Angkatan tentera Myanmar terus memegang kuasa melalui penindasan dan tindakan membunuh rakyat jelata. Sejak berlangsungnya kudeta tentera pada bulan Februari yang lepas, lebih 800 rakyat telah dibunuh dan ramai pula dicederakan. Berpuluh-puluh ribu rakyat juga terpaksa lari meninggalkan kediaman mereka. Malah, pihak tentera juga dikatakan telah membakar hangus keseluruhan kampung Kinma di daerah tengah Myanmar.

Pihak junta kini telah mengharamkan kesemua parti pembangkang dan organisasi-organisasi yang terlibat dalam protes menentang pihak tentera. Ianya juga turut melibatkan beberapa kesatuan sekerja. Jumlah penduduk yang telah hilang pekerjaan mereka sewaktu krisis pandemik ini juga telah diterukkan lagi dengan tragedi kudeta ini. Berdasarkan beberapa laporan, hampir 200,000 pekerja sektor pakaian telah kehilangan kerja. Lebih 125,000 guru juga telah digantung pekerjaan mereka kerana menentang pihak ketenteraan yang melakukan kudeta tersebut. Tambahan lagi, sebahagian besar pekerja juga tidak diberikan gaji mereka. Situasi ini diterukkan lagi dengan kenaikan harga secara mendadak bagi makanan, minyak dan barangan keperluan yang lain. Harga minyak meningkat sebanyak 33% dan di beberapa tempat, harga barangan keperluan pula meningkat sebanyak 35%. Pihak yang menentang angkatan tentera mahupun pihak yang terlibat di dalam gerakan protes ini juga telah diharamkan dan dituduh sebagai pengganas. Parti yang terbesar, iaitu Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) telah dibubarkan dan pemimpinnya Aung San Suu Kyi kini sedang berada di dalam dibicarakan atas dakwaan rasuah dan pelbagai sebab yang lain. Parti NLD merupakan parti kerajaan sejak 2015 dan dikatakan telah memenangi pilihanraya Januari yang lepas dalam jumlah majoriti.

Pembangkang menuju ke perjuangan bersenjata

Walaupun terus ditindas, protes menentang kerajaan Tatmadaw tetap berlangsung di pelbagai kawasan di Myanmar. Namun begitu, harapan yang wujud pada awalnya – dengan mengharapkan bahawa penguasaan tentera akan mulai lemah apabila protes massa terus berlangsung mulai menghilang apabila penindasan semakin meningkat. Berikutan ini, ramai yang mulai mengambil jalan perjuangan bersenjata menentang pihak ketenteraan. Merujuk kepada berita yang dikeluarkan oleh Frontier Magazine, terdapat beberapa kelompok kecil yang terdiri daripada pejuang bersenjata mulai dibentuk di kawasan bandar utama. Kumpulan-kumpulan rahsia mulai ditubuhkan dan ramai anak muda mulai menyertai organisasi-organisasi militan sedia ada untuk mendapatkan latihan. Kebanyakan daripada kumpulan Civilian Defense Force (CDF) yang terbentuk di kawasan bandar bergantung kepada sokongan kumpulan-kumpulan militan di luar bandar bagi mendapatkan latihan dan senjata. Insiden perbalahan yang berlaku di kota utama Mandalay menunjukkan bagaimana konflik menentang kuasa tentera tidak lagi berlaku di kawasan luar bandar dan sebuah bentuk perang gerila bakal berlaku di kota-kota utama. Kumpulan People’s Defence Force (PDF) yang baru sahaja dibentuk mendakwa sedang menyusun kumpulan-kumpulan bersenjata ini seiring dengan kumpulan militan bersenjata di kawasan sempadan.

PDF telah ditubuhkan oleh National Unity Government (NUG) – sebuah bentuk ‘kerajaan buangan’ yang secara umumnya disusun oleh penyokong parti NLD dan juga kepimpinan yang telah lari dari kawasan utama. Kendatipun begitu, NUG turut mendakwa bahawa mereka juga disokong oleh parti-parti kecil dan kumpulan pemberontak. Berikutan kudeta yang berlaku, hampir kebanyakan wakil rakyat yang telah terpilih sebelum ini mulai bekerjasama bagi menubuhkan komite bagi menyusun tindakan-tindakan untuk menentang junta – dengan menubuhkan komite yang mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH).

Perjuangan pada tahap yang seterusnya

Yang menjadi persoalan yang penting sekarang adalah ke arah manakah gerakan protes ini akan pergi? Menggantikan Junta dengan NLD bukanlah jalan penyelesaian. Jika pihak NLD membuat tawaran yang baru bersama Junta untuk berkongsi kuasa – kesengsaraan yang dialami oleh massa dan keganasan pihak ketenteraan tidak akan selesai. Kini, gerakan rakyat berhadapan dengan tugas untuk menjatuhkan kuasa pemerintahan tentera. Namun gerakan rakyat tidak dapat membataskan gerakan ini hanya dengan menjatuhkan pemerintahan tentera dan lebih tepat lagi, bagi menjatuhkan pemerintahan sedia ada, ia memerlukan sokongan rakyat massa melalui sebuah program yang merangkumi kesemua aspirasi dan tuntutan sedia ada. Kemenangan akan kesemua hak demokratik, termasuklah hak penentuan nasib sendiri bagi kesemua rakyat etnik minoriti yang tertindas tidak dapat dilaksanakan melainkan gerakan ini menyusun tenaga untuk mengambil alih kuasa. Yang mejadi penghalang kepada cita-cita ini bukan sahaja melibatkan kuasa tentera dan penyokong mereka – seperti kumpulan agama fundamentalis, tetapi turut melibatkan kelas kapitalis. Kelas borjuis di negara Myanmar dan juga di seluruh dunia – inginkan sebuah tatanan yang stabil bagi kapitalisme. Mereka hanya inginkan sebuah ‘kerajaan demokratik’ di bawah pimpinan kerajaan NLD dan oleh sebab itu, akan membataskan gerakan dan pimpinan gerakan. Dek kerana teruknya penindasan yang dilakukan oleh pihak Junta, tuntutan pemulihan keadaan untuk kembali ke sedia kala dan juga sebuah bentuk kerajaan demokratik – semestinya diinginkan oleh rakyat majoriti. Namun, NLD dan juga parti-parti kapitalis yang lain tidak pernah mewakili kepentingan rakyat tertindas di Myanmar. Pada pemerintahan sebelum ini, pihak NLD dan parti-parti lain tidak pernah melakukan apa-apa usaha bagi mengurangkan kuasa pihak ketenteraan. Malah hal sebaliknya yang berlaku, pimpinan NLD sehinggakan Aung San Suu Kyi – ikon dan pemimpin parti tersebut mengingkari tindakan organisasi antarabangsa untuk mengutuk tindakan tentera yang terlibat di dalam pembunuhan etnik Rohingnya. Apa-apa bentuk kompromi dengan pihak ketenteraan akan berlaku dalam bentuk pembelaan terhadap penindasan yang dilakukan oleh mereka. Tidak akan adanya sebuah jalan penyelesaian yang dapat bertahan lama, selagi pihak tentera dan juga kelas borjuis yang berkompromi dengan mereka masih berada di tampuk kekuasaan.

Kerajaan buangan yang baru ditubuhkan ini (NUG) mendapat sokongan yang kuat kerana wujudnya keperluan dan keinginan bagi melakukan sebuah ‘tindakan bersatu’ terhadap pihak ketenteraan. Kebencian terhadap Tatmadaw ini lah yang menjadi asas kepada penubuhan persekutuan yang rapuh dan penyatuan di antara pelbagai jenis organisasi dan juga organisasi ketenteraan yang lain. Walaubagaimanapun, kesatuan ini bukan hanya rapuh namun pastinya akan punah sebaik sahaja NLD mendapat kuasa – dan tidak mustahil hal ini akan dilakukan oleh mereka melalui apa-apa bentuk kompromi. Berikutan hal ini lah, persoalan akan siapa yang perlu mengambil pimpinan dan siapa yang menerajui gerakan ini menjadi hal yang benar-benar penting.

Walaupun tindakan untuk bertindak mulai diseru oleh kelompok borjuis, namun bukan mereka yang mulai menentang pihak ketenteraan sewaktu berlakunya kudeta tersebut. Ketakutan dan ketidakmampuan untuk bertindak pada peringkat awal penentangan terhadap pihak Tatmadaw telah dihancurkan oleh tindakan pekerja secara kolektif. Disebabkan para pekerjalah; terutamanya pekerja sektor kesihatan dan juga guru-guru yang menunjukkan cara dan menyatakan keberanian dan kesungguhan untuk melawan kuasa tentera. Tindakan pekerja ini bukanlah sesuatu hal yang rambang, melainkan cerminan kepada kuasa yang dipegang oleh para pekerja. Tindakan merekalah yang memberi keyakinan kepada anak muda dan lain-lain untuk turun ke jalanan dan mengingkar arahan pihak tentera. Gerakan Pembantahan Sivil (CDM) terlahir daripada kekuatan para pekerja. Kesinambungan mogok-mogok sedia ada dan juga mogok umum pekerja lah yang menguatkan lagi gerakan tersebut. Melalui organisasi-organisasi pekerja seperti kesatuan pekerjalah yang menggerakkan kesemua lapisan masyarakat di Myanmar untuk turun dan membela rakyat mereka sendiri.

Kesatuan sekerja tidak dapat mengambil posisi untuk membela satu pihak pekerja dan menentang pekerja yang lain – mahupun satu bangsa menentang bangsa yang lain. Gerakan sosial di Myanmar dengan pantas mengambil posisi seperti ini dengan menerima kesemua lapisan masyarakat di Myamar dan penting untuk mengembangkan lagi kekuatan gerakan tersebut. Jikalau pihak kepimpinan membataskan gerakan tersebut dan hanya tertumpu kepada populasi Bamar – iaitu kumpulan etnik utama yang menjadi tempat bagi kuasa tentera dan agama untuk sokongan – pastinya ia akan memberi peluang kepada pihak Junta untuk menjalankan taktik pecah dan perintah. Hanya melalui keterlibatan kelas pekerja secara tersusun lah dapat mengelakkan hal ini daripada berlaku, walaupun tidak dinafikan bahawa kebahayaan seperti ini masih boleh berlaku. Justeru tidak mungkin kita dapat menyatukan keseluruhan lapisan masyarakat di Myanmar di bawah pimpinan NLD dan sekutu kapitalisnya, lebih-lebih lagi dengan adanya sejarah diskriminasi dan penindasan terhadap lapisan masyarakat yang lain.

NLD menjadi semakin tidak popular secara khususnya di kalangan etnik minoriti. Mereka telah membela insiden pembunuhan rakyat Rohingnya di bawah pimpinan ketenteraan dan telah mengharamkan pilihanraya di 17 pekan di daerah Rakhine. Begitu juga apabila kerajaan pimpinan NLD turut membela operasi ketenteraan di daerah Kachin. NLD berhujah bahawa kerajaan sivil sedia ada belum cukup matang untuk menentang pihak ketenteraan. Namun begitu, peranan pihak Tatmadaw di dalam masyarakat tidak pula dicabar oleh mereka – mereka tidak mencabar operasi dan tindakan-tindakan ketenteraan – termasuklah pembinaan patung-patung general di kawasan etnik minoriti. Oleh sebab selama ini pihak NLD tidak mencabar penguasaan ekonomi dan sosial yang telah pun dibina oleh pihak ketenteraan, mereka mencari jalan pintas untuk mengawal tentera dengan mengubah perlembagaan. Pihak tentera dengan bersungguh-sungguh menentang perubahan ini dan kepimpinan NLD mengenal pasti bahawa kemenangan pilihanraya semata-mata tidak akan cukup untuk membawa apa-apa perubahan. Dari perlombongan ke telefon, hampir kesemua sektor ekonomi digenggam kuat oleh pihak ketenteraan. Firma-firma seperti Myanmar Economic Corporation (MEC) dan Myanmar Economic Holdings Limited (MEHL) yang terletak di bawah kawalan pihak ketenteraan dikatakan bernilai berbilion-bilion ringgit dan memberi kelebihan kepada pihak tentera untuk bergerak secara independen. Daripada menentang penguasaan seperti ini, pihak NLD berterusan menentang hak-hak pekerja dan menjejaskan hak-hak demokratik – termasuklah bertindak keras terhadap kebebasan bersuara dan mereka yang menentang.

Pemiliknegaraan

Bagi menentang pihak tentera dengan sebenar-benarnya adalah dengan memiliknegarakan syarikat-syarikat dan perniagaan-perniagaan yang dikawal oleh pihak tentera – tetapi di bawah pengurusan dan pengawalan kelas pekerja secara demokratik sebagai sebahagian daripada program pengambil alihan kesemua sektor ekonomi di bawah pemilikan awam yang ditentukan secara demokratik. Ini dapat dijadikan sebagai asas bagi membina sebuah rancangan ekonomi yang berteraskan keperluan semua pihak. Sebelum ini, kelas pekerja Myanmar dan rakyat termiskin mengalami pengalaman pahit di bawah perlaksanaan “sosialisme orang Burma”, yang sebenarnya adalah perlaksanaan autoritarianisme ketenteraan. Hal yang sama juga dapat kita katakan mengenai Rusia di bawah Stalinisme ataupun China. Sebuah rancangan sosialis yang tulen tidak sama dengan bentuk-bentuk yang telah dinyatakan dan sebaliknya dihubungkan dengan pembinaan asas demokrasi pekerja – yakni dengan memberi lebih kebebasan dan kuasa kepada pekerja, bukannya membungkam mereka.

Kelas pekerja Myanmar perlu terus melawan untuk menjadi pemimpin kepada gerakan ini dan menyusun kuasa pekerja bagi melanjutkan lagi perjuangan ini. Ini merupakan hal yang penting bagi memenangi jalan penyelesaian yang benar-benar kekal. Badan-badan kesatuan seperti Federation of General Workers Myanmar (FGWM) dan juga perwakilan pekerja yang dipilih secara demokratik – perlu mengambil posisi utama dalam memimpin gerakan ini. Bukanlah hal yang berlebihan jika kita katakan bahawa kesatuan dan kepimpinan utama lah yang menggerakan rencana dan aktiviti-aktiviti yang wujud semenjak berlakunya penentangan terhadap Junta. Dalam situasi sebegini, memang difahami untuk melakukan tindakan bersama pihak NUG bagi menentang pihak Tatmadaw. Namun tidak semestinya pimpinan buruh memberi kuasa politik kepada NUG. Pada waktu ini, perwakilan pekerja yang independen di dalam gerakan yang menentang Tatmadaw perlu memainkan peranan yang utama. Walaubagaimanapun, hal ini tidak mencukupi. Strategi apa yang diambil oleh pihak kepimpinan juga adalah hal yang penting.

Sebelum ini, kumpulan pemberontak yang wujud di sekitar kawasan sempadan tidak mampu menewaskan kuasa tentera dan ia bukannya disebabkan oleh persoalan keinginan, namun persoalannya tertumpu kepada kemampuan mereka sendiri. Dengan seramai 400,000 – Tatmadaw merupakan tentera kedua terbesar di Asia Tenggara. Tambahan lagi, kumpulan separa tentera yang bekerjasama dengan pihak ketenteraan pula ada seramai 100,000. Rusia dan China pula terus menyediakan senjata moden kepada pihak Junta. Pemerhati hak asasi manusia melaporkan bahawa syarikat yang dimiliki oleh kerajaan Thailand juga terus mendanai Junta. Dari Sweden ke Australia, pelbagai kerajaan telah bekerjasama dengan pihak tentera dan menyediakan mereka dengan peralatan yang maju belaka. Lebih 10% daripada perbelanjaan kerajaan pada tahun 2020 ke 2021 – lebih kurang 2.6 bilion digunakan untuk sektor pertahanan. Walaupun beberapa negara telah melaksanakan sekatan ekonomi terhadap pihak Junta – namun tidak ada usaha untuk melemahkan kekuatan kuasa tentera. Apakah Tatmadaw dapat dikalahkan hanya dengan bom buatan sendiri, ‘senapang buluh’ dan latihan tempur yang dijalankan selama beberapa minggu sahaja?

Gerakan yang wujud kini sedang mempelajari pengalaman dalam waktu yang singkat. Ramai anak muda kini, yang memberi komen di sekitar media sosial turut mengakui bahawa simbol tabik tiga jari, yang berdasarkan filem Hunger Games ini tidak cukup untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Generasi Z dengan bersungguh ingin membuktikan bahawa mereka bukanlah “generasi yang boleh diperlekehkan begitu sahaja” – begitulah slogan utama anak muda di sana. Namun jika mereka ingin meninggalkan kesan yang jelas di dalam sejarah – tidak cukup hanya dengan perjuangan bersenjata. Tatmadaw yang ganas ini berkemampuan untuk melakukan pembunuhan massa dan kekejaman yang dahsyat dan tidak akan teragak-agak untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai. Para pimpinannya kini sedang melawan bagi menyelamatkan kewujudan mereka sendiri. Mereka sedar benar bahawa kekalahan kali ini akan menjadi titik kejatuhan mereka.

Penentangan bersenjata terhadap pihak Junta adalah hal yang penting dan perlu bagi gerakan ini. Namun Tatmadaw tidak dapat ditewaskan melalui tindakan ketenteraan yang konvensional ataupun serangan gerila di kawasan-kawasan kota sahaja. Selagi pimpinan Tatmadaw kekal berkuasa di kawasan yang menyokong mereka, selagi itu mereka akan menggunakan hal ini sebagai peluang untuk terus bertindak keras terhadap gerakan protes yang sedang berlaku. Kaedah gerila yang diguna pakai di kawasan luar bandar tidak pula dapat diguna pakai bagi penentangan bersenjata di kawasan bandar. Serangan yang dilaksanakan oleh kumpulan-kumpulan kecil mahupun individu-individu terhadap pihak ketenteraan akan dipaparkan sebagai tindakan terorisme dan akan diguna pakai oleh pihak tentera bagi terus membungkam pihak pembangkang sebagai alasan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan. Kumpulan militan bersenjata yang dibentuk secara demokratik, yang bergerak seiring dengan gerakan massa dan tindakan mogok pastinya akan membawa impak yang lebih besar. Dengan ini, gerakan sedia ada seharusnya bermatlamat untuk memecahkan aparatus kerajaan dan mengambil alih pelbagai aparatus kerajaan, termasuklah berek-berek tentera. Gerakan ini perlu juga tertumpu untuk memecahkan pemerintahan tentera dan memenangi sebahagian lapisan tentera untuk berpihak kepada gerakan massa.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, kesatuan pembangkang yang terdiri daripada parti-parti utama dan badan-badan kawasan, mogok nasional dan juga serangan bersenjata terhadap pihak tentera tidak berjaya lagi melemahkan kuasa Tatmadaw dalam kadar yang signifikan. Hal ini terutamanya disebabkan oleh sokongan yang wujud di beberapa lapisan masyarakat dan juga kepimpinan tentera yang masih mempunyai autoriti di kalangan majoriti tentera. Beberapa kelompok taifah penganut Buddha pernah bekerjasama dengan pihak tentera. Agama Buddha versi Theravada yang mempunyai pengaruh yang kuat di Sri Lanka dan Myanmar menyokong tindakan keganasan – begitu juga dengan taifah yang lain juga yang menyokong tindakan yang sama; malah turut terlibat dalam tindakan yang begitu kejam. Tatmadaw masih disokong oleh kebanyakan di antara mereka. Salah satu kumpulan penganut Buddha yang terbesar, yakni Ma Ba Tha (Pembela Kaum dan Agama) yang terlibat di dalam pembunuhan etnik Rohingnya masih berhubungan rapat dengan pihak ketenteraan. Begitu juga dengan penduduk yang terdiri daripada etnik Bamar yang merasakan bahawa pihak tentera adalah satu-satunya kuasa yang dapat memastikan negara tidak berpecah ke beberapa kawasan berasingan. Beberapa kumpulan bersenjata yang pernah bekerjasama dengan pihak tentera sebelum ini juga turut berurusan dengan Tatmadaw.

Bagi menghapuskan penguasaan pihak tentera, kekuatan seperti ini perlu dihancurkan. Sosok sayap kanan yang juga pro-tentera, iaitu sami Sitagu Sayada dan taifah nya Shwe Kyin telah dipaksa untuk menekan pihak tentera daripada terus melakukan serangan. Begitu juga, di kalangan askar tidak ada sokongan yang jelas terhadap kudeta dan penindasan yang berterusan ini. Berdasarkan salah satu laporan media, hanya 20% daripada pihak tentera yang terlibat di dalam serangan ke atas orang awam. Laporan yang sama juga mengatakan bahawa 800 askar telah menyertai gerakan pembantahan sivil ini. Beberapa sosok pimpinan ketenteraan yang menentang kudeta ini mendakwa bahawa ramai askar yang menentang tindakan Tatmadaw namun “tidak berani untuk bersuara kerana mendatangkan risiko kepada kehidupan mereka dan juga keluarga terdekat mereka.” Dengan betulnya mereka meminta orang awam untuk tidak melihat keseluruhan tentera sebagai sebuah badan yang seragam. Di antara askar yang mulai berpaling tadah, ada yang lari ke India manakala ada pula yang menyertai gerakan pembangkang. Mereka mengatakan bagaimana kakitangan ketenteraan memerhati setiap langkah yang dilakukan para askar dan keluarga mereka. Tambahan lagi, pihak tentera juga sedang memburu para askar yang berpaling tadah. Yang jelas ianya mendedahkan kelemahan penguasaan ketenteraan itu sendiri – sekelompok pimpinan minoriti di lapisan atasan, seiring dengan keluarga mereka. Walaupun para askar diberi saham dalam perniagaan yang dimiliki oleh pihak tentera, namun ianya berjumlah kecil jika dibandingkan dengan kehidupan kepimpinan mereka yang lebih mewah dan kaya raya.

Tentera berpangkat rendah

Dengan kudeta dan penindasan yang sedang berlaku ini, tiada apa-apa kelebihan pun yang dapat diperolehi oleh askar berpangkat rendah di sana. Kuasa pimpinan ketenteraan hanya melindungi kekuataan dan kekayaan mereka sendiri. Justeru gerakan sedia ada perlu menerima para askar yang mengingkar arahan pimpinan mereka. Sebuah seruan juga perlu dinyatakan kepada para askar berpangkat rendah untuk berpisah daripada lapisan atasan dan mulai menyusun tenaga mereka secara mandiri, berserta program tersendiri – tanpa undur daripada gerakan menentang kekejaman ketenteraan.

Jika ada tindak balas berikutan tindakan berpaling tadah ini, para askar berpangkat rendah perlulah memberanikan diri mereka. Gerakan rakyat perlu mengambil langkah-langkah bagi melindungi keluarga-keluarga mereka. Komite pekerja dan askar yang dikawal secara demokratik dapat dibentuk bagi memimpin penentangan terhadap kuasa Junta. Ketakutan dan sikap antagonisme terhadap kuasa ketenteraan benar-benar wujud, terutamanya di kalangan etnik minoriti. Selagi kesemua hak demokratik yakni termasuklah mendukung hak-hak nasional dan kebudayaan dijamin sepenuhnya, selagi itulah pakatan yang dibentuk ini akan kekal rapuh dan tidak dapat bertahan lama.

Myanmar yang merupakan salah satu negara yang bersifat pelbagai, kekal menjadi penjara bagi pelbagai bangsa. Beberapa kawasan memperjuangkan hak kemerdekaan secara total manakala ada pula yang menuntut hak-hak persekutuan yang minimum. Kini, NUG dan parti-parti yang terlibat dengannya telah bersetuju bahawa kawasan-kawasan ini akan diberikan hak persekutuan. Ini merupakan langkah penting bagi memenangi lebih kurang tujuh kumpulan pemberontak dan menyokong NUG pada bulan April. Namun demikian, pihak pembangkang perlu menyatakan sikap dalam memberi jaminan terhadap kesemua hak seperti hak bahasa, budaya, agama dan juga bangsa kepada kesemua kumpulan yang ada – termasuklah kumpulan yang masih belum menyertai gerakan penentangan ini. Perlu ada jaminan bahawa tidak akan adanya sebuah kerjasama dan perkongsian kuasa bersama-sama pihak tentera dan juga parti NLD. Sebuah perhimpunan perlembagaan yang revolusioner dan dipilih secara demokratik – perlu ditubuhkan bagi menyatukan kesemua lapisan masyarakat untuk menentukan masa depan Myanmar – mewakili kesemua golongan minoriti dan begitu juga, sebuah program sosialis yang dapat membuktikan bagaimana kepentingan pekerja dan masyarakat yang tertindas dapat dicapai bagi menghapuskan penguasaan Tatmadaw dan juga kelas kapitalis, supaya dapatlah dimulakan pembinaan rencana masyarakat yang ditentukan secara demokratik dan berteraskan solidariti internasionalisme.

Hal ini semestinya menjurus kepada persoalan akan bentuk organisasi yang bagaimana dan pimpinan serupa apakah yang diperlukan bagi melaksanakan tugas-tugasan ini. Kini, NUG dan pimpinan mereka yang sedang memainkan peranan sebagai kerajaan sementara telah membuktikan ketidakmampuan mereka. Mereka hanya inginkan ASEAN, organisasi UN dan organisasi kapitalis antarabangsa yang lain untuk mengesahkan kerajaan di bawah pimpinan mereka. Bagi rakyat yang sedang berjuang, pembentukan People’s Defense Force juga merupakan akibat daripada ketiadaan campur tangan daripada mana-mana pihak antarabangsa. Namun pimpinan NUG tidak mempelajari apa-apa pun daripada persoalan ini. Ramai yang mulai sedar bahawa kekurangan tindakan daripada pihak antarabangsa ini lebih bersangkut paut dengan persoalan geo-politik dan bukannya sebab-sebab lain. Selain rayuan untuk melakukan sekatan ekonomi dan membekukan aset-aset ketenteraan yang ada, tidak ada apa-apa tindakan yang menyeluruh dan tegas dilaksanakan oleh mana-mana negara. Rusia dan China yang mempunyai kuasa veto di UN, terus menyokong dan membela pihak Tatmadaw. Meskipun penuh dengan retorik hak asasi manusia, kerajaan AS di bawah Joe Biden dan kerajaan-kerajaan barat yang lain tidak melakukan apa-apa yang bermakna bagi menghalang kekejaman pihak Junta. Pada saat ini, kerajaan kapitalis barat belum menemui sekutu rapat yang dapat dijadikan sebagai rakan kerjasama bagi memastikan kepentingan mereka untuk menentang China terus terpelihara. China pula kini secara keras menentang mana-mana “campur tangan dari luar” di negara Myanmar. Tetapi tidak mustahil bahawa China akan campur tangan (seperti apa yang dilakukan oleh mereka sebelum ini) jika keadaan mulai bercanggah dengan kepentingan mereka sendiri. China dan begitu juga dengan negara-negara mahupun institusi kapitalis, tidak mewakili kepentingan rakyat Myanmar.

Perjuangan massa yang bersatu!

Harapan penyelesaian daripada pihak kapitalis merupakan kelemahan besar yang wujud di kalangan pimpinan NUG. Tidak dapatlah mereka lihat akan batas-batas yang ada melalui rayuan kepada komuniti antarabangsa itu. Sebaliknya, sebuah rayuan dan seruan perlu dilaungkan kepada para pekerja dan juga rakyat tertindas di negara-negara jiran dan juga antarabangsa bagi bergabung tenaga bersama rakyat yang sedang berjuang di Myanmar. Gerakan rakyat yang sedang menentang kerajaan China di Hong Kong dan begitu juga dengan gerakan rakyat yang menentang golongan elit di Thailand perlu bersatu tenaga. Daripada memberikan kuasa kepada pihak NLD dan sekutu kapitalis mereka, para pekerja dan anak muda yang sedang cekal berjuang untuk sebuah kehidupan yang lebih makmur perlu sedar bahawa mereka perlu mengambil kuasa dan dengan itu, berhak untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Hal ini, sudah tentunya menjadi hal yang mustahil jika sebuah organisasi massa yang terdiri daripada kelas pekerja utamanya, seiring dengan anak muda dan kelompok masyarakat yang tertindas tidak dibina. Pada tahap ini, tugas sebegini mampu dilaksanakan dan ditubuhkan di Myanmar, disebabkan pelbagai kumpulan-kumpulan sedang ditubuhkan di tempat-tempat kerja, di kota-kota besar dan juga di kampung-kampung. Tidak cukup sahaja hanya dengan menubuhkan sebuah pembentukan kumpulan ataupun komite yang kecil. Ia perlu disusun seiring dengan matlamat politik yang lebih jelas – iaitu untuk merampas kuasa daripada pihak tentera dan para kapitalis dan berpaksikan pengajaran perjuangan yang wujud di seluruh dunia. Wakil-wakil di dalam komite yang dapat dipilih dan ditarik semula kuasanya – perlu menubuhkan organisasi demokratik kebangsaan yang dapat melanjutkan lagi perjuangan dan tuntutan gerakan rakyat. Dengan merancang sumber-sumber yang ada untuk kepentingan semua dan bukannya kepentingan kelas penindas, organisasi massa sebegini rupa dengan jelas dapat menewaskan Junta dan memulakan proses untuk menubuhkan kerajaan yang dapat mewakili kepentingan kesemua pihak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *