkan sebanyak 45 peratus.
Pada bulan Mac tahun lalu, MB Selangor Amirudin Shari memaklumkan dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara, iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor). Turut didedahkan bagaimana Titian Jutaria merupakan syarikat yang dimiliki oleh kerabat Sultan Selangor, walaupun pihak monarki Selangor telah menafikan penglibatan dalam cadangan pembangunan kawasan hutan tersebut. Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan juga Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian memberitahu bahawa syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd akan membangunkan kawasan seluas 494.7 hektar di hutan simpan tersebut.
Gabungan Indah dimiliki sepenuhnya oleh Venturescape Sdn Bhd, iaitu syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Perdana Parkcity – pemaju Desa Parkcity di Kuala Lumpur. Berikutan bantahan terhadap tindakan penyahwartaan ini, kerajaan Selangor kemudiannya meluluskan 581.48 hektar tanah di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat sebagai kawasan gantian Hutan Simpan Kekal (HSK) pada Mei lalu.
Laporan media juga mendedahkan bagaimana syarikat yang terlibat dalam proses penyahwartaan ini merupakan syarikat pembalakan yang telah menjarah kawasan perhutanan di Sarawak – yakni syarikat Samling yang ditubuhkan pada 1963 dan tertumpu kepada aktiviti pembalakan. Syarikat yang sama juga turut meluaskan skop perniagaan mereka ke sektor perlombongan, import automotif dan juga penanaman. Konglomerat syarikat ini mempunyai hubungan yang rapat dengan Taib Mahmud, yang dipertua negeri Sarawak yang membina empayar berasaskan aktiviti menjarah hasil-hasil hutan di Sarawak.
Tambahan lagi, berikutan insiden kebakaran yang berlaku pada beberapa tahun yang lepas, Hee Loy Sian menggunakan alasan bagaimana 40% daripada kawasan hutan simpan ini telah merosot kualitinya walhal penempatan orang asli di sana, telah melakukan inisiatif yang signifikan bagi membendung insiden kebakaran dalam kadar yang minimum dan pelbagai usaha dijalankan bagi memulihara hutan tersebut.
Usaha aktivis dan pejuang alam sekitar dalam pemuliharaan kualiti hutan simpan.
Laporan media Bernama sebelum ini pernah menemuramah saudara Tonjoi Pipis, yang berasal daripada suku kaum Temuan dan duduk di perkampungan Orang Asli Pulau Kempas. Dia yang juga Pengerusi Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara telah berusaha untuk memastikan proses rehabilitasi hutan tersebut berjalan secara konsisten, seperti menanam pokok Tenggek Burung di kawasan terosot, melakukan pemantauan daripada sebarang pencerobohan dan pembakaran, serta membina sekatan parit untuk menaikkan paras air dalam tanah gambut.
Khazanah alam yang berusia 8,000 tahun ini merupakan sebahagian daripada tanah adat dan menjadi sebahagian daripada kehidupan penempatan orang asli di sana. Lebih kurang 2,000 orang asli Temuan, yang tinggal berdekatan kawasan hutan simpan akan mendapat impak yang negatif daripada penyahwartaan ini. Kawasan tersebut juga merupakan satu-satunya kawasan hutan simpan yang kekal di kawasan selatan Selangor.
Jika kita rujuk kedudukan hutan simpan tersebut, kita dapat lihat bagaimana kawasan timur dan juga utara merupakan kawasan penumpuan pembangunan seperti Cyberjaya, Putrajaya, Dengkil, Puchong dan sebagainya. Kedudukannya juga bersebelahan dengan lebuh raya ELITE dan dengan itu, dari segi logik pembangunan dan perkembangan kota-kota, ianya menjadi lubuk keuntungan bagi para konglomerat dan industri pembangunan untuk meluaskan lagi kawasan persekitaran binaan yang ada. Adalah hal yang perlu bagi mereka, untuk terus membina dan menjarah kawasan-kawasan yang ada sebagai salah satu proses untuk terus mengumpulkan kekayaan dan pelaburan yang disediakan bagi mana-mana syarikat yang memerlukan ruang baru – terutamanya dari aspek komersial untuk penduduk yang berdekatan.
Persoalan yang lebih mendasar – logik pembangunan di bawah kapitalisme.
Perjuangan orang asli dan para aktivis alam sekitar kini menjadi hal yang penting, di mana hal ini berhubungan dengan persoalan yang lebih mendasar – yakni kerangka sistem kapitalisme yang secara asasnya menjadikan kesemua alam semula jadi sebagai komoditi yang dapat diguna pakai sebagai sumber keuntungan dan dijadikan sebagai hak pemilikan persendirian. Perjuangan menentang kerakusan para kapitalis yang giat menjarah alam semula jadi tidak dapat dipisahkan dengan persoalan yang bersifat sistemik dan ini memerlukan tindakan solidariti yang lebih padu daripada rakyat kebanyakan, terutamanya melalui kekuatan organisasi kelas pekerja yang berada di lingkungan kawasan tersebut. Oleh itu, perbincangan mengenai penyahwartaan hutan simpan kekal ini tidak dapat lari daripada persoalan yang lebih meluas sifatnya.
Hal ini juga bersangkut paut dengan kemerosotan alam sekitar secara umumnya, di mana alam semula jadi yang digunakan bagi membangunkan tamadun manusia tidak dilaksanakan mengikut rencana yang rasional, sebaliknya mengikut objektif dan motif keuntungan yang menyebabkan kuantiti penggunaan sumber secara maksimum. Sebagai contoh, perjuangan organisasi alam sekitar dan nelayan yang menentang proses penambakan di Pulau Pinang dan juga perjuangan orang asli suku Temuan di Perak yang menentang pembangunan penanaman dan pembalakan merupakan sebahagian daripada usaha murni bagi rakyat untuk membantah pembangunan yang tidak memberikan manfaat untuk hal ehwal kebajikan mereka. Kesemua perjuangan ini perlulah di satukan di bawah perjuangan menentang sistem kapitalisme secara menyeluruh dan melihat pembangunan yang bercanggah ini sebagai intipati asas pembangunan yang perlu dilaksanakan di bawah kapitalisme.
Walaupun kini, pihak kerajaan Selangor telah membatal keputusan penyahwartaan ini, ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah sandiwara politik bagi menjaga imej parti tersebut untuk pilihanraya yang akan datang. Tindakan yang bersifat populis ini tidak menjurus kepada persoalan yang lebih asas, yakni keadaan di mana alam semula jadi seperti tanah, hanya dilihat sebagai komoditi bagi menghasilkan keuntungan buat para kapitalis dan konglomerat.
Naratif para pejuang alam sekitar dan batas-batasnya.
Situasi ini bukanlah hal yang terasing, sebaliknya merupakan perjuangan yang terus menerus berlangsung di seluruh dunia. Di Latin Amerika contohnya, pembangunan kapitalisme yang menjarah hutan Amazon secara konsistennya ditentang oleh aktivis alam sekitar sehingga mereka dibunuh dan diugut. Pada minggu yang lepas, media-media turut melaporkan bagaimana aktivis Shakila Zen, aktivis Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) telah menerima ugutan berikutan tindakannya yang sering mengkritik tindakan dan motif syarikat yang terus menghancurkan alam sekitar. Para kapitalis mulai tercabar dengan kelantangan anak muda yang tidak lagi melihat proses pembangunan ini sebagai suatu proses yang mapan dan sebaliknya merasakan bahawa pembangunan ini, hanya akan mendatangkan malapetaka buat generasi yang seterusnya.
Persoalan mengenai pembangunan yang mapan (sustainable development) merupakan hal yang bercanggah di bawah sistem kapitalisme. Perjuangan bagi mengekalkan kualiti alam sekitar, tidak dapat diasingkan daripada persoalan aturan sistem kapitalisme secara umum dan perlu menghubung kaitkan persoalan ini seiring dengan pembangunan sektor-sektor dan juga industri-industri yang lain. Terdapat juga organisasi yang turut mengajukan pendekatan Ecological Fiscal Transfer, iaitu sebuah pendekatan pengagihan kekayaan kepada negeri-negeri yang sedang melaksanakan inisiatif untuk melindungi alam sekitar di kawasan mereka.
Walaubagaimanapun, kami berhujah bahawa inisiatif ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya, berikutan susun atur dan peranan alam semula jadi di bawah kapitalisme itu sendiri. Ya, memang terdapat naratif para pejuang alam sekitar yang cuba untuk menyediakan pelbagai bentuk jalan penyelesaian yang mapan, namun di bawah kapitalisme, pendekatan ini tidak dapat lari daripada dominasi motif keuntungan yang menjadi dasar kepada kesemua produksi yang berlangsung ketika ini. Pastinya ketamakan para pemaju ataupun para konglomerat yang sudah lama menjarah hasil sumber alam semulajadi, akan terus mencari cara untuk meningkatkan kadar keuntungan mereka dan para ahli politik arus perdana ketika ini, yang terperangkap dengan permainan para pemodal, akan ditekan dan dipaksa untuk memihak kepada kepentingan golongan yang melobi mereka. Inovasi-inovasi dan strategi pengekalan kualiti alam sekitar tidak dapat lari daripada prospek dan peluang untuk memastikan ekonomi kapitalisme terus terpelihara.
Pakatan Harapan dan projek pembangunan yang menentang hasrat komuniti tempatan.
Pada lima tahun yang lepas, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Azmin Ali telah meluluskan penyahwartaan hutan simpan bagi membina infrastruktur lebuh raya DUKE, DASH dan SKVE. Pembinaan lebuh raya ini ditentang oleh penduduk yang mengalami impak daripada pembangunan ini, merangkumi seramai 42 ribu penduduk daripada 20 komuniti yang berbeza. Ironinya Elizabeth Wong, yang menentang penyahwartaan hutan simpan ketika ini membela tindakan pimpinan kerajaan Selangor pada lima tahun lepas, dengan alasan bahawa projek lebuhraya tersebut merupakan kesinambungan daripada perancangan kerajaan sebelum ini. Walhal kerajaan Selangor di bawah pimpinan Azmin Ali mempunyai peluang untuk membatalkan projek tersebut, kerana pengurusan negeri di bawah kawalan penuh kerajaan Selangor.
Pada tahun 2016, komuniti yang mendapat impak daripada pembangunan ini telah bergabung usaha bagi menentang infrastruktur tersebut dan telah menyusun tenaga bagi menghalang kelulusan pembinaan lebuh raya ini. Usaha bagi menyatukan kesemua penduduk secara kolektif ini merupakan titik permulaan bagi perjuangan yang lebih besar dan seharusnya dipuji usaha-usaha yang dilakukan oleh rakyat biasa. Namun malangnya, inisiatif yang dilakukan oleh komuniti ini menemui jalan buntu apabila usaha yang disusun oleh mereka ini hanya bergantung kepada wakil rakyat yang dikawal oleh kepentingan para pemodal.
Astro Awani melaporkan bagaimana Rafizi Ramli diasak oleh komuniti yang membantah pembinaan lebuh raya tersebut. Kira-kira 100 penduduk Selangor ketika itu mengemukakan memorandum bagi membantah pembinaan tiga projek lebuh raya iaitu SUKE, DASH dan juga EKVE. Rafizi kononnya akan membawa perkara itu peringkat parlimen agar semua projek dimansuhkan dan berkata mengenai keperluan untuk mencari jalan penyelesaian lain iaitu model pengangkutan yang lebih berkesan dan lebih murah. Namun usaha komuniti ini tidak diendah dan sekarang, lebuhraya yang dinyatakan tadi sudah dibina dan ada yang sudah dibuka untuk kegunaan ramai. Dalam beberapa tahun ini juga, terdapat beberapa kes kematian yang disebabkan oleh pembinaan lebuh raya ini – yang mewujudkan keadaan yang tidak selamat untuk para pekerja yang terlibat dan para pengguna jalan raya.
Tambahan lagi, projek lebuh raya kontroversi sebelum ini, iaitu KIDEX yang pernah dibatalkan sebagai jalan politik bagi memecat menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim sebelum ini juga akan dimulakan semula. Difahamkan, Lembaga Lebuhraya Malaysia akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan cadangan penswastaan Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), lebuh raya sepanjang 34 km yang dilihat sebagai perubahan kecil projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dibatalkan pada tahun 2015 disebabkan bantahan hebat daripada penduduk.
Apakah alternatif pembangunan yang ada dan apakah hala tuju rakyat ketika ini?
Pelbagai aktivis alam sekitar dan NGO yang membantah pembangunan seperti ini, yang menghancurkan kualiti alam sekitar dan akan memberi impak negatif terhadap bumi kita – perlu mengajukan sebuah alternatif yang mapan dan dapat memastikan kualiti kehidupan masyarakat kekal terjamin. Namun dengan tidak menghubungkan permasalahan ini dengan aturan sistem kapitalisme secara total, telah menyebabkan mereka tidak berjaya untuk melihat keseluruhan isu ini secara penuh – terutamanya berkaitan dengan motif keuntungan yang menjadi dasar kepada objektif pembangunan negara selama ini.
Sebagai contoh, pembangunan infrastruktur lebuh raya yang dikatakan dapat mengurangkan kesesakan trafik tidak mengambil kira industri-industri yang berkaitan dengan pembangunan ini – seperti industri pembinaan, industri automotif dan juga syarikat swasta yang mengelola lebuh raya di sekitar negara. Kesemuanya ini berkait rapat antara satu sama lain dan bergerak di bawah satu logik yang sama, iaitu ke arah penghasilan keuntungan yang maksimum dan melihat alam semula jadi yang dapat dijadikan komoditi tersebut, hanya sebagai sarana bagi mengaut keuntungan semata-mata. Begitu juga dengan cadangan pembangunan yang menjadi asas kepada tindakan penyahwartaan hutan simpan Kuala Langat Utara, di mana cadangan pembangunan campur yang merangkumi aspek komersial dan juga perumahan merupakan hal yang bercanggah dengan realiti bangunan-bangunan yang tidak terjual dan mencecah berpuluh-puluh bilion ringgit ketika ini.
Situasi pemanasan global dan perubahan iklim yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh ketamakan dan kerakusan segelintir pengusaha perlu dibendung. Pembangunan yang tidak dirancang berteraskan keperluan rakyat majoriti dan generasi-generasi yang bakal mewarisi dunia kita selepas ini bakal menghadapi sebuah realiti yang tidak selamat dan benar-benar membimbangkan.
Rakyat biasa harus diberikan kuasa untuk menentukan hala tuju pembangunan yang berteraskan keperluan majoriti rakyat dan bukannya berpaksikan keuntungan syarikat kapitalis yang sedang giat menggondol sumber alam tanpa memikirkan impak pada masa hadapan. Kita berhujah bahawa ini memerlukan sebuah politik alternatif yang tidak berpihak kepada agenda keuntungan para kapitalis. Antara tuntutan yang di bawa oleh organisasi Sosialis Alternatif, seperti apa yang dihujah melalui artikel perihal pembinaan lebuh raya pada 5 tahun yang lepas, adalah dengan mengadakan semula pilihanraya Ahli Majlis tempatan bagi memilih ahli majlis yang sesuai dan mewakili kepentingan masyarakat setempat. Ketika ini, ahli majlis yang dipilih oleh kerajaan negeri menjadi pak turut birokrasi atasan.
Tambahan lagi, gerakan bagi memastikan alam sekitar dijaga secara mapan perlu menghubungkan gerakan ini dengan gerakan buruh secara menyeluruh. Sebagai contoh, industri persekitaran binaan, lebuh raya dan juga automatif perlu bergabung tenaga bagi menentukan hala tuju pembinaan negara yang tidak bercanggah dengan kepentingan rakyat majoriti, di kawal dan dirancang secara demokratik oleh kelas pekerja. Begitu juga dengan pekerja yang terlibat di dalam Majlis Perbandaran di kawasan setempat, perlu mengambil tanggungjawab dengan bekerjasama bagi gerakan rakyat setempat yang menentang pembangunan sebegini rupa. Dengan ini, rencana pembangunan dan inovasi yang terhasil olehnya, dapat mewakili kepentingan rakyat secara umum dan segala impak dapat dikawal secara baiknya.
Demokrasi rakyat yang kukuh merupakan pertahanan yang paling berkesan bagi kelas pekerja dan rakyat biasa. Sebuah perspektif yang dapat menghubungkan masalah yang sedang kita bincangkan, dengan aturan kapitalisme secara menyeluruh perlu diajukan sebaik mungkin bagi menghalang kemerosotan alam sekitar yang sedang berlaku ketika ini. Ini kemudiannya menjurus kepada alternatif kepada aturan sistem sedia ada, iaitu ke arah perubahan sosialisme dengan mengawal dan mengatur pembangunan berteraskan kemapanan keseluruhan alam secara total.