Berjuang menentang terrorisme, keganasan, peperangan dan kemiskinan !
Berpuluh-puluh orang mati atau tercedera dan rakyat Belgium berada dalam kejutan berikutan serangan pengganas di lapangan terbang Zaventem dan stesen metro Maelbeek di Brussels pada 22 Mac lalu. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan rakan-rakan mereka.
Mangsa, sekali lagi, adalah dari kalangan orang-orang biasa. Keganasan kejam yang bersifat rawak ini benar-benar menyedihkan. Pihak berkuasa telah menutup seluruh bandaraya Brussels dan mengisytiharkan kecemasan. Beribu-ribu rakyat masih terperangkap di ibu kota itu dan dalam keadaan kebimbangan tentang keselamatan anak-anak dan saudara-mara mereka.
Solidariti
Sama seperti selepas serangan ke atas Charlie Hebdo, atau serangan pada November lalu di Paris, tanda-tanda perpaduan antara rakyat biasa jelas kelihatan di mana sahaja. Seperti pemandu teksi yang menawarkan perkhidmatan percuma. Ramai warga Brussels telah membuka rumah kepada mereka-mereka yang terkandas akibat kelumpuhan pengangkutan awam. Terdapat satu suasana solidariti yang luar biasa, sama seperti selepas setiap bencana yang berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Kemungkinan besar, pengganas-pengganas yang bertanggungjawab keatas serangan ini adalah daripada ISIS yang juga pada masa yang sama sedang melancarkan kempen keganasan terhadap penduduk di Iraq dan Syria.
Dasar luar negara kerajaan kapitalis Belgium itu sendiri menyumbang dalam menambah risiko serangan daripada para pengganas. Berdasarkan keputusan kerajaan, tahun ini, Belgium akan memulakan campur tangan ketenteraan di Syria, sama seperti yang berlaku sebelum ini di Iraq dan Afghanistan.
Pengeboman ke atas Syria cuma akan meningkatkan kadar kematian di kalangan rakyat biasa yang tidak bersalah dan situasi ini sama sekali tidak menguntungkan mana-mana pihak. Kedua-dua pihak akan menjadi mangsa keganasan seperti yang telah berlaku.
Peperangan-peperangan ini hanya menguntungkan golongan atasan dan jutawan yang ingin menjamin penguasaan sumber alam di Timur Tengah dan juga demi kelebihan geopolitik. Walau bagaimanapun, mangsa peperangan ini adalah sentiasa dari pihak kami: pekerja, rakyat biasa, anak muda, tidak kiralah di Eropah atau di Timur Tengah.
Pada masa ini, ‘Parti Socialiste de Lutte’ ( organisasi CWI di Belgium ) sedang menyeru semua kesatuan sekerja, pekerja dan anak-anak muda untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang penyertaan Belgium dalam perang di Syria dan hasrat mereka untuk membeli beberapa pesawat pejuang.
Untuk beberapa hari yang akan datang, wakil kesatuan sekerja dan aktivis perlu membantu menganjurkan perbincangan kolektif, terutamanya di tempat-tempat kerja sambil berhujah untuk sebuah gerakan pekerja menentang keganasan, perkauman, dan kemiskinan.
Krisis
Seperti yang diketahui, sistem kapitalisme sedang menghadapi sebuah krisis yang teruk. Krisis-krisis sosial dan ekonomi yang muncul akibat kegagalan sistem ini menyediakan ruang untuk perkembangan kuasa-kuasa reaksioner, termasuk golongan pengganas yang melakukan serangan terbaru ini.
Kami berjuang untuk sebuah dunia di mana segala kekayaan yang kini tertumpu di tangan minoriti yang sangat kecil itu digunakan untuk keperluan majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa. Dengan itu, kita boleh sama sekali membasmi segala jenis kemiskinan, kesengsaraan, peperangan, kebencian dan keganasan.
Parti Socialiste de Lutte (CWI Belgium)
Analisa tambahan mengenai pengeboman di Brussels dan hala tuju kelas pekerja dalam menentang keganasan, peperangan dan kemiskinan akan disiarkan di laman web kami dalam beberapa hari yang akan datang…