Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Selepas kilang-kilang gergasi mula ditutup akibat keadaan ekonomi yang tidak stabil, kini industri Teknologi Maklumat atau lebih dikenali sebagai IT juga telah mula menjadi lemah apabila beberapa syarikat besar sudah bersiap untuk memindahkan operasi mereka ke negara lain. Pada hujung tahun lepas, hampir 1000 orang pekerja IT di Cyberjaya telah kehilangan kerja dengan penutupan syarikat IT dari Germany, T-Systems. Pada tahun ini pula, salah sebuah syarikat multinasional IT yang terbesar di dunia, IBM, juga membuat keputusan untuk menutup segala operasi mereka di Malaysia bermula akhir bulan Mei 2021. Seramai 3000 pekerja akan kehilangan punca pendapatan mereka akibat penutupan ini. 

Pemulihan ekonomi atau kemurungan yang berpanjangan?

Walaupun pihak kerajaan sedang menjanjikan sebuah pemulihan ekonomi yang lancar pada tahun ini, berita-berita penutupan kilang dan syarikat multinasional yang mengakibatkan kehilangan kerja bagi ribuan pekerja juga mewujudkan keraguan terhadap kebolehan kerajaan untuk mengemudi keadaan kemurungan ini dengan berkesan. Walaupun Program Imunisasi Nasional sudahpun dilancarkan dan sebahagian daripada rakyat sudahpun di vaksin, ia masih tidak menghalang syarikat-syarikat besar untuk menutup operasi mereka dan berpindah ke negara yang dapat menawarkan kos yang lebih rendah.

Cyberjaya merupakan salah satu komponen utama dalam Wawasan 2020 dan projek Koridor Raya Multimedia yang menjanjikan sebuah ekonomi yang mantap dan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi bagi anak muda. Walaupun projek ini dimulakan oleh bekas PM Mahathir Mohammad, semua PM yang datang selepas itu juga mempergunakan janji ini untuk meraih harapan dan undi dari rakyat biasa. IBM sendiri telah membawa pelaburan sebanyak RM1 bilion pada 2011 di bawah naungan bekas PM Najib Razak yang mengumumkan bahawa pelaburan ini akan menghasilkan sebanyak 3000 tenaga kerja mahir di Cyberjaya. Kini, beribu-ribu pekerjaan di Cyberjaya sudah hilang dan kebanyakan daripada ‘pekerja mahir’ tersebut tidak mempunyai peluang pekerjaan yang sesuai untuk kemahiran mereka. 

Pada waktu ini, kedua-dua Wawasan 2020 dan Koridor Raya Multimedia sedang menjurus ke arah kegagalan. Tetapi, kegagalan ini tidak berpunca hanya daripada pandemik Covid-19 dan kegagalan kerajaan dunia dalam menangani krisis ini dengan cepat. Malah hakikatnya, projek-projek besar ini sebenarnya tidak membawa sebarang harapan kepada kelas pekerja di Malaysia dari awal lagi. Walaupun semua kepimpinan kerajaan untuk 30 tahun lepas telah menjanjikan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat biasa, sebenarnya mereka lebih mengutamakan keuntungan para pemodal dan golongan elit kaya daripada kesejahteraan rakyat biasa. 

Motif keuntungan syarikat swasta membinasakan para pekerja dan rakyat

Segala infrastruktur yang di bina di Cyberjaya merupakan hasil duit cukai rakyat biasa dan usaha tenaga pekerja yang sanggup menerima gaji yang tidak setimpal dengan kerja mereka. Bukan sekadar itu, malah jutaan para pekerja asing juga telah di eksploitasi dalam usaha untuk menjayakan projek kerajaan tersebut. Dengan menggunakan infrastruktur tersebut dan tenaga kerja yang murah sebagai umpan, pihak kerajaan telah memancing pelaburan-pelaburan gergasi untuk mendirikan syarikat mereka di sini untuk menjana keuntungan yang lumayan. 

Tetapi, syarikat-syarikat IT yang melabur di Malaysia tidak membawa teknologi-teknologi yang canggih ke Malaysia untuk mewujudkan tenaga kerja yang mahir. Kebanyakan daripada syarikat ini mendirikan Pusat Perkhidmatan Bersama (Shared service centre) yang hanya menguruskan tugasan-tugasan yang mudah seperti membuat pemasaran melalui talian, menjawab soalan pelanggan melalui talian, membuat kerja menyusun data, menguruskan jadual kerja pekerja di negara lain dan sebagainya. Jutaan anak muda yang mengabiskan duit orang tua mereka di institusi pengajian IT dan memperoleh kemahiran yang tinggi akhirnya terpaksa berkerja sebagai pekerja biasa dengan gaji yang rendah. 

Majoriti daripada anak muda yang menyertai industri IT ini hanya ditawarkan gaji minimum dan tidak mempunyai sebarang prospek untuk menggunakan dan kembangkan kemahiran mereka. Hakikatnya, kebanyakan daripada kerja yang ditawarkan di dalam industri IT tempatan tidak memerlukan sebarang kemahiran yang terperinci dan ramai graduan dari industri yang berbeza juga merebut sebarang peluang pekerjaan yang wujud di industri ini. Oleh sebab itu, pengangguran di kalangan anak muda, terutamanya dari industri IT sedang meningkat mendadak. 

Hari ini, dengan kemurungan ekonomi yang berpanjangan, semakin ramai graduan dari sektor IT ataupun industri lain sedang terpaksa menjadi penghantar makanan di Foodpanda, penghantar barangan J&T atau pemandu Grabcar. Industri ‘gig’ dan sektor logistik dan penghantaran merupakan satu-satunya industri yang masih sedang berkembang di Malaysia. Oleh sebab itu, industri ini juga menjadi sesak dengan jutaan pekerja yang merebut untuk saki baki peluang pekerjaan yang tinggal. Para kelas majikan pula mempergunakan situasi ini untuk menindas pekerja mereka yang sedang dalam keadaan terdesak untuk mencari punca pendapatan. Mogok pekerja J&T yang menjadi berita sensasi di seluruh Malaysia baru-baru ini merupakan cerminan kepada penindasan yang wujud bagi anak muda dan kelas pekerja di negara ini. 

Kepincangan sistem ekonomi kapitalis terdedah

Penutupan operasi IBM dan syarikat IT lain mendedahkan kelemahan sistem ekonomi yang bergantung kepada pelaburan dari kapitalis asing dan tempatan. Walaupun IBM hanya mula beroperasi di Cyberjaya pada tahun 2011, tidak sampai 10 tahun ia sudahpun menggulung tikar dan beredar untuk mencari keuntungan yang lebih lumayan. Bagi syarikat-syarikat gergasi seperti IBM, kos tenaga kerja merupakan sangat penting dan sumber utama bagi keuntungan mereka. Semakin rendah gaji pekerja, semakin banyak keuntungan mereka dan sebaliknya. Ini merupakan motivasi sebenar di atas keputusan syarikat-syarikat besar untuk berpindah ke negara-negara membangun untuk mencari tenaga kerja yang lebih murah. 

Akibat peningkatan inflasi dan kenaikan harga barangan dan perumahan di Malaysia, terutamanya di bandar-bandar utama, kelas pekerja sedang semakin terdesak untuk menuntut gaji yang lebih tinggi bagi menampung kehidupan mereka. Mengambil kira inflasi dan kenaikan harga barangan, kelas pekerja di Malaysia tidak mengalami sebarang kemajuan dalam jumlah pendapatan mereka dalam lebih dari 10 tahun. Malah, ramai yang sedang semakin miskin dan tidak mempunyai sebarang jaminan pendapatan yang kukuh dan simpanan yang sewajarnya. Oleh itu, memandang situasi ini, beberapa syarikat korporat gergasi sedang melihat kepada negara-negara seperti India dan Vietnam – yang mampu menyediakan tenaga kerja yang lebih murah daripada Malaysia – sebagai destinasi seterusnya untuk mengaut keuntungan.  

Walaupun keuntungan bernilai berbilion-bilion Ringgit telah dijana hasil usaha pekerja dan rakyat biasa selama ini, segala keuntungan dan kekayaan tersebut akan dibawa keluar dengan begitu sahaja, meninggalkan ribuan pekerja di Malaysia tanpa sebarang sokongan. Seperti biasa, kerajaan kita yang menabur segala janji-janji manis juga akan berdiam diri dan membenarkan syarikat ini untuk melakukan sesuka hati mereka. 

Kerajaan tidak berupaya untuk membawa penyelesaian

Janji-janji kerajaan merupakan sebuah percanggahan yang tidak serasi dengan kenyataan ekonomi dunia dan tempatan yang dikawal oleh para kapitalis. Janji untuk mewujudkan ekonomi bergaji tinggi (high income economy) misalnya merupakan sebuah khayalan semata-mata dan ianya bercanggah dengan kemahuan kelas kapitalis yang melabur di sini. Bagi kelas kapitalis, sejurus gaji pekerja mula meningkat dan apabila mereka tidak berupaya untuk memeras tenaga kerja secara paksa, mereka akan berpindah untuk mencari mangsa baru. Oleh itu, sebuah ekonomi yang didirikan melalui keinginan kelas majikan dan kapitalis kaya tidak akan membawa kepada peningkatan kualiti kehidupan dan gaji bagi pekerja biasa. Kelas kapitalis yang memindahkan operasi mereka ke India atau Vietnam pada waktu ini juga tidak akan teragak-agak untuk berpindah ke negara lain sejurus mereka mendapat peluang untuk membuat keuntungan yang lebih. Ini merupakan logik di sebalik sistem ekonomi ini yang akan sering memangsakan rakyat biasa demi kemakmuran segelintir elit kaya. 

Sebuah laporan dari Pertubuhan Badan-badan Bersatu baru-baru ini mendedahkan bahawa pelaburan asing (FDI) di Malaysia telah jatuh sebanyak 68% pada tahun lepas. Ini merupakan 2 kali ganda kadar kejatuhan FDI di negara-negara lain di rantau ini. Singapura, Indonesia dan Vietnam telah menggondol 80% daripada FDI di rantau Asia Tenggara dan Malaysia hanya mendapat 5%. Ini juga bukanlah akibat pandemik Covid-19 semata-mata dan sememangnya Malaysia sedang mengalami pengurangan pelaburan asing untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2017, Malaysia berada di tangga kedua selepas Singapura dalam jumlah pelaburan asing yang diperoleh. Kini, ia sedang bersaing dengan Filipina untuk tangga keempat. 

Keadaan kemurungan ekonomi global sedang membawa kemalangan dan kesengsaraan kepada ratusan jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa dunia. Tetapi, keadaan ini juga sedang membuka mata dan menawarkan peluang kepada kelas pekerja sedunia untuk menyedari mengenai ketempangan sistem ekonomi ini yang hanya membawa penderitaan kepada rakyat massa. Walaupun setiap hari berlalu membawa penderitaan kepada majoriti daripada rakyat biasa, golongan elit kaya dan kelas kapitalis yang merupakan kurang daripada 1% daripada populasi dunia sedang menikmati peningkatan kekayaan dan sedang bersorak kegembiraan. 

Bina perjuangan kelas pekerja dan rakyat tertindas untuk menentang sistem kapitalisme

Bagi kelas pekerja, anak muda dan rakyat yang mendapat kesedaran melalui pengalaman pahit ini, mereka juga harus sedar bahawa ini juga merupakan peluang keemasan untuk menentang sistem ekonomi kapitalis yang rakus dan membina sebuah perjuangan untuk menggantikan sistem ini dengan sistem yang mengutamakan kesejahteraan rakyat majoriti daripada keuntungan peribadi segelintir elit kaya. Rakyat massa dan kelas pekerja yang tidak mempunyai sebarang jalan keluar daripada krisis ekonomi yang sedang dihadapi haruslah berganding bahu dengan semua rakyat tertindas yang lain dan memperjuangkan aspirasi dan hak kita bersama.  

Sistem ekonomi sosialis yang mendahulukan rakyat biasa, memberikan kawalan ekonomi kepada kelas pekerja, membawa demokrasi tulen kepada rakyat biasa untuk membuat keputusan dan mengutamakan kebajikan rakyat tertindas merupakan satu-satunya solusi kepada krisis dunia yang sedang dihadapi oleh umat manusia. Oleh itu, anak muda dan kelas pekerja yang sedar haruslah berganding bahu dengan semua perjuangan rakyat yang ada untuk mewujudkan sebuah kepimpinan politik yang mampu untuk memperjuangkan sebuah alternatif sosialis bagi rakyat. Melalui program rakyat yang tepat dan perspektif untuk menentang dominasi para kapitalis ke atas ekonomi dunia, kepimpinan ini boleh membina perjuangan rakyat untuk mencapai sebuah alternatif sosialis yang bukan sahaja akan menyelamatkan dunia ini dari ancaman kapitalisme, malah akan menyatukan umat manusia untuk menangani segala krisis yang dihadapi bersama. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *