Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Kerajaan Indonesia telah menghantar lebih 1000 orang askar dan memotong bekalan internet di Papua berikutan sebuah demonstrasi massa yang berpanjangan selama lebih satu minggu di rantau tersebut. Demonstrasi ini tercetus pada minggu lalu apabila pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan beberapa organisasi sayap kanan telah menganiaya beberapa mahasiswa Papua di Surabaya ( Java Timur ) dan melemparkan cemuhan berbentuk rasisme terhadap mereka. Ekoran itu, protes-protes massa telah mula tercetus di seluruh Indonesia, terutamanya di kawasan Papua itu sendiri dan tersebar sehingga ke Jakarta dan Bali. Para wartawan dan aktivis yang terlibat di dalam perjuangan masyarakat Papua sedang melaporkan bahawa ini merupakan aksi massa dan demonstrasi yang terbesar di rantau ini dalam berdekad dekad lamanya.

Peranan modal asing dan para kapitalis dalam penjajahan Papua

Papua Barat telah dipaksa menjadi sebahagian daripada Indonesia pada tahun 1969 melalui sebuah referendum yang diadakan hanya untuk 0.2% daripada populasi rakyat Papua pada masa itu. Badan-badan antara bangsa berkomplot sesama mereka untuk menyerahkan rantau Papua Barat kepada pemerintahan kerajaan Indonesia bagi menguruskan hal ehwal politik dan ekonomi mereka. Hasil bumi yang kaya di Papua yang sedang menjana KDNK yang tertinggi di Indonesia merupakan buruan utama bukan sahaja kapitalis tempatan, tetapi juga mendapat perhatian daripada kapitalis dunia. Para kapitalis antara bangsa ini yang juga merestui pemerintahan kuku besi di Indonesia di bawah diktator Suharto, ingin mengeksploitasi sumber alam di Papua melalui kuasa tentera Indonesia. Sebarang perjuangan pembebasan negara yang boleh menyukarkan proses eksploitasi ini di tumpaskan dengan menyumbat jutaan USD ke dalam kocek ahli politik dan melobi supaya penjajahan ini berterusan. Para kapitalis antara bangsa dan mahupun kapitalis nasional merupakan penyumbang utama dalam memastikan masyarakat Papua tidak akan bebas untuk menentukan hal ehwal ekonomi yang termasuk pengurusan sumber alam yang sangat menguntungkan bagi kelas pemodal. Lombong Grassberg yang dimiliki oleh syarikat Freeport dari Amerika Syarikat telah mula beroperasi 2 tahun sebelum perjanjian New York 1969 ataupun penjajahan paksa kerajaan Indonesia ke atas Papua berlaku, dan telah menyumbang ratusan jutaan USD ke arah kos operasi askar kerajaan Indonesia. Freeport yang memiliki lombong emas terbesar dan lombong tembaga ketiga terbesar dunia juga merupakan pembayar cukai terbesar di Indonesia dan telah menjalinkan hubungan yang rapat dengan pihak kerajaan.

Selain daripada syarikat galian seperti Freeport, banyak lagi syarikat gas asli gergasi dari UK, Canada, Sweden, Norway, Jepun sudah lama bertapak di Papua untuk menggondol hasil bumi di situ. British Petroleum dari UK baru-baru ini mengumumkan projek penggalian gas asli cair (LNG) gergasi yang sedang menghasilkan lebih 7.6 juta metrik tan setahun di Tangguh, Papua Barat. Usaha-usaha untuk menggandakan jumlah produksi ini sudahpun bermula pada masa ini. Tidak kurang juga angka syarikat-syarikat gergasi Indonesia yang sudah mula memiliki banyak di antara lombong dan pelantar gas asli di Papua, tetapi semua hasil ini hanya di nikmati oleh golongan pemodal dan pemilik syarikat yang kaya. Sebahagian daripada keuntungan ini juga di belanjakan demi operasi askar dan aparatus kerajaan lain yang sedang menjamin perjalanan yang lancar bagi syarikat-syarikat gergasi ini. Hasil keuntungan yang diperoleh daripada rantau Papua merupakan punca utama bantahan dan tindakan ganas pihak berkuasa kerajaan Indonesia terhadap sebarang gerakan menuntut pembebasan negara.

Lombong emas terbesar dan lombong tembaga ketiga terbesar dunia yang di miliki oleh syarikat Freeport dan Rio Tinto

Penindasan terhadap masyarakat Papua

Rantau yang memiliki salah satu sumber alam yang terkaya di dunia merupakan wilayah yang termiskin di Indonesia. Rakyat miskin hidup dalam keadaan yang sangat teruk dan melalui kehidupan yang tiada sebarang jaminan. Apa yang tinggal bagi majoriti rakyat Papua adalah alam sekitar yang tercemar akibat sisa toksik yang dibuang oleh syarikat-syarikat gergasi yang beroperasi di sana. Kehidupan jutaan masyarakat miskin terganggu dengan masalah pencemaran dan pembalakan yang semakin berleluasa. Tambahan pula, penindasan pihak kerajaan Indonesia di Papua juga meningkat kebelakangan ini. Mengikut satu laporan, dikatakan hampir 6400 orang telah ditahan sebagai tahanan politik dan ramai di kalangan mereka telah di seksa dengan kejam pada tahun 2016 sahaja. Ratusan lagi akan ditahan dan di aniaya di dalam demonstrasi-demonstrasi yang sedang tercetus pada waktu ini. Manakala, syarikat-syarikat gergasi seperti Freeport, BP dan Rio Tinto (Australis) sedang menggondol segala harta sumber alam Papua dengan restu dan sokongan jentera kerajaan Indonesia untuk berdekad-dekad lamanya. Rakyat Papua yang menentang penetapan ekonomi yang didominasi oleh golongan pemodal dari dalam dan luar negara ini telah ditindas dengan teruk dan telah mengalami serangan berunsur perkauman dari organisasi nasionalis sayap kanan dan kelas pemerintah Indonesia selama ini.

Insiden terbaru yang tercetus berhampiran dengan Hari Kemerdekaan Indonesia bersangkut paut bukan sahaja dengan layanan buruk dan rasisme yang diterima oleh rakyat Papua daripada organisasi nasionalis, tetapi juga mencerminkan aspirasi rakyat Papua untuk memperjuangkan hak untuk menentukan nasib sendiri dalam menguruskan ekonomi dan politik mereka. Rakyat Papua sudah lama sedar bahawa kerajaan Indonesia merupakan hamba kepada peraturan pasaran bebas dan imperialisme kapitalis, yang hanya bergerak demi keuntungan pihak pemodal kaya dan bukanlah kebajikan rakyat biasa.

Sama seperti di dalam konflik-konflik yang pernah tercetus sebelum ini, Tentera Indonesia di bawah arahan kerajaan telah menyerang rakyat Papua yang sedang berdemonstrasi dengan ganas dan tanpa belas kasihan. Bendera ‘bintang pagi’ atau ‘bintang kejora’ yang menjadi simbol perjuangan nasional rakyat Papua telah diharamkan dan ramai di antara para aktivis yang pernah mengibarkan bendera itu telah dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun. Walaupun begitu, para demonstran dari seluruh Indonesia telah melancarkan protes-protes massa dengan mengibarkan bendera tersebut dan melaungkan slogan ‘kami bukan merah putih’ ( warna bendera Indonesia ), meluahkan bantahan mereka terhadap jajahan Indonesia ke atas Papua. Selama lebih 50 tahun, kerajaan Indonesia telah menindas, menganiaya dan menjajah rakyat Papua dan menafikan hak mereka untuk menentukan nasib mereka sendiri. Hingga ke hari ini, dilaporkan bahawa hampir lima ratus ribu orang telah terkorban akibat keganasan tentera Indonesia yang cuba mencantas perjuangan pembebasan nasional Papua yang melibatkan jutaan rakyat biasa.

Walaupun pihak berkuasa telah mendakwa bahawa mereka telah berjaya mengawal keadaan di Papua, demonstrasi di beberapa kawasan masih sedang berlanjutan ke hari ini. Pihak kerajaan yang menggunakan kekerasan untuk meredakan keadaan di beberapa tempat sedang mendapat penentangan yang hebat dari massa dan pada masa yang sama cemuhan daripada organisasi-organisasi hak asasi dari seluruh dunia. Hampir sama seperti pendekatan yang digunakan oleh Perdana Menteri India terhadap masyarakat Kashmir, Jokowi yang juga gentar dengan kebolehan internet untuk mendedahkan keganasan dan ketidakadilan yang sedang berlaku di Papua selama ini mengambil keputusan untuk memotong bekalan internet di sana. Dengan tergopoh-gopoh, kerajaan Indonesia cuba menggelapkan imej dan berita penindasan yang kejam oleh pihak askar Indonesia dan cuba mengalihkan fokus rakyat kepada beberapa insiden kemusnahan harta benda yang dilakukan oleh segelintir daripada para demonstran. Kemudahan komunikasi yang penting ini dianggap sebagai mampu menyebarkan perjuangan rakyat Papua ke seluruh dunia untuk menekan kerajaan Indonesia untuk membebaskan masyarakat Papua dan menarik balik tentera yang digunakan untuk menjajah rakyat di sana.

Walaubagaimanapun, didalam kes Papua dan banyak lagi tempat yang sedang mengalami nasib yang sama seperti masyarakat Papua, badan-badan antara bangsa seperti UN yang juga berpihak kepada para kapitalis, langsung tidak mengendahkan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku di sana selama ini. Pelbagai NGO dan organisasi hak asasi manusia sudah menghantar petisyen yang mengandungi jutaan tanda tangan berulang kali, hanya untuk ditolak setiap kali dan kerajaan Indonesia yang menindas diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat Papua. Ini juga mendedahkan kelemahan dan kegagalan pendekatan NGO yang telah menghadkan usaha mereka untuk mencari solusi hanya melalui institusi-institusi global yang dikawal oleh para kapitalis itu sendiri.

Perjuangan untuk menentukan nasib sendiri

Dengan hasil sumber bumi yang kaya dan tenaga kelas pekerja dan petani yang gigih di Papua, sebuah kerajaan yang mewakili rakyat biasa mampu membawa gaji kehidupan untuk pekerja, hak perumahan yang cukup, pendidikan dan kesihatan percuma yang berkualiti dan menjamin sebuah kehidupan yang bermaruah bagi semua. Tetapi, kerajaan tersebut haruslah benar-benar diwakili oleh rakyat biasa dan berpaksikan kepada aspirasi dan keperluan rakyat biasa. Sebuah Papua yang bebas tidak boleh didirikan di bawah sistem kapitalisme yang mempraktikkan politik yang berat sebelah dan berlandaskan kepada keuntungan para pemodal kaya. Jika para kapitalis kembali mendominasi ekonomi Papua seperti sedia ada, segala hasil bumi dan tenaga rakyat akan terus di eksploitasi bagi memenuhi nafsu keuntungan segelintir kaya dan kebajikan atau aspirasi jutaan rakyat biasa akan lenyap begitu sahaja.

Kami menyokong penuh perjuangan masyarakat Papua untuk menentukan nasib mereka sendiri, dan disamping itu juga menyeru kepada rakyat Papua untuk memastikan bahawa impian mereka tercapai selepas mereka memperoleh pembebasan nasional. Di pelbagai contoh perjuangan nasional rakyat tertindas di dalam sejarah, seperti yang berlaku di East Timur, golongan pemerintah yang mengambil alih kekuasaan kerajaan di dapati untuk terus menindas rakyat disebabkan terpaksa akur kepada peraturan pasaran bebas. Party Fretilin di Timor-Leste pernah dianggap sebagai sebuah parti kiri yang mampu membawa sebuah pembaharuan kepada kehidupan rakyat. Tetapi, disebabkan oleh tekanan daripada pihak kapitalis dunia dan tempatan, parti tersebut telah mencairkan program dan bergerak untuk menubuhkan sebuah negara yang terbelenggu dengan kawalan modal asing. Walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih 17 tahun lalu, rakyat biasa masih menghadapi tekanan ekonomi dan sosial, dan Timor-Leste masih merupakan antara negara termiskin di Asia. Dalam pada itu, para kapitalis dari Australia, New Zealand, Canada dan sebagainya terus menggondol kekayaan hasil galian minyak yang ditemui di perairan pulau Timor.

Kapitalisme dunia yang belum pulih dari krisis ekonomi 2007 kini dijangka akan menghadapi sebuah krisis ekonomi yang baru dan mungkin lebih parah dengan perang dagang dan konflik geopolitik. Dalam suasana ekonomi ini, sebuah pemerintahan yang dikuasai oleh golongan kapitalis dan dengan peraturan pasaran bebas tidak mampu membuat reformasi yang bermakna dan mengubah kehidupan masyarakat Papua. Perjuangan rakyat Papua adalah berkait rapat dengan sistem pengagihan kekayaan yang tidak adil di bawah ekonomi kapitalisme yang sedang menindas semua kelas pekerja dan rakyat miskin dari seluruh dunia. Para pekerja Indonesia juga sedang melihat taraf hidup mereka semakin terhakis dengan kos kehidupan yang tinggi, infrastruktur yang lemah, kekurangan kebajikan daripada kerajaan, peluang pekerjaan yang terbatas dan kemerosotan alam sekitar.

Rakyat Papua harus memastikan bahawa kerajaan bagi negara harapan mereka haruslah bersedia untuk menentang tekanan para kapitalis dan mengamalkan perancangan ekonomi bagi memastikan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama. Pada masa yang sama sebuah kerajaan yang mampu membawa manfaat kepada rakyat majoriti – kelas pekerja, petani miskin dan rakyat tertindas yang lain- haruslah dibentuk melalui sistem yang demokratik dan melalui penyertaan aktif dari massa. Tanpa penyertaan dan kawalan demokratik dari massa, para kapitalis akan cuba mempengaruhi sebarang bentuk kerajaan untuk berpihak kepada mereka dan mengabaikan aspirasi dan keperluan rakyat biasa.

Kerajaan Indonesia yang sedang menindas masyarakat Papua juga sedang menindas jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa Indonesia dengan membiarkan pengurusan ekonomi negara di dominasi dan di kawal oleh para kapitalis dari dalam dan luar negara. Perjuangan rakyat Papua untuk menentukan nasib sendiri haruslah di lihat oleh organisasi kiri dan kelas pekerja Indonesia sebagai sebuah perjuangan kelas, yang sedang berhadapan dengan musuh yang sama dengan semua rakyat tertindas, iaitu para kapitalis yang berselindung di belakang ahli politik seperti Jokowi atau Prabowo.

Membina perpaduan di kalangan kelas pekerja untuk memajukan perjuangan masyarakat Papua

Kelas pekerja Papua merupakan kuasa sosial yang paling penting di dalam pergolakan yang sedang berlaku di rantau tersebut. Pada waktu ini, satu-satunya cara untuk memenangi kebebasan daripada penjajah adalah dengan menyeru kepada kelas pekerja Papua dan Indonesia untuk memberikan sokongan kepada tuntutan ekonomi masing-masing dan menjalinkan hubungan solidariti yang kukuh di kalangan mereka. Hanya dengan aksi bersama kelas pekerja dari kedua-dua negara akan mampu menghindar kuasa tentera Indonesia dan kuasa kapitalis dunia dari terus menindas rakyat Papua dengan ganas. Sebuah kerajaan Papua yang bebas haruslah menjanjikan sokongan solidariti yang berterusan dengan perjuangan kelas pekerja di Indonesia. Kelas pekerja yang sedang menghadapi penindasan yang sama daripada pihak berkuasa dan kapitalis kaya mampu menjalinkan silaturahim di antara mereka berdasarkan perjuangan bersama.

Kelas pekerja Indonesia harus menyokong perjuangan nasional rakyat Papua dan pada masa yang sama berganding bahu menentang penindasan para kapitalis dan ahli-ahli politik yang mendukung sistem kapitalisme di kedua-dua negara itu. Kelas pekerja yang merupakan penggerak ekonomi mampu memimpin rakyat tertindas ke arah perjuangan yang berjaya menentang kapitalisme. Melalui jutaan kelas pekerja tersusun secara demokratik, sebuah kerajaan yang benar-benar berfungsi untuk keperluan majoriti boleh di bina di samping mendapat pembebasan daripada cengkaman penjajah.

Para mahasiswa dan organisasi kiri yang sedang melancarkan protes bagi mengatakan solidariti kepada masyarakat Papua juga harus menyeru kepada kelas pekerja daripada kedua-dua Papua dan Indonesia untuk melancarkan aksi-aksi industri. Mereka harus membawa isu-isu berkaitan politik kepada kelas pekerja dan menyeru supaya semua organisasi pekerja untuk bergabung dan mengambil alih kepimpinan bagi gerakan sosial yang sedang berkembang. Aksi-aksi industri seperti mogok umum akan memberikan impak yang mendalam kepada keuntungan pihak pemodal dan melemahkan cengkaman ekonomi mereka ke atas Papua. Aksi tersusun daripada kelas pekerja dan massa bukan sahaja boleh melumpuhkan ekonomi negara dan pada masa yang sama melemahkan kerajaan yang sedia ada, ia juga boleh mendapat sokongan daripada kelas pekerja dari Indonesia, di rantau Asia Tenggara dan antarabangsa. Aksi-aksi massa yang melibatkan kelas pekerja yang teratur akan memberikan pengalaman dan kesedaran bagi jutaan pekerja mengenai kuasa sebenar yang di miliki mereka apabila mereka boleh bersatu dan peranan mereka dalam gerakan sosial rakyat. Kelas pekerja yang tersusun dan mempunyai kawalan terhadap produksi merupakan satu-satunya kelas sosial yang mampu menjadi kerajaan yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat.

Segala usaha untuk melibatkan Kesatuan Sekerja dan organisasi buruh dalam perjuangan rakyat Papua haruslah bermula. Kepimpinan Kesatuan Sekerja haruslah ditekan untuk memberikan solidariti kepada perjuangan kelas pekerja di Papua yang sedang ditindas dengan teruk oleh kerajaan kapitalis Indonesia. Bukan sekadar hanya memberikan sokongan, malah mereka harus bergerak di dalam aksi-aksi mogok dan protes di tempat kerja dan di jalanan bagi menekan pihak berkuasa dari melepaskan cengkaman mereka ke atas Papua. Melalui solidariti di antara para pekerja, usaha pihak kerajaan Indonesia untuk melemahkan perjuangan rakyat Papua akan terganggu dan boleh menjurus kepada kemenangan bagi jutaan rakyat tertindas. Pada masa yang sama, aspirasi semua rakyat tertindas untuk sebuah kehidupan yang bebas dari eksploitasi, rasisme dan penindasan mampu dicapai.

Alternatif Sosialisme

Sosialisme merupakan satu-satunya solusi yang mampu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Papua yang terperangkap dalam kerangka ekonomi kapitalisme. Namun, perjuangan ke arah sosialisme memerlukan sebuah kepimpinan yang mempunyai hala tuju yang jelas, mampu membina sokongan melalui program sosialis yang mengangkat aspirasi kelas tertindas dan menjamin nilai demokrasi yang memberikan inisiatif kepada rakyat biasa untuk menyertai politik.

Massa yang sedang terlibat dalam gerakan-gerakan sosial memerlukan sebuah kepimpinan yang jelas untuk mencari sebuah jalan penyelesaian. Jutaan kelas pekerja dan rakyat biasa yang sudah terdedah dengan realiti kehidupan di bawah sistem kapitalisme akan teruja dengan sistem ekonomi sosialisme yang akan membawa pusat-pusat produksi besar seperti lombong, kilang-kilang dan pelantar minyak di bawah pemilikan awam dan di kawal oleh rakyat secara demokratik. Dengan mengambil alih pemilikan segala sumber alam dan sumber tenaga kerja rakyat daripada kawalan syarikat-syarikat gergasi yang dimiliki oleh segelintir individu, kelebihan nilai yang dihasilkan oleh kelas pekerja dan rakyat biasa boleh di gunakan untuk meningkatkan kebajikan sosial rakyat majoriti.

Sistem ini juga haruslah bebas dari birokrasi dan dibina dengan mengutamakan nilai demokrasi. Sosialisme seringkali digambarkan sebagai sebuah sistem yang kuku besi oleh pelopor-pelopor kapitalis, tetapi ianya tidak benar. Parti Bolshevik yang menubuhkan negara kelas pekerja yang pertama di Soviet Russia bukan sahaja melihat kenaikan taraf kehidupan bagi ratusan juta rakyat biasa, mereka juga telah menikmati hak-hak demokratik yang jauh lebih progresif jika dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan dunia kapitalis hari ini. Kemerosotan demokrasi di Soviet Union dengan kemunculan Stalinisme merupakan sesuatu yang malang dan menjadi pengajaran yang penting bagi organisasi revolusioner dunia supaya kesilapan-kesilapan yang lepas tidak berulang kembali. Walaupun ekonomi terancang Soviet masih berjaya meningkatkan taraf hidup bagi jutaan rakyat biasa, birokrasi Stalisnisme yang terbentuk di dalam sistem politik telah menyekat potensi sebenar sosialisme daripada berkembang.

Jika kelas pekerja berjaya membawa sebuah ekonomi terancang di Papua berdasarkan kawalan demokratik dari rakyat biasa, ini bukan sahaja akan memberikan impak kepada perjuangan kelas pekerja dari rantau Asia Tenggara, malah kelas pekerja dari seluruh dunia akan terkesan. Kelas pekerja sedang menjadi mangsa kepada krisis-krisis ekonomi yang terjadi tanpa sebarang penglibatan mereka dan hanya berpunca daripada para kapitalis yang memuja sistem pasaran bebas. Walaupun jutaan rakyat miskin terpaksa menanggung beban kemelesetan ekonomi dan hutang negara, para kapitalis di dapati sedang meningkatkan kekayaan mereka pada kadar yang bersejarah. Revolusi sosialis yang berjaya di Papua akan mewujudkan sebuah gerakan kelas pekerja dan massa dari Asia dan dari seluruh dunia yang sedang mencari alternatif yang mampu memulihkan kondisi sosial mereka yang sedang merosot di bawah kepimpinan yang sedia ada.

Bagi membawa solusi sosialisme, kewujudan sebuah organisasi revolusioner adalah sangat penting. Organisasi ini harus menyedari bahawa kelas pekerja merupakan kelas revolusioner yang mampu untuk memimpin seluruh masyarakat ke arah perubahan sosial. Oleh itu, sebuah organisasi revolusioner harus sentiasa cuba untuk membina kepimpinan kelas pekerja yang secara sedar boleh melawan sistem kapitalisme untuk digantikan dengan sosialisme. Walaupun kelas pekerja yang tersusun sudahpun wujud dalam angka yang banyak di Papua dan di Indonesia, belum ada kepimpinan yang berjaya menyatukan mereka ke arah perubahan sistem dengan program yang kukuh. Parti PRD yang memainkan peranan utama dalam menjatuhkan diktator Suharto sudahpun tenggelam dalam politik parlimen dan gagal untuk mengekalkan sebarang sokongan daripada kelas pekerja. Kepimpinan Kesatuan Sekerja yang ada juga tidak menunjukkan sebarang kejelasan politik dan hanya menghadkan perhatian mereka terhadap kebajikan para pekerja sektor masing-masing.

Sebaliknya, mereka harus bergabung tenaga di bawah sebuah program sosialis, iaitu, para pekerja harus memiliki pusat produksi dan hasil kerja mereka sendiri secara kolektif dan di bahagikan kepada komuniti secara demokratik, rakyat massa dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat hak demokratik dan suara penuh dalam hal ehwal perancangan pembangunan tempatan, sistem politik yang demokratik dan berdasarkan kepada kawalan kelas pekerja dan rakyat biasa, gaji kehidupan yang terjamin bagi semua pekerja, sistem kesihatan dan pendidikan percuma yang berkualiti dan terbuka kepada semua, sistem perumahan awam yang cukup dan selesa, kegiatan ekonomi yang lestari dan memelihara alam semula jadi yang menjadi tempat tinggal bagi pelbagai suku kaum di Papua dan di Indonesia, dan sebagainya.

Anak muda dan kelas pekerja di Indonesia dan di Papua yang sedar mengenai keperluan sebuah alternatif sosialisme di negara mereka haruslah dengan segera menubuhkan sebuah organisasi revolusioner yang berlandaskan kepada perjuangan kelas pekerja. Sebuah parti massa yang terdiri daripada kelas pekerja yang tersusun dan pertubuhan komuniti setempat haruslah di bina melalui program-program sosialis.

Tuntutan kami

Kami dari Sosialis Alternatif mendukung perjuangan rakyat Papua untuk menentukan nasib sendiri. Kami juga menuntut supaya keganasan pihak berkuasa terhadap rakyat Papua yang sedang berjuang haruslah dihentikan dengan serta merta dan semua anggota Tentera Nasional Indonesia dan badan berkuasa kerajaan Indonesia haruslah ditarik balik dari Papua. Kami juga menyeru kepada semua organisasi kelas pekerja, kumpulan-kumpulan anak muda dan organisasi berhaluan kiri untuk mengangkat isu masyarakat Papua dan bantah penindasan yang sedang menimpa mereka.

-Sokong pembebasan Papua untuk mentadbir secara berdikari di bawah kuasa dan kawalan rakyat dan pekerja secara demokratik.

-Tarik balik kuasa tentera yang ditempatkan di Papua Barat bagi menindas rakyat atau mencantas sebarang gerakan progresif dari kelas pekerja atau aktivis sosial.

-Menyeru kepada rakyat untuk tidak terhasut dalam isu perkauman mahupun agama serta bersolidariti dengan mana-mana masyarakat awam, mahasiswa, dan aktivis dalam perjuangan rakyat Papua.

-Menyeru kepada kepimpinan Kesatuan Sekerja dari kedua-dua Papua dan Indonesia serta di rantau Asia Tenggara dan antarabangsa untuk bersolidariti dengan perjuangan rakyat Papua.

-Lancarkan mogok-mogok umum untuk melemahkan kekuasaan kapitalis di rantau Papua dan Indonesia sambil menyedarkan kekuasaan dan peranan kelas pekerja dalam gerakan sosial.

-Bagi sebuah alternatif sosialis untuk rakyat Papua dan Indonesia supaya dapat membebaskan diri daripada belenggu kapitalisme yang menindas, serta kearah pembinaan federasi sosialisme di Asia Tenggara dan antarabangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *