Krisis politik yang sedang menjadi semakin kusut dalam arena politik arus perdana sedang mewujudkan sebuah lapisan anak muda yang mula tidak mempercayai mana-mana parti arus perdana. Sebuah perasaan anti-parti sedang menakluk pemikiran anak muda yang kecewa dengan hala tuju parti-parti politik yang pernah menjadi pemimpin mereka. Apabila PKR dan DAP bersetuju untuk bersekongkol dengan kuasa-kuasa UMNO seperti Mahathir dan Muhyiddin untuk menggulingkan Najib Razak daripada tampuk pemerintahan, kemuflisan prinsip dalam kalangan pembangkang jelas terdedah. Apabila elit politik mula membuat koalisi-koalisi yang bersifat mementingkan kesinambungan politik masing-masing tanpa menghiraukan rakyat biasa, sikap gelojoh mereka yang mendahagakan kuasa untuk diri sendiri dapat dilihat dengan nyata.
Anak muda dan mahasiswa merupakan golongan yang lebih sedar berbanding majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa. Akses kepada Internet dan perbincangan intelektual dalam kalangan mereka telah dapat membuka mata mereka dan ramai yang menolak kepimpinan kem pembangkang yang tidak menyebelahi perjuangan rakyat. Akan tetapi, ramai juga dalam kalangan anak muda yang menyimpulkan bahawa semua parti politik adalah serupa dan kepimpinan mereka tidak boleh dipercayai. Oleh sebab itu, terdapat sebuah perkembangan dalam kalangan anak muda yang mula menerima idea-idea perjuangan yang tidak tersusun, berbentuk individu atau kumpulan kecil dan ingin menimbulkan provokasi sebagai senjata utama untuk memberontak menentang kerajaan. Ramai di kalangan mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti menyembur grafiti, menampal poster dan menjual t-shirt anti-Najib sebagai usaha meningkatkan kesedaran anak muda.
Walaupun kita boleh berasa empati dengan gerakan anak muda yang jelas bersifatkan idea-idea anarkisme, pada masa yang sama, kita juga harus mengkaji balik kesahihan kesimpulan yang diambil. Walaupun kebanyakan parti politik sememangnya bertindak mementingkan diri sendiri, kita juga harus meneliti struktur sesebuah parti tersebut. Parti merupakan kepimpinan bagi sesebuah kelas dan kebanyakan parti arus perdana yang wujud di Malaysia adalah parti yang mewakili golongan atasan kapitalis 1% dan bukan mewakili aspirasi rakyat majoriti. Mereka menggunakan pelbagai retorik untuk meraih sokongan rakyat biasa, tetapi ia adalah sekadar untuk mendapat undi dan tidak diterjemah dalam program dan polisi-polisi yang dibentuk. Beberapa negeri di bawah kepimpinan pembangkang juga terlibat dalam masalah-masalah korupsi dan ketirisan yang mirip dengan kerajaan pemerintah BN dan kebelakangan ini beberapa pemimpin pembangkang juga mula dicurigai.
Walau bagaimanapun, parti politik merupakan sesuatu yang masih relevan bagi jutaan rakyat dan amat berguna dalam perjuangan massa. Pastinya, bukan semua parti akan mewakili kelas yang sama dan bukan semua parti disusun dalam bentuk yang serupa. Hala tuju sesebuah parti adalah bergantung dengan asas perjuangan parti itu sendiri. Jika sebuah parti yang mewakili kelas pekerja dan rakyat biasa boleh dibina secara demokratik, maka parti itu mampu menjadi kepimpinan dalam menyatukan kuasa rakyat dan memberikan cabaran yang kuat bagi kekuasaan kapitalis. Tanpa kepimpinan parti, perjuangan rakyat tidak akan dapat disatukan dan kuasa politik yang hanya berpihak kepada segelintir elit tidak akan dapat dijatuhkan.
Pada masa yang sama, struktur sesebuah parti yang mewakili kelas pekerja dan rakyat biasa itu amat penting. Walhal, selepas pengalaman Revolusi Russia 1917 yang merosot menjadi Stalinisme dan akhirnya gagal di Soviet Union dan China, persoalan struktur parti menjadi persoalan utama dalam proses pembinaan sesuatu parti pekerja baru di zaman ini. Sebuah parti perwakilan rakyat haruslah bersifat demokratik dan terbuka bagi mengelakkan kesilapan-kesilapan yang terjadi di pengalaman Russia, China dan di tempat-tempat lain termasuk di sejarah Malaysia sendiri. Ini merupakan peranan dan tanggungjawab utama yang menghadapi anak muda di negara ini. Dengan hanya menolak semua jenis parti politik tanpa meletakkan alternatif yang jelas, ia hanya akan mewujudkan kekosongan yang akan dipergunakan oleh pihak-pihak lain untuk mengambil kuasa.
Pengalaman-pegalaman perjuangan anak muda dan rakyat biasa di Timur Tengah dalam apa yang digelar sebagai ‘Arab Spring’ jelas memberikan beberapa pengajaran yang amat bernilai. Diantara sebab utama bagi kemerosotan perjuangan-perjuangan tersebut adalah disebabkan oleh kekosongan atau ketiadaan kepimpinan yang jelas yang dapat mengambil kuasa bagi pihak rakyat. Di Mesir misalnya, selepas berjuang untuk bermingu-minggu dan berkorban nyawa dalam skala yang besar, keberanian dan semangat anak muda dihancurkan oleh kuasa-kuasa penindas baru yang mendapat kuasa melalui pilihan raya parlimen. Selepas Ikhwan Muslimin yang tidak membawa perubahan bagi rakyat biasa juga digulingkan, sekali lagi, revolusi tersebut merosot tanpa sebarang kepimpinan yang membawa alternatif yang jelas dan akhirnya kuasa tentera mengambil peluang untuk merampas kuasa. Anak muda dan kelas pekerja di Mesir telah menunjukkan kuasa perlawanan yang hebat dan bersejarah, namun, tanpa sebuah organisasi yang dapat menyatukan tenaga mereka dan memberi alternatif yang kukuh, segala perjuangan itu menyusut dan jatuh ke tangan kuasa-kuasa reaksioner lama.
Usaha-usaha anak muda untuk menentang kezaliman kerajaan masa ini haruslah dipuji. Kerajaan BN/UMNO sedang menggunakan segala alat penindasan undang-undang untuk menutup mulut rakyat yang sedang merana, sambil menikmati kehidupan yang selesa hasil skandal-skandal korupsi. Sememangnya anak muda tidak dapat menerima kenyataan ini dan telah mula memberontak di pelbagai platform. Di laman sosial, di universiti, di tempat kerja dan di jalan raya awam juga. Satu fenomena yang khususnya mendapat perhatian seluruh dunia adalah kempen melekat gambar badut yang mirip dengan Perdana Menteri Najib Razak yang telah diliputi oleh beberapa rangkaian media antarabangsa. Semakin hari, semakin ramai anak muda dilihat sedang memuat naik gambar-gambar badut yang ditampal di merata-rata tempat di laman sosial. Di mana-mana forum atau protes, terdapat penjual-penjual kemeja badut dan topeng badut yang sedang bertambah.
Walaupun kempen ini telah berjaya menjadi simbol penentangan terhadap kezaliman, masih lagi mesej di sebalik simbol tersebut kurang jelas. Kebanyakan anak muda yang terlibat dalam aktiviti menampal poster badut tersebut menyimpulkan bahawa sosok Najib itu harus digulingkan bagi menyelesaikan semua masalah mereka. Ini merupakan mesej yang menyeleweng. Seperti yang dijelaskan dalam contoh pengalaman anak muda di Mesir, apabila seseorang zalim itu digulingkan daripada penguasaan, jika tidak terdapat satu alternatif yang jelas, kekosongan itu akan diisi oleh kuasa-kuasa reaksioner. Dalam kes Malaysia, semestinya pihak pakatan pembangkang PKR, PAN dan DAP, golongan fundamental PAS, kumpulan-kumpulan ekstremis seperti Perkasa semuanya akan merebut mengisi kekosongan yang akan terwujud. Mesej yang paling penting dalam situasi Malaysia adalah untuk membina sebuah alternatif yang jelas kepada sistem yang sedia ada. Tanpa perspektif yang jelas mengenai persoalan mengenai sistem itu sendiri, berpuluh-puluh sosok diktator boleh digulingkan, tetapi beratus lagi akan muncul mengambil tempatnya. Persoalan berkaitan sistem harus di jawab dan perspektif yang jelas harus dibekalkan kepada rakyat jika ingin membawa perubahan yang nyata.
Disebabkan oleh kekecewaan, ramai di kalangan anak muda amat sangsi dengan kepimpinan parti politik dan ini mendorong untuk mewujudkan sebuah gerakan tanpa sebarang kepimpinan yang jelas. Akan tetapi, kontradiksi yang wujud adalah bahawa, tanpa sebarang kepimpinan yang jelas, tenaga anak muda itu boleh dipergunakan oleh golongan oportunis yang hanya berminat untuk menolak agenda mereka ke hadapan. Ia tidak akan membawa sebarang makna bagi perjuangan. Kita pernah lihat fenomena seperti poster badut ini datang dan pergi berulang kali. Tidak lama sebelum ini, terdapat gerakan ABU (Asalkan Bukan UMNO) yang hanya memberikan pendedahan terhadap masalah dan menutup mulutnya apabila mula berbincang mengenai jalan penyelesaian. Beribu-ribu anak muda menampal stiker dan poster ABU di merata-rata tempat dan akhirnya usaha tersebut kini tinggal sekadar kenangan sahaja. Gerakan itu sendiri telah hilang apabila musim pilihan raya sudah berlalu.
Akhirnya, kebanyakan daripada gerakan spontan yang berlandaskan mesej yang sangat mudah seperti poster badut ini akan bertumpu pada penjualan t-shirt atau barangan sebagai alat menjana keuntungan bagi sebahagian pihak. Hasil untung tersebut, lebih banyak propaganda anti-parti atau anti-organisasi akan disebarkan dan anak muda akan semakin bergerak menjauhi persoalan-persoalan yang lebih penting, iaitu apakah alternatif untuk menggantikan pemerintahan kuku besi kapitalis ini.
Memang terdapat pelbagai persoalan yang menghadapi pembinaan sesebuah parti yang mampu membawa alternatif yang berkesan sepertimana yang sering diketengahkan oleh pemikir-pemikir anarkis. Persoalan dalam membendung birokrasi dan memastikan kesuburan demokrasi dalam parti misalnya. Ini merupakan persoalan-persoalan yang serius dan anak muda dan kelas pekerja harus memikirkan cara untuk membentuk struktur yang demokratik dan berfungsi lancar. Tetapi dengan menolak sebarang kepimpinan dari parti politik, ia tidak akan memberikan penyelesaian kepada perjuangan dan tidak menjawab persoalan politik yang bakal menghadapi rakyat. Seperti yang dihujahkan oleh Trotsky, salah seorang pemimpin Revolusi Russia 1917 “Tanpa kepimpinan yang membimbing, tenaga rakyat akan hilang seperti wap yang tidak masuk ke dalam kotak piston. Namun, kereta api itu sendiri bergerak bukanlah kerana kotak piston, tetapi disebabkan oleh wap”.
Kami sosialis berhujah untuk kejelasan hala tuju dalam mendekati perjuangan. Sudah wujud pelbagai pihak yang sedang membongkarkan kepincangan pemerintahan UMNO dan kempen seperti ‘ badut Najib’ tidak akan memberikan kesan yang besar. Amalan korupsi parti pemerintah diketahui umum, malah sudah tersebar di seluruh dunia dengan liputan media luar negara. Pendedahan ini masih akan berlaku walaupun tanpa sebarang kempen badut tersebut dan rakyat biasa akan mula menajamkan perjuangan apabila kondisi mereka semakin merosot. Bukan sekadar UMNO, malah kepimpinan pembangkang juga sedang menghadapai krisis perpecahan dan skandal korupsi. Dalam situasi sebegini, tugas anak muda, intelektual dan kelas pekerja adalah untuk membincangkan dan membentuk sebuah program yang jelas menuju ke penggantian sistem yang sedia ada. Sebuah solusi yang akan mengembalikan demokrasi pada rakyat dan meletakkan kawalan produksi di tangan rakyat biasa harus dicari.
Jika alternatif yang jelas tidak wujud, maka kerja-kerja pembinaan alternatif tersebut harus bermula sekarang. Anak muda perlu mengambil langkah pertama dalam pembinaan alternatif ini dan harus menyusunkan diri di dalam sebuah organisasi yang berstruktur, berdisiplin dan dengan program yang jelas. Segala aktiviti akar umbi untuk menyebarkan alternatif tersebut harus berlaku berdasarkan keputusan demokratik organisasi dan harus dijalankan mengikut kesedaran massa. Tugas utama seorang ahli organisasi yang menentang sistem adalah untuk menghubungkan perjuangan harian kelas pekerja dan rakyat biasa dengan perjuangan menentang sistem itu sendiri.
Pada masa yang sama, struktur demokratik adalah amat penting bagi pembinaan sebuah alternatif. Struktur yang birokratik akan menghadkan perkembangan organisasi dan akan mewujudkan kecenderungan bagi kepimpinan untuk mengambil posisi yang bersifat oportunis. Struktur yang demokratik akan menarik lebih ramai untuk mengambil tanggungjawab kepimpinan dan akan menyatukan semua kepimpinan daripada komuniti, universiti atau tempat kerja yang sedang memimpin perjuangan rakyat. Kami sosialis ingin menyatukan semua kepimpinan akar umbi rakyat yang ada dengan sebuah mesej yang jelas – ‘ Lawan Kapitalisme, Bina Alternatif ‘.
Hai ! 🙂
Saya Amir dan saya sudah menghabiskan membaca artikel yang menarik ini.
Cuma saya bimbang apa yang ingin disampaikan oleh saudara penulis mungkin ada yang saya tidak faham.
Umumnya, saya setuju bila saudara penulis mengatakan pentingnya untuk kita mengenal-pasti siapa yang bakal menerajui sesebuah pemerintahan jika benar-benar menolak kepimpinan yang sedia ada sekarang.
Cumanya ada dalam ayat dalam artikel saudara yang menyebut, “Parti merupakan kepimpinan bagi sesebuah kelas” itu mengundang sedikit persoalan.
Dalam kita memberdayakan sebuah parti politik, mengapa kita tidak memberdayakan rakyat itu sendiri sekaligus? Bagi saya, makna perkataan ‘Merdeka’ itu sudah sangat besar bila kita sebutkan dalam hal ini. Mengapa rakyat seolahnya ‘mengikut’ parti politik untuk menentukan mengenai perkara yang melibatkan sosial dan ekonomi ?
Harap saudara penulis dapat memberi maklum balas, terima kasih.
Terima kasih saudara.
Sememangnya Parti adalah kepimpinan bagi kelas. Apa yang saudara katakan ‘rakyat’ adalah sebenarnya kelas pekerja dan tertindas. Si penindas dan tertindas tidak boleh diletakkan didalam terma yang sama iaitu ‘rakyat’. Perjuangan rakyat adalah perjuangan menentang kelas atasan yang dipanggil sebagai golongan kapitalis yang sedang menguasai sistem ini. Penguasaan ini adalah untuk mengeksploitasi tenaga kerja majoriti bagi kepentingans segelintir yang menguasai sistem ini. Ini adalah apa yang dipanggil sebagai sistem kelas.
Tujuan kami adalah untuk memecahkan hegemoni kapitalis dan menghancurkan sistem kelas tersebut supaya semua orang dapat merasai kehidupan yang lebih baik dan adil. Bagaimanakah caranya untuk berbuat demikian apabila sistem ini dipertahankan oleh kapitalis kaya yang banyak duit dan sangat tersusun. Mereka punyai parlimen, parti, institut kewangan, polis, tentera dan sebagainya untuk mempertahankan sistem ini. Tetapi, kelas pekerja mempunyai kuasa untuk gerakkan ekonomi dan juga kuasa untuk bantutkan sistem ini. Kelas pekerja dan rakyat biasa akan mula menentang sistem ini apabila dihadapi dengan kesukaran hidup tetapi sebuah kepimpinan diperlukan untuk menyatukan semua kuasa dan berjuang mencabar sistem kapitalisme.
Parti adalah kepimpinan kelas. Kepimpinan kelas kapitalis mempunyai pelbagai parti. UMNO, MIC, MCA, PKR, PAS, DAP semuanya membawa aspirasi pihak kapitalis. Bagi mencabar penguasaan politik oleh mereka, kita kelas pekerja juga perlukan parti kita sendiri. Parti adalah kepimpinan dan suara bersatu bagi kelas pekerja. Maka, parti itu juga haruslah wujud daripada kelas pekerja dan dikawal oleh mereka.