1 Oktober adalah hari kemerdekaan yang ke 60 buat negara Nigeria. Seiring dengan proses penyahjajahan yang sedang rancak berlangsung di rantau negara membangun, penjajah empayar British menghadapi tekanan tuntutan yang semakin meningkat di negara-negara jajahan mereka. Risiko akan hilangnya kekuasaan melalui gerakan pembebasan yang lebih radikal menyebabkan kuasa imperialisme besar sewaktu itu memindahkan penguasaan mereka kepada para elit kebangsaan.
Nigeria merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber tenaga kerja dan alam semula jadinya, maka tidak hairanlah dari awal lagi, ianya dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai masa depan yang cerah. Malangnya hal yang bertentangan pula yang berlaku – Nigeria menjadi sebuah paradoks kapitalisme itu sendiri: sebuah kesengsaraan yang dirasai secara massa di dalam sebuah negara yang kaya dengan sumber-sumber tersendiri. Ia menjadi ibu kota dunia dari aspek kemiskinan, walaupun ekonominya adalah yang terbesar di benua tersebut, di samping menjadi pengeluar minyak mentah yang terbesar. Hampir separuh penduduknya – lebih kurang 102 juta daripada jumlah 206 juta hidup di bawah keadaan kemiskinan yang ekstrem. Ini merupakan jumlah penduduk miskin yang tertinggi di dunia.
Bagi sebuah negara neokolonial yang dikuasai oleh kelas penguasa yang mundur, korup dan menjunjung tinggi praktik naungan politik – Nigeria adalah contoh terbaik yang menunjukkan kegagalan kapitalisme. Sebaik saja menduduki posisi pemerintahan mandiri pada 1960, kelas penguasa menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk mendirikan sebuah ekonomi yang bukan hanya memudaratkan kelas pekerja tetapi turut menghancurkan kepentingan kapitalisme itu sendiri. Konflik di antara para elit kapitalis yang baru menyebabkan keadaan menjadi huru-hara dan menjurus kepada kudeta ketenteraan pada 1966 – sebuah insiden serangan yang hampir menghancurkan kewujudan negara tersebut.
Perang dan kudeta
Pada awal kemerdekaan sekitar 1967 sehingga ke 1970, keputusan kawasan timur Nigeria untuk keluar daripada penubuhan negara tersebut dan menubuhkan Republik Biafra telah mencetuskan perang sivil. Lebih dua juta etnik Igbos yang majoritinya terdiri daripada wanita dan anak-anak kecil mati kelaparan. Sejak 1966, kudeta ketenteraan merupakan ciri utama bagi Nigeria dan telah berakhir pada 1999, apabila rejim tentera diberhentikan melalui perjuangan kelas pekerja.
Terdapat beberapa cubaan bagi membangunkan perindustrian oleh pihak kerajaan tapi akhirnya proses ini terbengkalai. Ini sebahagiannya disebabkan oleh sebuah struktur ekonomi yang didominasi dan dikawal oleh kepentingan kuasa-kuasa imperialis. Tidak lupa juga, industri pengeluaran minyak dan gas telah menyediakan peluang untuk menjadi kaya dalam jangka masa yang singkat supaya majoriti kelas penguasa Nigeria menjadi kaya raya melalui hasil pengeluaran dan juga eksport bahan api.
Nigeria mempunyai rekod buruk jika merujuk kepada segala bentuk indikasi pembangunan kualiti manusia. Ia mempunyai jumlah anak kecil tidak bersekolah yang terbesar dan turut menduduki tangga tertinggi di dalam kadar kematian bagi golongan ibu dan bayi di bawah umur 5 tahun. Inilah hasil kekurangan dana pendidikan dan kesihatan, lagi-lagi setelah diperkenalkan langkah penjimatan di bawah Program Penyesuaian Struktural pada tahun 1986 – sebuah program yang bersambung seiring dengan pembangunan kapitalis neoliberal. Walaupun Nigeria telah pun kembali kepada pemerintahan sivil pada tahun 1999, ini tidak memberi apa-apa jaminan kepada kelas pekerja di sana.
Sebelum kapitalisme neoliberal di laksanakan pada hujung 1980an, kerajaan Nigeria terikat dengan janji untuk menyediakan pendidikan awam, penjagaan kesihatan, perumahan dan juga pelaburan awam di dalam ekonomi negara, walaupun tidak sampai ke tahap yang telah dicapai oleh negara-negara di Asia Tenggara. Harus difahami bahawa kecenderungan ini dipengaruhi oleh tekanan dan perjuangan yang dibawa oleh kelas pekerja terhadap kelas penguasa bagi menambah baik ekonomi sedia ada. Harga minyak yang melambung tinggi juga turut menjadi faktor bagi konsesi-konsesi yang dimenangi oleh kelas pekerja.
Namun berlatar belakangkan situasi ekonomi dua-kutub yang tidak stabil dan lemah, yang akhirnya menjatuhkan Kesatuan Soviet dan negara-negara pekerja yang mundur di bawah penguasaan birokrasi Stalinis – telah mengakhiri konsesi-konsesi yang telah dimenangi dan diperjuangkan oleh kelas pekerja di Nigeria. Jatuhnya Kesatuan Soviet telah membantu kapitalisme dunia dengan terbuangnya ketakutan akan sebuah sistem sosial yang berdasarkan ekonomi yang dimilik negarakan dan bukannya berdasarkan ekonomi kapitalisme. Walaupun negara-negara ini bukannya sebuah negara yang bercirikan sosialisme dan turut dikawal oleh para elit yang bersifat diktator – namun kewujudan negara-negara seperti ini menjadi kuasa yang dapat mencabar dan memaksa kelas penguasa kapitalis, dalam waktu-waktu yang tertentu, untuk memberi konsesi-konsesi dari segi perbelanjaan servis-servis sosial.
Kapitalisme telah mencengkam keseluruhan dunia sejak 1980an dan lebih-lebih lagi sejak kejatuhan Stalinisme pada 1990an – namun bagi sebuah negara membangun seperti Nigeria, ianya menghasilkan impak yang membinasakan. Justeru, jurang kekayaan kian melebar dan pada laporan yang dikeluarkan oleh Oxfam pada 2017 telah mendedahkan bagaimana jurang kekayaan sejak 40 tahun yang lepas telah menghasilkan situasi di mana hanya 62 individu mempunyai kekayaan yang berjumlah sama dengan gabungan kekayaan separuh daripada pupulasi dunia. Tambahan lagi, Oxfam turut mendedahkan bagaimana Nigeria telah pun mencapai kadar jurang kekayaan yang sangat ekstrem dan diterjemahkan melalui kesukaran yang perlu dihadapi oleh majoriti penduduk yang pada masa yang sama, melihat pengumpulan kekayaan dan harta yang melampau bagi segelintir individu sahaja. Oxfam turut mengatakan: “Sementara lebih 112 juta penduduk hidup di dalam keadaan miskin pada tahun 2010, individu terkaya di Nigeria memerlukan 42 tahun untuk menghabiskan kesemua harta yang dimilikinya, iaitu pada kadar 1 juta dolar setiap hari.”
Ketidaksamaan yang ketara
Pada awal 2004, Bank Dunia melalui laporannya terpaksa mengakui bahawa hanya 1% daripada penduduk Nigeria menikmati sebanyak 80% kekayaan yang dihasilkan melalui pengeluaran minyak dan juga gas. Ekonomi Nigeria yang bertunjangkan pengeluaran minyak dan gas, merangkumi sebanyak 85% daripada pendapatan kerajaan dan melebihi 90% di dalam pertukaran asing. Ini menjelaskan bagaimana krisis ekonomi yang sedang berlaku bukanlah disebabkan kadar pertumbuhan penduduk yang melampaui perkembangan ekonomi, tetapi disebabkan oleh jurang kekayaan yang teruk.
Contohnya pada awal 2000, kadar perkembangan ekonomi adalah pada 5% ke 7%, jauh lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan penduduk pada waktu itu iaitu 2%. Namun merujuk kepada laporan Oxfam, “jumlah penduduk yang hidup di bawah garis kemiskinan pada jangka masa itu meningkat dari 69 juta pada 2004 ke 122 juta pada 2010 – bersamaan 69% daripada keseluruhan penduduk”. Kini apabila ‘waktu senang’ bagi para kapitalis telah tamat, kita dapat jangkakan bahawa masa depan penduduk akan menjadi lebih teruk. Krisis ekonomi dan ketidaksamaan yang terjadi telah menghasilkan keadaan material yang menjurus kepada keadaan yang tidak stabil. Jenayah-jenayah terkutuk seperti rompakan bersenjata, penculikan, samun menyamun dan pemberontakan Boko Haram adalah produk daripada keadaan material yang sedang merosot. Ianya juga menyemarakkan lagi konflik etnik-agama yang berhubung rapat dengan persoalan kebangsaan yang juga belum selesai.
Bagi memenuhi agenda tersendiri, para elit kapitalis dan kuasa reaksioner senantiasa menggunakan sentimen perkauman; situasi ini berjaya dilakukan disebabkan ketiadaan gerakan buruh yang berani, militan dan berpaksikan kepimpinan sosialis sebagai sebuah senjata yang dapat menyatukan kesemua kelas pekerja bagi menangkas serangan para kapitalis. Hanya dengan menjatuhkan kapitalisme, kekayaan negara dapat dibebaskan dan diagihkan semula kepada para pekerja dan warga miskin, tidak lupa juga dapat menyelesaikan persoalan kebangsaan di Nigeria.
Pada tahun 1980an, kesatuan sekerja menerapkan objektif yang bersifat sosialis – selaku terjemahan kepada kekuatan kelas pekerja pada waktu itu. Namun, kempen-kempen tersebut tidak dijalankan secara serius. Kini, walaupun kapitalis telah mendedahkan kegagalan mereka sendiri, majoriti kelas pekerja masih belum mencapai kesimpulan untuk melaksanakan perubahan ke arah sosialisme. Inilah akibat kemunduran kesedaran kelas yang telah bergolak secara global sejak 30 tahun yang lalu. Tambahan pula, ia juga disebabkan oleh kegagalan pihak kepimpinan pekerja dalam memperkenalkan kepada pihak awam mengenai program alternatif sosialisme dan juga analisis sosialis dalam melihat krisis yang berlaku di Nigeria. Sehingga kini, faktor utama di dalam hal ini adalah ketiadaan parti massa pekerja yang mampu mencapai ke segenap lapisan masyarakat dan juga kekurangan kepimpinan buruh yang berpaksikan perjuangan sosialisme – selaku sebuah alternatif terhadap sistem kapitalisme sedia ada.
Meskipun begitu, kelemahan yang bersifat politikal ini tidak menghalang kelas pekerja di Nigeria untuk menyokong beberapa mogok umum di antara tahun 2000 ke 2012 – yang pada waktu itu telah mengambil bentuk penentangan yang bersifat nasional. Tetapi, kebanyakan daripada kepimpinan pertubuhan pekerja yang bersifat pro-kapitalis telah menghalang semua tindakan yang berkesan dan pada akhirnya, semua perjuangan dan gerakan kelas pekerja telah menyusut. Pada Mei 2016, mogok umum yang dirancang juga telah akhirnya gagal disebabkan ketidaksediaan para kepimpinan kelas pekerja waktu itu.
Kegagalan pimpinan kesatuan sekerja
Kini, kegagalan kelas penguasa yang terdiri daripada All Progressive Congress (APC) yang dipimpin oleh Buhari telah memberikan impak yang lebih besar. Kerajaan telah menyerang dan memudaratkan lagi kehidupan kelas pekerja melalui serangan ekonomi seperti peningkatan harga minyak dan tarif elektrik. Perasaan marah yang terpendam di kalangan penduduk Nigeria akhirnya tercetus apabila sebuah klip video menunjukkan seorang polis menembak seorang anak muda mulai tersebar luas. Ini kemudiannya menjurus kepada gerakan protes spontan secara besar-besaran.
Gerakan protes yang menentang SARS (Special Anti-Robbery Squad) telah memaksa rejim Buhari untuk membubarkannya, namun digantikannya dengan SWAT (Special Weapons and Tactics) – yang masih ditugaskan untuk menindas sebarang gerakan daripada rakyat. Kemarahan rakyat terus berlangsung dan pada 23hb Oktober, hampir 51 orang awam terbunuh, bersama 11 polis dan 7 askar. Gerakan rakyat sekali lagi menjadi kuasa yang dapat mencabar dominasi pihak kelas penguasa. Namun, pihak kepimpinan gerakan kesatuan sekerja mengambil pendirian yang bercanggah dengan kemarahan rakyat. Pemimpin kesatuan membuat keputusan untuk membatalkan mogok umum dan menandatangani polisi penjimatan yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan.
Situasi yang tercetus kini menjadi faktor utama kepada pembatalan mogok umum yang ditentukan oleh pihak kepimpinan kesatuan sekerja. Mereka mulai gentar akan sebuah keadaan dan perjuangan yang menjangkaui kawalan mereka sendiri. Pada awalnya, hampir semua pembantah di protes anti-SARS mengambil sikap anti-politik dengan menafikan mana-mana ahli politik daripada berucap. Tetapi apabila protes ini mulai berkembang, tindakan politik mulai dilihat sebagai hal yang perlu dan idea penubuhan sebuah parti anak muda mulai mendapat sokongan.
Walaupun begitu, kewujudan anak muda selaku elemen utama di dalam sesebuah parti bukanlah sebuah program politik. Masih terdapat beberapa pemimpin politik muda yang juga menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan kerajaan yang sedia ada. Justeru, jika objektif sesebuah perjuangan adalah ke arah perubahan yang fundamental, maka persoalan program bagi sesebuah parti ataupun apa-apa gerakan sosial menjadi sebuah hal yang penting. Malangnya, bagi kebanyakan gerakan sosial yang wujud pada waktu ini, masih terdapat beberapa indikasi yang menunjukkan kecenderungan mereka untuk mengikut sistem kapitalisme yang sedia ada. Sebahagian daripada kepimpinan gerakan tersebut masih mendukung kapitalisme dan hanya ingin berjuang untuk mengubah sebahagian daripada sistem yang korup ini. Situasi ini tidak menjurus kepada persoalan yang lebih besar, yakni ketidakmampuan kapitalisme untuk membangunkan Nigeria dan juga kegagalan yang sedang berlaku dalam skala global.
Kelas pekerja dan anak muda perlukan parti sendiri
Gerakan Demokratik Sosialisme (DSM – CWI di Nigeria) berhujah bahawa kelas pekerja dan warga miskin perlukan parti mereka sendiri. Melalui pembinaan parti ini, sebuah perjuangan yang berpaksikan kepentingan mereka dapat dibangunkan dan dapat membina gerakan massa yang meletakkan kuasa kepada kerajaan yang dapat memusnahkan pemerintahan kapitalisme, dan dengan pendekatan yang bersifat sosialis, sebuah perubahan fundamental dapat dilaksanakan bagi mengubah situasi di Nigeria. Organisasi DSM bersama yang lain menubuhkan Parti Sosialis Nigeria sebagai sebuah kuasa yang dapat mencabar parti-parti pro-kapitalis dan berhujah untuk menubuhkan sebuah parti pekerja massa.
Kegagalan pihak kepimpinan kesatuan tidak bermakna bahawa kelas pekerja adalah lemah. Mogok umum yang dilaksanakan pada 8 tahun yang lepas merupakan contoh terbaik akan kemampuan kelas pekerja dan anak muda untuk melakukan perubahan revolusioner ke arah sosialisme. Gerakan anti-SARS hanya sedikit mendedahkan kemampuan dan kekuatan perjuangan rakyat di Nigeria. Konsesi yang diberikan oleh pihak kerajaan Nigeria perlu dilihat sebagai ruang untuk mereka bernafas, tidak lebih dari itu. Perjuangan di Nigeria – selaku salah sebuah negara neokolonial yang berjuang menentang kapitalisme, bergerak seiring dengan perjuangan kelas pekerja di keseluruhan dunia. Persoalan yang penting bagi rakyat di sana adalah untuk menentang apa-apa jenis penindasan, mengukuhkan kemenangan yang telah diraih, mengadakan perbincangan yang kritikal terhadap gerakan sosial sedia ada dan juga pembatalan mogok umum pada September yang lepas, di samping bersiap sedia bagi perjuangan yang akan datang – ke arah perjuangan ke Sosialisme.