Pada awal Oktober ini, satu lagi parti politik baru yang bernama Parti Kuasa Rakyat telah membuat pengumuman untuk melancarkan parti mereka yang dijangka sedang bersiap sedia menghadapi PRU ke 15 yang bakal berlangsung. Berita ini telah menjadi sensasi apabila beberapa akhbar utama melaporkan bahawa Presiden parti baru ini merupakan abang kandung kepada Perdana Menteri ke 9 Ismail Sabri Yaakob.
Kebelakangan ini, kemunculan parti-parti politik baru tidak lagi asing di dalam politik negara yang sedang berada dalam krisis yang berpanjangan. Parti Pribumi Bersatu, Parti Bumiputera Perkasa, Parti Pejuang, Parti MUDA dan sekarang Parti Kuasa Rakyat semuanya ditubuhkan dalam kurang daripada 5 tahun. Ini bercanggah dengan sejarah politik tempatan yang telah didominasi oleh Barisan Nasional selama puluhan tahun sebelum jatuh pada 2018.
Krisis politik berpanjangan
Barisan Nasional berjaya memerintah tanpa cabaran selama berdekad-dekad lamanya disebabkan oleh perkembangan ekonomi negara pada waktu itu. Terutamanya pada 80an dan awal 90an, Malaysia yang dilabel sebagai sebahagian daripada ‘Ekonomi Harimau’, telah berjaya mencapai KDNK yang tinggi di samping menarik pelaburan asing dengan jumlah yang banyak. Ini memberi ruang kepada para pemimpin BN untuk mengelakkan sebarang krisis politik seperti yang dihadapi sekarang.
Tetapi, krisis ekonomi Asia Tenggara pada 1997 telah mengakibatkan sebuah krisis politik di seluruh rantau ini. Perpecahan di kalangan pemimpin UMNO pada waktu itu telah membawa kepada pembentukan sebuah koalisi politik pembangkang yang cukup kuat untuk mengakhiri dominasi BN selama 60 tahun pada 2018. Tetapi, walaupun wajah kepimpinan negara diubah, keadaan ekonomi yang bertambah teruk selepas krisis kewangan global pada 2007 sedang masih menghasilkan ketidaktentuan politik sehingga ke hari ini.
Sistem ekonomi kapitalisme dunia sedang menghadapi krisis demi krisis dan sedang semakin merosot setiap tahun. Tambahan pula dengan krisis pandemik Covid-19 dan krisis alam sekitar sedunia, ketempangan sistem kapitalisme yang berdasarkan kepada keuntungan korporat sudah terdedah kepada rakyat. Kemerosotan sistem kapitalisme ini juga tercermin di arena politik di mana perpecahan di kalangan parti-parti arus perdana sedang meningkat.
Pada 2016, PAS telah berpecah dan tertubuhnya Parti Amanah. Kemudian pada 2017, UMNO berpecah dan PPBM diwujudkan. Pada 2020 pula, PPBM pula berpecah dan mewujudkan 2 lagi parti baru, iaitu Pejuang dan MUDA. Pada masa yang sama, parti-parti seperti PKR dan UMNO juga tidak kukuh seperti dahulu dan perkelahian dalaman mereka boleh mewujudkan perpecahan politik yang baru.
Situasi krisis politik seperti ini sudahpun melanda banyak di antara negara-negara dunia sejak berlakunya Krisis Kewangan Global pada 2007/8. Malah negara-negara di Eropah, Amerika Selatan dan Timur Tengah masih sedang mengalami pergolakan politik dan sosial yang tiada kesudahan. Malaysia juga sudah melihat 3 Perdana Menteri baru dalam hanya 3 tahun. Pada masa yang sama, PM waktu ini, Ismail Sabri juga tidak mempunyai sokongan yang kukuh di kalangan ahli Parlimen yang sedang berpecah-pecah dan boleh digulingkan pada bila-bila masa sahaja.
Memandangkan keadaan ini, rakyat biasa sudah mula hilang harapan dengan pertubuhan-pertubuhan politik arus perdana yang tidak mengendahkan nasib mereka dan hanya mengutamakan posisi politik masing-masing. Oleh itu, situasi ini memberi ruang kepada ahli-ahli politik untuk mewujudkan parti-parti baru bagi menerampilkan diri mereka sebagai alternatif yang wajar dan untuk mendapatkan undi PRU dari rakyat biasa.
Jika diteliti, kebanyakan daripada barisan pimpinan parti-parti baru ini merupakan ahli-ahli politik yang sudahpun bergiat dengan salah satu parti arus perdana yang wujud. Kepimpinan Parti Kuasa Rakyat juga rata-rata terdiri daripada bekas ahli PKR, Amanah, MIC dan MCA dan kebanyakan daripada mereka pernah bertanding di PRU lepas dan gagal untuk mendapat sebarang kerusi. Oleh itu, mereka mewujudkan sebuah parti baru untuk cuba membawa cita-cita politik masing-masing ke hadapan.
Kepimpinan Parti Kuasa Rakyat
Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamaralzaman Yaakob dikatakan pernah menjadi ahli Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan meninggalkan parti tersebut bersama dengan bekas pemimpin PSRM dan penulis Kassim Ahmad pada awal 80an dan menyertai UMNO. Dia juga pernah bergiat di dalam Kelab Sosialis di Universiti Malaya pada tahun 1970an dan pernah menjadi aktivis mahasiswa pada waktu itu. Kamaralzaman dikatakan terlibat dalam protes di Baling, Kedah pada 1974 dan pernah dipenjara di bawah Akta Keselamatan Dalaman (ISA) selama 2 tahun. Walaupun begitu, pada waktu ini, hala tuju Parti Kuasa Rakyat adalah sangat mengelirukan dengan barisan kepimpinan yang merupakan ahli-ahli politik yang datang dari pertubuhan-pertubuhan yang rakus.
Tetapi ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Sudah berulang kali golongan liberal yang mendokong sistem kapitalisme telah memakai topeng ‘perjuangan’ atau ‘aktivisme’, dan melabel diri mereka sebagai ‘progresif’ semata-mata untuk merebut kuasa politik. Lihat sahajalah Parti Keadilan Rakyat yang dipenuhi dengan bekas-bekas aktivis, pejuang hak asasi, aktivis alam sekitar dan sebagainya. Akhirnya, apabila berkuasa, PKR sama seperti parti-parti lain, juga menjadi hamba kepada kehendak ahli-ahli perniagaan dan korporat kaya.
Parti Kuasa Rakyat juga sedang berusaha untuk menerampilkan diri mereka sebagai kononnya ‘progresif’ dan terbuka kepada semua kaum dan latar belakang, sama seperti PKR. Parti Kuasa Rakyat juga membawa retorik nasionalisme, marhaenisme dan isu-isu rakyat miskin, hampir sama dengan strategi Parti Keadilan Rakyat untuk memenangi PRU.
Menurut daripada beberapa temuramah yang diberikan oleh Presiden Parti, Parti Kuasa Rakyat ditubuhkan untuk memecahkan undi PKR di PRU yang akan datang bagi mengukuhkan posisi koalisi Barisan Nasional. Menurutnya lagi, parti ini bercita-cita untuk menggantikan Parti Gerakan, yang merupakan parti yang mempunyai keahlian ‘multi-etnik’ di dalam BN tetapi telah keluar daripada koalisi tersebut selepas gagal mendapat sebarang kerusi pada PRU lepas.
Ini merupakan posisi yang amat bercanggah dengan retorik Parti Kuasa Rakyat yang kononnya progresif dan ingin mendokong isu-isu warga miskin. Walaupun BN merupakan sebuah koalisi politik yang sudah terbukti sebagai korup dan gagal untuk meningkatkan taraf hidup rakyat biasa, kepimpinan Parti Kuasa Rakyat tidak mempunyai sebarang kritikan terhadap para pemimpin BN dan ingin menjalin kerjasama dengan mereka.
Kekosongan politik
Dalam situasi krisis politik yang berpanjangan ini, sememangnya terdapat satu kekosongan alternatif untuk rakyat miskin. Sebelum tahun 2018, rakyat biasa telah menaruh harapan ke atas Pakatan Harapan yang menonjolkan diri mereka sebagai alternatif yang bagus untuk menggantikan BN sebagai parti pemerintah. Tetapi, dua tahun pemerintahan PH telah mendedahkan bahawa mereka juga sebenarnya sama dengan BN, terutamanya dari sisi polisi-polisi ekonomi. Akibatnya, selepas kalah dalam Pilihan Raya Kecil berulang kali selepas 2018, akhirnya PH telah berjaya digulingkan dan BN telah kembali berkuasa di bawah nama koalisi PN.
Pada waktu ini kelas pekerja dan rakyat biasa yang sedang menghadapi krisis ekonomi tidak mempunyai sebarang harapan terhadap ahli-ahli politik yang berada di Parlimen. Parti-parti baru yang muncul pula semuanya terdiri daripada ahli-ahli politik yang sama yang mengambil rupa yang berbeza-beza. Semua parti baru ini tidak memberikan sebuah pendirian yang jelas berkenaan dengan sistem kapitalisme yang sedang menjahanamkan bumi dan program mereka untuk menyelamatkan rakyat biasa daripada krisis sistem kapitalisme.
Ini adalah kerana, walaupun dengan retorik yang berbunga-bunga, akhirnya semua parti ini merupakan pendokong sistem kapitalisme yang sedang meningkatkan kekayaan peribadi mereka. Oleh itu, walaupun menaburkan janji-janji manis kepada rakyat, parti-parti ini tidak mempunyai kebolehan untuk melanggar batasan yang ditetapkan oleh kelas kapitalis dan membawa kebajikan yang mencukupi kepada rakyat biasa. Sesudah mengambil alih kuasa, sama seperti PH, parti-parti ini akan kembali mengecewakan rakyat biasa dan memungkiri janji-janji PRU.
Alternatif sosialis
Kelas pekerja dan rakyat biasa sudah tidak boleh terus tertipu dengan helah daripada kelas kapitalis yang menubuhkan perwakilan-perwakilan politik baru untuk mengaburi mata kita semua. Hanya dengan mengubah sosok ataupun pertubuhan tertentu, rakyat biasa tidak akan dapat menikmati sebarang peningkatan ke atas taraf sosial mereka. Butiran yang penting merupakan program dan hala tuju parti yang jelas menentang agenda kelas kapitalis bagi mempertahankan kebajikan dan hak rakyat biasa.
Pada masa ini, negara kita tidak mempunyai sebuah parti yang benar-benar mewakili kepentingan majoriti iaitu kelas pekerja dan rakyat biasa. Oleh itu, pertubuhan-pertubuhan kelas pekerja seperti Kesatuan Sekerja, gerakan akar umbi rakyat dan organisasi anak muda haruslah menyatukan tenaga dan mewujudkan sebuah Parti Massa Kelas Pekerja yang lengkap dengan program-program rakyat dan jelas dengan hala tuju untuk menentang dominasi kelas kapitalis ke atas ekonomi dan politik kita semua.
Program sosialisme yang membawa tuntutan gaji kehidupan, kesihatan dan pendidikan percuma, hak untuk berkesatuan, kawalan kelas pekerja ke atas produksi, pengagihan kekayaan yang adil dan sebagainya merupakan sebuah program yang mampu merentasi garis kaum dan agama dan menyatukan semua rakyat miskin di bawah satu perjuangan. Kepimpinan kelas pekerja dan anak muda yang sedar haruslah mengambil tanggung jawab untuk membawa perjuangan sosialisme ke hadapan secara tersusun dan memperjuangkan masa hadapan yang lebih adil dan saksama bagi untuk semua.