Sehingga suku tahun pertama tahun ini, dilaporkan seramai 6500 orang pekerja sektor kewangan seperti pekerja bank dan insurans telah kehilangan kerja. Tambahan pula dengan 200 pekerja kilang rokok BAT, 350 pekerja Megasteel di Banting adalah mangsa terkini pemberhentian kerja di mana mereka diberikan notis 24 jam pada 31 Mac lalu oleh majikan dengan alasan masalah kewangan.
Syarikat-syarikat sektor minyak juga dijangka akan memotong tenaga kerja dan beberapa pengumuman pemberhentian kerja sudahpun dibuat bagi beberapa syarikat swasta besar. Intel Corp di Kulim sedang merancang untuk menutup operasi dan berpindah ke Vietnam mengikut jejak kilang JVC Shah Alam yang menutup operasinya pada tahun lepas. Malaysian Airline Berhad yang merupakan syarikat penerbangan nasional pula sedang menghadapi krisis kewangan dan beribu-ribu pekerja boleh menjadi mangsa akibatnya. Pada masa yang sama, beribu-ribu pekerja MAB juga sedang dalam perjuangan menuntut pampasan yang adil.
Keadaan ekonomi dunia yang suram dan kejatuhan harga minyak dan komoditi lain seperti logam besi memberikan kesan yang mendalam bagi para pekerja di negara-negara pengeluar komoditi seperti Malaysia. Pada tahun 2014, seramai 10 ribu pekerja kehilangan kerja akibat penutupan kilang atau pemotongan perbelanjaan oleh majikan. Pada tahun 2015 pula, termasuk 6 ribu pekerja MAS yang kehilangan kerja, dianggarkan sekitar 40 ribu pekerja telah hilang punca pendapatan mereka. Para majikan memberikan pelbagai alasan seperti peningkatan kos pengeluaran akibat GST dan kejatuhan harga komoditi sebagai punca kepada pemotongan tenaga kerja dalam angka yang begitu besar.
Mengikut pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan, kelas pekerja di Malaysia perlu menghadapi pemotongan gaji bagi tahun ini, atau dibuang kerja kerana keadaan ekonomi global tidak memihak kepada pihak majikan. MEF juga mengatakan bahawa anak muda tempatan sudah terlalu dimanjakan dengan kemewahan sehingga tidak ingin berkerja dalam sektor-sektor yang dianggap sebagai berbahaya, kotor dan susah (sektor 3D).
Di sini, MEF yang memihak kepada golongan kapitalis, tidak menerangkan bahawa sektor 3D yang kebanyakannya merupakan sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pembuatan hanya mengambil buruh murah yang senang dieksploitasi sebagai tenaga kerja mereka. Walaupun kerja yang dilakukan dianggap sangat susah dan membahayakan kesihatan pekerja, mereka tidak diberi gaji yang setimpal. Pihak majikan seringkali mengaut keuntungan berjuta-juta dengan hasil titik peluh pekerja dari negara-negara miskin. Apabila anak muda Malaysia enggan dieksploitasi sebegitu dan menyuarakan rasa tidak puas hati, maka mereka dituduh sebagai telah dimanjakan dengan kekayaan.
Beberapa menteri dan ahli- ahli politik yang berpihak kepada para majikan juga menunjukkan anak muda yang enggan melakukan kerja 3D sebagai punca utama bagi kerajaan untuk membawa masuk lebih ramai tenaga kerja asing ke Malaysia. Komen-komen sebegini telah menaikkan kemarahan anak muda di seluruh Malaysia yang membalas dengan menaikkan gambar kerja- kerja yang merbahaya dan susah yang sedang dilakukan oleh mereka pada masa ini di laman sosial. Mereka juga sudah mula sedar bahawa tuduhan para majikan dan ahli politik pro- kapitalis itu langsung tidak berasas.
Penyebab utama bagi kehilangan kerja bagi kedua-dua pekerja tempatan dan migran adalah ketamakan pihak majikan yang hanya mengambil berat tentang keuntungan wang duit bagi dirinya sendiri. Apabila diancam dengan kemelesetan ekonomi atau kekurangan keuntungan, pihak korporat dengan sekelip mata akan menggulung tikar dan mencari jalan keluar mencari buruh yang lebih murah. Kerajaan yang seharusnya melindungi para pekerja daripada ketamakan korporat ini pula bersifat menyokong pihak majikan dan melaksanakan polisi- polisi yang menindas pekerja bagi keuntungan majikan.
Realitinya, kelas pekerja dari seluruh dunia sedang bertungkus lumus menggadaikan nyawa dan kesihatan mereka sendiri demi keuntungan berjuta-juta bagi pihak majikan dan kelas kapitalis. Dengan keuntungan yang berlimpah-limpah itu, kelas kapitalis telah berjaya membeli sebahagian besar daripada aparatus kerajaan supaya berfungsi mengikut kemahuan mereka. Apabila kelas pekerja menuntut gaji yang lebih adil atau kondisi pekerjaan yang lebih baik, mereka dikecam sebagai mengancam ekonomi dan diugut untuk dibuang kerja. Ini adalah watak sebenar kelas majikan dan kelas kapitalis yang jelas mementingkan keuntungan daripada kebajikan pekerja.
Tidak ada satu pun diantara parti arus perdana yang memberikan penentangan yang jelas terhadap pihak korporat besar dan mengangkat program-program kelas pekerja. Bagi mendapat sebarang manfaat bagi pihak pekerja, adalah jelas bahawa kelas pekerja harus bersatu dan menubuhkan sebuah parti yang demokratik dan mampu mencabar penguasaan parti-parti kapitalis.