Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Tahun 2020 telah dilanda dengan pelbagai berita buruk yang telah memberi kesan kepada ekonomi, politik dan keadaan sosial jutaan penghuni dunia. Bermula dengan kejatuhan harga minyak dan disusuli pula dengan pandemik Covid-19 yang telah membawa malapetaka kesihatan, dunia kini sedang menghadapi sebuah krisis ekonomi global yang terburuk sejak 1930an.

Unjuran BNM pada November lepas melaporkan bahawa KDNK negara akan jatuh ke negatif 3.5% ke negatif 5.5% pada tahun lepas dan nilai KDNK dianggarkan akan jatuh sebanyak 18%. Pandemik Covid-19 yang telah memaksa kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau ‘lockdown’ telah membawa kerugian sebanyak RM 42 Bilion sehari untuk ekonomi negara. Tambahan pula dengan gelombang kedua penyebaran virus Covid-19, kes Covid tempatan sedang melonjak naik tanpa kawalan.

Melihat pada pertumbuhan KDNK negara untuk beberapa tahun lepas, ekonomi negara tidak dapat mencatatkan pertumbuhan yang memuaskan akibat kemerosotan eksport dan permintaan untuk bahan mentah seperti sawit dan getah. Pertumbuhan ekonomi yang berlaku untuk beberapa tahun kebelakangan ini hanya dipacu melalui perkembangan ekonomi domestik, sektor perniagaan dan perusahaan sederhana dan kecil. Malangnya, ketibaan Covid telah memberikan kesan yang mendalam ke atas sektor-sektor tersebut dan mengheret seluruh ekonomi negara ke arah kemelesetan.

Di samping itu, sektor pelancongan juga telah runtuh sepenuhnya termasuk beberapa syarikat penerbangan gergasi yang sedang mengalami kerugian besar. Di samping itu, ribuan peniaga kecil telah kehilangan punca pendapatan mereka dan kadar pengangguran juga sedang menggunung. Baru-baru ini Perkeso mengeluarkan sebuah laporan bahawa kadar kehilangan kerja telah meningkat sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan tahun lepas. Oleh kerana laporan ini hanya meliputi pencarum Skim Insurans Pekerja, jauh lebih ramai pekerja ‘freelance’, pekerja kontrak dan peniaga kecil telah kehilangan kerja mereka dan tidak termasuk di dalam statistik ini. Walaupun tanpa mengambil kira para pekerja tersebut, kadar pengangguran negara adalah di tahap yang paling buruk sejak 1970an.

Adakah Ekonomi Negara Mampu Dipulihkan Pada Tahun 2021?

Kerajaan Malaysia, sama seperti kerajaan-kerajaan dunia yang lain, telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit sebagai dana untuk menampung perbelanjaan tambahan akibat pandemik Covid dan untuk melaksanakan pakej-pakej rangsangan ekonomi untuk cuba memacu pertumbuhan ekonomi. Setakat ini, lebih 300 Bilion dari rizab awam sudah pun dibelanjakan dengan harapan untuk mengawal penyebaran virus tersebut. Tambahan pula, Bajet tahun ini yang memakan belanja sebanyak RM322 Bilion melihat peruntukan dana yang paling besar dalam sejarah negara.

Pihak kerajaan sedang berhujah bahawa peruntukan yang besar dan pelbagai insentif untuk ekonomi domestik dari Bajet 2021 akan memacu ekonomi negara untuk bertumbuh sebanyak 7.5% pada tahun ini. Tetapi, melihat kepada situasi waktu ini, unjuran ini merupakan sesuatu yang tidak berasas dan terlalu optimis.

Setakat ini, sebarang bantuan yang disalurkan kepada rakyat adalah serba tidak mencukupi dan kebanyakan daripada dana yang diperuntukkan oleh kerajaan sedang dihirup oleh kelas majikan dan korporat besar. Percubaan pihak kerajaan untuk mengelakkan peningkatan kadar pengangguran dengan memberikan insentif kepada majikan untuk tidak membuang pekerja mereka langsung tidak membawa kesan yang positif untuk ekonomi. Kelas majikan hanya menerima program bantuan kerajaan seperti Program Subsidi Upah dan seringkali melanggar syarat program tersebut dan memotong tenaga kerja mereka dengan mudah. Hasilnya, ratusan ribuan pekerja telah dibuang kerja dan jutaan lain telah dipotong gaji dalam tempoh masa kurang dari satu tahun.

Kelonggaran-kelonggaran seperti moratorium pembayaran hutang bank juga sudah ditamatkan pada tahun lepas dan beban rakyat sudah kembali meningkat. Pada waktu ini, kerajaan sedang mengharapkan agar wang simpanan pekerja sendiri dapat menampung beban ekonomi yang sedang dirasai oleh rakyat melalui program seperti I-Lestari dan I-Sinar yang membenarkan pengeluaran wang simpanan KWSP secara berperingkat. Bantuan Prihatin Rakyat yang sangat sedikit, di kebanyakan kes tidak mencecah gaji bulanan pekerja, langsung tidak mengambil kira nasib sebanyak 400 ribu pekerja yang telah kehilangan kerja semenjak pandemik Covid-19 telah tercetus.

Pihak kerajaan juga didapati sangat boros dalam membelanjakan dana bantuan Covid dan telah memberi bantuan kecemasan kepada korporat-korporat besar yang sedang dalam kerugian. Misalnya, syarikat Air Asia telah menerima bantuan hutang yang di jamin oleh kerajaan Malaysia sebanyak RM 1 Bilion walaupun syarikat itu menghentikan lebih dari 2000 pekerja mereka. Insentif kepada syarikat-syarikat swasta seperti ini yang merugikan para pekerja dan rakyat biasa akan terus memberi impak yang negatif terhadap pertumbuhan ekonomi domestik yang diharapkan untuk menyelamatkan ekonomi negara. Perniagaan kecil dan sederhana yang amat bergantung dengan kelas pekerja dan rakyat biasa akan terjejas akibat peningkatan pengangguran dan kadar kemiskinan di kalangan rakyat.

Kerajaan sedang berharap agar krisis Covid-19 ini akan dapat dikawal dan aktiviti ekonomi dapat dipulihkan dalam masa yang cepat. Oleh itu, hanya selepas kes Covid sudah mencecah lebih 3000 kes sehari, pihak kerajaan dengan teragak-agak melaksanakan kembali PKP ataupun ‘lockdown’. Strategi untuk melengahkan pelaksanaan kawalan pergerakan boleh membawa padah, seperti mana yang berlaku di negara-negara lain yang melihat penyebaran kes Covid secara tidak terkawal. Kapasiti kemudahan kesihatan negara kita juga sudah semakin terbeban dan menghampiri had pada waktu ini.

Jika pandemik ini dapat di kawal dan vaksin Covid dapat diedarkan kepada populasi dengan lancar, maka sebuah pertumbuhan ekonomi yang sederhana akan dapat dirasai. Malah pada pertengahan tahun 2020 apabila perniagaan dibenarkan untuk beroperasi semula, sememangnya terdapat sedikit pertubuhan dalam ekonomi negara. Malangnya selepas kluster Covid dari Sabah dan penyebaran virus di kalangan pekerja migran berlaku, situasi ekonomi sudah kembali merosot dan sedang dipenuhi dengan tanda tanya.

Walaupun pengeluaran vaksin yang menunjukkan keberkesanan telah memberikan harapan dan nafas baru kepada para kapitalis dunia, tetapi, sebarang pertumbuhan yang berlaku pada masa hadapan tidak akan mampu untuk memadam segala kerugian yang dialami pada waktu ini. Kebanyakan pelopor ekonomi dunia sedang meramalkan sebuah pertumbuhan yang sederhana dan perlahan untuk satu dekad yang akan datang. Malangnya, ini juga merupakan unjuran yang bersifat terlalu optimis dan gelombang kes Covid yang terbaru, mutasi virus Covid dan krisis ekonomi dunia yang menyusul sedang mengukir sebuah masa depan yang malap bagi jutaan rakyat.

Realitinya, situasi ekonomi dunia, termasuk ekonomi Malaysia yang bergantung dengan ekonomi global adalah dalam keadaan yang tidak menentu seperti retak menanti belah. Walaupun sebelum ketibaan pandemik Covid-19 yang bermula pada akhir tahun 2019, keadaan ekonomi dunia sudah pun menjadi perlahan dan merosot dengan drastik. Hutang dunia sudah mencecah 260 trilion Dolar Amerika dan kadar permintaan ekonomi telah jatuh mendadak. Semua negara-negara pengeksport telah mengalami penyusutan dalam pengeluaran dan perdagangan. Amerika Syarikat dan China terlibat dalam sebuah perang perdagangan bagi merebut pasaran-pasaran yang tinggal dalam ruang ekonomi yang semakin mengecil. Walaupun tanpa pandemik Covid-19, ekonomi dunia dan tempatan akan menjurus ke arah sebuah krisis yang parah.

Tetapi, pandemik ini telah merosotkan lagi keadaan berlipat kali ganda. Hutang dunia telah meningkat sebanyak 15 trilion Dolar AS sejak permulaan tahun 2020 dan dijangka akan melonjak ke 277 trilion Dolar AS secara keseluruhan. Di kalangan negara-negara maju, hutang mereka telah meningkat ke 432% daripada KDNK. Negara-negara membangun pula mencatatkan hutang sebanyak 248% daripada KDNK dengan Malaysia merupakan antara negara yang mengalami peningkatan hutang dari sektor bukan kewangan yang tertinggi di dunia, seiring dengan Lebanon, China dan Turki.

Mengambil kira semua faktor ini, masa depan ekonomi kapitalis dunia dan negara nampaknya sangat malap dan penuh dengan krisis-krisis baru.

Kecamuk Politik Akibat Krisis Kapitalisme

Keadaan ekonomi yang terumbang ambing juga mewujudkan krisis politik di mana-mana negara di dunia. Di Malaysia, koalisi Pakatan Harapan yang memegang kerajaan untuk jangka masa kurang dari 2 tahun telah jatuh akibat perpecahan dalaman dan diambil alih oleh Perikatan Nasional yang juga penuh dengan percanggahan dan dalam keadaan yang tidak stabil. Kerajaan PH yang telah memungkiri segala janji pilihan raya mereka dan memperkecilkan keperluan rakyat biasa telah bertambah kurang popular dan akhirnya menjadi mangsa golongan oportunis yang mempergunakan peluang ini untuk mengangkat kuasa. PPBM dan PM Muhyiddin telah berjaya mengekalkan kuasa kerajaan mereka sehingga ke hari ini disebabkan oleh keadaan pandemik Covid-19 yang tidak mengizinkan sebuah PRU dalam masa terdekat.

Kerajaan PN juga sedang menuju ke arah kejatuhan dan kehilangan sokongan dari komponen utama mereka iaitu UMNO. Walaupun UMNO dan PPBM mempergunakan masing-masing untuk menjatuhkan PH daripada tampuk kuasa, akhirnya mereka mula bertelingkah antara satu sama lain dalam isu pengagihan kerusi dan kuasa kerajaan. Ramai di kalangan kepimpinan UMNO berasa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin dan merasakan bahawa koalisi PN tidak akan membawa sebarang manfaat kepada kedudukan politik mereka. Tambahan pula, kejatuhan hukuman penjara berdasarkan skandal rasuah terhadap beberapa pemimpin UMNO yang prominen seperti bekas PM Najib Razak juga mengundang rasa curiga dan kurang senang dari kalangan pemimpin UMNO lain.

PM Muhyiddin sedang cuba untuk mewujudkan sebuah parti berdasarkan etnik majoriti Melayu yang bebas dari skandal rasuah dan berupaya untuk bersaing dengan UMNO. Ini juga merupakan pendirian yang serupa dengan bekas PM Mahathir Mohammad yang telah digulingkan dan dibuang dari parti yang diasaskannya sendiri. PPBM yang hanya mendapat 10 kerusi parlimen di PRU lepas telah berjaya menggandakan kerusi mereka ke 25 dengan menerima anggota parti UMNO yang melompat masuk ke PPBM. Oleh itu, para kepimpinan UMNO sedang khuatir dengan gerak geri PPBM dan sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan ini dengan tujuan untuk memaksa sebuah PRU dalam masa yang terdekat.

Pertelingkahan antara UMNO dan PPBM telah terdedah pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada September tahun lalu. Walaupun berjaya mengalahkan parti Warisan dengan tipis, konflik antara parti UMNO dan Bersatu dalam merebut jawatan Menteri Besar dan kerusi-kerusi DUN telah jelas dilihat apabila mereka bertembung di sebanyak 17 kerusi di PRN tersebut. Selepas itu, pengumuman ketua Parti Rakyat Keadilan, Anwar Ibrahim yang mengisytiharkan sokongan untuk menubuhkan kerajaan baru juga mendedahkan bahawa terdapat perancangan di belakang tabir untuk menggulingkan PM Muhyiddin dari pihak UMNO. Baru-baru ini, konflik di antara UMNO dan PPBM juga meruncing apabila majoriti daripada ketua cabang UMNO mendeklarasi bahawa mereka menolak sebarang kerjasama dengan parti PPBM.

Sebelum kerajaan baru PN tertubuh, komponen parti daripada BN dan parti PAS telah menjalinkan kerjasama di beberapa Pilihan Raya Kecil di atas nama Muafakat Nasional dan telah berjaya meraih sokongan undi daripada rakyat. MN yang juga di sokong oleh MCA dan MIC telah berjaya mengalahkan calon PH di majoriti daripada PRK yang telah berlangsung semenjak PRU lepas. Oleh itu, parti-parti seperti UMNO, MIC, MCA dan PAS sedang merasa yakin bahawa sebuah PRU ke-15 akan membawa kemenangan kepada koalisi MN.

Tetapi, deklarasi darurat yang diumumkan baru-baru ini akan memberi sedikit ruang kepada PM Muhyiddin untuk berpegang pada kuasa dan menangguhkan PRU sekurang-kurangnya sehingga bulan Ogos tahun ini. Tambahan pula, PM Muhyiddin dan parti PPBM akan mempergunakan darurat ini untuk meningkatkan kuasa polis dan tentera bagi mengelakkan sebarang tindakan balas dari sebarang pihak yang menentang mereka.

Kedudukan politik bagi parti-parti bekas kerajaan PKR, DAP, AMANAH dan serpihan daripada perpecahan PPBM seperti Parti Pejuang Tanah Air yang diasaskan oleh bekas PM Mahathir dan Parti Muda yang diasaskan oleh bekas Menteri Belia Syed Sadiq adalah sangat tidak menentu. Mereka kini menjadi sekadar penonton dalam drama politik yang sedang di dominasi oleh UMNO dan PPBM.

Agenda ‘reformasi’ yang menjadi simbol dan kempen bagi koalisi PH kini sudahpun di lupakan dan komponen koalisi tersebut sedang berunding dengan semua pihak, tidak kira UMNO ataupun PAS demi merebut kuasa dalam kerajaan yang akan menggantikan kerajaan masa ini. Walaubagaimanapun, dengan peningkatan kes Covid yang mendadak, ianya tidak pasti jika sebuah PRU akan dapat diadakan tanpa halangan daripada institusi raja ataupun kerajaan PN.

Rakyat biasa yang sedang menghadapi beban ekonomi dan kemiskinan sedang semakin muak dengan permainan politik pihak elit yang sedang asyik untuk merebut kuasa tanpa mengendahkan nasib  jutaan rakyat biasa. Tambahan pula, ahli-ahli politik juga sedang mempergunakan sentimen perkauman untuk memecahbelahkan rakyat dalam situasi yang genting ini dan mempergunakan situasi darurat ini untuk menguatkan kedudukan politik dan ekonomi masing-masing. Kerajaan PN pada waktu ini juga didominasi oleh para pemimpin yang langsung tidak mencerminkan demografi negara.

Pandemik Mendedahkan Kepincangan Sistem Ekonomi dan Politik Kapitalis

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah mendedahkan semua kelemahan sistem kesihatan, ekonomi dan politik di bawah aturan kapitalisme. Kerajaan dan semua institusi swasta bukan sahaja tidak berupaya untuk mencari penyelesaian kepada isu yang menghantui rakyat, malah mereka seringkali memburukkan lagi keadaan. Walaupun rakyat biasa merana dengan pengurangan gaji dan kehilangan kerja, kelas majikan kaya pula sedang mempergunakan situasi kecemasan untuk meningkatkan keuntungan mereka. Syarikat Top Glove misalnya telah meraih peningkatan keuntungan sebanyak 1500% pada tahun ini dan tidak di kenakan sebarang cukai tambahan. Manakala, akibat tindakan melanggar SOP oleh majikan Top Glove yang tidak menyediakan penempatan yang selamat bagi pekerja migran, kes Covid di Malaysia telah kembali meningkat dengan mendadak.

Sama seperti Top Glove, banyak diantara syarikat-syarikat gergasi sedang menerima kelonggaran dan kebajikan dari pihak kerajaan dan sedang meningkatkan kekayaan mereka. Pada masa yang sama, masa depan kelas pekerja dan rakyat biasa yang akan terkesan akibat kemerosotan ekonomi dunia belum mendapat sebarang jaminan terhadap kehidupan mereka. Jutaan pekerja yang bakal kehilangan kerja tidak mempunyai sebarang jalan untuk mencari nafkah seharian dan pihak kerajaan juga belum menawarkan sebarang bantuan yang substantif.

Bukan sekadar kerajaan PN, malah semua kerajaan yang pernah memimpin negara ini telah sentiasa menyebelahi kelas majikan dan syarikat korporat kaya dan meminggirkan keperluan rakyat biasa. PH juga telah mendedahkan sifat sebenar mereka selepas menduduki kerajaan selama 2 tahun tanpa membawa sebarang perubahan yang positif kepada kehidupan kelas pekerja dan masyarakat miskin. Oleh itu, walaupun dilanda dengan bencana pandemik dan krisis ekonomi, segala beban hutang dan kos untuk menangani krisis tersebut akan diletakkan ke atas bahu rakyat biasa manakala kekayaan kelas kapitalis dan minoriti kaya akan dijamin. Tidak ada satu pun parti politik arus perdana yang benar-benar ingin memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat biasa.

Kapitalisme Tidak Boleh Diharapkan Lagi, Bina Sosialisme Demi Masa Depan Masyarakat

Walaupun para kapitalis sedang meningkatkan kekayaan dalam situasi krisis ini, secara umumnya sistem kapitalisme sedang menuju ke arah sebuah keruntuhan yang tidak dapat dielakkan. Walaupun penemuan Vaksin sedang memberikan sedikit harapan, sebarang pertumbuhan yang boleh berlaku pada tahun ini adalah sangat terhad dan tidak akan memulihkan ekonomi dunia sepenuhnya. Malah, terdapat pelbagai persoalan berkenaan dengan pengedaran dan pengagihan vaksin kepada masyarakat dunia, terutamanya negara-negara miskin yang tidak mempunyai infrastruktur yang mencukupi. Apa yang pasti, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan proses keruntuhan sistem ini dan pada masa yang sama juga telah mendedahkan segala kelemahan dan kepincangan sistem ekonomi kapitalisme.

Tetapi, walaupun sistem ini sudah menghampiri ajalnya, ia tidak akan runtuh dengan sendiri. Ia memerlukan sebuah perjuangan daripada kelas pekerja dan rakyat secara tersusun, dengan membawa program dan hala tuju politik alternatif kepada sistem kapitalisme. Sistem kapitalisme yang hanya berfungsi demi segelintir minoriti kaya tidak akan menyelesaikan semua masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat biasa. Bagi menjaga aspirasi dan hak rakyat massa, kita harus memperjuangkan sistem sosialisme yang meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan di susun secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa.

Walaupun kemarahan terhadap sistem kapitalisme sudah wujud di kalangan masyarakat, tetapi semua pertubuhan rakyat seperti kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kepimpinan organisasi akar umbi sedang mendiamkan diri dalam waktu krisis yang sedang menggugat kehidupan semua rakyat. Tidak ada sebarang tuntutan ataupun program dari pihak MTUC untuk menuntut dana kebajikan yang secukupnya bagi para pekerja dan rakyat biasa yang terkesan akibat pandemik Covid dan krisis ekonomi. Jika kepimpinan kelas pekerja mula bersuara dan menyusun anggota mereka untuk menuntut sebuah perubahan, pastinya ia akan meraih sokongan padu daripada rakyat. Tetapi, akibat mementingkan kedudukan diri sendiri yang selesa, semua kepimpinan rakyat yang ada tidak berupaya untuk melakukan sebarang tindakan.

Kelas pekerja dan rakyat biasa tidak boleh berlengah lagi. Sepertimana kelas kapitalis yang mempunyai pelbagai perwakilan politik di Parlimen, kita juga memerlukan sebuah organisasi massa yang memperjuangkan nasib kita sebagai kelas pekerja dan rakyat biasa. Semua pertubuhan rakyat seperti Kesatuan Sekerja dan organisasi akar umbi haruslah menyatukan tenaga dengan rakyat biasa dan anak muda untuk menubuhkan sebuah kepimpinan politik yang boleh membawa sebuah gerakan yang mencabar sistem kapitalisme dan menggantikannya dengan sistem sosialisme yang demokratik dan mengutamakan rakyat biasa. Tahun-tahun yang akan datang akan penuh dengan pelbagai percanggahan yang akan meningkatkan kemarahan rakyat terhadap sistem ini. Kita sebagai kelas pekerja dan rakyat biasa haruslah mempersiapkan diri dengan sebuah perspektif dan hala tuju perjuangan yang jelas bagi menghadapi situasi yang bakal berlangsung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *