Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, M.Saravanan telah menyatakan bahawa para pekerja yang belum lengkap dengan vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan. Menurutnya, para pekerja yang menolak vaksin Covid-19 sebenarnya tidak melanggar undang-undang kerana pihak kerajaan tidak mewajibkan rakyat untuk menerima vaksin tersebut. Tetapi mengikut Menteri M.Saravanan, para pekerja yang menolak vaksin akan mengakibatkan suasana tempat kerja yang tidak selamat dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

Sebenarnya ia tidak jelas bagaimana para pekerja yang belum di vaksin akan menyebabkan situasi yang tidak selamat berbanding individu yang sudah di vaksin. Mengikut perakuan daripada Kementerian Kesihatan sendiri, vaksin Covid-19, tidak kira jenis apa, tidak akan memberi perlindungan dari jangkitan Covid-19 sepenuhnya. Vaksin ini terbukti akan hanya melindungi individu yang dijangkiti Covid-19 daripada hospitalisasi dan kematian bagi jangka masa yang tertentu (kajian terkini menganggarkan perlindungan selama 6 bulan). Oleh itu, individu yang telah lengkap dengan 2 dos vaksin sekalipun akan terus berupaya untuk menyebarkan virus ini jika dijangkiti Covid-19, sama seperti individu yang tidak di vaksin. Cuma dalam kes individu yang tidak di vaksin, mereka menanggung risiko kematian yang tinggi berbanding yang sudah di vaksin. 

Oleh itu, para pekerja yang enggan di vaksin hanya mengambil risiko ke atas nyawa mereka sendiri dan tidak menyumbang kepada penyebaran virus ini lebih daripada individu yang sudah di vaksin. Maka, hujah Menteri untuk menuduh para pekerja sebagai mewujudkan situasi yang tidak selamat adalah sangat tidak munasabah. Lebih-lebih lagi apabila para pekerja tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan dari sisi undang-undang. 

Sebaliknya, pihak majikan yang tidak membekalkan persekitaran kerja yang selamat bagi pekerja pula tidak dikenakan sebarang tindakan. Pada tahun 2019, lebih dari 32 ribu kes kemalangan pekerjaan telah dilaporkan di mana 312 daripadanya adalah kes maut. Tahun lalu melihat penurunan kes kematian di tempat kerja sebanyak 20% hanya kerana sekatan pergerakkan yang telah mengurangkan tenaga kerja di beberapa sektor. Sebuah laporan dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa ataupun di kenali sebagai ILO menganggarkan bahawa seramai 7500 pekerja di seluruh dunia terkorban setiap hari disebabkan oleh keadaan tempat kerja yang tidak selamat. 

Di Malaysia, pihak majikan kaya memang diketahui untuk menindas para pekerja dengan teruk dan tidak menyediakan peralatan keselamatan dan kesihatan yang secukupnya. Sejak bermulanya pandemik, ratusan kilang-kilang haram telah diserbu oleh pegawai kerajaan dan mendedahkan keadaan keselamatan yang sangat teruk. Tetapi, kebanyakan daripada kilang tersebut dibenarkan untuk operasi seperti biasa dan para pemilik kilang diberikan masa untuk mendapat kelulusan operasi dari kerajaan. Walaupun kelakuan pemilik kilang-kilang haram ini melanggar undang-undang, mereka masih diberikan kelonggaran dan dilayan dengan begitu baik sekali oleh kerajaan. 

Kilang-kilang besar juga seringkali menempatkan pekerja migran mereka dalam tempat yang tidak mempunyai kemudahan asas dan melanggar segala aturan yang ditetapkan oleh undang-undang. Para pekerja migran didapati ditempatkan di kontena-kontena yang sesak dan tidak mempunyai kemudahan tandas dan dapur. Malah syarikat Top Glove yang telah menggandakan keuntungan mereka sebanyak 4 kali ganda sepanjang pandemik covid-19 juga didapati menindas pekerja migran mereka dan juga menyumbang untuk meningkatkan penyebaran kes Covid di kalangan rakyat. Tetapi, sama seperti sebelum ini, Top Glove yang mempunyai aset bernilai berbilion-bilion hanya membayar RM 1000 sebagai denda bagi kesalahan menempatkan pekerja mereka dalam keadaan sesak dan tidak mengikut SOP kerajaan. 

Ini mendedahkan sifat talam dua muka kerajaan yang cuba menonjol sebagai pelindung keselamatan pekerja, tetapi pada masa yang sama berlaku berat sebelah dan sentiasa melindungi kepentingan pihak majikan. Kelas majikan yang melakukan kesalahan berat dan bertanggungjawab untuk membahayakan ribuan nyawa pekerja dan rakyat hanya diberikan hukuman ringan manakala kelas pekerja sentiasa dikenakan hukuman yang berat untuk kesalahan-kesalahan kecil. 

Kelas pekerja merupakan golongan yang telah berkorban tenaga dan mengambil risiko ke atas kesihatan dan nyawa mereka sendiri dalam menunaikan tanggung jawab mereka untuk masyarakat di sepanjang pandemik ini. Tanpa kelas pekerja, sistem ekonomi dan seluruh aturan masyarakat akan terbantut begitu sahaja. Tetapi kini, segala pengorbanan mereka dilupakan dan pihak kerajaan sedang mengancam hak mereka untuk memilih rawatan kesihatan yang sesuai untuk diri mereka. Kelas pekerja berhak untuk membuat pilihan mereka sendiri berdasarkan kepada pemahaman mengenai risiko-risiko yang wujud selagi tindakan mereka tidak mendatangkan kesan kepada yang lain. Oleh itu, ia adalah tidak adil bagi pihak kerajaan untuk mendiskriminasi para pekerja berdasarkan pilihan mereka.

Selain daripada ancaman kesihatan dari pandemik Covid-19, kelas pekerja juga sedang diancam dengan kegawatan ekonomi, suasana pekerjaan yang kurang selamat dan eksploitasi daripada majikan kaya yang tidak mengambil kisah mengenai keperluan mereka. Pihak kerajaan juga selalu berpihak kepada kelas majikan kaya dan hanya tertumpu untuk melindungi keuntungan peribadi mereka. Dalam keadaan pekerja miskin dan rakyat tertindas sedang merana, kelas pemerintah sedang meningkatkan kekayaan mereka dan leka dengan rebutan politik. 

Sebahagian besar daripada rakyat yang menolak vaksin Covid-19 adalah disebabkan tidak yakin dengan pihak kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang telah berulang kali menipu rakyat. Rakyat ingin lebih keterbukaan dan demokrasi dalam menilai pilihan-pilihan yang wujud dan diberikan kebebasan untuk menentukan jalan yang terbaik untuk diri sendiri. Oleh itu, segala maklumat berkenaan dengan vaksin dan kesan sampingannya haruslah di dedahkan dengan terbuka. 

Tetapi, akibat kepentingan keuntungan badan-badan korporat dan pengeluar vaksin yang kaya-raya, maklumat-maklumat yang diperlukan oleh rakyat ini tidak dibekalkan. Malah harga vaksin ini juga dirahsiakan demi melindungi keuntungan pengeluar vaksin. Dalam hal ini, ianya tidaklah aneh untuk menyimpukan bahawa pihak kerajaan sedang membantu syarikat-syarikat gergasi untuk memasarkan vaksin mereka kepada seluruh dunia dengan bermotifkan keuntungan. Perkara ini menimbulkan keraguan, dan oleh itu, sebilangan daripada rakyat yang juga terdiri daripada kelas pekerja sedang menolak vaksin Covid-19 pada waktu ini. 

Masalah ini akan hanya selesai jika pihak kerajaan mengambil langkah-langkah yang berpaksikan kepada kehendak rakyat dan bukan keuntungan korporat kaya. Tetapi, ia memerlukan sebuah kerajaan yang terdiri daripada kelas pekerja dan rakyat biasa, bukan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai hubungan rapat dengan kelas kapitalis korporat. Hanya sebuah kerajaan yang dibentuk oleh pertubuhan-pertubuhan massa rakyat akan dapat membawa solusi yang wajar kepada kelas pekerja dan rakyat miskin. 

Kelas pekerja tidak boleh berharap dengan kepimpinan kerajaan yang sedia ada dan mula membina pertubuhan-pertubuhan mereka sendiri yang berasaskan kepada tuntutan dan perjuangan rakyat. Hanya melalui perjuangan menentang kepentingan kelas majikan kaya dan kelas pemerintah politik, kelas pekerja boleh mencari jalan keluar daripada krisis yang dihadapi. 

Kesatuan-kesatuan sekerja yang sedia ada haruslah memainkan peranan kepimpinan dalam memberi suara kepada kelas pekerja dan rakyat tertindas. Pada masa yang sama, gabungan kesatuan sekerja seperti MTUC mempunyai peluang untuk menganjurkan perjuangan-perjuangan yang menuntut kebajikan kepada rakyat biasa dalam waktu krisis ini. Ini memerlukan kepimpinan kelas pekerja yang berani dan mempunyai perspektif yang jelas untuk menentang kepentingan kelas kapitalis dan kerajaan yang rakus. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *