Sejak hujung tahun lepas, sebuah kebangkitan massa telah tercetus di beberapa bandar di Iran disebabkan oleh bantahan rakyat terhadap kegagalan industri kewangan, kenaikan inflasi yang mendadak, korupsi dikalangan golongan elit, polisi neo liberal dari kerajaan dan penindasan terhadap kelas pekerja dan rakyat biasa oleh kelas majikan kaya selama berdekad-dekad lamanya. Bandar-bandar besar seperti Tehran, Mashhad, Rasht, Kermanshah dan Ahvaz telah menyaksikan ribuan rakyat biasa terutamanya dari kalangan anak muda telah membanjiri jalan-jalan utama dalam satu aksi untuk menuntut kebebasan dari cengkaman kerajaan kuku besi dan kelas kapitalis elit yang kejam.

Latar Belakang Perjuangan

Kebangkitan massa yang berlaku pada masa ini mengambil ilham daripada gerakan rakyat dan pengalaman sejarah Iran itu sendiri. Pada 1979, rakyat Iran telah melancarkan satu perjuangan massa dan revolusi kelas pekerja yang telah berjaya menggulingkan pemerintahan kejam monarki Shah. Tetapi malangnya disebabkan oleh ketiadaan sebuah organisasi berpandukan revolusi yang memimpin massa dan dengan latar belakang perang dengan Iraq yang menyusuli, revolusi tersebut telah merosot dan jatuh ke tangan golongan birokrat ulamak yang menakluk kuasa pemerintahan. Pada 1988, dibawah sebuah kerajaan kuku besi yang tidak memberikan sebarang kebebasan bagi rakyat biasa, bank-bank besar dan institut kewangan swasta telah mula bertapak dan berkembang. Birokrat-birokrat kerajaan menggunakan sistem kewangan ini untuk mengumpul kekayaan yang melampau bagi diri mereka sendiri sambil menolak rakyat biasa ke dalam beban hutang.

Dalam masa kurang dari 3 dekad, industri kewangan Iran telah berkembang dan mengongkong sebahagian besar daripada ekonomi negara. Tetapi apabila berlakunya krisis kewangan global yang melanda Amerika dan Eropah pada 2008, kesannya telah mula dirasai di negara-negara lain termasuk Iran. Pada hujung tahun 2016 dan tahun lepas, satu demi satu bank swasta dan institut kewangan gergasi di Iran telah mula diisytiharkan muflis dan semua deposit rakyat biasa dianggap telah hilang. Kerajaan Iran pula mendapati diri mereka dihimpit dengan hutang federal lebih dari 55 bilion dolar Amerika dan menghadapi krisis ekonomi disebabkan kejatuhan harga minyak global.

Sebahagian daripada rakyat Iran sudahpun terlibat dalam protes terhadap praktik institut kewangan swasta sejak setahun lepas. Setiap minggu, sebuah perhimpunan dianjurkan di hadapan bank pusat dan protes ini mula berkembang dan merebak. Apabila Presiden Rouhani mengumumkan bajet 2018 yang melihat pemotongan perbelanjaan sosial rakyat yang besar dan peruntukkan kewangan yang banyak bagi institusi kewangan, institusi agama dan ketenteraan, ini telah mewujudkan kemarahan di kalangan rakyat miskin dan anak muda yang membalas dengan demonstrasi jalan raya besar-besaran.

Pada masa yang sama terdedahnya kelemahan dan penyelewengan industri kewangan, beberapa bahan bukti yang mendedahkan gejala korupsi yang berleluasa di kalangan kepimpinan kerajaan juga telah tersebar di kalangan rakyat. Ditambah dengan kondisi sosial yang merosot setiap tahun, pengangguran setinggi 40% di kalangan anak muda dan peningkatan gerakan buruh di kawasan-kawasan industri seperti di Arak telah menggerakkan rakyat biasa untuk berjuang demi masa depan mereka.

Potensi Gerakan Massa

Gelombang protes yang tercetus pada 28 Disember lalu walaupun diserang dengan kejam oleh pihak kerajaan,masih mampu berkembang ke daerah-daerah lain dan mempunyai potensi untuk mencetuskan satu lagi situasi revolusi di Iran. Rakyat biasa yang sedang berjuang juga sedang meningkatkan kesedaran mereka melalui semua perjuangan lampau dan masa ini. Berbeza daripada kebangkitan massa yang berlaku pada 2009, kali ini, semua protes massa telah dengan jelas menolak kepimpinan pihak pembangkang reformis yang seringkali juga terlibat dalam skandal korupsi yang jijik. Ini memberikan wajah bebas yang mempunyai potensi yang tinggi bagi gerakan ini untuk berubah menjadi cabaran politik yang serius terhadap penguasaan golongan korporat elit dan birokrat ulamak yang korup.

Akan tetapi, gerakan ini masih muda dan masih terdapat banyak kelemahan dikalangan kepimpinan gerakan yang tidak menghala ke arah jalan penyelesaian yang nyata. Ketiadaan sebuah organisasi atau parti revolusi yang jelas dengan hala tuju sedang mengakibatkan kekeliruan. Gerakan di jalan raya juga belum tercantum dengan gerakan di tempat kerja dan di pusat produksi barangan. Kilang, kesatuan sekerja, badan komuniti setempat dan institut pengajian belum mula terlibat dalam gerakan ini secara tersusun dan membina solidariti dikalangan rakyat tertindas. Mogok-mogok umum, terutamanya dalam sektor industri minyak sahaja akan berjaya membantutkan ekonomi negara dan menggulingkan kerajaan korup yang sedang mengancam kehidupan majoriti rakyat.

Golongan progresif yang berasal daripada tradisi perjuangan kelas pekerja dan revolusi harus memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan gerakan ini berdasarkan kepada pengalaman perjuangan kelas di Iran pada tahun 1979, 2009 dan perjuangan masyarakat Utara Afrika dan Timur Tengah pada revolusi Arab 2012. Semua perjuangan yang sedang terbentuk di tahap akar umbi haruslah disatukan dan mengambil langkah-langkah konkrit untuk menggantikan kuasa kerajaan birokrat dengan kuasa demokrasi kelas pekerja dan rakyat tertindas. Pada masa yang sama, kepimpinan gerakan ini juga harus menolak sebarang campurtangan kerajaan luar seperti Amerika Syarikat dalam hal ehwal gerakan rakyat Iran dan sebaliknya harus membina solidariti dengan kelas pekerja dari negara-negara jiran. Pastinya gerakan ini akan memerlukan sokongan dan solidariti daripada kelas pekerja sedunia, bukan daripada golongan elit minoriti kapitalis.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *