Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Pada waktu ini, keruntuhan sosio-ekonomi disebabkan oleh pandemik Covid19 yang sedang mencetuskan sebuah krisis ekonomi dalam sistem kapitalisme global telahpun dirasai di setiap benua. Ini boleh menyebabkan sebuah situasi kemelesetan ekonomi yang berpanjangan dengan unsur-unsur kemurungan yang tidak pernah dilihat dalam sejarah sistem kapitalisme. Kejatuhan harga minyak mendadak yang untuk pertama kalinya mencatatkan harga negatif di Amerika Syarikat mencerminkan kejatuhan dalam permintaan global yang sudahpun bermula sebelum pandemik Covid19 tersebar. Pada waktu ini, tidak ada pasaran untuk menjual bahan galian seperti petroleum dan pengusaha minyak sanggup untuk membayar syarikat lain untuk mengambil komoditi tersebut akibat kehabisan tempat simpanan minyak. Situasi ini juga menunjukkan bahawa terdapat pengeluaran petroleum yang banyak dan tidak terkawal, walaupun permintaan global sedang menurun. Kejatuhan harga minyak juga akan membawa malapetaka kepada negara-negara pengeluar minyak yang amat bergantung dengan ekspot minyak di Timur Tengah, Venezuela, Russia dan lain-lain. 

Kesan krisis Covid19 dan kemelesetan ekonomi di negara-negara neo-kolonial di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin sedang menimbulkan pergolakan-pergolakan massa dan beberapa negara sedang mengalami keruntuhan sosial yang sangat parah. Pada masa yang sama, krisis ini juga sedang mengancam negara-negara imperialis besar seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan China. Sepertimana yang dijelaskan di kenyataan-kenyataan kami sebelum ini, krisis ini telah mendedahkan kelemahan sistem sosial yang dibina berdasarkan kapitalisme dan perpecahan kelas yang wujud di dalam masyarakat kapitalis. Percanggahan di antara kelas kapitalis dan kelas pekerja akan hanya meningkat dan terdedah dalam minggu-minggu yang akan datang, apabila krisis pandemik ini berubah menjadi krisis ekonomi yang teruk. Perjuangan-perjuangan ke arah revolusi dan penyelewengan dari kuasa-kuasa kontra-revolusi akan menjadi ciri penting yang akan membentuk masa hadapan semua. Pengakhiran kepada pandemik Covid19 ini juga akan menandakan permulaan bagi sebuah dunia baru yang penuh dengan ketidakseimbangan kuasa global dan hubungan-hubungan geo-politik yang baru. 

Berikutan kelemahan ekonomi Amerika Syarikat, dan kekuatan dan perkembangan ekonomi China akan membentuk keseimbangan kuasa yang baru dalam hubungan geo-politik dunia. Sepertimana Amerika Syarikat telah muncul dengan kedudukan ekonomi yang lebih kuat selepas kemurungan ekonomi yang berlaku pada tahun 1930-an, pada waktu ini, China mempunyai peluang untuk mencabar keunggulan ekonomi AS dan mengukuhkan kedudukan mereka. Berikutan, hubungan-hubungan antarabangsa yang baru akan mula dibentuk. Ini bukan sahaja akan berlaku di antara Amerika Syarikat dan China, malah juga akan melibatkan Eropah dan kuasa-kuasa serantau di Asia, Afrika dan Amerika Latin. 

Dalam situasi persaingan yang semakin sengit, Amerika Syarikat sedang meneruskan sekatan perdagangan ke atas Iran, Venezuela dan Cuba. Malah, pentadbiran AS sedang mengancam negara-negara yang menerima bantuan daripada Cuba dengan sekatan-sekatan perdagangan. Dengan menggunakan alasan untuk memerangi dadah, kerajaan AS juga sedang menghantar angkatan tentera laut mereka ke Venezuela untuk membantu pihak pembangkang kerajaan yang sedang berkomplot untuk menggulingkan rejim Maduro. 

Keparahan krisis ekonomi ini telahpun dihuraikan dengan jelas di dalam ramalan ekonomi yang keluar baru-baru ini. IMF ( Dana Kewangan Antarabangsa ) sendiri telah mengurangkan semua ramalan pertumbuhan ekonomi mereka. Ia meramalkan penyusutan dalam ekonomi-ekonomi dunia utama dalam skala yang tidak pernah dilihat dalam sejarah. Rata-rata, kebanyakkan daripada negara maju akan mengalami kejatuhan pertumbuhan sebanyak 6%, sepertimana yang berlaku di China yang sedang mengalami penyusutan sebanyak 6.8% sejak permulaan krisis ini pada akhir tahun lepas. Walaupun jika China berjaya memulihkan ekonomi mereka pada akhir tahun ini, ia masih lagi akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang paling sedikit dalam hampir 60 tahun! 

Krisis yang menghadapi imperialis Amerika Syarikat

Kesan yang paling besar daripada krisis ini sedang dirasai di pusat utama imperialisme dunia, iaitu di Amerika Syarikat ; krisis-krisis ekonomi, politik dan sosial merupakan titik perubahan bagi negara-negara imperialis besar. Itulah yang berlaku dalam kemerosotan kuasa imperialis British selepas perang dunia pertama 1918 yang telah mencetuskan pertempuran kelas dengan prospek revolusi di dalam dan luar empayar tersebut. 

Amerika Syarikat sedang melangkah ke arah era baru yang akan dipenuhi dengan polarisasi dan pertempuran di antara kelas dan akan menyaksikan kebangkitan kelas pekerja yang berkuasa dan bergerak demi kepentingan kelas mereka sendiri. Seperti yang dilihat di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, polarisasi politik secara besar-besaran akan menjadi sebahagian dari proses ini dan merangkumi unsur-unsur perang saudara yang pernah memainkan peranan dalam sejarah pembinaan masyarakat AS. 

Krisis ini diburukkan lagi dengan kerenah Trump yang hanya ingin mempergunakan situasi krisis ini demi kepentingan politik diri sendiri sehingga menyalurkan informasi yang tidak tepat dan membahayakan nyawa rakyat biasa. Tindakan Trump yang didorong dengan keinginan untuk memenangi pilihan raya Presiden dan untuk memberi kelonggaran kepada perniagaan untuk terus beroperasi sedang mengakibatkan penyebaran wabak yang tidak terkawal dan kematian dalam angka yang banyak. Pada waktu ini, ‘angka rasmi’ kes Covid19 di AS sudah melebihi 700 ribu orang dan lebih 40 ribu nyawa sudahpun terkorban. New York sahaja sudah mencatatkan lebih dari 15 ribu kematian dan seramai 4 orang pekerja keretaapi sedang mati setiap hari akibat Covid19. Angka-angka ini adalah berpunca daripada sistem perubatan AS yang sepenuhnya dikawal oleh industri swasta dan ketiadaan infrastruktur awam bagi menghadapi kecemasan ini. Oleh itu, rakyat AS pada waktu ini sedang menuntut supaya semua institusi perubatan swasta di milik negara dengan serta merta bagi menampung keperluan kesihatan semua rakyat. 

Kelas pemerintah dari seluruh dunia perlu didakwa sebagai penjenayah kerana tindakan mereka yang tidak bertanggunjawab dalam menghadapi pandemik ini. Ahli saintis dan pihak-pihak lain sudah berulang kali mengingatkan pemimpin dunia bahawa sebuah krisis seperti ini boleh berlaku pada bila-bila masa, terutamanya dengan pengalaman wabak virus SARS pada tahun 2002-2003, Flu Burung dari 2003-2007, Flu Babi pada tahun 2009, virus Mers pada tahun 2012, dan wabak Ebola 2013-20016. Di AS sahaja, sudah terdapat puluhan laporan yang sudah memberi amaran berkenaan kekurangan bekalan dan peralatan perubatan untuk menghadapi krisis dalam skala yang besar. 

Bagi mengelakkan keruntuhan ekonomi secara keseluruhan, Trump telah terpaksa untuk meluluskan sebuah pakej rangsangan ekonomi bernilai 2.3 trilion dolar AS, sebuah angka pakej rangsangan yang belum pernah dilihat dalam sejarah AS. Akibatnya, seramai 43 ribu orang jutawan telah menerima sumbangan sebanyak 1.6juta setiap seorang! Tetapi, ini tidak semestinya akan meredakan keadaan dan memulihkan ekonomi kapitalis yang sedang menjunam. Maka, Trump dan sekutu-sekutu kapitalis di tampuk pemerintahan AS sedang cuba untuk melonggarkan perintah kurungan (lockdown) yang sedang memberikan kesan buruk kepada keuntungan perniagaan dengan secepat mungkin. Beberapa ahli politik sudahpun mula berhujah supaya perniagaan dan korporasi di AS harus dilindungi daripada ancaman ‘lockdown’ ini. Sepertimana yang diperhati di negara-negara lain seperti di Sweden dan Singapura, langkah-langkah sebegini mempunyai kesan yang buruk di mana penularan virus ini dapat merebak semula dengan cepat selepas perniagaan dibuka kembali secara pra-matang. 

Kesengsaraan manusia yang teramat parah

Seperti di negara-negara lain, kemelesetan ekonomi di AS sedang mengakibatkan malapetaka bagi jutaan kelas pekerja dan rakyat miskin. Kadar pengangguran sedang naik mendadak dengan sangat cepat. Pada minggu pertengahan bulan April, seramai 5.2 juta pekerja dilaporkan telah hilang kerja. Dalam satu bulan sahaja, seramai 22 juta pekerja telah mendaftarkan diri sebagai penganggur. Ini belum mengambil kira jutaan lagi yang belum mendapat peluang untuk mendaftarkan diri. Selepas krisis ekonomi 2008/9, walaupun banyak pekerjaan bergaji rendah dan kontrak jangka masa pendek telah diwujudkan, krisis ini telah melenyapkan semua pekerjaan tersebut. Terdapat beberapa pengulas ekonomi arus perdana sedang mendakwa bahawa AS akan menghadapi kadar pengangguran sebanyak 30% dalam krisis ini – sebuah angka yang tidak pernah dilihat dalam sejarah AS dan akan memberikan impak yang sangat besar. 

Di samping itu, AS juga sedang dilanda dengan krisis perumahan dan mempunyai seramai 500 ribu gelandangan. Terdapat hampir 100% peningkatan dalam penggunaan bank-bank makanan atau program bantuan makanan. Dijangkakan bahawa seramai 17 juta rakyat akan bergantung dengan bantuan makanan seperti ini dalam beberapa bulan lagi. Di San Antonio misalnya, terdapat hampir 10 ribu orang berbaris untuk menerima bantuan makanan setiap hari. Tempat yang mengeluarkan makanan bagi 60 ribu orang sebelum ini sedang mencari sumber untuk mencapai permintaan yang sudah berganda ke 120 ribu orang pada waktu ini. 

Semua ini berlaku akibat pengagihan kekayaan yang tidak adil dan peningkatan jurang kekayaan antara orang kaya dan miskin yang telah berlaku untuk beberapa dekad lalu. Walaupun AS mencapai peningkatan KDNK sebanyak 79% sejak tahun 1980, tetapi ini tidak berjaya meningkatkan kekayaan bagi majoriti daripada pekerja miskin. Sebaliknya, kelas majikan kaya dan CEO syarikat besar telah melihat kekayaan mereka meningkat sebanyak lebih 420% dalam jangka masa yang sama. 

Ini merupakan keadaan ekonomi dan sosial yang akan memprovokasi gerakan rakyat ke arah revolusi. Ianya tidak hairan apabila para pekerja yang sedang berjuang, seperti pekerja Amazon, telah menggunakan perkataan ‘revolusi’ untuk menyimpulkan aspirasi mereka. Para pekerja di AS sedang memainkan peranan kepimpinan bagi memastikan hak dan keselamatan pekerja di lindungi di dalam jangka masa krisis ini dengan aksi-aksi industri seperti mogok. Pekerja di General Electrics pula melancarkan mogok untuk menuntut pihak syarikat mengubah produksi dan memulakan pengeluaran ‘ventilator’ (alat pernafasan) yang amat diperlukan dalam krisis ini. Tindakan pekerja GE ini memajukan lagi idea untuk membawa semua industri pengeluaran produksi dan kewangan di bawah kawalan dan penguasaan kelas pekerja secara awam bagi membuat perancangan untuk menghadapi krisis ini. 

Trump, Louis XVI dan Tsar

Krisis ini juga telah menajamkan konflik di antara lapisan kelas pemerintah yang berbeza, aparatus politik serta perwakilan mereka. Hala tuju Trump yang semakin celaru dan tidak menentu sedang berkelakuan seakan Louis XVI di Peranchis sebelum Revolusi Peranchis pada 1789 ataupun seperti Tsar di Russia sebelum Revolusi Russia 1917.Kelas kapitalis, di peringkat antarabangsa, sedang menghadapi krisis ini dengan kepimpinan ahli-ahli politik yang paling berbahaya dan tidak boleh dipercayai – Trump di AS, Bolsonaro di Brazil, Modi di India, Johnson di Britain dan yang lain. Ini mencerminkan bahawa kelas pemerintah sudahpun mula kehilangan kawalan ke atas struktur politik di beberapa negara, yang boleh membawa bahaya kepada penguasaan mereka, terutama dalam krisis sebesar ini. 

Trump pada masa ini sedang mengancam bahawa dia dan sekutunya akan menentukan tarikh pemulihan kembali ‘lockdown’ (perintah kurungan) tanpa persetujuan daripada kerajaan-kerajaan negeri. Berikutan itu, gabenor New York, Cuomo dan enam lagi gabenor dari negeri-negeri utara sedang membentuk satu jawatankuasa yang bertujuan untuk melanggar arahan Presiden dan mengkordinasi tempoh perkurungan ini sesama mereka di peringkat negeri. Konflik yang meruncing ini sedang menjurus ke arah usaha Trump untuk menangguh persidangan Kongres untuk mendapatkan kuasa penuh bagi mempercepatkan pembukaan semula semua perniagaan dan memulihkan kawalan ke atas pergerakan rakyat.

Kelumpuhan ekonomi AS yang dramatik, kesan pandemik yang tidak menentu dan kegagalan Trump untuk menangani isu ini dengan efektif sedang mewujudkan tanda tanya jika Trump akan dapat memenangi pilihanraya Presiden untuk penggal kedua pada bulan November ini. Tetapi, sama seperti pilihanraya sebelum ini, Trump masih boleh memenangi pilihanraya Presiden walaupun dengan kekalahan undi popular akibat sistem pengundian yang tidak adil dan berat sebelah. Trump hanya perlu menumpukan perhatian untuk memenangi beberapa negeri dengan pengundi yang banyak yang mempunyai delegasi yang lebih besar daripada negeri-negeri lain. Trump boleh menggunakan situasi krisis ini untuk mewujudkan polarisasi di kalangan rakyat dan mencuri sebuah kemenangan di pilihanraya yang akan datang. 

Demokrat korporat memilih Biden

Pada masa yang sama, calon parti Demokrat adalah Joe Biden yang telah berjaya mengalahkan Bernie Sanders untuk menjadi pilihan parti itu. Biden merupakan calon utama dari golongan korporat dan wakil kelas kapitalis yang terbuka. Pada waktu ini, Biden telah mendapat sokongan dari bekas Presiden Barrack Obama, calon Presiden Elizabeth Warren dan kini Bernie Sanders yang sedang berusaha untuk menyatukan parti Demokrat bagi mengalahkan Trump. 

Pada waktu ini, parti Demokrat sedang menyeru kepada rakyat AS untuk mengundi Biden demi mengalahkan Trump. Keinginan untuk mengalahkan Trump yang merupakan seorang Presiden yang sangat korup adalah sangat kuat di kalangan kelas pekerja dan anak muda di mana mereka akan sanggup untuk menyokong Biden yang juga merupakan wakil kapitalis dan mempunyai skandal-skandal rasuah. 

Sosialis memahami sentimen ini dan akan menyokong segala usaha untuk mengalahkan Trump. Tetapi, pada masa yang sama, ia juga sangat penting supaya kita menjelaskan bahawa parti Demokrat dan Joe Biden yang merupakan perwakilan kelas kapitalis tidak akan menawarkan sebarang jalan keluar daripada krisis yang sedang dihadapi. Biden tidak akan mengambil sebarang langkah untuk menamatkan pemerintahan kelas kapitalis oligarki atau mempertahankan kepentingan kelas pekerja. Tidak kira siapa pemenangnya, pergolakan massa dan krisis-krisis besar akan pastinya muncul sejurus selepas pilihanraya.

Tetapi, kempen pilihanraya Biden yang sangat lemah dan tidak membawa sebarang dorongan kepada anak muda dan kelas pekerja juga mewujudkan tanda tanya jika dia mampu mengalahkan Trump. Jika Biden terus menunjukkan kelemahan ini, ada juga kemungkinan bahawa parti Demokrat akan mengubah calon mereka kepada orang seperti gabenor New York, Cuomo, yang sedang menunjukkan sedikit kepimpinan dalam krisis pandemik Covid19 ini. 

Sanders mensia-siakan peluang sekali lagi

Untuk kali kedua, Sanders telah melepaskan peluang untuk berpecah dari parti Demokrat dan memimpin perjuangan kelas pekerja dan rakyat AS ke arah pembinaan sebuah parti kelas pekerja yang independen. Pada 2016, Sanders mengarahkan penyokongnya mengundi untuk Hilary Clinton. Pada tahun ini, dia mengulangi kesilapan yang sama. Jika Sanders telah mengambil langkah untuk memutuskan hubungan dengan parti Demokrat dan memulakan pembinaan sebuah parti kelas pekerja yang independen sejak tahun 2016, kemungkinan besar sudah ada satu kuasa rakyat yang bukan sahaja dapat menangani krisis yang dihadapi, malah dapat menjatuhkan pemerintahan Trump.

CWI secara konsisten telah membawa perspektif bahawa kelas pekerja di AS memerlukan sebuah parti kelas pekerja yang bebas dari pengaruh parti Demokrat dan korporat kaya. Malangnya, banyak di antara organisasi kiri seperti SA dan DSA telah mengambil keputusan untuk menaruh sokongan di belakang Bernie Sanders tanpa sebuah kritikan yang jelas. Mereka telah mencairkan program mereka sendiri dan telah memberikan sokongan kepada beberapa ahli parti Demokrat yang mengangkat retorik sosialisme. Ini telah mewujudkan kekeliruan dan perpecahan dalaman di kalangan organisasi kiri ini apabila Sanders telah mengambil keputusan untuk menyokong calon korporat Biden dan meminggirkan gerakan-gerakan yang terbina di AS. 

Sebuah parti baru untuk kelas pekerja dan anak muda hanya boleh dibangunkan melalui perjuangan dari rakyat massa, termasuk perjuangan politik yang menolak kedua-dua parti perwakilan kapitalis yang menduduki tampuk pemerintahan. Ini adalah masanya untuk melancarkan perjuangan tersebut. Malangnya, Sanders telah melepaskan peluang keemasan ini. 

Ramai di kalangan organisasi dan gerakan kiri berhujah bahawa mereka perlu memasuki parti Demokrat dan mengemudi parti itu menjauhi kepentingan pihak korporat dan mendekati perjuangan rakyat biasa. Tetapi, pengalaman kempen pilihanraya Bernie Sanders yang melihat pelbagai jenis serangan dan sabotaj, membuktikan bahawa ianya mustahil untuk mengubah parti Demokrat yang di kuasai oleh kelas kapitalis untuk mula berjuang demi rakyat biasa. Struktur-struktur kuasa yang sudah lama terbina di dalam parti tersebut akan menghalang segala usaha yang mencabar kekuasaan kelas kapitalis korporat yang merupakan nadi utama bagi parti Demokrat. 

Sebuah parti pekerja baru dengan program sosialis diperlukan segera

Kejutan dan pergolakan ini menimbulkan persoalan-persoalan mengenai penubuhan sebuah parti baru oleh kelas pekerja AS. Di bawah situasi krisis yang dihadapi sekarang, dan dengan mengambil kira watak masyarakat AS, proses itu dapat berkembang dengan sangat cepat sekali jika dimulakan. Kesatuan sekerja dan penyokong kempen Sanders dapat memainkan peranan penting dalam mengambil langkah-langkah untuk membentuk sebuah parti seperti itu. Proses ini mungkin tidak akan bermula di peringkat persekutuan (nasional), terutamanya memandangkan sifat birokratik dan korupsi yang berleluasa di peringkat kepimpinan kesatuan sekerja. Di peringkat negeri dan bandar sebaliknya, sebuah inisiatif tempatan yang melibatkan pekerja dan ahli biasa kesatuan (rank and file) dapat dikembangkan dengan jayanya. Sekiranya ini berlaku, ia kemudian dapat berkembang ke peringkat persekutuan.

Di AS, sosialisme sudahpun menjadi sebuah idea yang sering diketengahkan sebagai alternatif kepada sistem kapitalisme. Tetapi, sentimen umum ini haruslah di isi dengan tuntutan-tuntutan yang konkrit dan program untuk mengantikan sistem kapitalisme dengan alternatif sosialis yang demokratik. Kebangkitan kelas pekerja sebagai kelas yang mampu untuk memimpin dan mengubah masyarakat sudah mula dirasai di seluruh dunia. Dalam situasi krisis, peranan dan tanggung jawab kelas pekerja sebagai kepimpinan sebenar masyarakat yang mampu membawa umat manusia keluar dari krisis-krisis yang sedang dihadapi akan menjadi lebih jelas. Ahli CWI di Amerika Syarikat, Kumpulan Sosialis Bebas ISG, akan melibatkan diri secara aktif dalam perkembangan sejarah ini untuk membantu kelas pekerja membuat kesimpulan mengenai perlunya parti yang mewakili kepentingan mereka sendiri, dan perlunya sebuah program sosialis untuk mengalahkan kapitalisme di Amerika Syarikat sebagai langkah pertama untuk menubuhkan sebuah masyarakat sosialis sedunia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *