Sumbang kepada dana perjuangan kami.

Kami tidak menerima sebarang derma daripada kelas kapitalis dan pemodal.
Setiap ringgit datang daripada ahli parti dan penyokong seperti anda.

Bukan lagi omong-omong kosong bahawa di mana sahaja, pendidikan sudah semakin mahal. Malaysia turut tidak terkecuali. Meminjam tajuk buku Eko Prasetyo, sememangnya saat ini orang miskin dilarang sekolah. Ini kerana pendidikan telah dibebankan dengan biaya dan perbelanjaan yang sangat tinggi. Yang menjadi mangsa pula, sudah tentu orang-orang miskin dan golongan buruh yang tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Orang MiskinDalam tulisan Pedagogy of the Oppressed, Paulo Freire mengajak kita untuk kembali berfikir tentang sistem pendidikan sekarang yang sungguh menindas dan tidak memenuhi tujuan asas pendidikan itu sendiri. Pendidikan formal sengaja direka untuk memperdayakan bahkan menindas segelintir kelompok masyarakat. Kesannya, kaum yang tertindas ini cenderung untuk menerima apa sahaja perlakuan dari mereka yang menindas. Mereka menjadi pasif kerana telah dibisukan oleh budaya bisu yang telah diciptakan oleh pendidikan formal.

Pendidikan yang sedia ada hanya bergerak dalam lingkungan ‘distribution machine’ kerana ia cuma proses memindahkan pengetahuan yang telah ada kepada para pelajar, dan mereka perlu menghafalnya untuk mendapat markah dalam peperiksaan. Murid menerima kesemua ini dengan bulat-bulat, tanpa kritikan dan tanpa dialektika. Ini disebabkan oleh sistem pendidikan yang ada cuba untuk mempertahankan ideologi kapitalisme tanpa membenarkan kritikan ke atasnya.

Lebih malang lagi adalah orang miskin kerana mereka telah kehilangan hak lantaran pembangunan yang hanya untuk tunduk kepada kepentingan pasaran. Mereka selalu dihadapkan dengan dilema, sama ada mampu untuk sekolah ataupun tidak. Sekiranya mahu sekolah, mereka perlu bersedia untuk mengorbankan banyak wang. Lebih malang lagi apabila seusainya mereka di sekolah dan mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, ia menjadi semakin mahal.

Mereka tidak ada pilihan selain meminjam dari mana-mana institusi kewangan, seperti PTPTN. PTPTN sendiri telah menjadikan pelajar sebagai penghutang tegar apabila mereka perlu membayar pinjaman dengan faedahnya sekali selepas mereka tamat pengajian. Ketika itu, mereka belum tentu mendapat pekerjaan. Malahan, ada yang terpaksa untuk memasuki kolej-kolej swasta yang sudah berlambak sekarang, kerana tidak berjaya untuk mendapatkan tempat di IPTA yang jumlahnya sangat terhad.

Pendidikan juga telah dijadikan sebagai komoditi dan bahan jualan yang bertujuan untuk menjana keuntungan semata-mata. Kerjaya yang ‘mahal’ harganya pasti akan mendapat tempat. Ini boleh dilihat apabila bidang falsafah dan sastera tidak menjadi perhatian kerana bagi pemilik institusi, bidang tersebut tidak menguntungkan. Apa yang mereka mahu adalah sesuatu yang dapat memenuhi kehendak industry. Pelajar adalah calon robot-robot yang akan menjalankan roda ekonomi.

Selain dari pendidikan yang hanya untuk tujuan kepentingan pasaran, ia sebenarnya jauh dari realiti apabila tidak berangkat dari kenyataan masyarakat yang sebenar. Walaupun realiti kehidupan sebahagian besar masyarakat ada di luar bandar, tetapi bidang pertanian dan desa tidak digarap dengan baik dalam pendidikan. Kehidupan masyarakat luar bandar yang masih miskin dan terbelakang tidak jadikan bahan untuk menentukan sistem pendidikan. Lalu, sekolah lebih dekat dengan industri kapitalisme. Lebih-lebih lagi apabila orientasi pendidikan kapitalisme amat mengarahkan kepada manusia untuk mencapai suatu materi dengan cara apapun tanpa memandang sisi baik dan buruk. Sedangkan kalau kita fikirkan, pendidikan boleh dikira sebagai keperluan asas yang mesti diberikan dengan adil dan sebaik-baiknya oleh setiap pemerintah.

Kapitalisme pendidikan ini sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa peranan negara dalam pendidikan sudah semakin menghilang. Masyarakat terus dihimpit dalam permasalahan sosial dan ekonomi. Dalam perspektif sosialisme, pendidikan adalah amat penting untuk membangunkan manusia dan seterusnya menghasilkan masyarakat yang egaliter dan berpihak kepada kaum yang tertindas. Bahkan, pendidikan yang dianjurkan oleh sosialisme, bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan, tetapi demi menyedarkan dan membebaskan manusia dari belenggu dehumanisasi. Orang miskin tidak akan dilarang sekolah lagi, bahkan merekalah yang menjadi ‘guru besar’ kepada anak bangsa.v

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *