Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak Diperkasa, Pekerja Lebih Dilindungi
Penyelarasan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dengan Akta Buruh 1955 telah diwartakan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 28 April 2025, berkuatkuasa pada 1 Mei 2025.
Perubahan |
Sabah (Amendment 2025) |
Sarawak (Amendment 2025) |
Gaji minimum |
RM1,700 bagi syarikat lebih dari 5 pekerja, berkuatkuasa pada 1 Februari 2025; bagi syarikat kurang dari 5 pekerja, gaji minimum RM1,700 mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2025. |
|
Waktu kerja mingguan |
Dikurangkan dari 48 jam ke 45 jam seminggu – majikan wajib membayar pekerja sekiranya pekerja kerja lebih masa mengikut kiraan yang ditetapkan. |
|
Cuti bersalin |
Ditambah dari 60 hari ke 98 hari yang berbayar. |
|
Cuti paterniti |
Diberi pelepasan cuti 7 hari yang berbayar. |
|
Waktu bekerja anjal |
Pekerja boleh memohon dan majikan wajib menjawab dengan cara bertulis dalam tempoh yang munasabah. |
|
Aduan diskriminasi/gangguan seksual |
Diselaraskan mengikut Seksyen 81F–81H daripada pindaan Akta Buruh 1955 pada Januari 2023. |
|
Hak perumahan |
Diselaraskan mengikut Akta 446 — majikan wajib menyediakan kemudahan perumahan yang selamat dan bersih untuk pekerja yang memerlukan. |
|
Larangan buruh kanak-kanak |
Diselaraskan mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350). |
|
Hak keselamatan di tempat kerja |
Mengikut Seksyen 15 OSHA, majikan wajib menyediakan sistem kerja, mesin dan tempat kerja yang selamat, menjalankan HIRARC — hazard identification, risk assessment & control. Menyediakan maklumat, latihan & pengawasan keselamatan untuk pekerja, memastikan akses dan fasiliti kebajikan seperti tandas disediakan. |
|
Cuti umum wajib |
Cuti 5 hari yang berbayar (termasuk “Malaysia Day”) iaitu:
|
Cuti 6 hari berbayar (termasuk “Malaysia Day” dan “Sarawak Independence Day”) iaitu:
|
Majikan wajib membayar pekerja mengikut kiraan yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja untuk cuti umum wajib sekiranya pekerja bekerja pada hari cuti umum wajib. |
Majikan yang melanggar undang-undang buruh boleh dikenakan tindakan denda tidak kurang dari RM10,000 untuk setiap kes pekerja ataupun penjara paling kurang 2 tahun jika gagal memberikan kerjasama. Perubahan ini harus disambut baik oleh pekerja, persoalannya kini adalah pelaksanaan oleh kelas majikan dan penguatkuasaan kerajaan terhadap majikan yang enggan memberi kerjasama. Sudah tentu pekerja boleh melaporkan kesalahan undang-undang di Jabatan Tenaga Kerja daerah masing-masing, tetapi keculasan majikan untuk memberikan hak yang seadilnya dan sistem kerajaan yang birokratik adalah satu norma dalam sistem kapitalis yang hanya mementingkan kelas majikan.
Penguatkuasaan Akta Kerja 1955 yang lemah
Mengikut laporan media utama pada tahun 2023, sejumlah RM2.17 juta kompaun telah dikenakan keatas lebih 250 majikan atas kesalahan berkaitan pemotongan gaji tidak sah, gagal menyediakan kontrak kerja dan slip gaji, serta gagal mematuhi perintah gaji minimum. Apapun ini hanyalah laporan media utama. Kes-kes lain yang tidak dilaporkan seperti penyelewengan wang caruman KWSP pada tahun 2020 yang mana 1,278 majikan diambil tindakan undang‑undang sivil atas tunggakan caruman melibatkan RM40.07 juta jumlah caruman yang tertunggak. Daripada itu, 588 kes mendapat penghakiman mahkamah dengan jumlah RM15.98 juta diperintahkan untuk dibayar.
Situasi bagi pekerja migran pula, meskipun Akta Buruh 1955 yang telah diselaraskan untuk pekerja migran sejak tahun 2012, syarikat Top Glove, antara syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dalam pasaran global yang telah mengambil majoriti pekerja migran untuk menghasilkan produk telah dikenakan denda ataupun kompaun paling kurang RM300 juta atas kesalahan yang berkaitan tempat tinggal yang gagal mengikut standard, tidak memberikan bayaran pada pekerja yang bekerja lebih masa, dan beberapa pekerja yang tidak dibayar gaji sehingga 3 bulan. Kes terhadap syarikat Top Glove ini telah terdedah ketika waktu pandemik yang mana syarikat juga sedang mengaut keuntungan sehingga lebih 300%. Penindasan syarikat Top Glove terhadap pekerja migran terdedah disebabkan wujudnya pekerja yang sedar akan perlunya pekerja bangkit menuntut.
Akta Buruh 1955 masih banyak kelemahan dan limitasi yang perlu ditambah baik untuk semua pekerja tidak kira warganegara mahupun sektor pekerjaan. Misalnya Akta Buruh 1955 termasuk penyelarasan yang diumumkan baru-baru ini hanya tertakluk untuk pekerja di bawah gaji RM4,000, dan berkecuali untuk pekerja domestik dan pekerja gig. Adakah mereka juga tidak memerlukan upah gaji dan hak yang adil untuk meneruskan kehidupan?
Solidariti pekerja
Penindasan terhadap pekerja migran dan pekerja tempatan mempunyai punca asas yang sama iaitu ekploitasi kelas majikan untuk mengaut keuntungan semaksima mungkin. Tidak dinafikan bentuk penindasan yang dialami pekerja migran dan tempatan adalah berbeza, namun penindasan sistemik seperti hutang kepada agen pekerjaan atau hutang isi rumah dan gaji minimum yang tidak selari dengan kenaikan harga barang serta inflasi — penindasan dari kerajaan yang mementingkan kehendak kelas majikan dan kuasa pasaran bebas menunjukkan kaedah sistemik kelas majikan nasional dan luar negara untuk mendapatkan keuntungan dari eksploitasi pekerja.
Dan hakikatnya undang-undang buruh yang wujud dalam sistem pasaran bebas hanyalah asas untuk meregulasi eksploitasi kelas pekerja dalam pasaran bebas. Namun undang-undang buruh yang wujud kini bukan atas belas ihsan kelas kapitalis yang “sedar” akan kerakusannya sendiri, tetapi melalui perjuangan pekerja yang menuntut hak yang lebih adil. Sejarah Hari Buruh 1 Mei merupakan hari memperingati perjuangan pekerja yang berjuang menentang penindasan majikan hatta ditekan kelas kapitalis dengan brutal. Sejarah ini dapat ditelusuri daripada sejarah perjuangan pekerja Rusia 1917 yang berjaya membentuk kerajaan pekerja pertama di dunia dan mencetuskan inspirasi untuk kelas pekerja di seluruh negara untuk membentuk kerajaan pekerja yang berasaskan solidariti pekerja internasional.
Perjuangan ini telah merebak ke seluruh dunia termasuk di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun disebabkan birokrasi Stalin yang mempelopori idea kerajaan sosialis dalam satu negara pada tahun 1923, perjuangan pekerja internasional menjadi terbantut. Namun saki-baki perjuangan pekerja masih wujud dengan elemen-elemen sosialisme yang masih diguna pakai walaupun semakin merosot. Seperti hak kesihatan awam dan kesatuan sekerja MTUC yang lebih birokratik berbanding kesatuan PMFTU pada tahun 1940-an yang giat menyusun perjuangan pekerja menentang penindasan kelas kapitalis British yang bersekongkol dengan kapitalis nasional.
Oleh itu, limitasi yang wujud dalam Akta Buruh 1955 harus diangkat melalui perjuangan yang tersusun atas landasan solidariti pekerja yang ditindas bersama merentasi “kategori” warganegara sama ada tempatan mahupun migran. Perjuangan ini dapat dilaksanakan melalui pembinaan kesatuan di tempat kerja yang demokratik dan berasaskan tuntutan yang dapat menyatukan pekerja. Tambahan pula kesatuan mampu menjadi badan untuk menggerakkan kempen kesedaran hak pekerja dan meningkatkan penguatkuasaan Akta Buruh 1955. Keperluan untuk membina kesatuan di tempat kerja adalah keperluan yang mendesak untuk setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai keunikan dan cabarannya sendiri.
Isu “stateless” atau rakyat tanpa kewarganegaraan merupakan antara isu yang masih belum diselesaikan hingga kini terutama di Sabah walaupun negara telah bertukar kerajaan dan ia merupakan antara negeri terkaya dalam negara. Rakyat tanpa dokumen ini sering kali lebih teruk ditindas dari segi gaji dan jenis pekerjaan yang berat, tempoh yang panjang dan berisiko. Sebagai pekerja kita bukan saja harus melihat situasi ini atas dasar kemanusiaan tetapi memahami perpecahan yang wujud di kalangan kelas pekerja adalah satu kemenangan bagi kelas kapitalis untuk terus mengaut keuntungan semaksimum mungkin.
Oleh itu, selain mewujudkan kesatuan di tempat kerja, limitasi dalam Akta Buruh 1955 dapat diangkat melalui perjuangan politik yang berasaskan prinsip hak pekerja. Justeru sebuah parti pekerja massa yang dibina secara demokratik juga adalah satu keperluan yang amat mustahak untuk meningkatkan hak pekerja melalui undang-undang yang berpihak kepada pekerja dan mempertahankan hak sedia ada bagi kelas pekerja seperti hak kesihatan awam, pusat asuhan kanak-kanak, serta berjuang untuk meningkatkan hak-hak pekerja seperti penggubalan Akta Buruh 1955 secara demokratik oleh kepimpinan kelas pekerja yang dipilih dari kalangan pekerja itu sendiri.
Pekerja berhak untuk jaminan kestabilan ekonomi sebagai kelas yang menjana keuntungan negara dan autonomi politik untuk membentuk undang-undang hak pekerja. Ayuh bina kesatuan di tempat kerja yang demokratik dan aktif bagi meningkatkan kesedaran hak pekerja dan membina parti pekerja massa yang demokratik untuk perjuangan masa hadapan kelas pekerja yang stabil, aman, dan bermaruah.
Kongsi Artikel Ini
Artikel Berkaitan



Berita & Analisa Terkini




