Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Berikutan jangkitan Covid-19 yang mendadak naik sejak beberapa bulan lepas, kerajaan telah terpaksa melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) bagi menghadkan penyebaran virus. Akibat langkah-langkah kerajaan yang membuka ekonomi dan sekolah secara pramatang, kini, seluruh ekonomi negara terpaksa dihentikan secara tiba-tiba. Pelaksanaan PKP 3.0 ini akan memberikan impak negatif kepada jutaan pekerja yang bergantung dengan gaji harian dan akan mengakibatkan lebih banyak kehilangan kerja dan pengangguran. Tidak kurang juga di kalangan pekerja bergaji rendah yang akan mengalami pemotongan gaji dan elaun yang amat diperlukan untuk kelangsungan kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Memandangkan penyebaran kes Covid-19 yang hampir mencecah 10 ribu kes sehari, menimbulkan kesesakan yang boleh melumpuhkan sistem dan kemudahan kesihatan negara, kawalan pergerakan merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Tetapi, persoalannya, adakah pihak kerajaan menyediakan peruntukan kebajikan yang secukupnya kepada kelas pekerja dan rakyat miskin supaya kehidupan mereka tidak terancam. 

Pemerkasa+

Berikutan pengumuman PKP 3.0, kerajaan juga mengumumkan sebuah pakej rangsangan ekonomi yang terbaru. Daripada tahun lepas, sebanyak 6 pakej ekonomi yang memakan belanja sebanyak 350 bilion ringgit sudahpun diumumkan. Pakej ekonomi kali ini diberikan nama Pemerkasa + dengan peruntukan sebanyak 40 bilion ringgit. 

Pakej Pemerkasa+ ini di pecahkan kepada 3 kategori, iaitu meningkatkan kapasiti kesihatan, penerusan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. Sebahagian daripada pakej ini akan disalurkan kepada sistem kesihatan negara yang sudah pun dalam keadaan yang tenat akibat kekurangan dana dan potongan peruntukan yang berlaku selama bertahun-tahun lamanya. Sistem kesihatan negara yang tidak berkembang seiring dengan perkembangan populasi tidak berupaya untuk menangani jumlah peningkatan kes Covid yang mendadak dan memerlukan suntikan dana kecemasan. 

Seperti pakej-pakej ekonomi lepas, peruntukan dana kebajikan di dalam Pemerkasa+ juga tidak merujuk kepada keadaan sebenar rakyat biasa yang sedang semakin tersepit dengan beban ekonomi. Malah sebelum ketibaan pandemik Covid-19, kadar pengangguran di Malaysia terutamanya di kalangan anak muda telah meningkat akibat kemelesetan ekonomi. Tetapi selepas pandemik Covid-19 menghancurkan ekonomi domestik, kadar pengangguran ini menjadi berlipat ganda. Penutupan kilang-kilang dan syarikat besar di sepanjang pandemik ini telah menghumban jutaan pekerja ke dalam ketidaktentuan. Juga, penutupan kedai-kedai kecil akibat PKP telah mengakibatkan kehilangan pekerjaan tidak formal bagi ratusan ribuan yang lain. 

Pakej Pemerkasa+ hanya akan meningkatkan jumlah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan yang kurang daripada RM 5000. Bagi isi rumah yang menerima pendapatan kurang daripada RM2500, mereka akan mendapat tambahan BPR sebanyak RM 500 dan bagi yang kurang daripada RM5000 akan mendapat tambahan BPR sebanyak RM 300. Individu bujang hanya layak menerima RM100. Selain itu, beberapa bayaran sekali bayar ( one-off ) juga diberikan kepada pemandu bas dan sebagainya. 

Bagi jutaan pekerja bergaji rendah yang telah kehilangan kerja dan punca pendapatan, adakah jumlah ini mencukupi untuk menampung kehidupan mereka? Buat masa ini, kebanyakan daripada rakyat miskin sedang menggunakan wang simpanan hari tua (KWSP) untuk menampung beban ekonomi yang meningkat. Apakah nasib para pekerja dan rakyat biasa apabila wang simpanan hari tua mereka habis di pakai dan PKP masih berterusan akibat kegagalan untuk mengawal penyebaran pandemik? 

Bagi jutaan rakyat miskin, pengumuman Pemerkasa+ langsung tidak memberikan sebarang keyakinan bahawa kebajikan mereka akan dijaga oleh pihak kerajaan. Jumlah peruntukan yang diberikan kepada rakyat biasa adalah sekadar cebisan jika dibandingkan dengan peruntukan yang diberikan kepada perniagaan dan kelas majikan kaya. 

