Penerbitan
Solidariti Pekerja
Melalui Penerbitan Solidariti Pekerja, kami di Sosialis Alternatif menyajikan karya-karya yang terlahir dari keperluan yang mendesak bagi memperjelaskan apa yang kami perjuangkan, dan apa yang mesti dibangunkan demi mengukuhkan politik pekerja yang berkuasa dengan diri sendirinya.
Akhbar, risalah, buku, dan setiap terbitan kami tidak bertujuan menyampaikan maklumat semata-mata, tetapi dengan matlamat untuk menjadi cahaya yang menerangi jalan pembebasan kelas pekerja, mengukuhkan pemahaman akan cita-cita sosialisme serta jalan dan strategi untuk mencapainya. Antara keseimbangan teori dan amalan, terletaknya bimbingan ke arah sosialisme.
Setiap ringgit yang diterima daripada jualan digunakan oleh kami untuk membangunkan gerakan pekerja untuk mengambil alih kuasa secara demokratik. Tempah mana-mana terbitan kami melalui borang pesanan kami.
AKHBAR PEKERJA
ISU TERKINI
SP33 || Solidariti Pekerja
Isu #33 (Okt–Dis 2025)
Harga: RM3 / RM5 (solidariti)
PENGENALAN
Akhbar Solidariti Pekerja adalah pelantar pembinaan perjuangan rakyat. Suara pekerja perlu diangkat sebagai langkah ke arah pembinaan kuasa politik yang mandiri. Langganan yang akan anda lakukan ini – bukan hanya meletakkan anda sebagai pembaca, tetapi sebagai rakan seperjuangan yang memahami kepentingan matlamat organisasi kami. Bersama-sama kita berjuang mengangkat kepentingan pekerja, satu langganan pada satu masa.
ISU SEBELUM INI
SP32
Feb–Apr 2025
Isu lama percuma untuk dibaca sepenuhnya. Kami hanya menyediakan isu yang terdahulu, seperti di atas. Hubungi kami jika anda memerlukan PDF mana-mana isu yang lalu.
ISU DAHULU
Bukan sekadar berita, tetapi analisa kritikal berdasarkan perspektif kelas.
Isi Kandungan
oleh Qira
Pada Ogos yang lepas 12 parti-parti pembangkang yang terdiri dari Bersatu, Gerakan, Pejuang, MUDA, MIPP, Putra, Berjasa, PSM, MAP, IMAN dan Urimai — organisasi yang belum didaftarkan secara rasmi sebagai parti, telah mengadakan pertemuan.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengumpulkan parti-parti pembangkang berkata tujuan pertemuan diadakan untuk menubuhkan sebuah gabungan longgar bagi memperjuangkan isu rakyat yang didakwa gagal ditangani Kerajaan Madani. Termasuk janji reformasi yang masih belum dilaksanakan. PAS walau bagaimanapun tidak menghantar wakil dalam pertemuan. Langkah-langkah politik ini juga dapat dilihat melalui perhimpunan #turunAnwar yang dianjurkan oleh parti pembangkang Julai yang lalu…
oleh Sidang Editorial
Kelas pekerja sedang ditimpa musibah sosio-ekonomi yang semakin teruk. Inflasi telah menyebabkan kelas pekerja di Malaysia bergelut menghadapi kenaikan harga barangan asas. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Marzunisham Omar menyatakan bahawa kelas pekerja membelanjakan 52% daripada pendapatan mereka untuk keperluan asas. Walaupun kerajaan mengumumkan kadar inflasi di Malaysia telah menurun kepada 1.8% pada 2024 (daripada 2.5% tahun sebelumnya), namun harga barang terus meningkat. Indeks Harga Pengguna (CPI) naik daripada 130.4 kepada 132.9, menandakan ketidakmampuan rakyat untuk terus membeli komoditi yang dihasilkan. Harga barang keperluan asas seperti makanan, sewa rumah, dan keperluan harian tidak pernah berhenti meningkat. Contohnya, sejak 2010, harga ikan dan makanan laut meningkat sebanyak 3.6% setahun, sayur-sayuran 3.2%, dan susu serta telur pula meningkat sebanyak 2.7%.
Malangnya, kenaikan gaji pekerja tidak mengikuti kadar inflasi dan kenaikan kos hidup…
oleh Sosialis Alternatif dan Solidariti Pekerja
Pada 27 Julai hingga 31 Julai yang lalu, Sosialis Alternatif Malaysia telah menghantar 2 ahli untuk menghadiri Kongres Dunia ke-14 Committee for a Workers International (CWI) yang diadakan di Berlin.
Kongres telah menghimpunkan delegasi, ex-officio, dan tetamu dari seluruh dunia. Terdapat 24 delegasi, 28 wakil ex-officio, 28 tetamu CWI, dan 14 pelawat dari organisasi sosialis lain…
oleh Z
Kelas Pekerja di Malaysia kini berada dalam kemelut demi kesinambungan hidup dalam krisis ekonomi kapitalisme global yang semakin ketara.
Inflasi melonjak, upah kekal rendah, perlindungan sosial yang tidak stabil, dan beban sara hidup yang semakin meningkat. Namun, dalam suasana genting ini, institusi yang sepatutnya menjadi pembela utama kelas pekerja, iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), terus tenggelam dalam kemelut dalaman yang memalukan…
oleh Ilyas Husin
Cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semua Bandar (URA) yang telah dibentangkan buat pertama kali pada 21 Ogos yang lepas telah mencetuskan perdebatan hangat dan kontroversi. Akta ini kononnya dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian untuk “membangunkan atau menghidupkan semula” perumahan di kawasan bandar yang sudah pun usang. Hal ini mempunyai kepentingan yang terselindung, bertujuan untuk merancakkan pembangunan hartanah premium di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai kawasan “perumahan-perumahan lama” yang usang dan terbengkalai…
oleh Qira
Kelas pekerja wajar menolak cadangan Menteri Perundangan dan Reformasi Institusi Azalina Othman untuk meningkatkan usia bersara dari 60 ke 65 tahun. Di sebalik cadangan ini tersirat alasan untuk menepis krisis hari tua yang semakin mengancam masa hadapan negara…
oleh Qira
Solidariti Pekerja mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa Zara Qairina dan turut bersolidariti dalam usaha untuk menegakkan keadilan untuk Zara Qairina. Bagi kami pemergian seorang anak yang cukup disayangi dan pelajar yang berpotensi di sekolah disebabkan buli, atau apa jua keadaan yang berisiko sehingga meragut nyawa seharusnya dapat dielakkan sejak dari awal…
oleh Liam
Cukai SST Sales and Service Tax iaitu cukai perniagaan dan servis telah bermula sejak 1 Julai yang lalu. Cukai jualan akan dikenakan ke atas barangan secara berperingkat — kadar 5% untuk barangan terpilih dan 10% untuk barangan mewah serta barangan bukan keperluan.
Sementara itu, cukai perkhidmatan telah dinaikkan daripada 6% kepada 8% dan diperluaskan kepada kategori baru seperti logistik, penyewaan komersial, penyelenggaraan seperti bangunan komersial, pendidikan swasta, dan perkhidmatan peribadi…
oleh Qira
Petronas yang merupakan syarikat terbesar kerajaan Malaysia harus di hak milik raykatkan di bawah pengurusan demokratik kelas pekerja. Objektif syarikat yang mengutamakan keuntungan daripada permintaan dalam pasaran bebas menjadi punca terhakisnya Petronas yang cukup dibanggakan satu ketika dahulu. Ini menekankan keperluan yang mustahak untuk menghapuskan objektif yang berasaskan sistem kapitalis dan menggantikannya dengan objektif untuk memenuhi kehendak dan keperluan rakyat. Seperti pengagihan subsidi untuk menambah baik infrastruktur awam, membekalkan tenaga asas untuk keperluan masyarakat dan hak bagi kelas pekerja untuk peluang pekerjaan serta kemahiran…
oleh Ilyas Husin
Pada Oktober 2024, syarikat tekstil gergasi Indonesia — PT Sri Rejeki Isman (Sritex) — telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Indonesia. Kemuflisan ini mencetuskan gelombang pemberhentian kerja serta-merta yang melibatkan lebih 10,000 hingga 11,000 pekerja, majoritinya dari kalangan kelas pekerja wanita. Namun jumlah sebenar yang terkesan diyakini jauh lebih besar, kerana Sritex merupakan pusat kepada ekosistem ekonomi yang luas di Jawa Tengah. Dengan rangkaian pembekal, kontraktor dan perniagaan kecil yang bergantung padanya, jumlah keseluruhan mereka yang kehilangan punca rezeki mungkin sahaja mencecah seramai 50,000 pekerja…
oleh Kelvin
“Suara pekerja yang selama ini dibisukan” merupakan tema perhimpunan yang telah dianjurkan Persatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) dan disertai oleh lebih seribu ahli di hadapan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei yang lalu.
Tema yang dibawa dalam perhimpunan bukan sekadar simbolik, tetapi satu ekspresi yang menunjukkan penindasan majikan menggunakan taktik kotor untuk membisukan suara pekerja yang menuntut dan melampaui batas hak berkesatuan…
oleh Ilyas Husin
Di Alor Setar, kilang yang telah dibuka semenjak tahun 1979 telah ditutup sepenuhnya. Kilang yang telah beroperasi selama 46 tahun ini memberhentikan 950 pekerja, yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja operator. Malangnya kilang perindustrian yang selama ini menjadi nadi kehidupan buat kelas pekerja di Kedah tidak dapat lari daripada tekanan krisis ekonomi yang berlaku ketika ini…
oleh Qira
Sambutan Hari Pekerja 2025 menyaksikan satu lonjakan besar selepas kerajaan Sabah dan Sarawak mengumumkan penyelarasan Ordinan Buruh negeri tersebut dengan Akta Buruh 1955. Perubahan akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2025. Berikut maklumat ringkas perubahan yang telah dilaksanakan.
Majikan yang melanggar undang-undang buruh boleh dikenakan tindakan denda tidak kurang dari RM10,000 untuk setiap kes pekerja ataupun penjara paling kurang 2 tahun jika gagal memberikan kerjasama.
Perubahan ini harus disambut baik oleh pekerja, persoalannya kini adalah pelaksanaan oleh kelas majikan dan penguatkuasaan kerajaan terhadap majikan yang enggan memberi kerjasama…
oleh Liam
Pada 15 ke 25 Mei yang lalu seramai 190 pekerja Bangladesh di kilang acuan sarung tangan Mediceram Sdn Bhd di Nilai telah melancarkan aksi mogok.
Mereka menuntut bayaran gaji yang tidak dibayar, pemulangan penuh yuran pengambilan pekerja yang sangat tinggi, dan menghentikan intimidasi daripada majikan terhadap pekerja…
oleh Qira
Pada Julai yang lalu, ribuan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik menggunakan bas terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan beberapa lokasi hentian bas utama untuk ke Singapura, apabila kira-kira 100 pemandu bas mogok.
Menurut laporan, tindakan mogok pemandu bas adalah disebabkan penyelarasan gaji baharu syarikat yang dilihat menganiaya pemandu…
oleh Fel
PTPTN telah mencecah hampir RM40 bilion sejak awal 2025, dengan RM11 bilion diklasifikasikan sebagai tertunggak.
… Ketua Audit Negara … mencadangkan agar PTPTN mengetatkan kaedah kutipan bagi meningkatkan kadar bayaran balik pinjaman.
Pada 11 April 2025 dalam sesi “Temu Anwar” di UIAM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa isu ini boleh ditangani jika keluarga berpendapatan tinggi dikenakan cukai yang lebih besar…
oleh Liam
Loji insinerator di Batu Arang dikatakan membakar 2,400 tan sisa sehari daripada enam pihak berkuasa tempatan…
Penduduk setempat melihat projek ini bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, tetapi juga risiko kesihatan yang lebih mudarat.
Menurut kajian, bahan yang dilepaskan daripada insinerator yang membakar sisa pada suhu yang tinggi menghasilkan zarah halus, logam berat, serta bahan toksik seperti dioksin dan furan yang boleh tersebar melalui udara. Bahan mudarat ini bole meningkatkan risiko kanser, penyakit pernafasan kronik, dan kerosakan sistem imun…
RISALAH / BUKU
Karya terkini
#R001 || 55 Tahun Selepas Peristiwa 13 Mei
oleh Yuva Balan (2024)
Harga: RM5 / RM10 (solidariti)
Bahasa lain: English, 华语
SINOPSIS
Persoalan rasisme di negara kita tidak dapat dipisahkan daripada peristiwa tragedi 13 Mei 1969. Ianya menjadi titik hitam di dalam usaha bagi kita untuk membina dan mengukuhkan sebuah masyarakat baru yang berbilang kaum.
Tidak lupa juga bagaimana tragedi ini telah diambil kesempatan oleh golongan kapitalis untuk membakar lagi api rasisme, supaya kelas pekerja tidak berjaya disatukan atas kepentingan yang sama – yakni melawan penindasan kelas kapitalis itu sendiri.
Risalah ini merupakan sebuah kritikan dan juga analisis yang berasaskan kepentingan kelas dan menunjukkan bagaimana rasisme itu sendiri, merupakan sebuah produk kepentingan kelas kapitalis bagi menghancurkan solidariti sesama kelas pekerja.
SINOPSIS
Koleksi tulisan kritikal dari perspektif Trotskyis yang berkaitan dengan perjuangan untuk transformasi sosialis dan organisasi kelas pekerja di Malaysia ini dikarang oleh mendiang Peter Taaffe (1942–2025), bekas setiausaha umum Parti Sosialis UK dan ahli Sekretariat Internasional CWI.
Yang pertama bertajuk Perspectives for Malaysia: A Marxist Approach, di mana beliau mengulas buku Jeyakumar Devaraj (pengerusi Parti Sosialis Malaysia) iaitu Malaysia at the Crossroads: A Socialist Perspective (2009).
Yang kedua, Memoirs of Malaysian Communist Guerrilla Leader Holds Many Lessons for Today, merupakan ulasan buku Chin Peng (bekas pemimpin Parti Komunis Malaya) yang bertajuk My Side of History (2003).
Kedua-dua ulasan Peter memberi makna yang cukup penting bagi perjuangan kelas di Malaysia dan serantau. Beliau mengupas kelemahan dan limitasi perspektif reformis, kemudian mewajarkan alternatif revolusioner berasaskan sosialisme demokratik.
Fahami Gerakan Kiri Malaysia
#R006 || Peter Taaffe's Analyses and the Tasks of the Malaysian Left
oleh mendiang Peter Taaffe (2025)
Harga: RM5 / RM10 (solidariti)
Bahasa: English
Risalah terjemahan
Selain daripada risalah-risalah utama yang ditulis oleh internasional kami di Committee for a Workers’ International (CWI), kami juga turut menerjemahkan beberapa risalah dari luar.
Terjemahan bahan bacaan sosialis merupakan usaha yang penting buat organisasi kami bagi merancakkan lagi perbincangan berkenaan idea-idea Marxisme yang melampaui batas nasional dan mengangkat kepentingan kelas pekerja di seluruh dunia.
oleh Parti Sosialis (UK)
“Apa Itu Sosialisme?” diterjemah oleh Sosialis Alternatif menawarkan pengenalan yang jelas dan padat tentang konsep sosialisme sebagai jawapan kepada kegagalan kapitalisme.
Risalah ini menghuraikan bagaimana kapitalisme, meskipun menyumbang kepada kemajuan teknologi dan ekonomi, telah mencipta jurang ketidaksamarataan, kemiskinan, dan kehancuran alam sekitar.
Sosialisme dicadangkan sebagai sistem alternatif yang lebih adil, dengan perancangan ekonomi demokratik untuk memenuhi keperluan manusia secara kolektif, tanpa didorong oleh keuntungan.
Harga: RM5 / RM10 (solidariti)
Bahasa lain: English, 华语
oleh Parti Sosialis (UK)
“Wanita dan Penindasan dalam Masyarakat Kelas” yang diterjemah oleh Sosialis Alternatif membongkar akar penindasan terhadap wanita melalui lensa sejarah, sosial, dan ekonomi. Ia menyoroti bagaimana kapitalisme dan sistem patriarki berfungsi secara saling berkait untuk mengekalkan ketidakadilan dan ketidaksamarataan jantina.
Risalah ini menekankan bahawa penindasan wanita bermula dengan perkembangan masyarakat kelas, di mana institusi keluarga tradisional memainkan peranan dalam menindas wanita sambil memikul beban kerja domestik yang besar.
Harga: RM5 / RM10 (solidariti)
Bahasa lain: English, 华语
oleh Parti Sosialis (UK)
“Peranan Parti Revolusioner” diterjemah oleh Sosialis Alternatif mengupas peranan penting sebuah parti revolusioner dalam perjuangan kelas pekerja untuk menggulingkan kapitalisme dan membentuk masyarakat sosialis.
Risalah ini menjelaskan bagaimana parti seperti Parti Bolshevik di Rusia membimbing kelas pekerja melalui organisasi berdisiplin, perancangan demokratik, dan pemahaman teori Marxis.
Harga: RM5 / RM10 (solidariti)
Bahasa lain: English, 华语
oleh Leon Trotsky
“Mempertahankan Revolusi Oktober” merupakan transkrip ucapan Leon Trotsky di Copenhagen pada tahun 1932, di mana beliau mengupas sejarah Revolusi Oktober 1917 di Rusia yang telah mencetuskan kebangkitan proletariat dan mengukuhkan kuasa Soviet.
Ucapan Trotsky menerangkan latar belakang sosial, politik, dan ekonomi yang membawa kepada revolusi, menyoroti bagaimana kelas pekerja dan golongan petani tertindas bersatu di bawah kepemimpinan Parti Bolshevik untuk menggulingkan rejim feudal dan kapitalis.
Harga: RM5 / RM10 (solidariti)
Bahasa lain: English, 华语
MAJALAH
Dijangka pada awal tahun 2025, SA akan mengeluarkan isu pertama majalah terbaru kami khas untuk pekerja dan anak muda. Nantikan!
Asia Tenggara
Perspektif Asia Tenggara
#AT24 || Regional Perspective 2024: Southeast Asia in the Crossfire
oleh Sosialis Alternatif
Harga: RM3 / RM5 (solidariti)
Bahasa: English
PENGENALAN
Cengkaman kapitalisme telah tersebar luas ke seluruh pelusuk dunia dan nescaya perjuangan kita ke arah sosialisme tidak hanya terbatas di dalam kerangka negara-bangsa sahaja. Perkembangan sistem kapitalisme serta alat-alat yang menindas kelas pekerja melahirkan konflik dan percanggahan yang bukan hanya memberi impak di negara kita dan atas sebab ini, kepentingan pembinaan perspektif yang lebih meluas diperlukan supaya pembinaan rangkaian perjuangan sesama para sosialis dapat dikukuhkan.
Justeru dokumen-dokumen perspektif, seperti mana yang disajikan melalui perspektif Asia Tenggara ini merupakan sebuah dokumen pengenalan bagi menyahut seruan perjuangan para Marxis di seluruh rantau kita dan dengan matlamat, agar pembinaan kuasa politik pekerja dapat dibina bukan hanya di negara Malaysia, sebaliknya di negara-negara jiran juga.
Internasional
PENGENALAN
“Israel-Palestin: Perang dan Perjuangan Pembebasan” menghimpunkan esei-esei yang mendalam untuk memahami konflik Israel-Palestin yang berpanjangan, dari akar sejarah hingga cabaran semasa. Melalui analisis 30 tahun selepas Perjanjian Oslo, risalah ini menyoroti kegagalan diplomasi untuk mewujudkan negara Palestin yang berdaulat, disebabkan oleh penjajahan dan tekanan ekonomi yang berterusan.
Dalam konteks perang Israel-Gaza yang terkini, para penulis menyeru perpaduan pekerja dan menentang konflik nasional serta penindasan yang mengorbankan rakyat biasa. Risalah ini juga menyentuh revolusi Arab Spring 2011, yang membuktikan potensi perubahan revolusioner di Timur Tengah, walaupun gagal membawa transformasi kekal. Melalui esei tentang Hamas, penulis mengupas peranan organisasi tersebut dalam perjuangan pembebasan nasional Palestin, sambil menganalisis kekangan politik dan strategi mereka dalam menghadapi penindasan Israel.
Dengan pendekatan sejarah dan analisis kelas, kompilasi esei ini menekankan keperluan gerakan massa yang demokratik untuk mencapai pembebasan sebenar rakyat Palestin. Dalam setiap halaman, ia menyoroti bahawa perpaduan antarabangsa dan perjuangan melawan kapitalisme adalah kunci untuk menghentikan penindasan dan keganasan di rantau itu. Bacaan penting bagi mereka yang ingin memahami konflik ini dan mencari jalan ke arah keadilan serta keamanan sejati.
Kompilasi Esei: Perang Israel-Palestine
#AB01 || Israel-Palestine: War and the Struggle for Liberation
oleh CWI (Committee for a Workers' International)
Harga: RM3 / RM5 (solidariti)
Bahasa: English
Lain-lain
NOTE
- for example we can feature SP’s magazines
- any old material?