Sebahagian besar daripada peruntukan di dalam Pemerkasa+ adalah tertumpu kepada sektor-sektor perniagaan. Pihak majikan yang mempunyai kurang daripada 500 orang pekerja akan diberikan Program Subsidi Upah (PSU) di mana sebahagian daripada upah pekerja akan ditanggung oleh dana kerajaan. Melalui pengalaman lepas, kita telah pun melihat bagaimana program subsidi upah seperti ini sering disalahgunakan oleh pihak majikan yang mengambil subsidi ini dari kerajaan sambil memotong tenaga kerja mereka dengan sewena-wenanya. Pihak kerajaan yang memberikan PSU juga gagal untuk memantau syarikat yang berkelakuan rakus bagi mengelakkan salah laku sebegini yang merugikan rakyat. 

Selain itu, Pemerkasa+ juga menyediakan bantuan diskaun bil air, elektrik dan sewa di tapak perniagaan. Bagaimana pula dengan nasib jutaan rakyat biasa yang juga mengalami kerugian yang teruk akibat pandemik ini. Mengharapkan sebuah pertumbuhan ekonomi dengan secepat mungkin, pihak kerajaan juga menyediakan bantuan dana untuk permulaan perniagaan bagi Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS). Tetapi ironinya, masih lagi 13 bilion daripada dana peruntukan bantuan perniagaan ini belum lagi diguna pakai daripada pakej-pakej ekonomi yang lepas. Ini menandakan bahawa walaupun pihak kerajaan sedang cuba sedaya upaya untuk menghidupkan ekonomi, situasi di lapangan adalah sangat tidak kondusif dan tidak memberikan keyakinan kepada rakyat untuk menceburi bidang perniagaan. Ekonomi dunia dan tempatan yang semakin lemah tidak mendorong rakyat untuk bergiat di dalam dunia perniagaan yang penuh dengan risiko. 

Kerajaan dan ahli politik arus perdana tidak boleh dipercayai

Melihat kepada Pemerkasa+, jelas bahawa perancangan kerajaan adalah untuk berharap bahawa vaksin akan dapat memulihkan keadaan krisis kesihatan dan pakej-pakej ekonomi yang diumumkan akan dapat memulihkan krisis ekonomi yang semakin meruncing. Tetapi, walaupun dengan pelbagai usaha, kedua-dua pengedaran vaksin dan pakej ekonomi belum dapat dilaksanakan dengan efektif seperti mana yang dikehendaki dan sedang menghadapi jalan buntu. Keadaan ini juga sedang mendalamkan lagi krisis politik yang mendedahkan ketidakstabilan yang terselindung di belakang tabir.   

Ahli-ahli politik arus perdana sudah dengan jelas mengecewakan rakyat biasa. Walaupun pengisytiharan Darurat oleh PM telah diterima oleh rakyat dengan berat hati bagi melindungi kesihatan mereka, tetapi ianya terbukti tidak membawa sebarang hasil. Keadaan pandemik sedang semakin merosot di sepanjang Darurat dan Program Imunisasi Negara juga tidak mencapai sasaran yang dijanjikan pada awal program tersebut. Dalam keadaan ini, nasib jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa sedang terumbang-ambing. Malah, ahli-ahli politik pembangkang juga sedang asyik leka dengan permainan politik dan rebutan kerusi sehingga tidak menawarkan sebarang jalan keluar kepada rakyat miskin yang tersepit dengan beban ekonomi dan tekanan sosial. 

Apakah solusi kepada rakyat

Ahli politik dan perwakilan politik arus perdana yang berteraskan kepada ekonomi kapitalisme tidak akan membawa sebarang solusi kepada krisis ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat biasa. Pandemik Covid-19 telahpun mendedahkan segala kerakusan parti-parti politik yang mengabaikan rakyat biasa yang berada dalam keadaan yang penuh dengan penderitaan. Kelas pekerja dan rakyat biasa harus menolak semua perwakilan politik kapitalis ini dan berusaha untuk mewujudkan kepimpinan rakyat yang terbina di dalam pertubuhan massa yang demokratik dan memperjuangkan kebajikan rakyat biasa. 

Perwakilan rakyat yang tulen tidak akan teragak-agak untuk mencabar sistem ekonomi yang berdasarkan kepada kemahuan kelas kapitalis dan memperjuangkan sebuah sistem ekonomi sosialis yang lebih adil dan berteraskan kepada kehendak rakyat biasa. Program sosialis yang menekankan demokrasi rakyat, pengagihan kekayaan yang sama rata dan kawalan kelas pekerja dan rakyat biasa ke atas produksi negara merupakan satu-satunya haluan yang mampu menyatukan semua rakyat biasa di bawah garis kelas dan berjuang demi perubahan sistem ekonomi dan politik. Hanya dengan membina sebuah perwakilan rakyat yang kuat dan jelas dengan hala tuju perjuangan kelas, sebuah solusi kepada krisis ini dapat dicari di samping mengorak langkah ke arah sebuah dunia yang lebih adil, demokratik dan aman.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *